Angin Dingin Dari Perancis

Hari Sabtu pada bulan Ogos, kau tinggalkan rumah dengan berpakaian tenis, ditemani isterimu. Ditengah halaman kau menyatakan kepadanya bahawa kau terlupa raketmu di dalam rumah. Kau kembali ke sana untuk mencari, tetapi kau tidak terus menuju ke lemari di laluan masuk tempat di mana kau biasa letakkan raketmu itu, sebaliknya kau turun ke bilik bawah tanah. Isterimu tak perasankan hal ini. Dia tunggu di luar. Cuaca baik. Dia sedang menikmati pancaran matahari. Beberapa ketika setelah itu, dia terdengar bunyi tembakan. Dia bergegas ke dalam rumah, menjeritkan namamu, perasan yang pintu ke arah anak tangga yang menuju ke ruang bawah tanah terbuka, menuruninya, dan menemui kau di situ. Kau melepaskan satu das peluru ke kepalamu dengan sepucuk rifle yang sudah kau sediakan dengan cermat. Di atas meja, kau tinggalkan senaskah buku komik terbuka dimukasurat tengah yang dua lembarnya terentang. Di dalam suasana yang rengsa itu, isterimu bersandar di tepi meja; buku itu jatuh tertutup sebelum dia menyedari bahawa itulah mesej terakhirmu. – Suicide, Eduoard Leve.

SEBUAH MANUSKRIP TIBA DITANGAN seorang editor. Oktober itu, dalam tahun 2007, musim luruh baru saja ingin menampakkan dirinya. Perancis ketika itu bersiap untuk menghadap hembusan angin yang semakin menggigit – satu musim yang dingin dan cantik sebelum tibanya musim di mana malam-malam menjadi panjang dan menghumban manusia dalam kebekuan mendadak. Kita tak sepenuhnya tahu, tentunya. Apakah kisah itu berlaku di Paris atau dikota-kota lain negeri berkenaan; senaskah manuskrip yang bakal menggugat keterbiasaan penulisan dalam gaya lanskap kesusasteraan – pertama di negeri itu sendiri, kedua di pentas dunia.

Tetapi, manuskrip itu nipis sahaja; bercerita dalam suara kedua tentang seorang teman yang matinya bunuh diri. Bermula dari situ, cerita itu menjadi semacam sebuah sentimentaliti terhadap sebuah ingatan, atau pengalaman; umpama seorang teman yang sedang bercakap sendiri (atau kepada roh si mati) tentang hal-hal yang pernah mereka lalui bersama, atau yang perkara yang pernah dibualkan. Tetapi, sedikit aneh – jika dibayangkan manuskrip itu lahir misalnya di Malaysia – tak ada langsung bunyi penyesalan yang terluah. Lebih dari itu, jika ditelisik lapis keduanya, yang akan ditemui adalah pertanyaan-pertanyaan tentang bagaimana mereka mendepani kehidupan dan cuba menjawab persoalan tentang kematian.

Ia kemudian menjadi enigma dan kerancuan yang meledak dengan getaran yang tak terbendung lagi; sepuluh hari selepas menyerahkan manuskrip itu untuk dipertimbangkan penerbitannya, sang pengarang – Eduoard Leve – memang mati bunuh diri. Ketika kisah disebalik tabir ini diketahui orang, novel nipis itu, Suicide, yang serta-merta menjadi novel terakhir pengarangnya menjadi satu ribut baru yang tak terdaya ditahan gejolaknya oleh lingkungan pembaca di sana.

Maka, ditangan Leve untuk novel terakhir itu, bertembunglah segala macam pendekatan sastera yang selalu didebatkan orang bijak pandai – apakah Suicide ini masih sebuah cerita rekaan? Tetapi, bagi seorang penulis yang sedar (atau lepas bebas), dia tentulah akan menulis melangkaui kerangka pemerhatian yang berpetak-petak seperti itu. Dengan kejujuran paling mulus terhadap diri sendiri dan apa yang dipercayainya, Leve melalui novel Suicide yang pada awalnya mungkin saja menjadi novel yang gagal menunjukkan kepada kita bahawa kekeliruan dan berlaku jujur adalah hal yang amat tinggi nilainya; kerana kita manusia, dan manusia perlu sering bertanyakan tentang bermacam hal untuk satu tujuan – cuba memahami sesuatu perkara itu dengan sebaik mungkin, dari pengalaman sendiri.

Ini sebabnya mengapa Suicide menjadi begitu berkesan; ia bukan lagi sebuah realisme, dan dalam masa sama ia juga bukanlah sebuah bayang imjinari yang mandom. Orang yang membacanya akan tertinggal di satu daerah bayangan yang pekat dengan pertanyaan. Seperti sebuah pengalaman imajinasi yang baru. Cuma, ia terkait juga di alam nyata dengan latar pengarangnya seperti yang disebutkan tadi. Semuanya berkecamuk, dalam maksud yang memukau, tentunya.

