Muzik, Puteri

Saya tak pernah membayangkan yang pengalaman itu nanti akan banyak merubah faham saya tentang muzik. Hampir sejam memandu perlahan dari Kota Bharu menuju Machang, saya tak tahu apa yang hendak dijangkakan; malam itu, buat pertama kali, saya menatap dan mendengar persembahan Main Puteri dengan halwa syahdu di depan mata.

Sedikit khuatir, mungkin. Mula serunai ditiup, saya hampir menitiskan air mata. Bunyinya, getar dan nyaringnya, serta tenaga yang keluar dari corong berlubang itu betul-betul menyentap rasa. Tak terlalu berlebihan untuk menyifatkan; ini adalah muzik yang lahir dari kejujuran pemain-pemainnya dan tak dibuat-buat. Ia mengalir dari dalam tubuh, dipersembahkan dengan penuh kerendahan hati dan apa kesannya? Memukau. Saya belum pernah merasakan muzik dengan pengalaman seperti itu. Ada beberapa yang mungkin menyamai, seperti muzik Nusrat Fateh, Masters of Jajouka (dari pergunungan Maghribi) atau dari Tinariwen (quartet Sahara) – malangnya semua itu saya dengari hanya dari rakaman. Ini yang pertama dialami secara langsung.

Dua jam yang tegang, sekaligus penuh ghairah muzik dan ritual klasik. Saya tak fikir ada hantu jembalang yang melingkar. Yang ada hanya semangat, atau mungkin ‘angin’ seperti kata mereka, yang datang dengan ‘kuat’ malam itu. Bagi ramai orang, itu boleh saja dilihat sebagai sebuah persembahan untuk hiburan malam minggu. Tetapi untuk saya, ia sebuah persembahan yang penuh tenaga, yang tak mampu dilakukan oleh sesiapa, kalaupun mereka berkehendakkan begitu. Ia lahir dari satu garis sejarah panjang oleh orang-orang yang sanggup, bertembung dengan kepercayaan dan keyakinan, yang hakiki dan yang abstrak.

Saya belajar banyak perkara dari Tok Puteri malam itu. Tentang kesungguhan untuk menyanggupi ‘teks’ lisan yang indah – sebut apa saja, mantera atau godaan aksara – yang dilagukan dengan lenggok dan muzik bahasa yang panjang dan menawan. Untuk awal itu, tak penting rasanya kalau saya tak mampu memahami keseluruhan hal-hal lisan itu, kerana pertembungan dari Sanskrit, Thai dan bahasa Kelantan lama dengan istilah-istilah sukar menjadikannya ritual yang menjulang dengan estetika seni persembahan dengan rohnya sekali (‘roh’ persembahan ini yang sudah lama hilang dari pengalaman umum, kerana waktu ini, kita kerap dihidangkan dengan hasil kerja seni yang mekanikal belaka, dan lembik, termasuk penulisan).

Kalau saya tak silap faham maksudnya, malam pertama itu, cerita yang dilagukan adalah dari Mahabrata, dan bukan Ramayana; kedua-dua epik sastera ini masing terlalu asing buat saya, dan perlu ditelaah nanti. Gesek rebab yang juga mengharukan, dengan adrenalin tenaga pemalu-pemalu gendang lama yang sepanjang masa mengekalkan tempo dengan sangat cekal, tapi bersahaja. Sepersalinan untuk perantara, lentik jari dan pinggul yang menggetirkan ketika ia muncul, tegang urat dan leher ketika digoyangkan, adalah rencah yang saya fikir sangat tegang pada kebanyakan waktu.

Tentu saja akan kembali lagi, untuk berbual. Dengan mereka yang rendah hati dan pandai menghormati. – HH


*Untuk sebahagian foto, lawati Facebook Obscura Malaysia.

Advertisements
Muzik, Puteri

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s