Kritik, Kraf & Kehalusan: Pertanyaan-Pertanyaan Tentang Sastera

Saya ingin percaya bahawa kritikan sastera di Malaysia ketika ini berlangsung dengan penuh ghairah dan sedang mengutarakan kepelbagaian suara yang rencam (yang perlu diberi perhatian), seperti mana saya sebagai warga yang prihatin seharusnya meyakini bahawa kesusasteraan di Malaysia, terutama sekali bagi karangan dalam bahasa Melayu, memang berada di tempat yang wajar dan menjulang tinggi seperti sebuah panji yang menaungi – sekurang-kurangnya di taman permainan sendiri – tanpa banyak soal.

Malangnya, itu tidak berlaku. Ada waktu, ketika celik mata pertama selepas tersedar dari tidur malam yang pada kebiasaannya kacau-bilau dan haru-biru, saya serta-merta akan bertanya lagi tentang keyakinan saya itu. Mempermasalahkannya sudah menjadi semacam satu keperluan, setiap kali. Ini kerana, saya gagal untuk menemui jawapan yang memuaskan; apakah sastera Melayu kini berada ditempat di mana ia berhak bersemayam, atau sedang diusir ke suatu sudut yang kelam oleh pelaku-pelakunya sendiri? Bersemayam di sini saya maksudkan di atas takhta, bukan di kuburan.

Jadi, di mana tempat kesusasteraan Melayu yang sepatutnya? Ketika ini, saya tak dapat memikirkan satu jawapan lain untuk menolak keyakinan awal saya bahawa sastera, dari mana pun datangnya dan dalam bahasa apa pun ia dilahirkan, wajib berada ditengah-tengah lidah penuturnya sendiri terlebih dahulu. Dalam maksud yang lebih ringkas berhubung perihal latar yang ingin dibincangkan di sini, sastera Melayu perlu sebati dengan tubuh-tubuh yang bercakap dan berfikir di dalam bahasa Melayu; tentunya di dalam skala yang meluas, bukan sekadar dalam skala yang segelintir.

Ia perlu menjadi satu unsur penting, bukan saja dalam pembudayaan, malah terangkum sebagai sesuatu yang penting juga dalam perjalanan kehidupan khalayaknya; sastera berperanan selaku sauh yang akan sentiasa mengikat imajinasi khalayaknya teradap segala macam kerencaman yang didepani, dalam apa juga iklim dan latar budaya serta rentang waktu. Sastera tidak boleh hanya menempel dipinggiran dan menjadi sekadar barang sampingan untuk melawa.

Dan, jika perkara ini tidak berlaku, atau tidak lagi berkembang seperti yang sepatutnya, maka wajib kita mempertanyakan soalan yang lebih sukar kepada diri sendiri; apakah kita sudah melakukan yang terbaik dan mengerjakan perkara yang betul untuk kelangsungan kesusasteraan setempat? Malangnya lagi, menerusi kerja-kerja penulisan yang diusahakan dan diterbitkan dengan medium apa pun kini, ia seperti tidak tercermin dengan jelas dan sukar untuk dikesani berlangsung dengan sihat, paling utama dalam kalangan lingkungan yang mengaku diri sebagai penggerak atau penikmat sastera.

Andaikan telahan saya ini benar (dan tentu saja ia terbuka untuk disanggah), adakah kelompok sastera ini berani untuk mengaku kelemahan yang sedang terpampang ini dan seterusnya belajar daripada kesilapan itu? Di sini saya sedang melihat kepada rangkaian pemuka dan operator sastera establishment, antaranya yang dirujuk sebagai sastera institusi (meletakkan dan menilai sastera di bawah sayap birokrasi adalah satu kesilapan besar yang sudah terbukti sendiri kini; bagaimana mungkin sastera yang sifatnya mengalir dan berpencak dengan seribu macam kemungkinan hendak ditadbir-urus?), pemenang-pemenang hadiah sastera dan sesiapa saja yang menggelar atau merasakan diri mereka sebagai sebahagian daripada golongan sasterawan. Saya tak tahu bagaimana kamu menanggapi pernyataan ini, tetapi untuk saya yang bertanyakan soalan berkenaan, ia bukanlah satu nada yang angkuh untuk mempersoal status, sebaliknya sebuah suara tegas yang menuntut jawapan jelas. Adakah kita masih mahu berpura-pura  dihadapan kesusasteraan yang semakin longlai dan tak disambut oleh pembacanya sendiri?

Mengapa saya berpandangan kesusasteraan Melayu sangat lesu? Tanyakan kepada diri sendiri, berapa ramai manusia yang bertutur dan berfikir dalam bahasa Melayu kini yang mengambil judul-judul dari kesusateraan Melayu – ada yang menyebut sastera arus perdana, kerana golongan ini menonjolkan diri sebagai pemuka sastera – dengan rela hati semata-mata untuk dinikmati isinya?

