Malam, Di Meja Tempat Kau Terlentok

Cahaya-malam

Bayangkan kita sedang berdua-duaan. Sebangku kerusi untuk aku, dan sebangku lagi untuk kau. Meja tempat siku-siku kita sedang berehat ini diperbuat daripada kayu sepenuhnya, bukan meja lembik dari Ikea. Seginya empat tepat, dan di setiap penjuru ada segenggam serbuk kopi untuk dibancuh, setiap malam ketika kita berbual-bual di sini. Siapa perlukan cahaya? Di sini, kita hanya perlukan bau dan lidah, dan sedikit akal yang waras.

Biar aku mulakan. Aku tak pernah suka macam mana dia memperlakukan aku selepas setiap hirupan besar, walaupun aku agak menyukai rasanya. Hangat haba dari permukaan hitam pekat, yang meruap terlebih dulu sampai menerobos lohong hidung dengan aroma yang macam-macam, tak pernah menggusarkan kepercayaan aku kepada sebuah kehidupan yang terbentang dan penuh dengan ketidakpastian – kau harus optimis, tak boleh pesimis – ketika duduk di depan secangkir kopi. Setiap kali lain-lain asalnya, biji-biji yang dilumat jadi serbuk, membawa sama setiap ingatan dari mana dia datang, agaknya. Aku tak tahu kalau kau juga pernah merasakan ini?

Bagaimana dia pertama kali menyentuh bibir kau dengan kasar dan gopoh. Panas lecur yang tetap ingin kau izinkan, setiap kali dia bersiap untuk didekati, seperti seorang perawan yang malu-malu awalnya. Dengan kepekatan malam yang makin larut, selepas kau tewas untuk meletakkan sebuah harapan pada tempat yang betul (kau belum lagi mampu mencapainya), dengan setiap tekanan, kepekatan dia adalah yang paling menyeksakan – ketika perawan tadi malunya semakin tebal, tetapi tangannya mula merayap sendiri. Nafas kau terputus seketika. Fikiran kau terlepas melayang, tetapi panca-indera lain masih ingin menghantar rasa dan mengeletik meminta-minta untuk habuan malam itu. Aku tak pernah kira waktunya, siang tak apa-apa, tak melalaikan. Malam pula tak mengghairahkan. Cuma aku tak suka apa yang berlaku selepas itu, hampir setiap kali kebelakangan ini.

Untuk minda kau, kafeinnya adalah dadah. Kau tak akan berfungsi tanpa dia. Untuk mereka yang lain, mungkin hanya gaya, tak faham mengapa perlu keluarkan wang lebih untuk secangkir air rasa pahit-manis yang tak asli, yang terlalu banyak bahan campurannya. Kau barang tentu mendambakan  itu, tidak seperti aku. Ketagihan ini lebih memuncak daripada cinta basah. Kerana, perempuan akan meninggalkan kau bila kau menjemukan (atau sebaliknya). Tetapi tidak dia, tidak kafein di dalamnya yang akan merasuk saraf belakang mata kau untuk terjegil, kata orang. Malangnya cakap yang sebegitu aku tak pernah percaya. Kerana, di dalam tubuh aku, dia melakukan lebih daripada itu.

Bila kau pertama kali pekena air kafein pekat seperti itu? Atau kau lebih moden, memilih rasa-rasa luar yang lebih enak dan krim lemak untuk melunturkan pahit payau dia? Kerana, walaupun menyeksakan halkum dan lidah yang tak biasa, kau tetap tidak ingin ketinggalan di dalam perlumbaan ini; merendam kehangatan yang mengeluarkan titik-titik peluh yang merimaskan badan dan orang disekeliling. Atau, kau suka yang sejuk? Yang diletak ais, yang dikisar ais di dalamnya seperti yang digilakan lidah adam-hawa di kota-kota besar? Jangan malu-malu untuk mengaku, aku tak akan menilai dan menghukum kau hanya untuk hal sekecil ini.

