Kabin

Rumah-Tinggal

Aku akan duduk menghadap akhbar setiap hari untuk membaca berita-berita tentang diri aku sendiri. Setiap hari, untuk beberapa bulan kebelakangan ini, tentang perjalanan kes aku di mahkamah. Selalunya di waktu bagi, dengan sebotol Coke, atau mungkin barang kunyahan yang tak terlalu memenatkan. Kerana aku gemar untuk memberi tumpuan penuh – dan dalam masa sama, membiarkan diri terhibur.

Aku disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang perempuan, lama dulu. Sehingga hari ini mahkamah belum tahu hukuman apa yang perlu dijatuhkan terhadap aku. Dan ini bahagian yang paling menarik; sepanjang tempoh itu sebenarnya bukan aku yang berulang-alik ke mahkamah. Memang, nama aku yang disebut selalu, sebagai yang di dakwa, sebagai yang bersalah. Aku tak pernah kisah tentang itu. Ketika kau membaca cerita ini, nama aku bukan lagi seperti nama yang dulu itu.

Dari awal, itu sebab tak ada siapa yang pernah melihat wajah aku, wajah individu sebenar yang dituduh biar dalam akhbar atau tv. Orang hanya perlu tahu, bahawa sebuah pendakwaan sedang berjalan – kerana kes itu berprofil tinggi – dan itu perlu untuk meredakan sedikit keadaan. Biar aku beri tahu sekarang; orang yang selalu imej dan sosoknya terpampang di akhbar yang dipaksa menjadi aku itu sebenarnya bukan seorang, tetapi beberapa orang.

Aku tak ada maklumat banyak, tetapi satu perkara yang pasti, orang-orang itu bukan aku. Itu bukan orang yang disangka membunuh seorang perempuan dan sedang berhadapan dengan kegetiran memuncak di hadapan hukuman mati. Kerana orang sebenar yang disangka itu sedang menikmati hari-harinya dengan indah; duit tebal dengan kebebasan paling agung di perosok tempat yang tak ramai orang menghiraukan apa yang berlaku di dalam negara ini.

Amat lucu untuk membaca laporan-laporan yang ada di akhbar. Aku tak fikir wartawan membuat kerja mereka dengan baik. Hakim? Entah apa yang sedang mereka fikirkan. Entah siapa yang sedang mengaturkan jalan keluar untuk watak-watak yang terperangkap itu. Kerana mereka tidak boleh dihukum, sebab bukan mereka yang melakukan dosa itu. Tetapi mereka tetap perlu dilayak untuk dipertayang kepada umum, untuk memperoleh persetujuan ramai biar orang percaya, proses pengadilan sedang mengambil tempat. Kasihan semua orang yang terpaksa membersihkan kotoran yang aku lakukan. Siapa yang mengatakan bahawa motif bukan perkara penting bagi kes pembunuhan itu? Aku sangat gembira.

Aku suka media tempatan. Untuk orang seperti aku, yang berdosa tetapi tidak merasa bersalah dan tak mengerti apa yang disebut keinsafan, media utama adalah kawan. Walaupun kami tak pernah berjumpa, walaupun aku tak pernah meminta bantuan mereka. Tetapi mereka baik hati. Mereka tak faham apa itu amanah. Apa lagi keperluan untuk mencari sumber-sumber kebenaran (hal ini, kalau aku tak silap, ada dianjurkan dari kalangan orang sastera). Tak kisahlah. Kau pun sama, belum tentu kau peduli tentang semua ini, bukan? Hidup terapung dan bermimpi, tak tahu nak ke mana.

Aku tahu untuk apa aku hidup. Dan, sekurang-kurangnya ketika ini, mimpi paling besar aku sudah tergapai. Aku ingin hidup mudah; mendapat wang mudah dan melakukan kerja mudah. Dan itu yang aku lakukan. Tugasan terakhir aku setakat ini adalah cerita yang sedang kau tonton di kaca tv dan dada akhbar tempatan. Itu yang paling memuaskan keinginan aku. Dan wang yang diperoleh membolehkan aku untuk lesap dan menjadi orang baru – seperti sekarang.

Cuma, aku masih memilih Malaysia, yang orangnya masih ramai yang acuh tak acuh tentang gambaran besar tentang peranan sebuah negara. Eloklah kalau ramai yang masih gemar membaca buku-buku motivasi penaik semangat (katanya) dan novel-novel lembik, kerana itu petunjuk yang sangat baik untuk orang-orang seperti aku; mereka belum bersedia untuk berpisah dengan hingus cair dan menyarung citra diri yang lebih agung. Kau tak perlu menilai aku ketika ini, kerana aku menganut nilai-nilai yang tak sama dengan apa yang kau faham.

