106

(I)

Kad elektronik diselit pada slot pintu. Ada orang bercerita tentang tempat ini yang tak aman. Tak selamat. Banyak hal-hal yang merisaukan. Tetapi, waktu itu aku tak ada pilihan. Hawa dingin menderu meluru, melanggar tubuh ketika daun pintu berat ditolak. Tak ada tanda-tanda kekhuatiran yang perlu dirunsingkan. Kamar ini indah. Nyaman dengan udara sejuk. Diluarnya belukar yang elok tersusun.

Selepas nyala lampu, keadaan masih malap. Tubuh dan katil memanggil-manggil untuk terlentang. Aku menghidupkan tv yang tak ditonton. Membuka komputer riba dan membayangkan macam-macam perkara. Meletakkannya di depan cermin besar dan merenung diri sendiri, membelakangkan tv dan menutup mulut dengan dua jari, tanpa rokok.

Tetapi, bukan itu yang hendak diceritakan. Tidak sehingga aku merebah badan atas katil besar, dengan cadar putih suci itu. 5.20 petang, hari masih cerah. Di kamar ini, suasana sepi dan hening. Tak banyak beza jika diluar sana keadaannya terang atau sebaliknya. Pada renda waktu itu, dari tilam yang menampung badan, ada terdengar sisa dengup jantung yang barangkali terakhir. Mulanya, aku fikir itu khilaf pendengaran.

Tetapi tidak. Degup-degup jantung terakhir yang didengari itu meresap ke dalam jantung aku kini. Hanya dengan satu kali detak, nyawa aku diperbaharui. Aku menjadi seorang yang lain. Bunyi itu menghidupkan aku tidak seperti sebelum-sebelumnya. Dan aku merasa berhutang. Kepada keadaan.

Degup yang satu itu juga menerbitkan satu gerak hati yang lain. Ada kekuatan yang mengalir ke tangan, mendorong untuk membuka sebuah blok tempat duduk berkusyen dihujung katil. Ia berat. Kusyennya berat. Aku tak tahu kenapa ia ada di situ.

Ketika pelana itu diselak ke atas dengan sekuat tenaga, ada sekujur tubuh hangat mengerekot memandangi. Matanya terbuka celik, tetapi kelopaknya tidak berkelip. Aku tetap dengan perasaan neutral. Setubuh mayat. Mayat itu tak mendera naluri. Wajahnya seperti tersenyum, tetapi perempuan itu, yang berikat kaki dan tangan serta mulut yang disumbat pisang telah mati. Kerana, degup jantungnya yang terakhir ada dalam diri aku.

Bila malam menjelang, aku menghidupkan mayat itu kembali. Dengan sedikit solekan wajah dan celak pada mata, dengan gincu merah yang diconteng pada bibir agar dilihat tersenyum dan dengan pakaian pada tubuh yang sudah dibersihkan kotor darahnya. Aku jahit daging-daging abdomennya yang koyak ditusuk pisau.

Perempuan itu disebelah, dan aku duduk di sisi kiri. Kami menghadap jendela kaca yang luas, cuba merebut malam daripada kunang-kunang yang menari. Sekurang-kurangnya, dia ada untuk jadi peneman. Walaupun kaku.

Dan sebuah persetubuhan yang durjana.

(II)

Durjana kerana perempuan itu, dengan gincu tebal dibibir, mengatakan tak mahu. Durjana kerana disebalik selak kain pangkal pehanya, tak ada apa-apa di situ. Hanya perkataan-perkataan menggerunkan tertulis untuk dibaca.

Malam kedua, dan sehari suntuk hujan yang meremangkan roma. Di atas katil yang sama, perempuan itu melucutkan seluruh pakaiannya. Kerana, aku telah berjanji, beberapa degup jantung dipinjamkan untuknya, agar dapat dia bercerita. Tubuhnya adalah layar putih yang menjelmakan imbasan hidup yang beberapa ketika merunsingkan, selang beberapa jam sebelum nyawanya tercabut.