Saya mungkin tersilap, tetapi saya cukup yakin bahawa nisbahnya begitu kecil jika dibandingkan dengan jumlah seluruh manusia Melayu yang membeli dan membaca bahan bacaan di dalam bahasa Melayu waktu ini. Juga, mengapa sastera, di dalam imej establishment berkenaan, berada begitu jauh daripada selera orang muda? Ini bukan merupakan satu masalah yang dihadapi di Malaysia sahaja, tetapi asakan yang sama berlaku di seluruh dunia. Cuma, situasi di sini jauh lebih merimaskan kerana bilangan khalayak pembacanya sangat kecil.

Tolak tepi teks pengajian sastera yang diwajibkan di sekolah atau mata pelajaran berkaitan sastera formalistik di pusat pengajian dan sebagainya; adakah kini kesusasteraan masih menjadi sebahagian daripada unsur pembentuk budaya, tanggapan dan proses pemahaman tentang kehidupan, misalnya? Atau, soalan yang lebih berterus-terang, adakah orang membaca karangan-karangan sastera hari ini? Jika jawapan kamu ya, tahniah. Kamu warga yang prihatin. Tetapi, sekarang sila pandang keluar dari lingkungan dan kelompok kamu sendiri itu; adakah sastera menjadi suatu hal yang dekat dengan khalayak?

Jika kerja-kerja yang dipanggil sastera ini tidak lagi disambut oleh orang-ramai di dalam iklim pembacaan yang bertambah rancak waktu ini, mahu atau tidak, soalan-soalan sukar ini perlu diajukan kepada kelompok dan pemuka serta pelaku sastera, dan ia perlu dihadap dengan hati  yang terbuka. Novel apa yang mereka karang? Puisi apa yang ditulis? Bahasa sastera yang bagaimana mereka gunakan sehingga sastera menjadi terlalu asing dihadapan khalayaknya sendiri di dalam rentang waktu dan iklim sosi0-budaya seperti sekarang?

Mengapa jurang yang ada kini terasa begitu besar di antara karya sastera dan khalayak pembacanya sendiri? Adakah sastera ini takdirnya diakhir nanti akan dikutuki untuk menjadi pekerjaan yang sia-sia, bukan saja tak disambut malah tak mampu lagi memberikan walau sekelumit sumbangan waima hanya di dalam ruang imajinatif khalayaknya sendiri? Ini adalah sebahagian daripada pertanyaan-pertanyaan yang kerap saya ajukan kepada diri sendiri. Ada eloknya jika soalan-soalan ini ditanyakan juga kepada diri kamu untuk dijadikan permenungan.

Ketika cuba mengalih pandang kepada peranan sastera, atau kesannya kepada khalayak pembaca, kita akan berdepan dengan sebuah sayap lain dari kesusasteraan, yang dipanggil kritikan. Dan, untuk beberapa tempoh kebelakang, pandangan kritik sastera yang di hidangkan untuk menilai suasana kepengarangan di sini ialah dari latar akademik yang formalistik sifatnya. Saya selalu kebas otak membaca kritikan sastera begini, yang biasanya akan termuat di dalam penerbitan seperti Dewan Sastera atau kajian-kajian yang disifatkan ilmiah oleh sarjana di universiti mahupun kertas-kertas kerja ke atas mana-mana karangan yang dianggap sastera (yang jarang-jarang boleh dicapai oleh orang biasa).

Hal-hal teknik dan perlambangan bulan-bintang tak habis-habis dibincangkan, secara berulang-ulang, seperti tak ada dinamika lain yang boleh memacu corak perbincangan ke atas sesebuah karya sastera, yang sekali gus berlegar dalam nuansa yang boleh di manfaatkan oleh sesiapa saja yang menaruh putik minat kepada sastera. Atau, saya mungkin sekali lagi tersilap; mungkin ada percubaan-percubaan untuk meletakkan warna lain yang lebih menarik kepada kritik begini, tetapi cara ia ditulis dan disampaikan pada kebiasaannya akan membunuh nafsu pembaca yang bermula pada awalnya dengan rasa ghairah.

Tentulah tak ada silapnya untuk meneruskan perbincangan kesusasteraan formalistik atau kritik sastera akademik yang selama ini menjadi pusar utama kritikan yang kita miliki. Tetapi, izinkan saya mengajak kamu untuk sama-sama memahami lapis-lapis awal bagaimana proses berkenaan berlangsung; seorang pelajar lapangan sastera menanggapi keperluan kritikan sastera, pada peringkat yang paling awal yang menjadi matlamat utamanya, adalah untuk memperoleh segelung ijazah. Ia bukan bertolak daripada kesedaran di atas keperluan meruncing untuk melakukan kritik sastera itu kerana himpitan semasa lanskap kesusasteraan.