Kau bertanya siapa yang mengarahkan aku untuk membunuh? Haha. Kawan, aku tak akan menjawab soalan itu. Tetapi, kalau kau tak kisah, aku ingin bercerita bagaimana aku melakukannya. Dan, kalau ditakdirkan hanya kau yang pernah membaca tulisan ini, maka simpanlah. Dan, kalau kau tahu aku barangkali sudah mati nanti, terbitkanlah ia untuk diedarkan. Letakkan tanda ‘Memoir’ pada sampul belakang buku itu nanti. Boleh?

Pada malam aku menerima panggilan itu (kau tak perlu tahu daripada siapa, hanya satu nombor yang boleh dijejak, tetapi bukan orang itu yang duduk dikerusi paling tinggi dalam cerita ini), hujan turun dengan lebat. Seperti langit sedang menangis, seperti alam sedang meratapi apa yang sekejap nanti bakal terjadi. Aku tiba di pagar rumah itu dengan baju hujan berlitup kepada. Kerata Audi itu aku biarkan enjinnya tak mati. Dari dalam, satu-dua orang sedang mengusung sebatang tubuh – yang tak melawan – dan datang kearah aku. Seperti yang aku bicarakan, satu panggilan, dan tak ada soalan yang akan aku tanya untuk setiap apa pun itu.

Dialah perempuan yang kini kau tahu sudah mati itu. Berkulit putih manis dengan mata sayu. Aku tak tahu apa yang berlaku kepadanya di dalam rumah berkenaan, tetapi aku perlu membawanya ke sebuah belukar yang jauh dari hiruk-pikuk kota dan ke sebuah kabin lama. Dia cantik. Aku memandu dengan tenang, dan pada mulanya aku agak khuatir, kerana perempuan itu juga tenang-tenang saja. Aku tak berbual langsung dengan dia, dan dia juga tak menunjukkan gerak-geri untuk melarikan diri atau apa-apa. Hanya duduk diam-diam. 45 minit di dalam kereta dengan kesejukan, aku mula berjalan kaki memasuki belukar itu, menolaknya untuk berjalan di depan, meninggalkan kereta aku di sebalik rimbunan pohon-pohon yang ada.

2.3 kilometer berjalan menuju kabin, ketika berdua-duan dengan perempuan itu, aku menyedari sesuatu; pada belakangnya ada tertulis sesuatu. Aku perasan kerana bahagian belakangnya terdedah dari kain baju yang jarang, dan seperti ada tulisan pada bahagian itu yang disebabkan darah beku pada pigmen kulit – yang ketika itu aku belum tahu bahawa ia adalah nota yang sengaja ditinggalkan untuk aku. Lewat sekejap selepas itu baru satu SMS masuk ke kantung telefon; “Arahan ada dibelakang badannya.”

Di dalam kabin, aku mengarah dia untuk duduk di kerusi kayu. Aku duduk juga, di depannya, dan merenung ke dalam mata cantik itu. Aku keluarkan telefon, dan menunjukkan SMS yang tadi aku terima. “Silakan.” Itu saja yang keluar dari mulutnya. Kau tahu apa yang tertulis? Dengan kesan darah beku pada kulit, yang ditinggalkan adalah ayat ini; “Habisi aku.”

Aku memegang sebentar bahagian belakang tubuhnya (tanpa aku sedari, sebuah sentuhan yang meremangkan roma). Dia sedikit mengeluh kesakitan, pada tempat-tempatnya. Aku tak tahu kalau-kalau tubuhnya sudah ditaruh dengan dadah awal tadi. Tetapi dia tak khayal. Dia membiarkan juga aku mengelus kulit yang sakit dibahagian belakang tubuhnya itu. “Kalau kau terpaksa membunuh aku, izinkan aku membuat beberapa permintaan.” Tiba-tiba dia berkata begitu, ketika tangan aku baru ingin sampai pada bawah pinggulnya.

“Terserah,” aku membuka kata pertama kepadanya malam itu, “kalau permintaan-permintaan itu tidak keterlaluan.” ‘Keterlaluan’ yang aku maksudkan adalah sebarang permintaan ke atas nyawanya. Jika dia meminta aku untuk tidak membunuhnya, itu bukanlah satu pilihan yang ada ditangan dia atau aku. Kerana takdir sudah menguak dan menampakkan jalan di depan yang tak boleh dielak-elak. Dan aku bukan malaikat untuk menyucikan tangan sendiri.

Balasnya; “Pertama, aku mempunyai seorang bayi, yang aku yakin bapanya adalah orang di rumah tempat kau menjemput aku tadi. Aku hanya mahukan anak itu hidup, dengan wang belanja dari tuan yang mengarahkan kau. Selebihnya aku tak perlu melakukan apa-apa untuk menyatakan bahawa anak itu adalah anak dia. Biar anak ini nanti menjadi hantu yang akan muncul di dalam mimpi-mimpi malam basah sepanjang hayatnya selepas ini.” Perempuan itu diam seketika. Aku kembali duduk menghadapnya, menyaksikan raut wajahnya di dalam samar itu yang kembali bercahaya. Aku bertanya kalau-kalau dia ingin minum. Kerana, di dalam kabin berkenaan, aku siapkan peti sejuk.