Dia, tanpa segan silu, berdiri di atas katil dan melucut  baju. Matanya mekar menyala. Mulutnya menguntum mawar yang sudah lama dilupakan orang. Tubuhnya, dari paras leher, payudara dan perut, menghampar visual-visual yang membunuh. Kenapa tak kau ceritakan saja dengan bibir-mu, aku bertanya. Kerana aku tak mahu, kata tulisan yang terpancar dibuah dadanya.

Dia tak menjelma jadi hantu. Aku masih duduk dikerusi rotan, dengan mata diparas yang sama di mana kata-kata itu berjalan; dipangkal peha, yang menurut aku, kerap saja mengundang gemuruh yang selalu mematikan rasa. Darah-darah dalam urat tubuh terpecah menjadi sel yang lebih halus. Aku hanya menatap tubuh itu dengan getar yang merangsang. Akal. Dan menunggu untuk menyelesaikan cerita perempuan yang waktu itu sudah bertukar menjadi cinta.

Aku memanjat batang tubuhnya yang semakin meninggi. Kepalanya mencecah siling. Aku mendekapkan muka pada rambut-rambut halus pubik yang menyebar harum kuburan. Membaca keintiman teks pada bahagian-bahagian tubuhnya. Setiap perkataan jadi bernyawa dan kalut. Dan dia, memang mahukan aku membaca isi diari yang dulu ditulis dibenak kalbu.

Perlahan aku mendekatkan kepala di antara dua peha kurus itu. Memasuki rongga yang setengah terbuka dari bawah, melihat perkataan-perkataan jatuh dari hati, ke usus dan merangkai membangun cerita-cerita kepedihan yang indah. Aku tak menemui kisah mengapa dia dibunuh dan ditinggalkan – dengan selembar kain berdarah – di dalam kotak pelana dikamar indah itu. Tetapi, malam ini, ia menjadi malam indah kami.

Kerana, menjelang tengah malam, ketika memasuki tubuhnya yang ranum demi untuk meminjamkan degup-degup jantung-ku, kami menjadi satu. Persetubuhan yang kau tak akan faham.

Dari dalam kenikmatan malam itulah aku menemukan padanya kata-kata yang melunaskan banyak perkara:

“Aku adalah sang perindu yang kecundang. Kekuasaan membenih di dalam rahim-ku. Dan aku tak mahukan itu.”

Tetapi, malam ini aku mahukan kau, kata perempuan itu. Diamilah tubuh-ku yang kekeringan ini, suburkan kemarau rasa ini dan datanglah dengan benih cinta. Tabur di dalam rahim-ku, yang tertulis kata-kata listrik yang akan menjaga-mu. Aku mahukan rangkulan itu, dari dalam. Hempasan itu, ke atas katil, dari dalam. Dan aku berjanji, aku tak akan mengurung-mu di dalam tubuh gemersik ini.

(III)

Sedar dari tidur dalam tenang, dipagi penuh sentimental, dalam belukar nipis persisir pantai Teluk Datai. Satu perasaaan kurang menyenangkan terbit dari dalam; kemarahan kepada lemak-lemak dalam badan yang semakin memberat.

Menyarung kasut hitam, seluar pendek dan baju-t Tolstoy dan hampir tanpa memori, aku menapak menuju pantai. Sebenarnya, ‘hampir tanpa memori’ itu, Lydia Davis yang ajar. Ketika kami bercanda dua hari ini di Pantai Cenang dan Andaman. Aku seperti menyukai idea itu. “Apa yang kau tahu tak penting. Tetapi, apa yang kau ingat adalah kepedihan yang panjang, walaupun ia perkara yang indah-indah,” katanya ketika kaki kami bersilang menunggu pergerakkan seterusnya malam kelmarin di lobi hotel.

Waktu pagi di tepi pantai yang panjang, itu adalah ketikanya kesyahduan menghempas laut. Aku berjalan. Jam ditangan kiri. Sebuah buku di tangan kanan dan selepas itu aku tak dapat menahan diri. Aku mula berlari, ke hujung paling kiri pantai yang memukau. 100 meter sebelum tiba di pasir selut hujung sana, hujan turun menimpa. Dan perasaan aku serta merta bertukar aneh.

