Tiga Rangkap Pantun

Subang emas subang bergulung,
Kuping mana ditaruhkan;
Hujan panas dapat dilindung,
Hidup miskin mana sorokkan.

Dari mana rusa dikejar,
Rusa lari tepi perigi;
Guru mana tuan belajar,
Cuba hadap sekali lagi.

Panas sungguh hari ini,
Pandang ke langit sisik tenggiling;
Marah sungguh tuan ke kami,
Kami datang hadap ke dinding.

– Dipetik dari kumpulan pantun Melayu lama, Kurik Kundi Merah Saga.

Tiga Rangkap Pantun

Bicara sama U-Wei

Uwei-1WEB

Tengah hari Sabtu yang mula membasah. Selepas sepinggan nasi putih dan ayam goreng (tak lupa juga milo ais) di Petaling Jaya, kami menyusur ke perut ibukota. Di Jalan Tunku Abdul Rahman, panjat dengan lif ke tingkat sembilan di sebuah bangunan baru dan berbual tentang pelbagai hal bersama U-wei Hajisaari; tentang Hanyut dan impiannya untuk melepasi tahap lain sebagai seorang pengarah filem, tentang sepucuk surat kepada Ryuichi Sakamoto yang dikirim dan harapan yang terputus setelah tsunami Mac 2011 datang membadai Sendai, tentang mengapa memilih Almayer’s Folly sebagai landasan, tentang sastera Melayu dan pertemuan dengan Pak Sako, tentang cetak-biru perfileman Malaysia a la Finas yang sudah dibuktikan gagal, tentang keperluan artis untuk menjadi mandiri, tentang Sasterawan Negara yang tak dikenal orang (dan apa yang mereka tulis?), tentang bahasa, tentang-tentang-tentang. Sebuah bual-bicara yang menjadi; semakin hangat, dari duduk dibawa ke berdiri dan bersilat. “Saya sudah melepasi tahap membuat filem yang sekadar untuk menepati harapan orang. Hanyut mungkin filem terbaik pernah saya hasilkan, setakat ini.” Dan, akan ada filem lain selepas itu.

Bicara sama U-Wei

Gelap, siapa takut?

1-(1)

Kelopak dari melati putih
dan katamu kulit-kulit nipis
yang belum siap dikupas.
Mana mungkin kita akan
bercanda di bawah bulan gerhana.

Sebab hanya kegelapan yang selalu
menemukan kita dengan cahaya.

Siapa takut?

– Melati, 2011.

I.

Kegelapan sering menjadi medan tarikan yang mujarab. Kita akan melalui lorong itu, walaupun hanya sekali, dan tidak memikirkan tentangnya lagi. Tanpa apa-apa kesedaran, kita melihat kegelapan sama seperti kita melihat wajah sendiri; paling aneh, kita tak berani meyakinkan diri bahawa wajah itu adalah wajah kita. Dan, selebihnya seperti orang-orang yang minta disanjungi; bukan kerana kerjaannya, tetapi kerana keinginannya untuk disanjung-sanjung – terus hidup dalam hipokrasi menjulang, meletakkan dirinya sebagai orang mulia; tanpa pengikut.

Tetapi yang dilupakan adalah ini; seperti bayang-bayang yang tak pernah cerah (yang ironinya, hanya akan hadir ketika cahaya menumpah pada sosok kita), secebis kegelapan itu akan terus mendampingi kita di setiap langkah, melangkaui apa jua firasat dan gerak hati dalam rentang waktu sebuah kehidupan yang diizinkan terhadap kita. Sekali-sekala ditinggalkan dalam gelap, kita tetap akan berasa takut, gementar dan khuatir kalau-kalau masih ada cahaya yang tersisa kelak untuk anak mata dari lapis kornea itu mengembang dan menguncup lagi, agar kita masih dapat berdiri teguh dan berhadapan dengan imej-imej yang membangun dunia nyata. Dan, mereka-mereka yang gagal memahami hal sebegini selalu akan dikutuki oleh bayang-bayangnya sendiri, dan bukan oleh orang lain yang ada di situ sebagai pemerhati kerancuan sikapnya. Ini, saudara-saudari, bukan mimpi. Mereka sedang berada di antara kalian, seperti roh-roh yang bersedia membunuh tanpa sedar. Siapa takut?

Himpunan foto di dalam Is this the [n]? ini akan mengingatkan kita kepada sebahagian daripada diri kita yang sebenar; persoalan yang tak akan mampu dengan yakin kita akui sudah terlerai habis daripada fikiran, atau dalam keberadaan paling lemahnya, sebagai cebisan ingatan terhadap siapa kita sesungguhnya. Jururakamnya, Nadia Jasmine Mahfix, mungkin bukan orang terakhir yang ingin menumpahkan kudrat dalam usaha untuk menemukan sedikit cahaya di dalam suasana yang suram itu; pertembungan diri dengan keyakinan agama, persoalan kematian (yang maha indah, tentunya), hakikat keberadaan, bayang-bayang seram yang selalu menghantui, kepak-kepak yang tak mampu lagi mengangkat kita ke langit dan lagi dan lagi.

Perasaan ini, mungkin tak ada hujungnya. Kerana kita manusia. Dan melalui Nadia yang aktif merasakan dan melayani setiap pertembungan yang terbit dalam dirinya itu, kita dihidangkan dengan pertanyaan-pertembungan yang sama dalam bentuk visual yang kadang-kadang menyebukan, tetapi di waktu lain terlalu nyata untuk tidak disinggung. Poetika imej kelam; kalau pun ada yang ingin menohmah dengan segala macam pandangan sinis selepas ini – terutama ketika cuba-cuba menanggapi soal iman menerusinya, kerana di dalam himpunan ini jururakamnya hanya menemukan kita dengan gereja sebagai wakil iman yang ingin dipotretkan – mereka tetap tidak akan dapat melarikan diri daripada bayang-bayang sendiri, sampai mati. Bayang-bayang itu adalah kamu yang kelam. Jadi, sekali lagi; siapa takut? Continue reading “Gelap, siapa takut?”

Gelap, siapa takut?

Panggilan: Tulisan Jurnal Obscura No. 2

ads- jurnal no.2-04

Waktu ini, kami di dalam proses awal mengumpulkan bahan-bahan untuk dirampungkan bagi penerbitan jurnal Obscura edisi 2014. Dengan itu, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk mengirim tulisan untuk dipertimbangkan bagi tujuan penerbitan di dalam jurnal ini. Juga, diharap dengan jasa baik kalian, dapatlah dihebahkan kepada teman-teman yang berminat. Maklumat lanjut ada di dalam poster seperti yang dilampirkan ini.

Panggilan: Tulisan Jurnal Obscura No. 2