Tetapi yang anehnya, dia bukan hal kecil untuk aku, selepas aku menyedarinya terkemudian. Dia menakutkan. Ada waktu, menggairahkan. Aku benci dia. Tetapi, bila sampai masa, aku inginkan dia.Terutama ketika kau dan orang-orang lain membiarkan aku di pinggiran jalan, kerana aku tidak datang dari tanah delta yang sama seperti kau, dan kebetulan aku tak punya tempat untuk pulang. Begitu? Kawan, ini Kuala Lumpur. Tempat setiap pembohongan diraikan. Kau tentu akan bersetuju, hanya kalau kau sudah rasa mengantuk tercandu oleh bau kelkatu gergasi yang mengibas sayap-sayap busuknya ke muka kau.

“Sekarang, kita kembali lagi ke meja malapetaka ini. Apa khabar kau? Lebih sebulan hilang…” Kau bertanya soalan jenis apa ini? Agaknya, kau terlupa yang aku selalu bercerita di sini? Dan kau akan menyalin setiap baris ayat yang terpacul dari mulut aku (kadang-kadang bukan dari akal aku) dan menyimpan buku nota itu elok-elok? Kau biar betul. Kau hilangkan setiap rakaman kecelaruan kita? Atau kau terlebih mabok kepayang dengan kafein yang memakan otak kau perlahan-lahan? Mengapa dari seorang pencatat, kau bertukar posisi menjadi seorang pembaca katika ini? Tolong fahamkan aku apa keadaan fikiran kau ketika ini, kawan. Berkecamuk atau lengang?

Ini kopi. Ada bau tanah. Dan paling aku khuatirkan – dengar aku bercerita lagi, kawan. Kali ini tak payah tulis, dengar (atau baca) saja – adalah bayangan yang bermunculan di dalam kepala. Beberapa kali dalam waktu terdekat ini, setiap kali melangsaikan baki serdak terakhir dari dasar cangkir, aku tak sedarkan diri, selepas melihat imej atau bayang-bayang kau yang terlentok di meja ini. Tak pernah tak ada. Itu isyarat terakhir dari alam nyata yang aku ingat, sebelum aku tidak lagi di dunia ini buat sementara waktu. Tetapi, sel-sel dalam otak ligat memaut satu antara yang lain. Menghumban aku, atau imajinasi aku mungkin, ketempat-tempat aneh, melihat kejadian-kejadian aneh, ada diantaranya yang dinikmati, dan banyak juga yang menimbulkan tanda soal.

Lima malam (tetapi yang ingin aku sampaikan hanya untuk dos dua malam). Benih dan serbuk kopi yang berlainan setiap malam, dengan formula bancuhan yang baru aku cuba; dua bahagian kopi, disertakan dua bahagian air, gula kalau perlu tapi sedikit, susu sejat memang perlu tapi sedikit, dan sebuah cangkir yang sama – tak di basuh untuk lima malam itu. Yang aku rasakan adalah percikan dari otak-otak orang lain yang tidak aku kenali, mungkin juga imajinasi penulis-penulis lain yang sedang membayangkan kelangsungan novel mereka yang masih tergendala. Untuk beberapa sebab yang samar, aku meniduri setiap titik kopi ini dengan niat yang tergantung dan membiarkan dia mengunjur ke mana saja yang dia mahu, dengan otak aku yang separa sedar.

