Gelap, siapa takut?

1-(1)

Kelopak dari melati putih
dan katamu kulit-kulit nipis
yang belum siap dikupas.
Mana mungkin kita akan
bercanda di bawah bulan gerhana.

Sebab hanya kegelapan yang selalu
menemukan kita dengan cahaya.

Siapa takut?

– Melati, 2011.

I.

Kegelapan sering menjadi medan tarikan yang mujarab. Kita akan melalui lorong itu, walaupun hanya sekali, dan tidak memikirkan tentangnya lagi. Tanpa apa-apa kesedaran, kita melihat kegelapan sama seperti kita melihat wajah sendiri; paling aneh, kita tak berani meyakinkan diri bahawa wajah itu adalah wajah kita. Dan, selebihnya seperti orang-orang yang minta disanjungi; bukan kerana kerjaannya, tetapi kerana keinginannya untuk disanjung-sanjung – terus hidup dalam hipokrasi menjulang, meletakkan dirinya sebagai orang mulia; tanpa pengikut.

Tetapi yang dilupakan adalah ini; seperti bayang-bayang yang tak pernah cerah (yang ironinya, hanya akan hadir ketika cahaya menumpah pada sosok kita), secebis kegelapan itu akan terus mendampingi kita di setiap langkah, melangkaui apa jua firasat dan gerak hati dalam rentang waktu sebuah kehidupan yang diizinkan terhadap kita. Sekali-sekala ditinggalkan dalam gelap, kita tetap akan berasa takut, gementar dan khuatir kalau-kalau masih ada cahaya yang tersisa kelak untuk anak mata dari lapis kornea itu mengembang dan menguncup lagi, agar kita masih dapat berdiri teguh dan berhadapan dengan imej-imej yang membangun dunia nyata. Dan, mereka-mereka yang gagal memahami hal sebegini selalu akan dikutuki oleh bayang-bayangnya sendiri, dan bukan oleh orang lain yang ada di situ sebagai pemerhati kerancuan sikapnya. Ini, saudara-saudari, bukan mimpi. Mereka sedang berada di antara kalian, seperti roh-roh yang bersedia membunuh tanpa sedar. Siapa takut?

Himpunan foto di dalam Is this the [n]? ini akan mengingatkan kita kepada sebahagian daripada diri kita yang sebenar; persoalan yang tak akan mampu dengan yakin kita akui sudah terlerai habis daripada fikiran, atau dalam keberadaan paling lemahnya, sebagai cebisan ingatan terhadap siapa kita sesungguhnya. Jururakamnya, Nadia Jasmine Mahfix, mungkin bukan orang terakhir yang ingin menumpahkan kudrat dalam usaha untuk menemukan sedikit cahaya di dalam suasana yang suram itu; pertembungan diri dengan keyakinan agama, persoalan kematian (yang maha indah, tentunya), hakikat keberadaan, bayang-bayang seram yang selalu menghantui, kepak-kepak yang tak mampu lagi mengangkat kita ke langit dan lagi dan lagi.

Perasaan ini, mungkin tak ada hujungnya. Kerana kita manusia. Dan melalui Nadia yang aktif merasakan dan melayani setiap pertembungan yang terbit dalam dirinya itu, kita dihidangkan dengan pertanyaan-pertembungan yang sama dalam bentuk visual yang kadang-kadang menyebukan, tetapi di waktu lain terlalu nyata untuk tidak disinggung. Poetika imej kelam; kalau pun ada yang ingin menohmah dengan segala macam pandangan sinis selepas ini – terutama ketika cuba-cuba menanggapi soal iman menerusinya, kerana di dalam himpunan ini jururakamnya hanya menemukan kita dengan gereja sebagai wakil iman yang ingin dipotretkan – mereka tetap tidak akan dapat melarikan diri daripada bayang-bayang sendiri, sampai mati. Bayang-bayang itu adalah kamu yang kelam. Jadi, sekali lagi; siapa takut?

2-(7)

II.

Saya tak pasti jika ingatan ini tak berbohong kepada diri saya sendiri; saya sempat mengenali buku berkenaan di dalam kelahirannya yang terdahulu, ketika jururakamnya masih ragu-ragu tentang bagaimana untuk menterjemahkan maksud getus rasa yang terbuku dihati ketika melihat foto-fotonya. Tentang keresahannya terhadap hasil kerja sendiri, wakil-wakil makna yang sama ada suka atau tidak, tetap akan hadir dan berupaya untuk memberikan cadangan tafsiran terhadap foto-foto berkenaan secara bersendiri; baik penafsiran dalam jajaran yang betul seperti apa yang ingin dimaksdukan oleh penciptanya ataupun sebaliknya, tafsiran yang terpesong jauh dan menimbulkan banyak kekeliruan. Tetapi, memang seperti inilah sepatutnya sebuah kegelapan, bukan? Yang sangat menyeronokkan buat mereka yang berani berjalan seorang dan melepasi ketakutan dalam diri.

