Pasar dan Estetika

(I)

Rak-rak buku lesu. Ruangan yang dihuni oleh penerbitan-penerbitan tempatan seperti hilang nyawa – bertahun-tahun, walau tak mahu diakui. Tak banyak, bukan tak ada, judul-judul yang kuat. Yang lain semuanya membontoti apa yang dipanggil trend. Penerbit-penerbit besar yang sudah punya nama pun, seperti yang pernah kita baca di dinding-dinding blog mereka, ada waktunya ke depan menjelaskan tindakan-tindakan dan keputusan penerbitan yang diambil.

‘Setiap judul yang diterbitkan menggunakan wang dari pinjaman bank. Maka, adalah penting untuk dipastikan bahawa setiap judul itu nanti boleh dijual, untuk menampung kos dan membayar hutang serta mengaut sedikit untung. Atas sebab ini juga, tak semua bentuk penulisan dapat diterbitkan – semudah kerana ia nanti tak boleh dijual.’ Mungkin, kamu juga pernah terserempak dengan pernyataan-pernyataan seperti ini.

Boleh jual. Tak boleh jual. Di sinilah pasar muncul. Sebuah ruang yang punya kuasa untuk membentuk dan merombak selera, terutama kepada khalayak konsumer yang tak suka perkara-perkara yang merunsingkan fikiran – seperti di Malaysia. Dan pasar juga boleh saja jadi penentu untuk membina kepercayaan baru.

Kerana boleh dijual, produk-produk penulisan ini nanti akan diyakini sebagai satu pencapaian dan kejayaan strategi kerana pasar telah ditakluk. Tetapi, seperti yang selalu kita saksikan di sini, kita kerap terlupa tentang satu perkataan; estetika. Memang, ini perkataan subjektif. Tetapi di sini, ia tetap mahu hadir dan menampakkan dirinya dalam apa saja bentuk yang tergambar di dalam kepala kamu ketika ini.

Penulisan misalnya tak akan bernyawa tanpa kehadiran satu sosok hantu yang namanya kesusasteraan. Kerana tanpa hantu ini, tulisan tidak akan hidup. Kontang. Dan, jika ini berlaku dan tetap saja tulisan-tulisan yang berkait itu dijulang, maka di sekitar kita sedang ada malapetaka yang menunggu.

Sekurang-kurangnya di Malaysia, pasar di mata penerbit-penerbit (juga ramai penulis-penulis sendiri) dilihat sebagai ruang yang sudah siap, dengan permintaan-permintaan yang tak akan berubah. Mereka hanya perlu berebut diruang sedia ada untuk terus kekal relevan – dari aspek kemampuan menjual kerja-kerja penulisan semestinya. Tak berani untuk mengeksploit pasar atau mencipta pasar baru, sedangkan mereka gergasi. Mungkin belum disedari, mereka sebenarnya gergasi yang terjatuh di dalam lubang hitam dan ditutup matanya.

Suatu ketika, di sebuah kamar malap ditengah-tengah Kuala Lumpur yang dihadiri khalayak yang berwarna-warni, sebuah perbincangan tentang buku yang berlangsung santai awalnya seperti akan tamat dengan kesepian. Walaupun rata-rata panelis lebih cenderung untuk membawa perbincangan agar lebih lebar berbanding lebih dalam, satu terma tiba-tiba berdengung dihujungnya. Ada orang menyebutkan ‘cultivation of a bad taste’. Atau boleh saja diistilahkan sebagai pemupukan citarasa buruk.

Citarasa buruk agaknya memang tak boleh lari dari kedua-dua perkara yang kita dengarkan diawal tadi; pasar dan estetika. Siapa yang menentukan citarasa ini? Lalu, ada orang melontar pandangan lain; jika dalam sebuah ruang demokrasi dan majoriti orang-orangnya memilih untuk menerima sesebuah citarasa itu dan menjadikannya establish, bukankah dalam situasi sebegini, waima citarasa buruk pun akan berubah menjadi sesuatu yang sebaliknya?