Setalah itu, orang tak tahu lagi, siapa dan apa yang memunculkan novel berkenaan? Adakah ia sebuah perancangan teliti pengarangnya yang ketika mati itu usianya baru masuk angka 42? Adakah ia sebuah nota bunuh diri yang memang ingin ditulis pengarangnya, untuk dibaca oleh mereka yang berminat? Jika ya, apakah yang membuatkan sosok ini begitu menarik untuk ditelaah, atau untuk diberi perhatian tentang apa yang ingin dikatakannya? Bacalah, dan tanggapi sendiri.

Tetapi, ada satu perkara mengapa ia perlu diambil peduli; Leve mempamerkan ketegasan dan kelugasan bahasa yang cermat, kemas dan tajam. Tetapi dalam perwatakan bahasa yang ringkas, tidak melebih-lebih, terutama dalam menceritakan sesuatu hal yang kacau – seperti bunuh diri. Sekurang-kurangnya itulah yang tercermin dari terjemahan bahasa Inggerisnya, yang dikerjakan dengan baik oleh Jan Steyn. Ini, agak berbeza dengan gaya penulisan yang biasanya muncul dari bumi Perancis; yang nama-nama besarnya selalu sarat dengan nuansa absurdisme dan existensial (memang, Suicide turut berlingkar di dalam kesedaran yang sama, tetapi mengambil pusingan yang berbeza). Untuk Leve, bahasanya mudah dan berterus terang. Tetapi zat yang dibawanya sangat luar biasa, walau masih dalam lingkungan kerangka gaya idea penulis Perancis sebelumnya.

Dan, disebabkan kejelasan seumpama itu, orang membaca Suicide sebagai sebuah nota peribadi pengarangnya. Mungkin juga tidak seperti mana yang kita bayangkan. Mungkin betul untuk membacanya begitu, kerana bagi Leve, tak perlulah orang bersusah payah untuk memahaminya selepas dia mati. Apalagi ketika orang juga mula mengingatkan sebuah lagi novel yang pernah ditulisnya sebelum itu, berjudul Autoportrait.

Di dalam Autoportrait, dia menjadi dirinya sendiri dan tidak lagi berselindung sebagai suara kedua atau ketiga yang bercerita, meletakkan diri sendiri untuk dianalisa, oleh dirinya sendiri juga. Ketekalan terhadap diri di dalam merelakan pengalamannya untuk diselidik dan dibongkar seperti ini, akan memberi makna yang lain kepada sesebuah kerja tulisan. Kerana, tak ramai yang mampu untuk berlaku adil jujur ketika berhadapan dengan diri sendiri. Berapa ramai yang benar-benar berani untuk mengakui dosa-dosa yang pernah dilakukan di depan khalayak? Tetapi, terlalu ramai yang berhelah untuk menunjukkan bahawa yang ada pada dirinya adalah hal-hal yang molek seri sahaja.

Daripada dua novel kecil ini juga terjelma seperkara yang kerap diperhitungkan oleh pembaca yang hadir ke dalam teks sastera dengan jangkaan serta set-set nilai yang terlingkung oleh budaya setempat dan geografi – yang pada kebanyakan waktunya tidak sama dengan latar pengalaman diri pembaca; persoalan moraliti dan nilai hidup, yang ketika ada yang ingin memperjelas, selalu terbatas kepada kerangka faham yang tak lepas. Dengan teras bicara ‘bunuh diri’ dan ‘telanjang diri’ seperti yang dipamer penulisnya, akan ada dua norma yang saling bertembung sekaligus, yang mengapit dari sisi yang berbeza. Pertama, pandangan yang bersifat pessimistic, yang memandang kehidupan dengan mata kelam dan ketidak-berdayaan insan. Ini cukup jelas dengan hala pengakhiran riwayat seperti yang dipotretkan oleh pengarangnya seperti di dalam Suicide.

Kedua, yang bertentang dari situ, adalah satu daerah optimistic. Perkara terselindung ini lebih janggal untuk dipersembahkan, kerana, seperti fikrah tanggapan secara umum, cadangan pandangan yang berbaur negatif lebih mudah untuk mengaburi mata pandang dalam menilik bayangan yang ada di dalam novel ini – apa lagi ketika kita yang membacanya tidak mempunyai keyakinan walau apa pun terhadap sang pengarang (merujuk kepada set nilai yang dinyatakan awal tadi). Tersangat mudah juga untuk difahami, sekiranya akan ada orang yang menentang nilai-nilai sebegini daripada ditonjolkan di dalam sebuah hasil penulisan yang nanti ingin dipanggil sastera. Dan, di sini ironinya kombinasi kedua-dua novel nipis berkenaan; di satu sisi, ia memaparkan kekalutan jiwa manusia (dalam konteks ini dalam desakan mendepani kehidupan di Perancis) dan di sisi lain, ia melonjakkan satu tenaga yang luar biasa untuk sebuah teks yang berlingkar di gigi sastera. Kerana, bagi kes Leve, dia benar-benar sudah mati dan melepaskan kerja-kerjanya untuk memacu imajinasi pembaca secara bersendiri; tanpa dirinya untuk membuat apa-apa penjelasan atau sanggahan.

