Respon berkaitan artikel ‘(Not) Lost In Translation’, The Star

obscura-1

Tulisan ini merujuk kepada artikel ‘Not-Lost In Translation’, yang terbit pada 23 Mac 2014 di dalam akhbar The Star. Versi asal yang telah diperbetulkan boleh dicapai di sini.

 

Ada beberapa kesalahan fakta di dalam artikel yang disebutkan ini berkaitan jurnal Obscura, yang terbit di dalam ruangan Star2, The Star 23 Mac 2014. Saya terpanggil untuk menjelaskan beberapa hal yang disalah-ertikan oleh pemberita yang menulis rencana berkenaan, yang menimbulkan banyak kekeliruan.

1. Saya bertindak selaku editor dan penerbit jurnal berkenaan, dan bukannya penterjemah fragmen/serpihan The Tempest karya Shakespeare seperti yang di dakwa pemberita rencana ini. Orang yang bertanggungjawab ke atas kerja itu ialah Eddin Khoo, dan BUKAN saya. Perlu juga ditekankan di sini, bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan terjemahan itu seperti yang dilaporkan. ‘Projek’ yang dimaksudkan di dalam transkrip asal wawancara itu merujuk kepada penerbitan jurnal itu sendiri, dan bukan mana-mana kerja penterjemahan yang termuat di dalamnya. Bagaimanapun, fragmen atau serpihan daripada teks berkenaan memang ada termuat di dalam Obscura: Merapat Renggang, di muka surat 31, dan dengan jelas menyatakan nama penterjemahnya yang berhak dibahagian hujung.

2. Begitu juga dengan karya-karya terjemahan lain yang termuat di dalam jurnal berkenaan dan turut dipetik di dalam rencana itu, semuanya diberi kredit sepenuhnya kepada penterjemah yang bertanggungjawab ke atas kerja mereka masing-masing. Jurnal ini bertujuan untuk mengumpul bahan-bahan berkenaan, termasuk tulisan-tulisan asli daripada ramai penulis lain untuk dijilidkan menjadi produk akhir seperti yang dapat dirujuk di dalam versi cetaknya kini.

3. Pusaka Obscura juga tidak pasti dari mana datangnya, seperti yang dilaporkan di dalam rencana berkenaan. Cuma, saya secara peribadi berpendapat, pemberita itu mungkin terkeliru dan ingin memaksudkan Pustaka Obscura, selaku rumah penerbitan bagi jurnal berkenaan yang mana seperti yang dinyatakan di atas, saya bertindak selaku pengasas dan editornya, dan bukan Pusaka Obscura seperti yang dirujuk oleh pemberita.

4. Di dalam siri wawancara yang berlangsung melalui emel, SMS dan juga panggilan telefon singkat itu, saya menyentuh berkaitan beberapa aspek umum dan matlamat utama yang menggerakkan dan menyumbang kepada penerbitan jurnal berkenaan, termasuk sebahagian besarnya berkaitan terjemahan karya luar kepada bahasa Melayu, tanpa ada apa-apa perbincangan spesifik berkaitan mana-mana terjemahan yang terkandung di dalam jurnal berkenaan.

Continue reading “Respon berkaitan artikel ‘(Not) Lost In Translation’, The Star”

Respon berkaitan artikel ‘(Not) Lost In Translation’, The Star