Di sinilah garis-garis halus menghadirkan diri, walaupun tak nampak dilihat. Ketika kita meletakkan pasar sebagai penentu mutlak citarasa, di dalam sifatnya yang sangat tegar kerana ada keselesaan agung yang dianut; keuntungan. Keyakinan ini tambah menyesakkan lagi apabila tidak ada lagi penawaran baru yang mahu dilontarkan untuk menguji kesediaan pasar, dan meyakini juga bahawa penawaran baru tidak lagi menjadi keperluan. Oleh kerana makanan tadi yang dihidangkan, walaupun tak sedap, tetapi menerima sambutan ramai, maka kita beranggapan tidak perlu diperkemas dan diubah ramuan masakan itu.

Selama mana kita mahu mempersembahkan kehodohan citarasa kita kepada orang lain? Lama mana lagi kita mahu membiarkan orang-orang yang membaca kerja-kerja penulisan daerah sini merasakan bahawa apa yang terhidang itulah kenikmatan paling dahsyat? Sedangkan, diluar sana, mungkin sejak beratus-ratus tahun dahulu, orang sudah mengenal karya-karya klasik kita yang rencam dan jauh lebih baik.

Masih tak boleh nak bangun lagi kerana mimpi-mimpi muluk dalam kepala yang besar?

(II)

Ruangan Sastera Mingguan Malaysia, selepas beberapa tahun ini rupa-rupanya masih sakit. Masih bergelumang di air cetek. Masih mengocak sedikit air di dalam cawan dengan kudrat yang tak sampai.

Artikel bertarikh 8 Ogos 2010 dengan judul ‘Peminggiran karya sastera Melayu’ tulisan Ahmad J. Hussein itu masih cuba mengukuhkan keyakinan penerbit serta penulisnya terhadap corong pengamatan yang bermasalah. Sebagai tapak awal, cari tulisan berkenaan yang waktu ini mungkin masih tertempel di ruang internet.

Premis yang disorongkan mudah; sastera Melayu di Malaysia tidak mendapat sambutan di tempat sendiri. Tambah meresahkan penulisnya, sastera Indonesia pula tiba-tiba mendapat tempat dan digilai, terutama sentral subjek yang diserang, iaitu novel Islam gaya Habiburrahman El- Shirazy dan ‘kelucahan’ novel-novel Ayu Utami. Menurut penulisnya, hasil-hasil yang disebutkan itu tidaklah sehebat mana.

Ada beberapa kekeliruan dan kekaburan pada penulis ini yang memerlukan hambatan yang cemas dan keras dalam kadar segera. Pertama, lihat cara dia berkomentar tentang novel-novel Habiburrahman (sekadar makluman, nama Habiburrahman juga tak mampu disebut di dalam tulisan itu, hanya dua judul novelnya saja terpampang). Ini antara yang disebutkan:

“Saya hanya menonton filem Ayat-Ayat Cinta yang ditayang di televisyen. Saya dapati tidak ada apa yang hebatnya dengan karya itu. Di antara beberapa episod yang menyentuh tentang keagamaan (Islam) hanyalah tentang keikhlasan watak protagonis menyelamatkan seorang wanita dari menjadi mangsa dera. Selain dari itu keikhlasan seorang isteri yang membenarkan suaminya berkahwin dengan seorang perempuan yang sedang terlantar sakit.”

Dosa paling besar penulisnya di sini adalah kerana dia membuat lelucon ditempat yang salah. Bayangkan, dia mahu membicarakan perihal kesusasteraan. Tetapi, dia sendiri tidak membaca teks novel berkenaan dan hanya ‘menonton’ adaptasi teks berkenaan dalam format visual filem. Intimasi dan intensiti teks dan kesan visual adalah dua perkara berbeza. Bagaimana seorang penulis yang berkobar-kobar mahu mempertahankan kesusasteraan Melayu daripada henyakkan sastera Indonesia menjadi begitu emosi dan tidak memahami tentang perkara penting ini? Kita tak boleh marah jika ada orang membaca artikel berkenaan dan berterusan ketawa terbahak-bahak sampai ayat terakhir. Adoi!