Bot-bot kecil yang awalnya menyeberang laut, kini hilang. Hujan sekejap itu jadi lebat. Dan ketika aku menyedari realiti, aku terkepung kekosongan. Sedikit masa diperlukan untuk menganalisa keadaan. Aku mencecah gigi air, menghadap laut dan berdiri diam. Kali ketujuh mata dikebil, ada hal lain di depan. Seekor monyet muncul dari dalam gelora laut yang manja. Aku ingat monyet ini; ia yang membuat mimik muka, memerli aku semalam ketika aku menjinjit coklat bungkus kuning dan merah. Dan aku menyepaknya semalam, dari dalam kamar, ketika ia cuba-cuba menyelinap.

Kemudian, dibelakangnya, teman-teman lain muncul. Dan, di depan aku selepas beberapa saat yang pendek, satu koloni monyet sedang tegak terapung kepalanya melepasi gelombang yang ada. Aku tahu itu adalah ketikanya saat pembalasan dendam mengambil tempat.

Berpatah arah, berlari ke hujung paling kanan pantai. Dan mereka mengekor. Dalam keadaan senyap. Hanya kocak air saja yang tenggelam timbul antara bunyi hujan yang bermelodi.

Separuh jalan, aku kembali ke bilik, tanggalkan kasut dan mengambil benda yang koloni monyet itu mahukan; kerana aku yakin yang mereka memang menginginkan coklat-coklat semalam. Dengan dua warna itu – merah dan kuning – aku kembali ke pantai. Tak ada lagi jam, tak ada lagi buku. Hanya sehelai pakaian dan coklat-coklat untuk monyet. Hujan masih lebat ketika aku kembali menghadap laut menunggul, menunggu mereka timbul lagi.
Tak ada apa-apa. Dan aku mengambil keputusan untuk berlari lagi. Ingat, aku sedang marah dengan lemak-lemak di dalam badan, dan perhatian itu terganggu seketika oleh sekoloni monyet-monyet (dengan muka bengis), dari dalam laut.

Tak lama, aku merasa ada benda yang berlari sama, sedikit di belakang. Tiga ekor babi hutan. Binatang-bintang ini membontoti, dengan kelajuan yang semakin bertambah. Anehnya, aku ketawa dulu. Dengan kaki pendek, montel dan badan berbulu coklat-hitam, mereka bersungguh bersenam sama.

Tetapi taringnya berbisa. Peha aku ditoreh, coklat ada yang dibawa lari. Itu mengesahkan sesuatu kerana sebelumnya, dilandai pasir pantai pagi itu, aku terlihat tapak kaki babi-babi hutan ini berbekas. Aku kira, malam tadi mungkin mereka kemari, meminum air laut masin untuk lebih tenaga sebelum berkencan bersama pasangan masing-masing, seperti mana orang-orang meneguk arak, menghadap laut gelap pada malam panjang ketika rembulan hilang sebelum kembali ke bilik dan berurusan dengan nafsu.

Aku kini terdampar, separuh badan di dalam air. Babi-babi hilang. Monyet-monyet kembali ke atas pokok. Aku hanya mampu menikmati rasa lemak-lemak coklat yang tersisa dalam poket, yang sudah diracun masin laut.

Aku teringatkan Lydia lagi, walaupun dia tak menyuruh aku menyimpan apa-apa memori. “Kalau kau terserempak bekas-bekas tapak kaki babi, di dalam perjalanan-mu di mana pun, atau ditempat lain dalam mimpi-mimpi-mu atau di dalam perjalanan hidup-mu yang indah, jauhkan diri dari tempat dan kawanan itu.”

Terima kasih Lydia. Mata aku terpejam dan aku terbenam ke dasar laut yang indah, keindahan pagi yang diragut oleh monyet-monyet pendendam dan babi-babi hutan yang rakus.

Bernesankan memori kepedihan, fizikal dan ingatan.

– 1 November 2010, Langkawi.

Advertisements
106

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s