Gamelan & Nyawa Baru

Gamelan-14
Sebuah pertembungan yang aneh barangkali; muzik dalam maksudnya yang paling merangkum (universal), dari susur-galur tradsional yang misteri, menjelajah ruang masa dan tiba di hadapan kemodenan, dilepaskan untuk berpencak irama lagi dengan tenaga muzik dalam nuansa baru dengan semangat dan udara lebih segar. Walaupun bukan yang pertama.

Pada sebuah petang Jumaat awal Mac lalu, Tune Studio di Klang dihuni oleh beberapa pemuzik gamelan dari Muzium Pahang (ketika itu mereka sudah berada di sana hampir seminggu), menyambung projek yang untuk sekian lama tidak pernah sempat dilunaskan; kolaborasi bersama Monoloque, yang antaranya menulis muzik-muzik baru asli dari tangannya, untuk digandingkan bersama muzik gamelan Melayu tradisional dari Pahang. “Ini projek muzik Muzium Pahang. Kami mula berbincang tentang projek ini sudah agak lama, kurang lebih sejak 10 tahun dulu ketika Butterfingers keluar dengan album _Selamat Tinggal Dunia_. Mereka tertarik dengan komposisi muzik yang ada; dalam album itu memang sudah ada muzik gamelan diadunkan sekali,” ujar Loque, mengingat semula awal mula yang memacu projek itu seterusnya. “Kemudian, tergendala. Saya ke Berkelee sambung belajar muzik. Dan Muzium Pahang khabarnya pernah berusaha untuk teruskan projek ini dengan pihak lain, tapi tetap tak menjadi. Sekarang, saya pikul semula tanggungjawab itu.”

Penghawa dingin terasa semakin kuat. Suhu menurun, dan kabus memanjat pada setiap cermin kaca yang ada. Di dalam bilik rakaman utama paling hujung, yang boleh ditinjau dari luar, tujuh alat muzik tradisional yang mendirikan muzik gamelan ini tersimpan dan setiap hari dimainkan, secara bersama atau berasingan, untuk tujuan rakaman; demung, bonang/keromong, gambang, gong, kenong, gendang Melayu dan saron. Ketujuh-tujuh instrumen yang ada getar dan gelombang yang mungkin berlainan itu, bakal digandingkan bersama instrumen moden di dalam komposisi muzik gamelan yang baru, bukan sekadar saduran yang memainkan semula komposisi muzik dan lagu gamelan asli tradisional atau joget sedia ada.

Gamelan-16
“Untuk gamelan Melayu, akan ada tujuh alat muzik ini. Berbeza dengan gamelan Jawa misalnya, yang terdiri daripada lebih alat muziknya,” ujar Aminullah Hj Ali, pemain bonang. Menurut beliau, set gamelan yang dibawa dari Pekan ke Kuala Lumpur untuk rakaman itu adalah set asal yang dipelihara sebaiknya, berusia sekitar 179 tahun – sejak 1835 – guna untuk mengiringi acara rasmi istana sejak dulu; Kumpulan Gamelan Di Raja Pahang (sebuah buku tentang mereka, Joget Pahang – Gamelan Melayu: The Classical Ensemble of The Pahang Royal Court ada diterbitkan pada 2008).

Cabaran paling besar projek ini mungkin untuk membiasakan ketujuh-tujuh pemain gamelan ini di dalam satu proses rakaman yang melelahkan; individu-individu gamelan berkenaan bukan pemuzik kontemporari yang biasa dengan kerja-kerja studio. “Itu belum campur dengan gemuruh,” seloroh Loque. Jadi, proses rakaman memang memakan masa yang sangat panjang. Antara kaedah yang digunakan ketika peringkat akhir sesi selama seminggu itu (pada Ahadnya kumpulan ini akan pulang semula ke Pekan) ialah dengan merakam sample bunyian satu per satu octave bagi setiap elemen pada setiap alat yang ada, termasuk note tinggi dan rendah bagi setiap satunya, untuk digunakan dalam kerja-kerja adunan komposisi muzik yang bakal disambung di studio Loque kemudiannya.

Duduk di bilik tinjau dihujung yang bertentangan, dengan skrin LCD dan mikrofon untuk memerhati dan berintaraksi dengan pemain yang sedang berada di bilik rakaman, Aiyad, penerbit yang berkerjasama dengan Loque untuk menjayakan usaha ini menyatakan; “Cabaran-cabaran yang ada inilah yang menjadikan projek ini lebih menarik. Kita terpaksa cari jalan terbaik, pertama untuk merakam bunyi-bunyian gamelan dalam nadanya yang paling ranum, kedua untuk mengadun bunyi akustik gemelan itu tadi bersama dengan instrumen elektronik lain biar mereka saling melengkapi dan ada kesepaduan tenaga baru yang menarik,” jelas Aiyad. “Tapi, ada satu lagi cabaran yang lebih tinggi,” Aiyad menyambung, berseloroh. “Ada waktu di mana ketika kami menyudahkan sesi rakaman disebelah malam, dan kembali esoknya untuk sambung kerja, kedudukan alat-alat gamelan ini ada yang beralih kedudukan, lari dari tempat terakhir kami tinggalkannya. Seperti ada orang yang memainkannya selepas kami balik.” Walaupun dalam ketawa kecil yang mengiringi perbualan itu, mereka sedar bahawa inilah halnya yang menjadikan muzik dan instrumen-instrumen tradisional yang ada itu punya getar dan gelombang yang tersendiri; ia seperti mempunyai semangat sendiri. Yang memainkannya juga mungkin perlu kuat semangat, dan tak ragu-ragu. Gamelan lama ini mungkin satu daripada ribuan instrumen lain yang masih wujud kini yang ingin berbicara tentang kelangsungan ‘nyawa dan jiwa’ muziknya; ia hanya minta didengari.

Gamelan-8
Setakat tempoh rakaman yang berlangsung itu, ada beberapa demo lagu yang sudah siap ditulis dan memasuki fasa kemasan terakhir. “Sebahagian daripadanya muzik instrumental. Tetapi saya sedang mempertimbangkan juga untuk menjemput beberapa orang penyanyi lain menyumbang suara di dalam beberapa lagu yang ada,” tambah Loque. Berkenaan dengan kecenderungannya untuk menggali dan mengangkat semula muzik-muzik tradisional dengan jiwa Melayu, meletakkannya ditingkat kontemporari untuk didengar semula oleh zaman ini, Loque menyifatkan bahawa terlalu banyak keunikan muzik tradisional ini dan adalah silap untuk kita mengabaikan muzik yang lahir di tempat sendiri begitu sahaja. “Memang, waktu ini saya terlalu awal dalam kembara tradisional ini, dan ada banyak lagi sisi yang perlu saya diselami untuk dipraktik. Tapi, kami tak akan berhenti sekadar di sini,” kata Loque. Belum diberi judul, hasil akhir yang disasarkan untuk projek muzik ini ialah penerbitan sebuah album oleh Muzium Pahang, yang akan turut diedarkan secara terbuka kepada sesiapa yang berminat melalui saluran seperti laman maya rasmi Monoloque. Album berkenaan dijangka disiapkan Jun nanti.

– Teks & fotografi: Hafiz Hamzah

Advertisements
Gamelan & Nyawa Baru

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s