Suatu malam, di sebuah meja makan yang bersepah dengan pinggan-pinggan yang berterabur di atasnya tulang-tulang sisa makanan – dengan seekor kucing gempal yang saya panggil Bo, ‘duta’ kedai berkeanaan yang melingkar di kaki – saya membelek dengan minat dan penuh pertanyaan tentang siri fotografi berkenaan, sambil Nadia sekali-sekala menceritakan sedikit sebanyak tentang keresahannya tentang hal itu. Perbualan berkenaan kami panjangkan minggu lalu; tentang mengapa kegelapan begitu memberi kesan yang tebal terhadap kerja-kerja fotografi yang disifatkannya begitu peribadi ini. Kurang lebih, begini jawab Nadia; “Kerana kita mampu lihat lebih banyak perkara di dalam gelap.” Apa yang pernah dilaluinya sehingga tiba kepada pernyataan itu, saya rehatkan hal berkenaan untuk Nadia sendiri yang menjawabnya dipertemuan yang lain.

Dalam rentang lima tahun dia mengumpulkan visual yang membangunkan siri ini, yang dirakam tanpa idea yang spesifik saya kira, tetapi berandalkan kepada kegetiran perasaan dan emosi dalam satu-satu titik waktu, yang menurutnya sampai ke jurang “depresi” yang seterusnya menemukan Nadia dengan tarapi jiwa yang paling mujarab melalui fotografi dalam lenggok dan gaya yang begitu dekat dengan nuraninya. Dan, tentulah kita berharap pilihan itu menjadi buatnya; Is this the [n]? disifatkannya sebagai satu siri koleksi fotograf yang mampu mewakili dirinya – atau mungkin bahasa fotografinya – setakat ini.

Kalau pun dia sampai berhasil memeluk cerah selepas ini – mungkin dengan warna-warna yang lebih bergemerlapan (siapa tahu?) – bayang-bayang itu tadi tidak pernah akan meninggalkannya. Kerana, bukan hidangan di mata orang yang menjadi bermakna, tetapi sedalam mana ia mampu menampakkan wajah kita sendiri untuk melahirkan kesedaran baru dalam diri, itu lebih bermanfaat. Dan, saya fikir, Nadia kini cukup selesa dengan perkembangan terbaru ini. Dan untuk melihat perubahan naratif di dalam kelahiran kedua buku ini juga sedikit melegakan; ia menjelma sekurang-kurangnya seperti apa yang saya bayangkan dan sampaikan kepada penciptanya waktu itu.

5-(2)
Lebih daripada itu, ia tentulah pertembungan Nadia dengan diri sendiri untuk dia sampai kepada keyakinan itu – bahawa, selepas gelap dan sengsara, nyawa baru masih ada. Dua fotograf terakhir yang dimaksudkan itu, yang melengkapi ceritanya dan menyuntik semacam satu “harapan” baru kepada luka lama. Kedua-duanya adalah potret-potret jiwa bebas yang dibawa oleh burung-burung yang kembali berkeinginan untuk terbang semula, selepas berehat sekejap pada dahan dan ranting pohon tua, agaknya – walaupun dalam suasana yang masih kelam.

Kerana sebelumnya, projeksi imej yang ada adalah terlalu menyeramkan buat sesetengah orang; bayang salib yang muncul berkali-kali dan ada juga pantulannya yang terbalik, “jenazah-jenazah” kehidupan yang dilumat dan dibiarkan kering tinggal rangka, patung-patung monumen yang mengingatkan kita tentang bayang syurga dan neraka, kemakmuran dan kesengsaraan dan segala macam ketakutan yang menghurung. Hanya saja saya mengharapkan luka yang dalam pada jururakamnya itu berupaya untuk sembuh, supaya biar kita nanti masih sempat melihat foto-foto daripadanya lagi; kerana foto-foto seperti itu sentiasa lahir daripada sentuhan yang tidak sedikit pun mencuba untuk menjadi yang lain. Hanya ingin menjadi ia sendiri, tanpa helah dan tipu daya.

Tetapi, saya berasa khuatir ketika Nadia menjelaskan, dengan maksud apa sekalipun, yang dia sedang berkeinginan kuat untuk berurusan dan menyingkap “kebenaran”, melalui fotografi seberapa peribadi seperti yang dipersembahkan ini. Saya tak berani  untuk menyentuh hal sedemikian, kerana ketika kita menyatakan tentang soal kebenaran, ia terlalu mudah untuk merasuk orang dan menjadi kegilaan yang cepat merebak; sensitiviti yang maha kalut untuk ditanggapi selepas itu. Anggap kebenaran tak muncul begitu saja. Kebenaran memilih siapa yang dia berkehendakkan. Ketika kamu berasa menemukan kebenaran, ia boleh saja jadi satu frasa yang kacau-bilau. Mungkin cukup dengan sekadar ini; kebenaran itu adalah rahsia Tuhan – memadai untuk kita berbuat baik dan berlaku jujur serta bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang yang berada disekeliling.  Berbahagialah, walaupun di dalam gelap.

Untuk ketiga-kalinya; siapa takut?


Is this the [n]? dijual pada harga RM50, dan boleh diperoleh dengan menghubungi emel imaginnadia@gmail.com.  Foto kredit: Nadia J. Mahfix.

Advertisements
Gelap, siapa takut?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s