Pertanyaan untuk Azriq

*Nota ringkas ini merujuk kepada tulisan Esei-esei Orhan Pamuk oleh Wan Nor Azriq, yang terbit di dalam buku Kata 3.

Membaca Esei-esei Orhan Pamuk membuatkan saya berasa khuatir. Yang cuba di sampaikan hanyalah bayang-bayang; tak ada satu pun pernyataan yang mencadangkan bahawa tulisan itu cuba diserlah bersandarkan kepada ketekunan pembacaan yang kemudian, dicerna untuk menampakkan sisi-sisi teras yang sejurus selepas itu, ingin dibincangkan, baik oleh penulisnya – Wan Nor Azriq – ataupun subjeknya (esei-esei Pamuk sendiri).

Menurut mata dan akal saya, ini adalah contoh sebuah tulisan yang tidak terarah. Tak tahu ke mana ingin di bawa hal yang ingin disebutkan itu (ini belum lagi sampai ke peringkat untuk ‘dibincangkan’, hanya ‘disebutkan’). Lihat, berapa banyak nama yang disebut-sebut di dalamnya. Memang, untuk setengah orang, mereka boleh saja terpukau dengan nama-nama itu. Betapa si penulisnya banyak membaca karangan yang ditulis nama-nama tersohor dunia sastera. Itu bagus. Tetapi, soalan saya, kenapa hal-hal kecemerlangan tulisan seperti itu tidak tercermin langsung di dalam tulisan Azriq yang satu ini?

Sekejap dia membuka tulisan dengan memetik Virginia Woolf. Selepas itu menggantung nama Pamuk pada mukasurat yang sama. Kemudian beralih kepada Goenawan Mohamad (yang, ironinya, paling lama digauli di dalam tulisan itu) dan kemudian, Aidil Khalid yang menurut Azriq, lebih sukakan buku Other Colours yang menampilkan wajah Pamuk di muka depan, manakala Azriq sendiri lebih selesa dengan versi muka depan ‘yang memaparkan potret, yang agak kabur, bayang seorang lelaki sedang menyusuri kegelapan kota Istanbul’. Tingkat tulisan jenis apa ini, Azriq?

Jika berkesempatan nanti, baca sendiri tulisan ini. Mungkin ada yang akan ketakutan mendengar banyak lagi nama-nama tokoh pengarang yang bertebaran di sepanjang lapan muka tulisan itu berlangsung. Mungkin dengan cara ini, Azriq cuba membangunkan tanggapan bahawa setiap yang membaca tulisannya, orang itu akan terpana dengan kemampuannya untuk meramahi nama-nama pengarang besar dunia. Dan ini memang betul-betul berlaku seperti yang di harapkan oleh Azriq, yang juga melihat diri sebagai kritikus sastera (seperti yang dicadangkan oleh nama blognya). Dia memang berjaya; berjaya untuk bergelumang dengan nama-nama yang selalu disebutkannya, tetapi bukan dengan zat-zat yang sepatutnya dihisap daripada semua nama-nama itu. Kerana begitu berusaha untuk menonjolkan diri melalui senarai bacaan-bacaannya yang dipermukaan, saya fikir Azriq sendiri sudah menunjukkan yang dia terbeban dengan semua itu. Continue reading “Pertanyaan untuk Azriq”

Advertisements
Pertanyaan untuk Azriq