+++
Isnin, 23 April 1999

Seingat aku, serbuk kopi kasar Davidoff Grande Cuvee. Dua minit atau kurang, aku di dalam sebuah kapal selam yang sedang karam. Aku bukan askar laut, tetapi orang-orang lain semuanya dari satu pasokan agaknya. Semua orang tahu yang kapal selam itu sedang ke dasar. Tetapi, setengah jam mereka
berikhtiar, mereka menyedari tak ada apa yang boleh dilakukan. Di dalam sisa-sisa waktu yang ada –
aku menjangkakan agak lama, kerana tak ada bocor yang menyebabkan tekanan tinggi dari luar menyimbah air ke dalam kabin – hampir setiap mereka kembali ke tempat masing-masing. Mengeluarkan cebisan kertas, ada poskad, ada kad raya dan sebagainya dan mula menulis. Aku terlihat catatan seorang daripada mereka:

Sayang,
Perkara ini sudah lama saya bayangkan. Kapal selam kami tenggelam.Bukan kerana kesilapan kru kapal, tetapi kerana kesilapan mereka yang membuat keputusan untuk kami menggunakan kapal selam ini bagi tujuan menyelinap dan bertempur. Dan, paling memalukan, kapal kami tenggelam dilaut yang tidaklah dalam mana dan belum lagi dibedil dalam pertempuran yang dahsyat. Belum sampai separuh jalan ke tempat yang sepatutnya, enjin dan propela kapal selam mati. Dengan itu, secara rasminya jugalah kami bakal mati. Paling saya kecewa, kami akan mati bukan kerana berjuang. Kami akan mati disebabkan kebodohan orang lain, pembuat dasar yang tidak mempertimbangkan nyawa kami dan mereka ini, orang-orang yang sama akan terpampang disetiap media yang boleh, esok hari atau lusanya, untuk menyanjung kami sebagai wira. Bukan itu yang saya mahu. Saya percaya bukan itu yang semua kami di dalam kapal selam ini mahu. Cukuplah sekadar kamu menerima nota ini.

Dan, semua mereka menoleh ke arah aku dan menghulurkan sampul dan buku masing-masing dengan nama dan nombor telefon penerima yang dihajatkan. Aku yang tak sampai hati melihat mereka tenggelam perlahan dan berdepan dengan detik cemas di muka kematian, menerima amanah itu dan mengirimkan setiap catatan terakhir dengan bantuan jentayu yang menunggu guruh untuk mengembang sayap cantiknya. Aku dan jentayu ini akan berbakti, walaupun tak ada orang yang akan menghargai.

+++
Hari diantara Rabu dan Khamis, 18 November 1982

Kopi Vietnam, ketika di daerah tanah tinggi Dalat. Seorang gadis mengambil pesan, mengisar dan mengoncang bekas air kopi itu di depan mata. Aku menghirup sedikit, terasa pekat yang memeningkan.Aku memesan, jangan dicampurkan wiski, dan aku harap dia faham Aku minta kopi dalam formula tersendiri, dan sekejap saja hilang sedar. Aku melihat diri aku sendiri disebuah kota lama, Kristiana mungkin, atau antara kota-kota di Belgium abad ke-19. Berjalan di lorong-lorong hamis dengan perasaan cemas. Aku terdengar ada orang yang menjerit-jerkah tak tentu hala. Aku sembunyi di tepi tangga batu dan mengintai sebelum melihat seseorang. Dari pakaiannya, aku fikir dia seorang paderi dari gereja utama kota itu. Penuh bulu-bulu burung, qibas dan binatang-binatang lain mengidupkan kostumnya. Dia bukan calang-calang orang, tetapi ketika itu, dia dihambat oleh sekumpulan manusia yang lain, yang dari raut wajah mereka seperti ingin melepas geram dan mencabut imannya untuk dilemparkan ke dalam sangkar singa. Entah apa yang dijeritkan, aku tak faham.

Tetapi, tiba disimpang jalan batu itu, seorang perempuan tua, Salamah, seorang Muslim, membuka pintu rumahnya dan membenarkan paderi itu masuk. “Dosa apa yang sudah kau lakukan sehingga mereka semua seperti ingin menghumban kau ke dalam api?” Salamah, berdiri bertanyakan kepada paderi yang sedang duduk tercungap di balik pintu rumahnya. “Aku tak pernah melakukan ini; menyebutkan dosa-dosa aku selain di hadapan tuhan. Tetapi, kali ini, nyawa aku berada ditangan kau, dan aku akan mengaku di hadapan kau. Aku meniduri isteri dua daripada mereka, tadi malam.” Suasana hening seketika. Salamah keluar di muka pintu dan merenung wajah-wajah marah yang sedang menunggu untuk merempuh dia dan rumah tuanya.

