Trishna

image

Freida Pinto sebagai Trishna.

Bagaimana, sebuah perasaan akan lahir? Tentu, tidak semata-mata hanya dengan perkataan. Tentang emosi yang mengalir, bagaimana?

Trishna, seorang gadis manis dengan keperibadian dari zaman yang lain; cuma yang tak difahamnya, adakah dia perlu mempertahankan perkara itu atau membiarkannya terlerai dan larut dalam perjalanan masa.

Trishna seperti memilih yang kedua. Tanpa sempat memahami banyak perkara penting yang melingkari persekitarannya. Cinta, jika menurut pendeta-pendeta tak bernama, boleh hadir dan bersarang dalam tubuh manusia dengan rupa yang pelbagai; membahagiakan atau mengerikan. Topengnya sama seperti wajah manusia yang berpura-pura dan bersungguh-sungguh menampilkan kemurnian yang plastik.

Di mana kita, Trishna? Oh, di Bombay. Sebelum itu kau bawakan Jaipur ke depan mukaku. Aku kasihankan kau. Dibelit oleh perasaan yang bertembungan; antara kasih cinta dan gesaan nafsu yang malu-malu. Kau menolak, tetapi pada lain waktu, menuruti juga. Kau sangsi, tapi belum sempat dilayani perasaan itu, kau jadi yakin kepada keraguan yang sama itu.

Dan episod kisahmu meninggalkan kesan yang lain macam. Di sisi yang lain, aku mengkagumi kecekalanmu dalam berdepan dengan asakan hidup. Kental, menurut teman lelakimu, adalah jerat yang sepatutnya mampu kau lepasi. Tetapi kau memilih tewas. Continue reading “Trishna”

Trishna

Fiona

Kadang-kadang, aku suka membayangkan Fiona Apple, sebagai seorang kekasih yang tak pernah ada untuk aku. Suatu siang, dia akan mengajak aku berkencan, atau mungkin kau. Paling penting, dia mengirimkan buku notanya kepada aku, bertulis tangan, yang banyak bercerita tentang proses dia membikin kerja-kerja terbaru.

Dia kurus, mungkin cantik, dan pengkhayal tegar dengan setiap barang asing yang mampu kau bayangkan. Dia menulis lirik prosa, untuk melengkapi muzik aneh yang bermain dalam kepalanya, selalu. Dalam bas. Ketika mencurangi kekasihnya yang lain, ketika tak lalu makan, ketika hatinya patah. Malang buat dia, seorang Fiona itu bergelinding di Barat. Nyawa muziknya tersekat kerana corong nafasnya terlalu sendat untuk sebuah benih baru terlepas. Tetapi, dia cekal, kawan. Suaranya lain.

Tetapi, dia orang asing dari lingkungan sendiri. Bunyi-bunyinya menyeramkan aku. Jangan kau dengar karangan muziknya. Cukup jika kau sekadar memandang ke dalam matanya.

Aku rela untuk berkongsi dia. – HH

Fiona

Marrakesh

Sebuah kota yang penuh misteri seperti Marrakesh tentu saja akan menarik perhatian orang-orang yang misteri seperti Elias Canetti. Di bahagian selatan Maghribi, dengan latar pergunungan Atlas, adalah tempat pertembungan pelbagai budaya – Afrika Utara (Berber), Timur Tengah dan Eropah – dan sekaligus menjadikannya sebuah kota yang menakjubkan, terutama dari pandangan mata orang Eropah.

Canetti, seorang warga Bulgaria yang juga saksi mata Perang Dunia Kedua, membuang diri sendiri ke England (juga ke beberapa negeri lainnya) dan gemar merayau-rayau dimuka bumi menemukan Marrakesh dengan penuh rasa berahi. Setiap derianya terbuka dan terdedah untuk dirasuk.

Dia tak mampu untuk mengetepikan pengalamannya yang hanya beberapa minggu di kota itu. Antaranya tentang unta-unta yang menjadi sebahagian daripada cara hidup orang di sana; mengapa mereka mempunyai alir emosi yang sebelum ini tak pernah diketahuinya antara manusia dan haiwan. Begitu juga dengan karektor-karektor wanita di sana, yang jika menurut Canneti, berselubung litup, tak dibenar untuk berbual dengan lelaki bukan muhrim di jalanan. Dia tertanya-tanya, bagaimana kalau dia, sebagai seorang asing, terpaksa bertanyakan arah dan lokasi yang hendak dituju. “Kalau begitu, kamu perlu tunggu sehingga ada lelaki yang lalu-lalang di situ sebelum boleh bertanya.” Pengalaman itu cukup aneh buat Canetti.

Tetapi dia menyukai hiruk-pikuk peniaga dipasar. Sebahagian daripada hari-harinnya yang diluangkan di kota berkenaan adalah ditempat-tempat begini. Dan dia sekali lagi hairan, bagaimana orang boleh memilih dan mengambil keputusan untuk membeli disebuah kedai sedangkan berpuluh kedai lain, yang letakknya disebelah kedai yang diinginkan itu, menjual barangan yang sama. Tawar-menawar harga juga menjadi begitu sukar dan menakutkan.