Kau jangan hairan, aku terlalu arif tentang kabin ini, tempat biasanya aku akan bersunyi-sunyian seorang diri jika orang tidak memanggil aku dan aku tak perlu ke kota Kuala Lumpur untuk menambah semak di sana. Tetapi malam itu aku terasa seperti ingin memusnahkan kabin berkenaan, sudah sampai tarikh luput. Perempuan itu hanya diam. Kali ini mengalihkan mukanya memandang aku. Aku tak dapat membaca perasaannya, tetapi matanya tetap bersinar. “Aku tak tahu apa yang sedang kau bayangkan, tentang bagaimana kau ingin menamatkan riwayat aku, kalau aku tak salah.

Tetapi, satu lagi permintaan aku malam ini, tolong setubuhi aku dan selepas itu, terserah kepada kau sepenuhnya apa yang ingin kau lakukan,” suaranya lembut tetapi menggoncangkan. “Sekurang-kurangnya aku seperti kau, mampu berasa gembira, walau untuk yang terakhir kali.” Dari kesamaran itu aku seperti melihat dia mengukir senyum kecil pada bibir.

Aku tak menunggu lama. Melihat kulitnya saja kau juga tak akan dapat menahan. Dia seperti syaitan yang mendorong untuk melakukan kejahatan. Dan untuk aku, aku memang tak perlukan dorongan untuk hal-hal seperti itu. Tangannya yang tadi lepas aku ikatkan (kerana dia berbisik meminta begitu) pada kerusi. Perlahan aku lepaskan butang baju yang dibelakang, menampakkan alur tulang yang pasti menggetarkan hati-hati yang rawan. Aku bertanyakan sama ada dia mahu aku lucutkan juga coli, tetapi dia tak benarkan. Aku hanya mengintai pada sisi lengannya untuk mencuri pandang buah dadanya yang mekar (walau ketika itu aku tahu ia sudah banyak bekas tangan).

Dia berdiri dan melentur badan, aku melepaskan lagi butang-butangnya, kali ini untuk seluar. Dan, seperti yang dipinta, aku memeriksa setiap ruang tubuh itu dengan tangan, dan aku fikir, kalau pun aku buta, aku tetap akan dapat melihat kecantikannya malam itu dengan penuh berahi. Sampai sini saja. Maaf, aku tak akan menceritakan selebihnya apa yang berlaku dalam aksi itu, terlalu peribadi dan aku tetap menghormati orang yang sudah mati.

Ditangan aku malam itu, ketika dia sedang terduduk tanpa sebarang alas pada tubuh, nyawanya terbang. Dari belakang, selepas dia mengucapkan ‘terima kasih’, aku menghempaskan kepalanya dengan sebongkah kayu berat. Menghambur darahnya ke merata tempat, tetapi tak ada setitik pun yang singgah pada tubuh aku. Aku anggap itu sebagai tanda dia sudah memaafkan aku (kerana aku juga sudah melunaskan permintaannya yang satu itu). Aku tak sampai hati untuk mengerat dan melumatkan tubuh cantiknya. Aku pikul tubuh longlai itu, letakkan diatas para api di atas kayu-kayu kering di luar dan membakarnya. Dengan sedikit doa, tentunya.

Dan kemudian membakar sekali kabin berkenaan. Aku tak ingin teringatkan lagi tentang peti sejuk, sebangku kerusi dan seorang perempuan cantik dalam lamunan yang berkecamuk dengan perasaan bersalah – yang memang kadang-kadang hadir menyerang, walaupun aku cuba nafikan. Aku berharap tak ada orang yang sedar ada api yang sedang membakar panas ditengah hutan malam itu.

Aku keluar dari situ dan lenyap. Akaun bank dalam masa dua mint sudah dipenuhi dengan angka-angka nafsu. Dan aku hilang. Memang betul-betul hilang, sehinggakan tukang upah itu juga tak tahu di mana aku berada. Cuma, aku terbayang pesan pertama perempuan cantik yang baru aku bunuh awal tadi; tentang anaknya dan permintaannya terhadap tuntutan nafkah buat anak kecil itu. Buat masa ini, aku hanya ingin membiarkan anak itu menjadi mimpi ngeri buat sesiapa juga yang sudah membuntingkan ibunya itu dulu. Dan perempuan itu begitu yakin lelaki yang membenihkan zuriat dari perutnya itu berasal dari Malaysia.

Dan kau, sudah aku khabarkan. Jangan lagi percaya akhbar yang diterbitkan. Jangan lagi tundukkan pengetahuan kau pada kotak tv, dengan siaran-siaran lemau kebanyakannya. Kau pasti bersetuju bukan, dari dua media itu, cerita semenarik ini tak akan pernah terpapar? – 8 Mac 2012.

Advertisements
Kabin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s