Malam, Di Meja Tempat Kau Terlentok

Cahaya-malam

Bayangkan kita sedang berdua-duaan. Sebangku kerusi untuk aku, dan sebangku lagi untuk kau. Meja tempat siku-siku kita sedang berehat ini diperbuat daripada kayu sepenuhnya, bukan meja lembik dari Ikea. Seginya empat tepat, dan di setiap penjuru ada segenggam serbuk kopi untuk dibancuh, setiap malam ketika kita berbual-bual di sini. Siapa perlukan cahaya? Di sini, kita hanya perlukan bau dan lidah, dan sedikit akal yang waras.

Biar aku mulakan. Aku tak pernah suka macam mana dia memperlakukan aku selepas setiap hirupan besar, walaupun aku agak menyukai rasanya. Hangat haba dari permukaan hitam pekat, yang meruap terlebih dulu sampai menerobos lohong hidung dengan aroma yang macam-macam, tak pernah menggusarkan kepercayaan aku kepada sebuah kehidupan yang terbentang dan penuh dengan ketidakpastian – kau harus optimis, tak boleh pesimis – ketika duduk di depan secangkir kopi. Setiap kali lain-lain asalnya, biji-biji yang dilumat jadi serbuk, membawa sama setiap ingatan dari mana dia datang, agaknya. Aku tak tahu kalau kau juga pernah merasakan ini?

Bagaimana dia pertama kali menyentuh bibir kau dengan kasar dan gopoh. Panas lecur yang tetap ingin kau izinkan, setiap kali dia bersiap untuk didekati, seperti seorang perawan yang malu-malu awalnya. Dengan kepekatan malam yang makin larut, selepas kau tewas untuk meletakkan sebuah harapan pada tempat yang betul (kau belum lagi mampu mencapainya), dengan setiap tekanan, kepekatan dia adalah yang paling menyeksakan – ketika perawan tadi malunya semakin tebal, tetapi tangannya mula merayap sendiri. Nafas kau terputus seketika. Fikiran kau terlepas melayang, tetapi panca-indera lain masih ingin menghantar rasa dan mengeletik meminta-minta untuk habuan malam itu. Aku tak pernah kira waktunya, siang tak apa-apa, tak melalaikan. Malam pula tak mengghairahkan. Cuma aku tak suka apa yang berlaku selepas itu, hampir setiap kali kebelakangan ini.

Continue reading “Malam, Di Meja Tempat Kau Terlentok”

Advertisements
Malam, Di Meja Tempat Kau Terlentok

Kabin

Rumah-Tinggal

Aku akan duduk menghadap akhbar setiap hari untuk membaca berita-berita tentang diri aku sendiri. Setiap hari, untuk beberapa bulan kebelakangan ini, tentang perjalanan kes aku di mahkamah. Selalunya di waktu bagi, dengan sebotol Coke, atau mungkin barang kunyahan yang tak terlalu memenatkan. Kerana aku gemar untuk memberi tumpuan penuh – dan dalam masa sama, membiarkan diri terhibur.

Aku disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang perempuan, lama dulu. Sehingga hari ini mahkamah belum tahu hukuman apa yang perlu dijatuhkan terhadap aku. Dan ini bahagian yang paling menarik; sepanjang tempoh itu sebenarnya bukan aku yang berulang-alik ke mahkamah. Memang, nama aku yang disebut selalu, sebagai yang di dakwa, sebagai yang bersalah. Aku tak pernah kisah tentang itu. Ketika kau membaca cerita ini, nama aku bukan lagi seperti nama yang dulu itu.

Dari awal, itu sebab tak ada siapa yang pernah melihat wajah aku, wajah individu sebenar yang dituduh biar dalam akhbar atau tv. Orang hanya perlu tahu, bahawa sebuah pendakwaan sedang berjalan – kerana kes itu berprofil tinggi – dan itu perlu untuk meredakan sedikit keadaan. Biar aku beri tahu sekarang; orang yang selalu imej dan sosoknya terpampang di akhbar yang dipaksa menjadi aku itu sebenarnya bukan seorang, tetapi beberapa orang.

Aku tak ada maklumat banyak, tetapi satu perkara yang pasti, orang-orang itu bukan aku. Itu bukan orang yang disangka membunuh seorang perempuan dan sedang berhadapan dengan kegetiran memuncak di hadapan hukuman mati. Kerana orang sebenar yang disangka itu sedang menikmati hari-harinya dengan indah; duit tebal dengan kebebasan paling agung di perosok tempat yang tak ramai orang menghiraukan apa yang berlaku di dalam negara ini.

