Dialog Dengan Sasterawan

DDS-Depan

Salinan edisi pertamanya lusuh, kulit depan warna coklat dengan ilustrasi orang lidi yang tidak terlalu membangkitkan syahwat membaca, terletak entah di mana, mungkin selalu tertimbus di bawah kalangan buku-buku lainnya yang separuh daripadanya itu adalah lambang ketewasan nafsu, yang tersekat di antara mengumpul buku dan membaca buku, awalnya di sebuah kuaters di Kerinchi, kemudian di bawa berpindah ke sebuah ruang kecil lain di Petaling Jaya Selatan.

Tetapi, di dalam tahun-tahun sebelumnya, ia sudah sempat dihadam; yang terkesan daripada pembacaan itu adalah sebuah tenaga dan daya fikir pengarangnya yang mencurahkan masa untuk menelaah teks-teks kesusasteraan dekad 50an hingga 70an. Kemudian, selepas itu senyap; pengarangnya, Kassim Ahmad, di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1976. Pada 1977, buku ini, Dialog Dengan Sasterawan, pertama kali terbit dan menemui pembaca –  sangat mungkin di dalam jumlah yang tidak terlalu besar. Selepas daripada penangkapan ini, Kassim Ahmad bukan lagi seorang Kassim Ahmad yang sama.

Yang terkandung di dalam lembar mukasuratnya adalah tulisan-tulisan yang tajam dan menarik tentang sastera, terutama karangan penerbitan bahasa Melayu waktu itu. Kemudian, di tahun 2013, ketika berkesempatan bertandang ke Kulim, Kedah dan menemui pengarangnya sendiri, saya suarakan keinginan saya untuk melihat naskah itu diterbitkan semula, dan bertemu dengan pembaca-pembaca baru. Kerana, terlalu ramai yang merasai diri sebagai penulis kini, dengan kesedaran yang bermacam-macam, termasuk yang menggelikan hati, menerbitkan tulisan-tulisan yang difikirkan menarik. Tak salah tentunya untuk menerbitkan tulisan apa pun, cuma saya beranggapan adalah lebih menarik jika pembaca (dan sesiapa yan ingin memahami penulisan) belajar sesuatu daripada himpunan esei ini.

Kassim Ahmad bersetuju. Kemudian, bermulalah sebuah proses yang memenatkan; kami mengambil jalan panjang untuk menerbitkannya semula. Bermula daripada menaip semula keseluruhan teks asal daripada edisi pertama itu satu perkataan demi satu perkataan, mereka-letak semula agar teksnya tampil lebih menarik dan mudah di baca, mencetak salinan contoh awal, berhenti untuk beberapa lama kerana terlalu leceh untuk memeriksa dan membandingkan dengan teks edisi awal agar tak ada yang terciciri, disambung pula dengan proses membaca semula teks dan membetulkan semula tanda baca dan penggayaan teks, membuat tidak kurang lima cadangan reka sampul utama setelah gagal berpuas hati dengan sampul muka depan dan belakang yang ada, memencetak lagi tidak kurang daripada dua salinan akhir untuk disemak semula sebelum ia dirasakan betul-betul siap untuk masuk cetak di kilang. Kurang lebih sembilan bulan tempoh di ambil untuk menangani hal-hal belakang tabir penerbitan buku ini.

Dan ketika melihat hasil akhir yang sudah tersedia ini, saya perlu berterima kasih kepada teman-teman yang membantu sepanjang proses penerbitan buku ini; Syikin yang menaip semula keseluruhan teks daripada buku asal dan membaca pruf peringkat awal, Shafiq yang mereka-letak teks dalam bentuk yang dapat dilihat kini, Casey yang sempat melakar ilustrasi untuk dipertimbangkan bagi kulit depan dan Zhafran yang masuk dan mengerah tenaga bagi menepati citarasa saya untuk muka depan dan belakang buku ini dan yang terakhir, kepada Wan Hamidi yang sudi untuk menulis kata pengantar berdasarkan pelangalaman peribadinya bersama sosok Kassim Ahmad, di saat-saat akhir ketika sepatutnya buku ini sudah masuk cetak. Terima kasih tak terhingga kepada semua mereka kerana bersabar melayan karenah saya. Ia sebuah usaha bersama yang banyak mengajar.

Dan sekarang, Dialog Dengan Sasterawan oleh Kassim Ahmad ini siap untuk ditatap dan dibaca. Dengan tambahan sebuah teks, Syarahan Pendeta Za’aba yang disampaikan di Universiti London pada 1992, yang sebelum ini tidak disertakan dalam naskah edisi pertamanya. Silakan menikmatinya. Juga, jika ada yang ingin dibincangkan, nyatakan saja.

Lupakan sementara Kassim Ahmad dengan pandangan-pandangan politiknya yang berhayun dari kiri ke kanan, atau pandangannya tentang agama yang selalu menimbulkan kontroversi. Ini Kassim Ahmad di dalam bentuknya yang jauh lebih menarik dan punyai dinamika lain yang mampu memberikan sedikit rasa kepada air tawar sastera Malaysia kini.

– Hafiz Hamzah, 1 Oktober 2014.

DDS-Belakang

*Dialog Dengan Sasterawan diterbitkan oleh Pustaka Obscura dan di jual pada harga RM25 senaskah. Untuk pembelian, semua maklumat berkaitan ada di sini. Kepada yang ingin mengedarkan buku ini, atau jika mempunyai apa saja pertanyaan, emelkan ke obscura.malaysia@gmail.com atau hubungi 012-3005070.

Advertisements
Dialog Dengan Sasterawan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s