Untuk Perempuan-Perempuan Bersayap Malaikat*

(Sebuah ingatan untuk Ibu)

Seorang wanita duduk di depan buai, mencuba menenteramkan esak tangis anak bongsunya, seorang anak perempuan yang beberapa bulan sebelum itu baru dilahirkan. Dengan penuh kegetiran dan kesakitan. Ruangnya di luar dapur sebuah rumah pangsa yang sederhana, tempat kadang-kadang kain dijemurkan. Beberapa depa di hadapan, terletak sebuah jamban tempat syaitan-syaitan menyorok dikala azan sampai dibawa angin yang sepoi-sepoi setiap kali senja menjengah. Di hujung sana lagi, sebuah bilik yang tak dihuni manusia; barang-barang yang tak digunakan dicampak ke sana. Wanita itu tak pernah terlepas daripada menyanyikan lagu dodoi untuk setiap anaknya yang berempat itu; sama saja kasih yang tumpah sejak dari dalam perut. Lagu dodoi yang bermacam itu, tanpa mengira dalam bahasa apa pun, akan menghalau syaitan-syaitan kecil yang cuba berkawan. Nanti baru akan kau sedari, nyanyian itu adalah nyanyian seorang bidadari yang akan dirindui oleh setiap anak manusia sehingga akhir hayatnya – walaupun tak pernah diakui pada bibir.

Seorang anak lelaki sulung, yang masih kecil juga, kadang-kadang ada cemburu yang larut ke dalam hatinya. Dia ingin dibelai juga, cuma, usianya bukan lagi untuk diletak dalam buaian. Maka kerap dia mencari jalan untuk menarik perhatian; lalu di muka pintu jamban itu, atau duduk seorang di dalam stor hujung di luarnya pada waktu-waktu semua orang berada di ruang tamu sebelum menjerit ketakutan, seperti disampuk hantu. Memang perhatian yang diperolehnya, tetapi bukan yang enak-enak. Dia dimarahi, kerana jeritan seperti itu, akan menakutkan tiga lagi adik perempuannya yang masih kecil anak. Bertahun-tahun anak lelaki itu tidak memahami mengapa Ibu perlu marah-marah. Tetapi, diwaktu yang lain, dia selalu merindui Ibu. Dia mengingat di dalam kepala bagaimana suara ibunya marah, atau ketika Ibu berbicara dengan lembut. Tentang nasihat-nasihat yang bertahun baru disedari kebenarannya. Juga suara sayu Ibu membacakan surah dari Al-Quran, dalam solatnya yang larut. Dan ada waktu anak lelaki itu merindui Ibu yang masih di dalam telekung putih, membacakan doa-doa yang menenangkan, untuk semua anak-anaknya. Ingatkan kembali sekadar yang termampu, setiap kata-kata yang pernah lahir dari mulut Ibumu, dalam rentang waktu yang mana sekalipun. Walau dia sekadar berbicara dalam lenggok bahasa sehari-harian, percayalah, itu bait-bait puisi paling indah yang tak pernah kau sedari.

Continue reading “Untuk Perempuan-Perempuan Bersayap Malaikat*”

Untuk Perempuan-Perempuan Bersayap Malaikat*