Pertanyaan untuk Azriq

*Nota ringkas ini merujuk kepada tulisan Esei-esei Orhan Pamuk oleh Wan Nor Azriq, yang terbit di dalam buku Kata 3.

Membaca Esei-esei Orhan Pamuk membuatkan saya berasa khuatir. Yang cuba di sampaikan hanyalah bayang-bayang; tak ada satu pun pernyataan yang mencadangkan bahawa tulisan itu cuba diserlah bersandarkan kepada ketekunan pembacaan yang kemudian, dicerna untuk menampakkan sisi-sisi teras yang sejurus selepas itu, ingin dibincangkan, baik oleh penulisnya – Wan Nor Azriq – ataupun subjeknya (esei-esei Pamuk sendiri).

Menurut mata dan akal saya, ini adalah contoh sebuah tulisan yang tidak terarah. Tak tahu ke mana ingin di bawa hal yang ingin disebutkan itu (ini belum lagi sampai ke peringkat untuk ‘dibincangkan’, hanya ‘disebutkan’). Lihat, berapa banyak nama yang disebut-sebut di dalamnya. Memang, untuk setengah orang, mereka boleh saja terpukau dengan nama-nama itu. Betapa si penulisnya banyak membaca karangan yang ditulis nama-nama tersohor dunia sastera. Itu bagus. Tetapi, soalan saya, kenapa hal-hal kecemerlangan tulisan seperti itu tidak tercermin langsung di dalam tulisan Azriq yang satu ini?

Sekejap dia membuka tulisan dengan memetik Virginia Woolf. Selepas itu menggantung nama Pamuk pada mukasurat yang sama. Kemudian beralih kepada Goenawan Mohamad (yang, ironinya, paling lama digauli di dalam tulisan itu) dan kemudian, Aidil Khalid yang menurut Azriq, lebih sukakan buku Other Colours yang menampilkan wajah Pamuk di muka depan, manakala Azriq sendiri lebih selesa dengan versi muka depan ‘yang memaparkan potret, yang agak kabur, bayang seorang lelaki sedang menyusuri kegelapan kota Istanbul’. Tingkat tulisan jenis apa ini, Azriq?

Jika berkesempatan nanti, baca sendiri tulisan ini. Mungkin ada yang akan ketakutan mendengar banyak lagi nama-nama tokoh pengarang yang bertebaran di sepanjang lapan muka tulisan itu berlangsung. Mungkin dengan cara ini, Azriq cuba membangunkan tanggapan bahawa setiap yang membaca tulisannya, orang itu akan terpana dengan kemampuannya untuk meramahi nama-nama pengarang besar dunia. Dan ini memang betul-betul berlaku seperti yang di harapkan oleh Azriq, yang juga melihat diri sebagai kritikus sastera (seperti yang dicadangkan oleh nama blognya). Dia memang berjaya; berjaya untuk bergelumang dengan nama-nama yang selalu disebutkannya, tetapi bukan dengan zat-zat yang sepatutnya dihisap daripada semua nama-nama itu. Kerana begitu berusaha untuk menonjolkan diri melalui senarai bacaan-bacaannya yang dipermukaan, saya fikir Azriq sendiri sudah menunjukkan yang dia terbeban dengan semua itu.

“Hari ini ialah kali keempat saya mengulang baca buku Orhan Pamuk Other Colours: Essays and a Story. Saya menganggap buku ini sebagai salah satu bacaan wajib seumur hidup saya. Kalau saya akan diterbangkan ke bulan saya lebih suka membawa Montaigne dan Emerson sebagai peringatan kepada kebijaksanaan tamadun manusia. Tetapi Orhan Pamuk sudah tentu pilihan yang lebih baik berbanding esei yang ditulis oleh Tolstoy atau Jonathan Franzen. Bagaimana pula dengan Edward Said? Atau Zadie Smith? Atau Mohd Affandi Hassan? Nama-nama ini tidak termasuk langsung di dalam senarai bacaan saya. Lima puluh atau seratus tahun akan datang, esei mereka akan hanya tinggal sebagai nota kaki dalam lembaran sejarah sastera.”

Saya kurang pasti bagaimana orang lain membaca perenggan di atas. Tetapi, untuk saya, ia hanya memperlihatkan keangkuhan yang tak bertempat. Dan, apa yang dicadangkan oleh perenggan ini? Mungkin, satu daripada maksudnya ialah; mana-mana pengarang yang tidak dibaca oleh Azriq adalah pengarang-pengarang yang lekeh. Di sini, Azriq ingin berperanan selaku dacing sastera, agaknya. Atau melihat dirinya sebagai penentu citarasa sastera, yang mungkin berhasil bagi lingkungan terdekatnya. Dan, di sini juga saya begitu yakin, kebolehan Azriq paling tinggi adalah untuk bermain dengan nama-nama sahaja. Tak lebih dari itu. Tak ada permenungan. Tak ada ketajaman pandangan. Tak ada disiplin untuk membuka ruang perbincangan yang lebih bermanfaat. Semuanya berjalan satu hala, dan harap-harap nanti, tak tergolek. Saya juga berasa ini amat janggal untuk di lakukan oleh seorang yang duduk juga di kerusi akademik, mengajarkan sastera Inggeris kepada orang lain.

Membaca perenggan ini, soalan paling asas yang ingin saya pertanyakan kepada Azriq ialah; apa itu sastera? Adakah sastera itu hanya untuk dikalungkan kepada mereka yang menulis novel (walaupun novel itu buruk)? Adakah sastera itu merujuk kepada orang yang menulis puisi (walaupun puisinya suam-suam kuku)? Atau adakah sastera itu merujuk kepada orang-orang yang mengulas tentang nama-nama pengarang yang dirasakan cukup resepi untuk dianggap pengarang sastera? Ini perlu dijelaskan.

Saya boleh faham ketidaksenangan Azriq terhadap Mohd Affandi Hassan yang menolak ke tengah khalayak teori persuratan barunya. (Ini juga, diharap akan ada tulisan menyeluruh dari Azriq untuk mengimbangi pandangan sastera persuratan baru itu.) Tetapi, Tolstoy? Edward Said? Adakah betul kononnya dua nama ini, sebagai contoh, tidak menulis esei (atau Azriq mencari esei ‘sastera’) dengan baik? Atau adakah yang tidak disedarinnya sendiri, di dalam dirinya, wujud ketidak-pekaan terhadap objektiviti sastera yang rencam, yang sepatutnya ada?

Berkenaan Edward Said, kalau saya perlu untuk menyebut satu nama (sebagai menghormati kearifan gaya penulisan Azriq), adakah kita sudah terlupa (atau, jangan malu untuk mengaku jika kita tak pernah tahu) yang orang ini terlebih dulu dikenali kerana dia muncul sebagai antara scholar ulung yang menerbitkan kajian menyeluruh, yang dirujuk hingga hari ini berkaitan Joseph Conrad? Atau, adakah itu belum cukup ‘sastera’ menurut Azriq?

Ini masalahnya; Azriq tak sedar dia kerap membiarkan dirinya terapung di dalam angan-angan, walaupun ketika menulis esei.

– Hafiz Hamzah, 18 April 2012.

Advertisements
Pertanyaan untuk Azriq

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s