Kata Awal: Buka Corong

Jarang-jarang kita menemukan sebuah polemik kesusasteraan. Di Malaysia apatah lagi. Yang muncul ditengah-tengah khalayak juga tak selalu mengandung isi yang melapangkan, atau mengghairahkan. Yang ada, seperti yang pernah kita saksikan, adalah pertikaman lidah yang menyempitkan, menyesakkan. Barang tentu, anda yang menatap buku ini mungkin lebih arif dengan latar yang dimaksudkan.

2011 adalah tahun untuk Interlok. Palu gendang yang berdentum-dentam menguak banyak sisi dan kesanggupan segelintir masyarakat. Mulanya dengan riuh-rendah, kecoh, laungan perjuangan dan apa-apa lagi. Tetapi di antara heboh dan sebuah teks yang namanya Interlok itu ialah sebuah kekecewaan.

Kekecewaan kerana buku itu melonjak popular oleh sebab yang salah. Kecewa kerana provokasinya sedikit mengganggu dan cetek. Kecewa juga kerana respon yang sebetulnya ingin menyanggah itu pun dalam diam-diam menggumam emosi yang mengatasi rasional. Jawapan balas, pada kebanyakan waktu, tidak banyak menyernihkan. Cuma dihadirkan untuk menyebelahi, untuk memenangi sebuah pertarungan yang dimulakan dengan kelam. Di akhir nanti, harap-harapnya kita tidak terjerlus sekali di dalam lubang yang lebih kumuh dan dibiar sesak nafas, akibat kebanalan sendiri.

Kesusasteraan bukan milik siapa-siapa. Kesusasteraan wajar dicabar. Seorang pengarang, serta khalayaknya, berkongsi satu pentas yang kabur. Di gelanggang itu, tidak ada yang suci, atau tak tersentuh. Jika siap melontarkan sesuatu ditengahnya, maka perlu bersedia juga menempis tempias yang terpantul balik. Kedua-dua pengarang dan khalayaknya wajib bertanggungjawab.

Di dalam proses panjang inilah – melontarkan dan menempis tempias – selalunya polemik akan hadir. Tetapi jarang dipersembahkan di dalam suasana yang bijaksana. Jarang ditemukan kualiti untuk kita berfikir panjang. Semuanya gopoh-gopoh. Provokasi gelojoh, memberi jawapan balas juga caca-marba. Semacam memberi isyarat bahawa kita sudah lama terputus dengan tradisi penghujahan berhemah. Kelompok ini dikhuatiri menjadi sekumpulan orang-orang reaksioner semata, dan memerangkap khalayak umum yang sekadar menganut faham popular atau perdana.

Bagi insiden khalayak kita yang bertembung dengan Interlok, entah kata apa yang perlu dirujuk untuk menggambarkan suasana ini. Ingin dipanggil polemik, ia seperti tiada pasak-pasak yang kukuh untuk menjadi premis – sering tak ada kualiti yang sepatutnya. Hendak membantai semberono, itu memang kerja mudah, dan memang itulah yang dilakukan kebanyakan orang. Hendak menyuarakan sokongan, sudah tentu. Tetapi dalam kerangka dan pendekatan yang bagaimana? Kalau kita berdiri ditengah khalayak yang hanya mengikuti perkembangan ini, sudah tentu kita mengharapkan proses itu kembali menjernihkan, bukan semakin ditolak ke sisi ekstrim, misalnya menyebut-nyebut tentang perkauman, seperti yang selalu didengari.

Mungkin soalan-soalan paling penting untuk dijawab semula ketika ini ialah; adakah Interlok sebuah novel yang bagus? Jika ya, mengapa sebelum ini Interlok dipandang sepi dan tidak memenangi hati khalayak besar seperti yang sepatutnya? Mengapa juga sebelum ini tidak banyak perbincangan-perbincangan terbuka yang kedengaran untuk membahas novel berkenaan? Perhatian mendadak yang diberikan semenjak pertembungan terbaru itu adakah ia disebabkan kualiti novel berkenaan atau sekadar suara-suara simpatisan terhadap pengarangnya? Jika novel ini disertakan dalam subjek di sekolah, apakah matlamat pengajarannya? – sebagai memerhati potret hubungan antara kaum ataupun kritik sastera (yang kita tahu selalu menjadi tidak penting, termasuk diluar pagar sekolah-sekolah di Malaysia)?

Memang, bertubi soalan yang menyergah. Dan, novel yang baik selalunya mampu bertahan dihadapan kritikan dan menjadi matang untuk terus diingati. Jika sesebuah novel itu dilupakan orang, tidak hanya khalayak yang patut dipersalah. Pengarang juga adalah sebahagian besar daripada kegagalan itu.

Buku kecil ini tidak bermaksud untuk menawarkan penyelesaian mutlak. Tetapi, ia menghimpunkan beberapa suara yang berbeza-beza untuk mengusulkan sisi-sisi yang pelbagai tehadap novel berkenaan, tidak hanya tertumpu kepada isu atau permasalahan yang timbul diselingkarnya – nostalgia, cerminan dan kekalutan kita dalam memahami hal-hal berkait kesusasteraan di Malaysia.

10 komentar yang dimuatkan disetiap lembar buku ini ada diantaranya merupakan tulisan-tulisan yang pernah terbit di merata saluran – akhbar perdana, portal atas talian, blog persendirian serta tidak ketinggalan beberapa tulisan yang belum pernah diterbitkan, yang dirasakan mampu memberi sedikit pandagan dari sudut-sudut berlainan untuk diperpanjangkan pemerhatian terhadap novel berkenaan.

Buku ini hanya seperti sebuah mangkuk yang di dalamnya ada beberapa jenis bahan dan ramuan dalam jumlah terhad untuk dihidangkan. Sama ada nanti ia akan diteguk atau dibuang oleh yang membaca, itu terserah.

– 29 Mac 2011, Kuala Lumpur.

* Esei pendek ini merupakan catatan iringan bagi buku elektronik Semangkuk Interlok, yang menghimpunkan komentar dan kritikan ketika heboh-heboh selingkar novel Interlok, karangan SN Abdullah Hussein.

Advertisements
Kata Awal: Buka Corong

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s