Continue reading “Kabin”

Kabin

Sastera Dinding Dewan

Dewan-SasteraSaya selalu gagal menentukan perasaan; sama ada untuk berasa sedih atau ingin ketawa ketika duduk di dalam kesendirian di warung makan yang riuh, selalunya di Lucky Garden, sambil membelek Dewan Sastera. Mujur ini tidak saya lakukan dengan kerap. Hanya ketika waktu-waktu yang didorong oleh naluri ingin tahu yang datang berziarah untuk meninjau apa yang terhidang di antara lembar-lembar kertas majalah berkenaan. Untuk itu, hampir setiap kali kitaran ini mengambil tempat, saya akan ditinggalkan dalam keadaan yang sebal sepanjang malam; sesekali sempat juga mengajak Suri untuk mendengar sama bebelan saya yang tak difahaminya.

Adakala, yang terpancar di mata saya hanyalah betapa kecilnya jiwa yang terkandung di dalam kebanyakan tulisan-tulisan yang ada; sebagai contoh di sini – juga sekiranya ingatan saya tidak berbohong – saya merujuk kepada tulisan Salman Sulaiman, yang terbit entah dalam isu yang mana (maaf kerana tak berminat untuk mengingat), yang bercerita tentang pengalaman dia ke Indonesia untuk seminar atau bengkel Mastera. Dari awal, dia hanya bercerita tentang betapa kecil dirinya. Dan ini saya harap pada mulanya bahawa tanggapan sayalah yang tersilap.

Tetapi, melurut jauh lagi ke dalam tulisan itu, dia berjaya membuat saya untuk percaya bahawa jiwanya betul-betul kerdil; misalnya, seperti yang dicatatkan ketika pertemuan bersama Joko Pinurbo di program berkenaan, dia hanya bercerita tentang betapa rugi dirasakan kerana dia tertinggal buku himpunan sajak Jokpin (entahkan di kamar atau di Malaysia). Kerana, menurutnya, kalau dia membawa buku tersebut, bolehlah dia meminta Jokpin menurunkan tandatangan. Memang, hal ini tidak salah.

Continue reading “Sastera Dinding Dewan”

Sastera Dinding Dewan

106

(I)

Kad elektronik diselit pada slot pintu. Ada orang bercerita tentang tempat ini yang tak aman. Tak selamat. Banyak hal-hal yang merisaukan. Tetapi, waktu itu aku tak ada pilihan. Hawa dingin menderu meluru, melanggar tubuh ketika daun pintu berat ditolak. Tak ada tanda-tanda kekhuatiran yang perlu dirunsingkan. Kamar ini indah. Nyaman dengan udara sejuk. Diluarnya belukar yang elok tersusun.

Selepas nyala lampu, keadaan masih malap. Tubuh dan katil memanggil-manggil untuk terlentang. Aku menghidupkan tv yang tak ditonton. Membuka komputer riba dan membayangkan macam-macam perkara. Meletakkannya di depan cermin besar dan merenung diri sendiri, membelakangkan tv dan menutup mulut dengan dua jari, tanpa rokok.

Tetapi, bukan itu yang hendak diceritakan. Tidak sehingga aku merebah badan atas katil besar, dengan cadar putih suci itu. 5.20 petang, hari masih cerah. Di kamar ini, suasana sepi dan hening. Tak banyak beza jika diluar sana keadaannya terang atau sebaliknya. Pada renda waktu itu, dari tilam yang menampung badan, ada terdengar sisa dengup jantung yang barangkali terakhir. Mulanya, aku fikir itu khilaf pendengaran.

Tetapi tidak. Degup-degup jantung terakhir yang didengari itu meresap ke dalam jantung aku kini. Hanya dengan satu kali detak, nyawa aku diperbaharui. Aku menjadi seorang yang lain. Bunyi itu menghidupkan aku tidak seperti sebelum-sebelumnya. Dan aku merasa berhutang. Kepada keadaan.

Degup yang satu itu juga menerbitkan satu gerak hati yang lain. Ada kekuatan yang mengalir ke tangan, mendorong untuk membuka sebuah blok tempat duduk berkusyen dihujung katil. Ia berat. Kusyennya berat. Aku tak tahu kenapa ia ada di situ. Continue reading “106”

106

Kata Awal: Buka Corong

Jarang-jarang kita menemukan sebuah polemik kesusasteraan. Di Malaysia apatah lagi. Yang muncul ditengah-tengah khalayak juga tak selalu mengandung isi yang melapangkan, atau mengghairahkan. Yang ada, seperti yang pernah kita saksikan, adalah pertikaman lidah yang menyempitkan, menyesakkan. Barang tentu, anda yang menatap buku ini mungkin lebih arif dengan latar yang dimaksudkan.