“Aku belum pernah melihat ada orang yang tahu akan dosa-dosanya dan merayu nyawa dengan mata yang berkaca dan sisa suara yang masih tersangkut dibiji halkum. Sang paderi ini, di atas apa pun sebab yang menimbulkan kemarahan kamu semua, tidak lagi suci di mata orang di kota ini. Tetapi, kamu semua, termasuk saya sendiri, bukanlah tuhan untuk menghukum dia. Apa yang saya tahu, dosa-dosanya bersama isteri-isteri kamu, sama ada rela atau sebaliknya, akan tetap menghantui tidur malamnya selepas ini. Dan, melihat bayang-bayang kamu pun dia akan terkencing basah sendirian, walau dalam tidur. Jadi, pulanglah dengan kemaafan. Redakan kemarahan setiap kamu. Dan dia akan mengerti betapa besarnya rahmat dari langit hari ini, sekiranya dia benar-benar percayakan tuhan.”

Daripada Salamah, aku ingin belajar untuk menjadi orang  mulia.

+++

Kau sudah tidur? Jangan begitu. Aku masih mahu bercerita. Tetapi tentang biji kopi ini, tak ada yang
enaknya lagi. Pahitnya tetap jelas – seperti menelan demokrasi yang suku masak – dan manisnya yang dihujung selalu menjadi rebutan mereka yang punya wang. Apa yang ada tersisa untuk kau dan aku? Mungkin, malam ini, di meja ini, kita berdua wajib mencuba kopi Doi Chang, dari tanah tinggi Chiang Rai, Thailand. Siapa tahu cerita apa yang singgah di dalam kepada aku ketika kau terlentok lagi di meja ini. Untuk pertama kali, kali ini aku inginkan kopi dingin, dengan ais, ditambah susu dan madu. Kepala kebas.

Kini, sampai giliran kau pula untuk bercerita.

+++
Perempuan bergincu merah mula bercerita

Baik. Pasang telinga kau tanpa belas.

Perasaan aku pada hari itu sangat aneh, ketika ditinggalkan terpinga-pinga; seperti pigmen kulit dengan setiap liang roma yang terkoyak dan membuih, mengalir air deras. Air hitam. Aku cuba lari, perlahan, dan berjalan selagi mampu. Bersama anjing-anjing manja yang kau pelihara ditepi betis, menyalak dengan suara yang sedih. Satu degup, satu pam jantung, dan aku melihat lagi air-air itu mengalir ditangan, kaki, paha, menukar warna baju putih jadi gelap.

Kasut merah itu terasa menyempit. Sama sempit dengan pandangan mata kau. Sama sempit dengan himpitan dadaku. Aku bertanyakan kepada mereka tentang kau. Katanya, kau mabuk. Dan dilanggar kereta. Aku tak senyum; betapa mereka membencikan kau.

Aku lihat lagi pada tangan. Air tak berhenti merembes, seperti sejarah panjang yang dulu datang membelit leher kau. Seperti cinta yang kau jualkan pada kucing-kucing jantan yang menjalang ketika musim mengawan. Aku perempuan bergincu merah. Yang dulu kau cumbui, tetapi kini kau takuti.

Hindari aku, wahai teman. Kerana, pada setiap titis peluh hitam yang keluar dari seluruh tubuh aku ini adalah setiap satu ingatan terhadap dosa-dosa yang sengaja sedaya-upaya dilenyapkan. Cuma, kau lupa yang aku tak pernah lupa. Pada setiap sudut ditubuh kau, adalah bekas telapak tangan aku. Atau sebaliknya. Kerana, dalam apa pun perhubungan kita, kita saling bertukar kekuasaan. Bertukar tangan untuk menguasai sesama kita. Dan, aku fikir kita berjaya, walaupun ada waktunya aku sendiri khuatir.