Dan dia juga sempat mengenal kalimat Allah. Yang didengarinya daripada rumah-rumah dan orang-orang di jalanan yang sering melagukannya berulang-ulang. Ada waktu, dia merasa janggal tentang itu. Di waktu yang lain, misalnya ketika bersendirian di kamar inapnya, dia cuba-cuba untuk menyebut dan melagukan nama besar itu sendirian hanya untuk memahami perlakuan orang-orang yang ditemuinya. Dan percik perasaan yang terbit ketika itu yang menjadi rahsia Canetti yang menyukai setiap getir yang menjalar dalam tubuhnya di Marrakesh.

Seorang buta, pendeta suci yang mengulum syiling pemberiannya pada suatu pagi adalah sebuah lagi peristiwa yang menimbulkan kekacauan dalam diri Canetti. Dia tidak memahami tingkah laku itu. Tetapi, orang tempatan menyifatkan si buta itu suci, dan setiap perbuatannya adalah terlalu abstrak untuk difahami orang biasa. Dia menjejaki pendeta itu selepas sehari bertemu dengannya di pasar. Si pendeta tak ada. Dia hanya muncul seminggu selepas itu, di sudut yang sama – sunyi dan tenggelam dalam bisik rohani sendiri – dan terus dengan kulumn syiling pemberian orang dan meludahnya ke tangan dengan air liur yang melimpah. Canetti tak perlu faham apa yang sedang dialaminya. Dia hanya perlu mencatatkannya dengan cemerlang.

The Voices of Marrakesh adalah sebuah catatan perjalanan yang luar biasa anehnya. Canetti tidak bercerita tentang ke mana tempat yang dia lawati; dia bercerita tentang rahsia kota yang tidak dikenalinya dengan cubaan-cubaan untuk mencari dan mengalami sendiri nyawa sebuah kota yang jauh dari budayanya sendiri. – HH

Marrakesh

Muzik, Puteri

Saya tak pernah membayangkan yang pengalaman itu nanti akan banyak merubah faham saya tentang muzik. Hampir sejam memandu perlahan dari Kota Bharu menuju Machang, saya tak tahu apa yang hendak dijangkakan; malam itu, buat pertama kali, saya menatap dan mendengar persembahan Main Puteri dengan halwa syahdu di depan mata.

Sedikit khuatir, mungkin. Mula serunai ditiup, saya hampir menitiskan air mata. Bunyinya, getar dan nyaringnya, serta tenaga yang keluar dari corong berlubang itu betul-betul menyentap rasa. Tak terlalu berlebihan untuk menyifatkan; ini adalah muzik yang lahir dari kejujuran pemain-pemainnya dan tak dibuat-buat. Ia mengalir dari dalam tubuh, dipersembahkan dengan penuh kerendahan hati dan apa kesannya? Memukau. Saya belum pernah merasakan muzik dengan pengalaman seperti itu. Ada beberapa yang mungkin menyamai, seperti muzik Nusrat Fateh, Masters of Jajouka (dari pergunungan Maghribi) atau dari Tinariwen (quartet Sahara) – malangnya semua itu saya dengari hanya dari rakaman. Ini yang pertama dialami secara langsung.

Dua jam yang tegang, sekaligus penuh ghairah muzik dan ritual klasik. Saya tak fikir ada hantu jembalang yang melingkar. Yang ada hanya semangat, atau mungkin ‘angin’ seperti kata mereka, yang datang dengan ‘kuat’ malam itu. Bagi ramai orang, itu boleh saja dilihat sebagai sebuah persembahan untuk hiburan malam minggu. Tetapi untuk saya, ia sebuah persembahan yang penuh tenaga, yang tak mampu dilakukan oleh sesiapa, kalaupun mereka berkehendakkan begitu. Ia lahir dari satu garis sejarah panjang oleh orang-orang yang sanggup, bertembung dengan kepercayaan dan keyakinan, yang hakiki dan yang abstrak.

Saya belajar banyak perkara dari Tok Puteri malam itu. Tentang kesungguhan untuk menyanggupi ‘teks’ lisan yang indah – sebut apa saja, mantera atau godaan aksara – yang dilagukan dengan lenggok dan muzik bahasa yang panjang dan menawan. Untuk awal itu, tak penting rasanya kalau saya tak mampu memahami keseluruhan hal-hal lisan itu, kerana pertembungan dari Sanskrit, Thai dan bahasa Kelantan lama dengan istilah-istilah sukar menjadikannya ritual yang menjulang dengan estetika seni persembahan dengan rohnya sekali (‘roh’ persembahan ini yang sudah lama hilang dari pengalaman umum, kerana waktu ini, kita kerap dihidangkan dengan hasil kerja seni yang mekanikal belaka, dan lembik, termasuk penulisan).

Kalau saya tak silap faham maksudnya, malam pertama itu, cerita yang dilagukan adalah dari Mahabrata, dan bukan Ramayana; kedua-dua epik sastera ini masing terlalu asing buat saya, dan perlu ditelaah nanti. Gesek rebab yang juga mengharukan, dengan adrenalin tenaga pemalu-pemalu gendang lama yang sepanjang masa mengekalkan tempo dengan sangat cekal, tapi bersahaja. Sepersalinan untuk perantara, lentik jari dan pinggul yang menggetirkan ketika ia muncul, tegang urat dan leher ketika digoyangkan, adalah rencah yang saya fikir sangat tegang pada kebanyakan waktu.

Tentu saja akan kembali lagi, untuk berbual. Dengan mereka yang rendah hati dan pandai menghormati. – HH


*Untuk sebahagian foto, lawati Facebook Obscura Malaysia.

Muzik, Puteri