Disebabkan dosa besar kerana tidak membaca teks novel berkenaan, dia sekali lagi membuat pernyataan yang goyah melulu, tentang aspek Islam seperti yang dinyatakan tadi. Tahukah kamu wahai Tuan, perempuan yang terlantar dan dikahwini oleh sang watak utamanya itu adalah seorang Kristian Koptik? Dan, tidakkah kamu merasa hairan kerana ketika si lelaki ‘mengahwini’ wanita di atas katil sakit itu, dia tidak menunjukkan sebarang kejanggalan atau kekhuatiran bahawa tindakan itu akan mengundang kemurkaan Tuhan hanya kerana si wanita tadi tidak ‘memeluk Islam’ tetapi tetap mengakui ke-Esaan Allah yang satu.

Lelaki itu juga, sebelum nafas terakhir si wanita sakit dihembus, sempat berdoa dan sembahyang memohon dari Allah akan kesejahteraan wanita Koptik itu. Tidakkah kamu nampak hikmah yang cuba disampaikan oleh penulis novel itu? Islam meraikan perbezaan, Islam menuntut umatnya supaya berlapang dada dan tidak emosi dalam beragama. Tidakkah kamu nampak? Oh, kerana Tuan tidak membaca, maka tak apalah. Mungkin boleh dimaafkan. Kerana, diantara babak-babak (bukan episod, ya!) yang dilakonkan, ada semangat dan ketegangan teks novel berkenaan yang sudah hilang dan tak dapat dinikmati di kaca tv.

Tentang Ayu Utami pula, penulisnya sekali lagi menampakkan sisi dangkalnya dan terus menghukum tanpa berani dihujahkan dahulu. Dia menulis ini:

“Tetapi, selepas 1990-an, karya kesusasteraan Indonesia tidak hebat lagi. Ia hanya digemparkan sebentar dengan kelahiran novel-novel lucah dari Ayu Utami.”

Bertambah jelas kesakitan yang disengsarai oleh penulis artikel berkenaan. Dia langsung tidak menyebut novel Ayu yang mana sedang dirujuk dan direnyuk. Dan, bahagian kelucahan mana yang sedang mahu dikecam? Dengan itu, kita boleh saja menyimpulkan bahawa dia hanya mendengar tentang ‘kelucahan’ itu, tanpa ada rasa tanggung jawab untuk membacanya.

Jika belum tahu, di sini biar diberi tahu. Ada garis-garis nipis yang merentangi antara kelucahan-pornografi dan hal-hal erotis. Yang erotis belum tentu lagi akan jatuh jadi lucah atau porno. Eroticism diceritakan dalam nada yang lebih sensual, ditabiri oleh perkataan tegang dan memang pembaca boleh saja melangkaui semua itu dengan imajinasi sendiri. Jika yang ditulis itu hanya sekadar ‘dua lidah hangat sedang bertaut di dalam rongga basah’ dan pembaca sudah membayangkan aksi seks, itu bukan masalah yang menulis. Itu adalah masalah integriti keinginan syahwat dan kegelojohan imajinasi yang membaca.

Jika mahu tahu lebih lanjut tentang erotika, George Bataille ada menulis di dalam bukunya yang berjudul Eroticism. Cari dan baca. Jangan malas.

Memang sesuailah pandangan-pandangan seperti ini berkampung di dalam akhbar seperti Mingguan Malaysia. Kerana, diruang lain, tulisan-tulisan seperti ini tidak akan mendapat tempat lagi kerana orang tak sampai hati untuk membacanya.

Ada novel-novel tempatan yang dibandingkan di dalam artikel Ahmad J. Hussein itu. Yang selalu disebut adalah novel-novel Fatimah Busu; Salam Maria dan The Missing Piece I & II. Entah kenapa, novel-novel ini tidak dikenali ramai ditempat sendiri. Pasti ada yang tak kena.

