Dari Mulutmu Ku Dengarkan Syorga

LALUAN INI, WALAU SUDAH berkali-kali ditempuh untuk sepinggan nasi dengan kuah daging masak hitam, tetap tak pernah sama kelibat orang-orang yang menghuni atau melimpasinya. Ketika kau berlalu tanpa pesan malam itu, dari tempat dudukmu di sisiku yang basah terkena cair liur dari mulutku sewaktu aku bercerita kepadamu dengan panjang lebar tentang keperluan untuk membangun pandangan yang rencam dalam menelisik sesuatu hal, aku melihat seorang pelalu yang setia, tanpa aku memaklumkan kepadamu tentunya, sedang tekun mengutip sisa-sisa harapan yang bertebaran di atas turap jalan di sepanjang laluan ini untuk dikalungkan ke leher isterinya yang cantik di rumah sakit.

Walaupun tubuhnya terlihat lusuh dan roboh, jiwanya barangkali tak pernah tewas dalam merangkul kegetiran yang dihempas ke bahu; dari kening yang terlihat pada pelupuk mata orang sepertinya, dia sudah terlalu sebati dengan kepayahan. Sehingga untuk merenung terus ke dalam matanya membuatkan nyali orang seperti kita menjadi goyang.

Setiap malam selepas perbualan terakhir kita tempoh hari, ketika ada kelelawar mula mengacah terbang ke muka – hari sudah sedikit melewati senja yang kuning, aku perhatikan dengan terperinci; dia akan melalui jalan yang sama dalam kembara kecilnya pulang dari rumah sakit. “Nyawaku sedang dirawat dengan darah berlainan jenis yang tak serasi dan tak mencukupi. Aku pula hanya mampu bawakan ini kepada perempuan yang paling aku cintai.”

Ada gelombang bunyi yang terlepas bebas diudara, dengan alunan suara azan bergetar bersama, dari kumandang corong sebuah masjid putih yang terletak bersebelahan, menyapa telinga dengan lembut. Ketahuilah kau, pada sebuah malam yang terluka seperti itu, aku melihat telapak tangannya yang dibuka. Hanya kata-kata rupanya yang diusung ke rumah sakit, dalam beberapa baris ayat yang ditulis tangan. Sepotong doa yang tak berapa jelas dakwatnya untuk dibaca. Aku bertanya, kalau-kalau ayat itu dikarangnya sendiri. Balasnya, tidak. Katanya, sepotong ayat yang mujarab tak akan pernah lahir dari gelombang fikiran yang malas dan lalai.

Dia mendapatkan kata-kata itu daripada seorang lelaki separuh umur yang selalu ada di laluan ini, jelasnya lagi, yang sering mengulang-ulang kegilaan entah apa yang terbit dari dalam kepala secara mendadak menerusi mulutnya. “Tetapi, aneh sekali. Setiap mendengarkan ayat-ayat yang berlainan itu saban hari, yang aku bacakan kepadanya, isteriku selalu tersenyum dengan penuh misteri. Wajahnya cerah untuk beberapa ketika, yang kadang-kadang membuat hati aku berasa tersangat khuatir dengan kehairanan maha dalam yang sekaligus menakutkan. Kau pernah merasa begitu?” Dia menunjukkan potret isterinya yang baru dirakamkan sekejap tadi, dari paparan belakang kamera digital kecil yang dibawa keluar dari dalam poket depan seluar jeans lusuh yang dipakai.