Yang sastera itu mungkin adalah kejelasan bahasanya. Atau mungkin juga ketelusan di dalam meranduk pengalaman pengarang, yang tanpa bermuka-muka, diketengahkan seadanya. Yang melengkapkan selepas itu adalah ideanya. Dan di sini, Eduoard Leve di dalam caranya tersendiri menunjukkan kepada kita bahawa akan selalu ada pandangan yang muncul dengan sinar terang dari satu sisi lain yang gelap, bertentangan dengan apa yang kita percaya; caranya ini membuka ruang kepada khalayaknya untuk menikmati seperti apa yang kerja-kerja penulisan yang berhasil sepatutnya lakukan.

Yang dimaksdukan ialah kejujuran terhadap diri sendiri; diri yang dikorbankan (tentulah akan ramai yang mencemuh dengan perlakuan seperti ini, terutama jika mengambil konteks nilai di Malaysia) yang kemudiannya mengalihkan nilai dan nyawa yang lain kepada kerja penulisannya, yang kini ketahui, sangat minimum bilangan judulnya.

Ada petikan lain yang menarik juga, ingin diperturunkan di sini:

Dalam puisi, aku tak suka bahasa yang melewah, aku gemarkan fakta dan idea. Aku lebih berminat terhadap neutraliti dan kesamaran perkongsian antara bahasa kita berbanding cubaan penyair untuk menciptakan bahasa mereka sendiri, laporan berfakta untuk saya adalah puisi yang tidak puitis paling indah pernah ada. – Autoportrait.

Itu petikan dari halaman tengah Autoprotrait, yang sejak dari awalnya dimulakan dengan nada sama; jelas dan tidak berkompromi. Agak aneh kerana ia bukanlah sebuah esei misalnya – walaupun dalam nada yang diyakini begitu, melainkan sebuah novel pendek tentang diri penulisnya, yang dicatatkan dengan sangat terperinci dan dalam gaya yang tak terduga; setiap satu perincian hanya diperkatakan di dalam satu-dua bari ayat. Dan novel ini dipersembahkan hanya dalam satu perenggan sahaja – maka terpedayalah mereka yang selama ini terbiasa dengan andai bawa novel itu wajib ada bentuk yang tersendiri.

Kesusasteraan bukanlah sekadar pengesanan terhadap bentuk. Pertimbangan dan penekanan terhadap itu semata-mata adalah terlalu serong. Kesusasteraan tidak lain adalah roh yang menghidupi mana-mana hasil tulisan – bahasa, dan kemudian idea disebaliknya. Cara penyampaian soal terkebelakang dan merupakan satu pilihan, asal saja mampu memikat dan mengembangkan unjuran imajinasi. Ini yang berhasil ditunjukkan oleh Eduoard dengan bertenaga.

Ketika novel-novel kecil berkenaan ditanggapi oleh sang pembaca, ia menjadi sebuah bacaan yang mengundang rasa resah, memunculkan pertanyaaan-pertanyaan mudah atau rumit serta menjadikan mereka seolah-olah tidak dapat mengesan antara yang nyata yang rekaan. Digaris halus seperti ini, adalah apa yang dipanggil bau nafas kesusasteraan. Beruntunglah Leve kerana di rantau tempat dia menulis, dia tidak terbeban dengan andaian atau tanggapan orang terhadapnya yang dinilai bersandarkan kepada apa yang ditulisnya. Kerana, rahsia disebalik itu biarlah tertinggal di dalam jasadnya yang sudah mati. Kerja-kerja penulisannya mempunyai jalan lain, yang mungkin tak akan mengingatkan orang kepada sosoknya yang sebenar. Tetapi dua novel ini akan hidup untuk beratus tahun lagi. Jadi, jika kita yang membacanya di sini, bagaimana untuk menanggapi permasalahan set nilai yang dibawa sekali oleh Leve di dalam penulisannya ini, dalam maksud untuk mendepani sisi universal sastera dengan mata yang lebih cerah?

– Pertama kali terbit di Dewan Sastera, Jun 2014.

 

Advertisements
Angin Dingin Dari Perancis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s