Sehingga kau ketakutan, memesan nesan seawal pagi takbir menggema di pinggir hutan. Aku tak tahu berapa panjang lagi masa yang masih berbaki. Peluh ini akan melekat di dalam kepala kau, sehingga kau kelemasan. Tua dimakan waktu, bersaksikan setiap kerosakan yang kau lakukan dan tak mati-mati. Ke mari lagi esok hari. Akan aku ajarkan kau pelajaran baru tentang peluh yang menitis ini. Dan awas, ia masih hitam dan hanyir.

Lihat, dadaku. Apa yang terpampang? Rekahan tempat nafsu kau pernah mengalir, bukan? Setiap kerosakan yang saling dinikmati. Tetapi, dulu, kau  yang berkuasa ke atasku. Dan kau begitu banyak berpura-pura. Jangan takut, aku tak mabuk. Dan kau teruskan mendengar, tanpa gagal. Kerana kau yang minta aku untuk bercerita. Simpan saja cangkir itu. Ada yang lebih penting untuk diperkatakan.

Aku tak pernah melihat pada cermin dan kemudian memandang ke dalam mata sendiri dengan penuh rasa jijik. Gincu merah itu patah. Tiga corong kosong yang tinggal, salur tempat aku mencatatkan perasaan ini. Tinggal disebuah negara dan kota, yang kau panggil Kuala Lumpur itu, atau Malaysia, semakin membuatkan aku gila. Aku harap kau mampu bertahan.

Nanti, kalau mayat aku ditemui dalam rumah sewa itu, kau datang pada malamnya. Semoga kau tak ketinggalan mendengar berita itu nanti. Selinap, dan pergi ke kamarku, cari bekas-bekas gincu merah nyawaku itu. Seluk jari kau ke dalamnya dan cari cerpihan nota yang aku tinggalkan. Kalau tak berjumpa, kau adalah manusia paling mustahil dan tanpa harapan. Adakah lagi harapan yang kau sangkutkan pada kota ini? Kepada pemimpin-pemimpinnya? Kau jawab ketika kau meratap ditanah kubur aku nanti.

Apa yang sudah aku  berikan? Dan adakah itu belum cukup-cukup lagi. Aku tak ingin dilahirkan semula seperti orang lain. Silakan untuk terus sisipi kopi dan serdak yang masih berbaki pada cangkir kau. Aku tak lagi marah. Aku tak kisah jika imajinasi celaka kau mengheret aku masuk ke dalamnya lagi. Kita berpura-pura suci, bagaimana?

Aku masih sanggup untuk membayangkan cahaya datang melimpahi kota ini semula. Walaupun jelaga hitam sudah terlalu tebal menyelubungi langit cemerlangnya selama kita bercanda dipinggir masa yang panjang dan tak habis-habis.

K-U-A-L-A  L-U-M-P-U-R.

Sangkutkan cinta kau di mercu paling tinggi yang mampu digapai untuk perempuan yang nanti akan belajar untuk membalas kelembutan kau. Tidurlah dengan tenang, malam ini, di atas dadaku. Buat seketika, kemarahanku sudah reda terhadap kau. Sakiti aku lagi di lain waktu. Mari ke mari, sayangku. Hangatkan ruang ini dengan aroma tubuh yang disiat-siat. Air peluh aku masih lagi hitam dan hanyir, menunggu kau untuk dilemaskan.

* Cereka ini, dalam bentuk yang berbeza sebahagian daripadanya, terbit di dalam Antologi Kopi terbitan Fixi.

Advertisements
Malam, Di Meja Tempat Kau Terlentok

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s