Agaknya hal-hal begini memang selalunya betul; perempuan boleh saja menjadi maharani paling anggun sekaligus menggerunkan. Dalam suasana yang paling kacau, tetap memiliki kecantikan seperti mengatasi ibu segala rasuk, melebihi sekadar keindahan muka kulit dan pinggul lentik model-model selebriti seksi yang wajah dan tubuh separuh bogel mereka sedang terpampang ditampal pada papan iklan jauh di depan pandangan dihujung jalan sana. Walaupun saluran getah dan jarum-jarum sedang berselirat menyucuk tubuhnya dengan ganas, yang lemah dan tergelimpang tersadai di atas katil wad 8, wajah sang isteri itu terlalu cantik untuk cuba dilupakan, sehingga setiap keperitan apa pun yang sedang aku tanggung disebabkan olehmu, kurasakan semuanya seperti akan terhapus dan larut bersama bau ubat-ubatan dan keluar dari tingkap di dalam gambar itu, sebelum kemudiannya meresap sebati dengan udara yang aku hirup keluar dari dalam kamera suaminya.

Diam-diam, aku memasang hasrat untuk bertemu sendiri dengan lelaki separuh umur yang dikhabarkan, yang mampu melafazkan kata-kata sakti sampai berhasil menyembuhkan sakit, walaupun sekejap. Angin dingin datang melanggar tubuh, dan dalam gigil yang nyeri, aku terfikirkan tentang kata ‘sembuh’ yang pernah kau ucapkan; bukan terhadap kesakitan batang tubuh, sebaliknya seperti sebuah azimat yang selalu disematkan dalam rupa benang tiga warna yang dipakaikan ke pergelangan tangan seorang bayi yang tak berhenti menangis selepas terlihat iblis; guna untuk merawat kepunahan semangat dan emosi yang bersarang di dalam pusar kompleks modeniti fikiran manusia yang ditinggalkan dalam kebuk dan khayal berkepanjangan, sendiri-sendiri dengan pandangan yang berpetak-petak, sengaja disekat tanpa disedari. Juga buat mereka-mereka yang tetap enggan mengakui surutnya kepekaan deria yang diperlukan untuk mengimbangi penta’akulan hidup. Seperti aku. Seperti kau.

Tujuh malam dan aku masih belum menemukan lelaki yang dikatakan. Setiap hari, selepas senja hingga awal pagi, aku akan menunggu di situ. Seperti menunggu cinta sejati, yang tak pernah berkunjung memeriksa keadaan perasaanku. Seperti kesetiaan kita terhadap sebuah mitos yang sudah berpuluh-puluh tahun disuapkan untuk dipercayai. Aku pesan makanan dengan hidangan yang sama sepanjang tempoh itu; nasi putih dengan lauk daging masak hitam; hanya kerana itu adalah hidangan kegemaranmu (dan waktu-waktu itu sebenarnya aku teramat merindukanmu). Hanya ingin menunjukkan secara kias untuk kau kesani, bahawa kesetiaan boleh saja datang dalam pelbagai bentuk. Dengan teh ais yang sengaja aku biarkan sampai jadi ceroi dalam cawan plastik, terasa kelat dan tawar; aku menunggu terlalu lama untuk detik yang tak pernah ada. Untuk sang lelaki separuh umur, dan juga untuk dirimu.

Selepas makan, tanpa ada apa-apa perkara lain untuk dikerjakan, aku terus melengahkan lagi sedutan terakhir air teh sejuk dari gelas keempat yang ketika itu gagal untuk mengandung satu apa pun perisa dihujungnya. Gagal yang teramat. Yang paling kerap aku terserempak ialah dengan lelaki yang asyik-masyuk berulang-alik ke rumah sakit, setiap hari dengan doa yang berlainan tertulis ditangannya. Seolah-olah itulah perjalanan yang paling membahagiakan, secebis rasa yang rumit dijelaskan pernah terjadi dari dalam hidupnya, untuk dilemparkan tenaganya kepada penantian aku sendiri yang semakin mengusutkan. Sedangkan aku langsung tak punya kesempatan untuk bertemu dengan lelaki separuh umur yang menurunkan doa itu kepadanya; seperti lelaki itu, aku juga punyai rahsia yang tak akan kau ketahui dari cerita ini. Aku sangat memerlukan kata-kata yang berupaya menyembuhkan semangat, untuk dibaca oleh sesiapa pun ketika waktuku sudah menghampiri titik hujung – seperti isterinya.

