Sastera Dinding Dewan

Dewan-SasteraSaya selalu gagal menentukan perasaan; sama ada untuk berasa sedih atau ingin ketawa ketika duduk di dalam kesendirian di warung makan yang riuh, selalunya di Lucky Garden, sambil membelek Dewan Sastera. Mujur ini tidak saya lakukan dengan kerap. Hanya ketika waktu-waktu yang didorong oleh naluri ingin tahu yang datang berziarah untuk meninjau apa yang terhidang di antara lembar-lembar kertas majalah berkenaan. Untuk itu, hampir setiap kali kitaran ini mengambil tempat, saya akan ditinggalkan dalam keadaan yang sebal sepanjang malam; sesekali sempat juga mengajak Suri untuk mendengar sama bebelan saya yang tak difahaminya.

Adakala, yang terpancar di mata saya hanyalah betapa kecilnya jiwa yang terkandung di dalam kebanyakan tulisan-tulisan yang ada; sebagai contoh di sini – juga sekiranya ingatan saya tidak berbohong – saya merujuk kepada tulisan Salman Sulaiman, yang terbit entah dalam isu yang mana (maaf kerana tak berminat untuk mengingat), yang bercerita tentang pengalaman dia ke Indonesia untuk seminar atau bengkel Mastera. Dari awal, dia hanya bercerita tentang betapa kecil dirinya. Dan ini saya harap pada mulanya bahawa tanggapan sayalah yang tersilap.

Tetapi, melurut jauh lagi ke dalam tulisan itu, dia berjaya membuat saya untuk percaya bahawa jiwanya betul-betul kerdil; misalnya, seperti yang dicatatkan ketika pertemuan bersama Joko Pinurbo di program berkenaan, dia hanya bercerita tentang betapa rugi dirasakan kerana dia tertinggal buku himpunan sajak Jokpin (entahkan di kamar atau di Malaysia). Kerana, menurutnya, kalau dia membawa buku tersebut, bolehlah dia meminta Jokpin menurunkan tandatangan. Memang, hal ini tidak salah.

Tetapi, sekadar itu sajalah tahap yang mampu dia padukan tenaganya untuk bertempur dengan tulisan yang digarap itu. Tak ada cerita lain lagi yang boleh diceritakan. Rupa-rupanya dia hanya kepingin untuk berkongsi getus sensasi yang dirasakannya (misalnya ketika bertemu idola), dan bukan isinya (kerana mungkin isinya memang tak ada?). Dan daripada tulisan itu, saya membayangkan dia duduk dan tersipu-sipu malu di samping Jokpin. Saya cukup hairan dengan pe’el yang sebegini. Mengapa tak ada diajak Jokpin itu untuk duduk dan berbincang tentang sajak, tentang pandangan-pandangannya berkaitan lapangan itu, baik setempat atau antarabangsa? Apa idea baru sang Jokpin yang diusia matang tentang perpuisian, misalnya? Tentang sejarah perkembangan sajak, tentang pertentangan di dalam sajak atau apa-apa sajalah yang lebih berguna untuk diceritakan kepada orang?

Saya betul-betul tak mampu untuk memahami perkara begini. Kamu dihantar untuk ‘mewakili’ Malaysia dalam berbengkel sastera, dan kemudian diminta untuk menuliskan pengalaman di sana, malangnya hal-hal begini saja yang mampu disampaikan? Apa kebaikan agaknya yang dapat diserap oleh pembaca-peminat muda sastera di sini, yang tak ada rujukan lain lagi sebagai sumber pengetahuan tentang sastera selain Dewan Sastera? (Di sini saya berharap – sekali lagi – bahawa saya silap; kerana ini zaman Internet, kalau kamu terlupa.)

Bayangkan, jika orang-orang begini sempat bersua muka (walau dalam mimpi) dengan pengarang atau penyair besar dunia, contohkan saja J.M. Coetzee, Marquez, Neruda, Brodsky, Szymborska dan Kundera, sekadar menyebut beberapa nama. Mungkin mereka pitam dan berdoa untuk tidak lagi disedarkan daripada mimpi itu, agar mereka boleh mencari peluang untuk bergambar bersama di sisi pengarang-pengarang ini. Mengapa sampai begitu sekali parahnya?

