Bayang: Jepun

image

Dari bayang-bayang yang meresahkan

Fotografi yang dilempar ke depan masyarakat selalu menjadi tempat untuk orang melaga ego. Terlalu dikenen-kenen untuk menjadi satu ruang yang didominasi oleh kerja-kerja komersil, yang cantik-cantik, gebang-gebang siapa yang lebih hebat dengan peranti-peranti teknologi kamera termaju, kemudian dengannya melahirkan dunia fantasi yang diciptakan untuk menghidupi subjek-subjek yang dipilih dengan sedikit tipu daya, untuk mencadangkan yang indah-indah. Banyak juga tanggapan terberong dan penafian tak lansgung tentang realiti yang terbit dari sisi seperti ini.

Memang, semua itu tiada salah. Tetapi hal-hal seperti itu jatuh berada di duduk letak di tingkat yang lain, yang bukan menjadi keutamaan dalam fotografi. Yang ingin dinyatakan ialah, masih ada sisi lain yang lebih menekan, bertujuan untuk menyabung kefahaman antara fotografi dan kehidupan, antara realiti dan imajinasi.

Corongnya ada, menghubungkan naluri kita dengan semua yang pada peringkat awal boleh saja dianggap tidak sempat difikirkan semasak mungkin. Tetapi ia, yang dimaksudkan jejak-jejak emosi dalam sesebuah foto, akan terpampang jelas di dalam setiap foto-foto yang lahir nanti; kepolosan hati, kejujuran dan kenaifan dari setiap kita yang hidup. Sebuah foto, seperti juga cermin, adalah pantulan terhadap diri kita sendiri; seseorang individu ataupun sesebuah bangsa. Sekurang-kurangnya, saya sendiri percayakan perkara ini.

Apa lagi ketika membicarakan tentang penerbitan buku-buku fotografi. Hampir pasti yang akan dipersembahkan itu dari materi-materi yang gah, dengan perbelanjaan yang besar-besar yang sudah tentu akan menjauhkan poket-poket kecil daripada menghampiri; untuk konteks Malaysia pula penerbitan buku-buku seperti ini walaupun ada, masih terlalu jauh terpinggir dari perhatian tengah, dan dilihat dalam cara pandang yang sama oleh kebanyakan orang – dengan imejan yang ‘cantik-cantik’ sahaja. Di permukaan semata. Superficial.

Walaupun, tanpa ragu, ada bermacam judul dari terbitan luar yang memuatkan nama-nama besar dengan imej-imej yang juga ‘besar’ dan bernuansa kehidupan seperti itu meletakkan tanda aras tersendiri untuk usaha seperti ini. Sekali lagi, ini tiadalah salah. Cuma, kerja-kerja begini berada nun jauh di atas sana, takut dan belum mampu digapai, waima bagi mereka yang menghajati. Dan kami hanya baru belajar untuk mula merangkak dilaluan yang sama.

Terdetik dari getus yang begini, kami memulakan siri penerbitan kecil yang memberi tumpuan khusus kepada ‘bahasa fotografi’, yang diberi nama Bayang. Lenggok yang bukan elitis, tetapi mahu cuba-cuba mengangkat dan menterjemahkan kerja-kerja fotografi kecil yang lahir dari tanah atau warga Malaysia. Kerja-kerja yang disulami keresahan mata juruciptanya untuk membekukan hasrat atau melepaskan kekecewaan yang diingini dengan gaya tersendiri. Mentah juga tak apa-apa, tak perlu takut.

Bagi siri pertama ini, bermula dengan 67 foto dari Jepun yang dirasakan ada pemberat tersendiri dicetak kecil-kecil untuk dipertimbangkan. Kelanjutan aturan dan pemilihan foto memang tak menyenangkan. Dari angka itu, 30 foto disenarai pendek oleh editor penyaringnya, Hasful Zainuddin. Tak juga mampu melahirkan rasa yang diinginkan, masih terlalu longgar. Jumlah itu kemudian dikecilkan lagi kepada 20 fotograf sahaja ; yang mengunjur secara berselerak dari tengah Tokyo, Osaka, Kyoto dan sampai di ribaan Hiroshima.

Terkemudian selepas itu, lapan jenis kertas dicuba untuk melihat hasil cetakannya. Tiga salinan contoh penuh dikerjakan bersama dengan Shafiq Halim (Jargon Books), sempat juga dijaja kepada beberapa individu untuk bertanyakan pandangan serta kritik-kritik yang mampu membantu proses penerbitan buku nipis fotografi ini. Sehinggalah penghujung Jun lalu, selepas hampir tiga bulan bertungkus-lumus untuk memahirkan kefahaman dengan setiap tingkat proses yang terlibat, siri pertama Bayang ini siap dicetak. Hanya ada 200 naskah saja yang termampu diterbitkan.

Bayang juga diharapkan untuk menjadi satu projek yang berterusan; dihajatkan untuk terbit empat kali setahun dan terbuka kepada sesiapa saja yang berminat. Jika ada antara kamu yang berminat untuk terlibat sama dalam projek penerbitan ini, jangan malu-malu untuk menghubungi Obscura Malaysia melalui emel. Sertakan juga 12 foto yang sudah siap disunting untuk memudahkan kami menilai.

.

.

*Bayang No. 1 – 20 Fotograf Jepun diterbitkan oleh Obscura Malaysia dan dijual pada harga RM35. Untuk pesanan/tempahan atau sebarang pertanyaan, hubungi kami melalui emel obscura.malayisa@gmail.com. Naskah ini tidak dijual dimana-mana rangkaian kedai buku.

Advertisements
Bayang: Jepun

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s