2011 adalah tahun untuk Interlok. Palu gendang yang berdentum-dentam menguak banyak sisi dan kesanggupan segelintir masyarakat. Mulanya dengan riuh-rendah, kecoh, laungan perjuangan dan apa-apa lagi. Tetapi di antara heboh dan sebuah teks yang namanya Interlok itu ialah sebuah kekecewaan.

Kekecewaan kerana buku itu melonjak popular oleh sebab yang salah. Kecewa kerana provokasinya sedikit mengganggu dan cetek. Kecewa juga kerana respon yang sebetulnya ingin menyanggah itu pun dalam diam-diam menggumam emosi yang mengatasi rasional. Jawapan balas, pada kebanyakan waktu, tidak banyak menyernihkan. Cuma dihadirkan untuk menyebelahi, untuk memenangi sebuah pertarungan yang dimulakan dengan kelam. Di akhir nanti, harap-harapnya kita tidak terjerlus sekali di dalam lubang yang lebih kumuh dan dibiar sesak nafas, akibat kebanalan sendiri.

Kesusasteraan bukan milik siapa-siapa. Kesusasteraan wajar dicabar. Seorang pengarang, serta khalayaknya, berkongsi satu pentas yang kabur. Di gelanggang itu, tidak ada yang suci, atau tak tersentuh. Jika siap melontarkan sesuatu ditengahnya, maka perlu bersedia juga menempis tempias yang terpantul balik. Kedua-dua pengarang dan khalayaknya wajib bertanggungjawab.

Di dalam proses panjang inilah – melontarkan dan menempis tempias – selalunya polemik akan hadir. Tetapi jarang dipersembahkan di dalam suasana yang bijaksana. Jarang ditemukan kualiti untuk kita berfikir panjang. Semuanya gopoh-gopoh. Provokasi gelojoh, memberi jawapan balas juga caca-marba. Semacam memberi isyarat bahawa kita sudah lama terputus dengan tradisi penghujahan berhemah. Kelompok ini dikhuatiri menjadi sekumpulan orang-orang reaksioner semata, dan memerangkap khalayak umum yang sekadar menganut faham popular atau perdana. Continue reading “Kata Awal: Buka Corong”

Kata Awal: Buka Corong

Pandang Mata Usman Awang

(I)

Di sebuah rumah separa kayu di Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor, air sungai yang mengalir di belakang rumah akan melimpah masuk ke dapur waktu hujan lebat. Arus deras. Seorang lelaki masuk dan duduk di ruang tamu, sedikit kebasahan barangkali. Yang tidak diketahuinya ialah tentang keghairahan yang terselindung dibalik sebuah rak buku, tak jauh dari tempat dia menunggu untuk dihulurkan tuala dan teh O panas.

Sebuah rak lama yang terkandung di dalamnya lambakan buku; juga dari judul yang lama-lama. Mujur masih tak dimakan anai-anai. Lelaki itu duduk didepannya ketika orang lain di bahagian belakang rumah, sibuk dengan hal-hal lain yang lebih menarik minat masing-masing (seperti berceloteh berguraukan punggung siapa yang lebih lebar, atau betis siapa yang lebih mulus).

Satu per satu judul pada tulang buku-buku yang ada diteliti. Beberapa buah buku juga sudah siap ditarik keluar, dihembus-hembuskan habuk pada kulitnya. Semua itu adalah judul-judul yang sudah lama bermain dalam bayangan fikirannya – kerana pernah terbaca di mana-mana agaknya, tetapi tidak lagi diulang cetak untuk tatapan pembaca zaman ini; seperti kerja-kerja itu tak lagi perlu diingati.

Di antara judul-judul yang ada, sebuah daripadanya adalah himpunan sajak Usman Awang, Duri Dan Api yang dicetak pada tahun 1960an. Terdetik juga dalam hati kecilnya untuk mencuri buku-buku itu. Tetapi, setelah memerhatikan raut wajah lembut seorang wanita separuh umur yang kemudiannya datang menghidangkan minuman, niat itu padam. “Kalau nak baca, ambillah dulu. Tapi nanti bila sudah selesai, pulangkan. Itu harta untuk ditinggalkan kepada cucu-cucu makcik nanti biar mereka tak lupa diri.”

Lelaki itu tak jadi mencuri. Dia hanya meminjam. Dibetulkan niat. Continue reading “Pandang Mata Usman Awang”

Pandang Mata Usman Awang