Gambar-1Kemudian, di dalam suasana yang sama di warung makan itu dalam minggu-minggu terakhir ini, saya tersedak lagi. Kali ini oleh tulisan Kemala, seorang yang menerima gelar Sasterawan Negara, yang disertakan di dalam isu Bil. 2 2014 – dengan judul besar Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 (Gambar 1). Saya membaca perenggan itu dengan perlahan, yang disudahi dengan perasaan kebas yang sangat aneh; saya tertanya-tanya bagaimana orang yang dengan gelar begitu masih menulis secara tidak bertanggungjawab. Mengapa, kamu bertanya? Baca betul-betul perenggan berkenaan. Bagaimana dia di dalam tulisan ini, mencemuh orang lain dengan kata ‘jahil’ tanpa menyertakan penjelasan walau satu pun? Kejahilan yang seperti apa yang sedang dimaksudkan? Di dalam kes ini, kata itu ditujukannya kepada Kassim Ahmad. Ketika ia seolah-olah berbunyi seperti ingin membincangkan tentang gaya puisi yang ‘kehilangan makna tauhid’ itu, pembaca yang membaca dengan akal sebenarnya sedang ingin dihempaskan ke dinding; dia tidak sedikit pun berhasrat untuk menjelaskan perihal berkenaan – tidak langsung berusaha untuk menyatakan baris puisi mana yang sedang ditempelak itu; sebaliknya memetik beberapa sajak lain sebagai contoh pada berikutnya.

Begitu juga, tambah absurd, dia menyatakan tentang ‘jalan taubat Nasuha’ yang didakwanya sudah ditemui oleh Kassim untuk kembali ke jalan lurus (dengan kemudian naik Haji). Kecekapan Kemala menghakimi orang lain seperti ini sangat-sangat saya kagumi; kerana saya tak fikir ada orang lain mampu berbuat demikian. Atau saya silap, mungkin juga terlalu ramai yang sudah menggalas rol seperti ini disekeliling kita, terutama dari kelompok yang menggelar diri dengan nama ‘sastera’. Bayangkan kegilaan ini; iman seseorang, serta apa pun yang dikerjakan untuk tujuan dinilai Tuhannya, di mata Kemala sudah dapat ditentu-sahkan dan diukur hanya daripada gaya puisi atau bersastera sahaja. Fantastic!

Soalan saya sederhana saja; bagaimana seorang individu boleh dengan yakin dan lepas mengetahui tentang taubat individu lain? Taubat, apa lagi ketika merujuk taubat Nasuha, adalah ‘rahsia’ antara seseorang itu dengan Penciptanya dan tak ada yang lain. Jadi, cuba fikirkan, watak seperti apa yang suka-suka menempel ditengah-tengah antara Tuhan dan manusia itu dan merasakan tahu tentang dosa dan taubat orang, sedangkan neraca untuk diri kita sendiri saja kita tak tahu? Hal-hal seperti ini tidak memerlukan orang ketiga, hadir untuk menangguk imej Tuhan dan menampakkan diri soleh. Ini, untuk saya, sangat berlebih-lebihan dan tidak bertanggungjawab.

Adakah ini idea yang bersarang di dalam sastera umum Malaysia dan disorong ke depan untuk dianut; keghairahan untuk menunjuk-nunjukkan atau menjadi kayu ukur kepada tingkat keimanan seseorang melalui teks sastera? Saya fikir sudah tiba masa kita sebagai manusia untuk sedar diri dan tidak mencampuri urusan yang bukan urusan kita, apa lagi jika urusan itu adalah urusan yang Maha Esa. Kerana apa, kamu bertanya lagi? Mudah, kawan. Kita sendiri saja tidak terlepas daripada diadili dan dinilai, tetapi bukan oleh kamu atau saya atau siapa-siapa, melainkan yang berhak ke atas kewujudan kita ini – Sang Pencipta yang menaungi semua makhluknya.

Bagaimana tulisan sambil-lewa seperti ini boleh datang dari seorang dengan gelar Sasterawan Negara, tidak saya dapat menduga. Ketika ia boleh dilepas untuk dicetak juga tidak dapat saya fahami. Mungkin orang tersilau dengan gelarnya, saya tak tahu. Ini bukanlah soal sosok, baik Kassim Ahmad atau Kemala, tetapi saya melihat ini sebagai sesuatu yang sangat luar biasa peliknya; untuk meletakkan ukuran iman itu serendah tahap orang berpuisi atau bersastera saja sudah sangat menjengkelkan. Kalau kamu beranggapan sastera itu semacam penyelamat, semoga berbahagialah. Sastera terbit dari celah-celah kegusaran manusia dan akan sentiasa berada di dalam lingkaran itu untuk kamu merasa getarnya. Ia tidak pernah bermaksud untuk menjadi teks suci atau bermetamorfosis menjadi kitab-kitab keimanan. Kerana apa, kamu bertanya lagi dan lagi? Kerana yang mengerjakannya adalah manusia.