Aku pandang dengan tenang kepada mereka yang datang meminta-minta wang kecil untuk dijadikan bekal esok hari. Kerana kita tak pernah tahu apa yang akan diberikan olehnya, maka aku belajar-belajar untuk memberi. Sebelum itu, 1.5 kilometer berjalan kaki memasuki perut kota yang gelap pada malam yang tak terlalu hangat, peluhku tetap membasahi seluruh tubuh. Berlengas, hanya untuk merasakan kehangatan sebuah doa yang dibacakan dengan ikhlas dan jelas; air liur yang turun deras ketika menghampiri kata-katamu. Harummu yang masih tertinggal di situ, dari jauh telah mencederakan aku. Aku melihat menembusi cermin sedepa dari tempatku mengelamun; kau hilang sekelip mata dan digantikan oleh seseorang yang mulanya menampakkan wajah yang cerah. Dengan wang beberapa ringgit ditangan hasil pemberian orang, seorang daripada peminta sedekah itu memulakan perbualan dengan tembok.

“Aku adalah kamu. Seperti sebahagian daripada dirimu yang lalai, aku adalah iblis yang mencari setiap peluang untuk sebuah muslihat. Dan, tanpa kau sedari, aku juga adalah Tuhanmu yang selamanya mencuba mengajarkanmu untuk menakluk ketakutan sendiri. Terpulang kepadamu dari corong mana kau ingin mencermin diri. Pilihan sentiasa berada di tanganmu. Dari langit yang membawa turun tunggangan bersayap, jangan sampai aku pijak lumat keangkuhanmu. Pandang ke atas, tetapi jangan terlalu lama mendongak. Belajarlah, dengan penuh kepayahan untuk tunduk, dalam perjalananmu yang selalunya mengelirukan ini. Berjalanlah, tanpa khuatir. Kelak kau tak akan menemui siapa-siapa, kecuali dirimu. Dan doamu dari qalbu yang paling dalamlah yang akan menjadi ayat-ayat pesona pengikat kepunahan hati.”

Kata-kata ini, kalau kau ingin tahu, ditulis di atas secebis kertas keronyok dan diletakkan di atas meja, dipegang dari ditiup angin sederhana deras yang lalu oleh basah ais yang mengalir sedikit di atas meja ketika aku khayal untuk bersungguh-sungguh cuba menangkap apa yang disebutkan oleh peminta sedekah itu di depan tembok. Aku tak tahu siapa yang meletakkannya di situ, dan bagaimana aku tak menyedari hal itu adalah kerana kelemahan deria aku sendiri. Sebuah kejadian yang amat membingungkan aku. Kalau kau ingin turut sama mencari rahsia dari cerita ini, misalkan saja rahsia dari cerita yang aku sendiri tak mampu untuk rungkaikan ini, batalkan saja hasratmu.

Ada eloknya kau kembali kepada sang pencintamu, dan jangan pernah putus asa untuk menyatakan rasa hatimu dengan keberanian yang diletak di depan mata. Aku tak dapat membantu, kerana aku sendiri waktu ini agaknya sedang berdiri dihujung tebing sebuah harapan yang gagal, menunggu untuk terhumban jatuh (cuma aku berharap, sayap perak akan sempat tumbuh dibelakang bahuku). Aku terlalu bingung untuk berfikir dengan lurus. Aku berharap untuk tidak lagi berjumpa dengan lelaki dari rumah sakit itu, dan sekaligus berhenti membingungkanmu. Kerana, dia hanya membawa ingatanku kembali kepada iblis, yang perlahan-lahan melenyapkan rasa cintaku kepadamu.

 – Pertama kali diterbitkan di http://www.roketkini.com.

Advertisements
Dari Mulutmu Ku Dengarkan Syorga

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s