Namun, anggapan bahawa novel Indonesia tadi berjaya menggamit perhatian ramai kerana dihadirkan perkataan ‘cinta’ pada judulnya adalah satu pandangan yang terkebelakang. Kerana, kalau kamu membacanya dan berfikir, maka akan terserlah kekuatan-kekuatan yang ada; gaya bahasa yang intens, penghujahan kejadian yang bijak dan tidak mengangkat diri sendiri kononnya seperti malaikat sedang berbicara di dalam novel – dengan bahasa dan cara yang melelahkan.

Dengan ini juga, khalayak pembaca Malaysia sudah punya alasan yang cemas untuk mula membaca novel-novel Fatimah Busu yang tentunya menurut artikel berkenaan, jauh lebih Islamik daripada Ayat-Ayat Cinta. Tetapi, mana nak cari novel-novel itu?

Kepada yang masih membaca sehingga ke ayat ini, bukankah kita baru saja membincangkan dengan ringkas tentang satu sisi permasalahan estetika di dalam kesusasteraan?

(III)

Sebelas tahun yang penuh kegilaan. Sebelas tahun yang membuatkan seorang anak perempuan kecil kebingungan emosi; “kenapa ayah menulis sebuah buku yang tak pernah ada penghujung?” 1998, penerbit Farrar, Straus and Giroux sebelum membuat pengumuman tentang novel baru yang bakal diterbitkan, menaikkan jumlah cetakan judul berkenaan kepada 1.2 juta salinan. Bulan November tahun sama, novel Tom Wolfe, A Man In Full menjengah pasar Amerika dan sekitarnya. Serta-merta ia menimbulkan polemik kesusasteraan baru yang tegang dan beremosi ralat. Jutaan salinan terjual, tetapi tetap ada perkara lain yang menyumbang kepada populariti penulis itu serta novelnya. Tiga gergasi kesusasteraan Amerika – yang waktu itu dikira tradisional dan dari kelompok lanjut usia oleh Wolfe – menyerangnya habis-habisan. Mereka adalah John Updike, Norman Mailer dan John Irving. Daripada ulasan enam-muka di The New York Review of Books hingga kepada rancangan bual bicara di layar televisyen Kanada, Wolfe dikecam. Tetapi penulis ini tak terduduk dengan hentaman yang ditujukan kepadanya. Kerana, yang menjadi perbalahan kelompok tua itu adalah bagi mereka, novel terbaru Wolfe ketika itu tidak boleh ditanggapi sebagai sebuah novel sastera, tetapi lebih kepada sebuah novel jurnalistik dan ‘mega-bestseller’ semata. Ironinya, novel yang menurut Wolfe merupakan novel realistik yang intens itu dihadirkan sebagai menandakan ketibaan bentuk baru kesusasteraan hujung abad ke-20 dan permulaan abad ke-21, tetap mendapat sambutan luar biasa. Wolfe diangkat ke muka depan majalah TIME dan novel berkenaan diulang cetak. Dengan melanggar norma-norma kesusasteraan yang eksklusif, Wolfe membuktikan, kalau kamu mahu memerah otak, tenaga, masa dan wang untuk menghasilkan satu kerja penulisan sastera yang baik dan segar, kamu memang boleh melakukannya – sekaligus mencipta pasar baru yang lebih drastik dan ghairah untuk novel dengan genre aneh seperti yang ada pada A Man In Full. Wolfe menulis panjang lebar berkenaan hal ini di dalam sebuah esei penuh kontroversi sebagai jawapan balasnya kepada tiga pengkritiknya itu, dengan judul ‘My Three Stooges’, yang turut termuat di dalam buku himpunan esei dan fiksyen Hooking Up.

– 1 September 2010, Kerinchi.

Advertisements
Pasar dan Estetika

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s