Beberapa hari selepas itu, entah untuk petunjuk apa agaknya, saya bertemu dengan kumpulan puisi Kemala, yang memenangi Hadiah Sastera Perdana 1998/1999, judulnya Mim. Saya terus teringatkan kolum sasteranya itu, yang berbicara tentang Puisi Melayu Dalam Wadah Islam yang membincangkan sajak atau puisi dengan berselerak dan tak tertumpu. Saya fikir, mungkin dengan Mim ini dia dapat menunjukkan kepada pembaca seperti saya apa maksud sajak untuk dirinya; kerana ini sajak yang dia tulis sendiri, tentulah boleh saja jika ingin dianggap sebagai sebuah manifesto atau kredo persajakkan Kemala. Maka, saya menyelak pada malam hari. Dengan rasa yang neutral dan mempersiapkan diri untuk kejutan-kejutan yang mungkin ada – saya benar-benar mengganggap bahawa sajak yang dihasilkannya begitu padu. Saya berharap bahawa akan ada kekuatan yang menarik tentang sajaknya, yang pada kebiasaannya, memang susah untuk dijelaskan di dalam sebuah esei atau prosa.

Dan, sekejap itu saya memang terkejut. Bukan kerana betapa tegang nuansa dan emosi sajak yang dihasilkan, tetapi sebaliknya kerana yang dihidangkan adalah betapa longgarnya kemampuan sajak-sajak yang ada, menurut pandangan saya tentunya. Saya tak ingin mengulas banyak tentang perkara ini, kerana sememangnya tak ada apa-apa untuk dibicarakan. Saya petik sebahagian daripada sebuah sajak yang terawal singgah dan saya baca, yang berhasil membuatkan saya terus berasa jemu dan kecewa (Gambar 2) dan tanpa rasa bersalah terus menutup buku nipis itu.

Gambar-2
Sedikit tentang bait berkenaan, sekadar untuk menjelaskan mengapa saya fikir baris-baris itu bukan sajak yang baik. Itu dipetik dari baris pembuka sebuah sajak yang diberi judul Mim Tiga Puluh Lima. Baris-baris awal itu begitu terang, menjelaskan dirinya sendiri dan tidak mengandung apa-apa getus rasa yang wajar untuk disebut sebagai sajak mungkin. Tidak payah membaca sajak ini pun kita sudah mengetahui bahawa Tokyo itu memang sibuk, orang-orangnya bersigegas, tanpa perlu kita untuk pernah berada ditengah kota itu, sebagai contoh.

Ramai orang bersicepatan dengan jadual dan acara; adakah baris itu dirasakan begitu asing untuk sebuah motropolitan besar seperti Tokyo? Jadi, ini sajak apa? Ya, saya memang tidak berlaku adil kerana memetik hanya cebisan potongan sajak yang tidak menyeluruh daripada kumpulan itu. Tetapi saya punya alasan sendiri dan hanya untuk satu sebab; saya tak mampu lagi membaca atau membincangkan sajak-sajak lain, yang bernada sama yang terasa seperti ingin menghumban saya ke dinding, untuk kali kedua jika saya berbicara lebih panjang mengenainya.

Bukan maksud saya untuk memperkecilkan orang, tetapi, sebaliknya memang maksud saya untuk mempertanyakan semua hal ini sebagai sesuatu yang sangat objektif. Saya fikir sudah terlalu jauh kita ditinggalkan di punggung kesusasteraan dunia untuk kita terus berpura-pura dan perbuatan berbangga diri walaupun dalam keadaan sebegini adalah sesuatu yang memalukan. Saya berasa sedih mungkin kerana memikirkan tentang pembaca-pembacanya, yang setia saban tahun, dan menganggap Dewan Sastera inilah satu-satunya bacaan tentang sastera yang mampu membuatkan mereka faham tentang sastera. Untuk berlaku adil, sebahagian daripada pernyataan sebegini mungkin betul, tetapi saya masih ingin percaya bahawa terlalu banyak yang boleh dilakukan, dan terlalu banyak juga hal-hal yang menghambat orang untuk terus lari jauh dari sastera kerananya. Sastera ini tempatnya untuk beradu kepelbagaian, dan perlu dicambahkan, bukan disempitkan. Tambah pula, ia diterbitkan menggunakan peruntukan besar kerajaan. Jadi, kamu faham maksud saya. Ini soal amanah. Kalau diterbitkan dengan duit sendiri, itu cerita lain.

P/S: Oh ya, permintaan saya yang sederhana juga; kalau boleh, tolong buat baca pruf dengan kemas dan bersungguh sebelum masuk cetak. Jangan seperti di dalam Bil. 12 2013, terlalu banyak silap tampal ‘quote’ dari depan sampai belakang dan iklan yang tersalah taip tahunnya. Itu menjadi seperti bahan ketawa dan tepuk dahi. Faham maksud saya? – 22 Februari 2014.

Advertisements
Sastera Dinding Dewan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s