Disebabkan ini, peranan sarjana selepas mereka meraih gelung ijazah – kerana itu yang diharapkan sebagai balasan timbal bagi kritikan berkenaan – denyutnya langsung hilang dari tengah gelanggang sastera. Mungkin dengan pengecualian kepada segelintir kecil yang masih melakukannya, yang mana sangat mungkin mereka ini merupakan pengarang sendiri yang terlibat di dalam proses menghasilkan pernerbitan bahan sastera untuk kesusasteraan, bukan untuk imbuhan lain. Bagaimana saya sampai kepada kesimpulan ini?

Saya hanya ada ini untuk ditanyakan; berapa jumlah graduan sastera yang dilahirkan negara ini setiap tahun dan adakah kelompok ini berhasil memacu perbincangan sastera di tengah-tengah khalayak umum? Atau cara berfikirnya masih tersangkut di dalam pagar universiti? Tolong katakan bahawa saya silap; mungkin golongan pelajar lapangan sastera yang sudah menjadi sarjana yang memilih kritikan sastera sebagai cabang kajian, ketika tamat pengajian, gagal untuk memahami sebetulnya seperti apa pergolakan dan pertembungan yang berlangsung dalam situasi sebenar yang berlangsung rencam dengan kerumitannya yang tersendiri di luar?

Walaupun sukar diakui, sebetulnya ada imabalan balik yang diharapkan – iaitu segelung ijazah – bukan keinginan untuk melihat kesusasteraan itu tumbuh matang semata-mata (walaupun kesedaran itu mungkin timbul kemudiannya). Jika bukan kerana gelung ijazah ini, mungkin tak ramai yang akan berkeinginan untuk meneruskan usaha kritikan. Suka atau tidak untuk mengakuinya, segelung ijazah adalah perangsang utama kelompok ini dalam melakukan kerja-kerja kritik sastera. Tetapi, yang cuba saya beri penekanan di sini ialah sebuah budaya dan ketegasan kritik sastera yang bergerak di luar lingkungan formaliti; yang dilakukan hanya kerana merasakan kesusasteraan itu perlu untuk diberi perhatian baru, dari corong yang lebih menaikkan ghairah khalayak untuk terjun lebih dalam untuk memahami apa itu kesusasteraan.

Kritikan sastera yang bermakna bagi saya adalah sebuah kritikan yang membuka penglihatan baru terhadap sesebuah teks, dan membantu khalayak dalam menanggapi perkara itu, tanpa mengira dari aliran mana ia hadir. Kritikan sastera tidak saharusnya menyudutkan sesebuah teks dan menghadapkannya ke muka dinding untuk menunggu hukuman tembak mati. Pertembungan-pertembungan kritik-teori-idea yang tercetus sebenarnya adalah rahmat yang tak terkira kepada pembaca-pembaca yang kritis.

Ia lebih penting kesannya terhadap penulis; proses pemahaman tentang kepengarangan akan menjadi aktif dan kritikal dan berterusan untuk mencari jalan baru. Yang akan dinilai daripada karangan mereka itu nanti bukan lagi sekadar gaya yang mengelabui di luar – seperti yang biasa tercermin pada laporan penilaian sayembara penulisan di sini misalnya – tetapi teras isi yang dikandung di dalamnya dan bagaimana ia disenyawakan untuk memberi martabat baru kepada kesusasteraan.

Saya juga melihat penggunaan kata seperti ‘sastera’ atau ‘seni’ dengan penuh sangsi. Setidak-tidaknya terhadap pemisahan yang sudah berjaya dilakukan oleh pelaku-pelakunya waktu ini. Maksud saya, jika disebutkan kata ‘sastera’, perkara pertama yang saya rasakan ialah sebuah jarak. Jarak daripada jurucakapnya, jarak daripada hasil kerjanya, serta jarak daripada untuk terus mendekatinya, walaupun sudah berusaha keras.

Ia sudah menjadi sesuatu yang bukan lagi merangkum, atau di dalam istilah Inggeris disebut inclusive, sebaliknya menjadi sesuatu yang begitu terasing, tersudut dan terpencil; hal yang terpancar daripada perkembangan ini seolah-olah ingin mencadangkan bahawa ‘sastera’ hanyalah urusan segelintir orang terpilih, dan kononnya orang biasa tak lagi mampu memahami atau merasai getus kesusasteraan di dalam nadi mereka, seperti mereka ini terpisah terus dari kesusasteraan itu sendiri.

Ini adalah sebuah kenyataan untuk kita depani hari ini, bukan lagi sebuah mimpi buruk. Dan ini juga merupakan sebuah ironi yang begitu aneh dan melucukan; satu daripada perbincangan tentang sastera yang pernah berlangsung pasca-merdeka dahulu dengan bahang yang dapat di rasakan oleh banyak golongan di dalam lanskap kepengarangan bahasa Melayu di Malaysia waktu itu adalah pertembungan pandangan antara kolompok-kelompok yang mengangkat ‘seni untuk masyarakat’ dan ‘seni untuk seni’.

Sekarang ini, seolah-olah garisnya sudah menipis dan kedua-duanya sudah jadi tak tentu arah. Jika dua jalur ini sudah tidak relevan, ke mana pula jalannya sastera selepas ini? Saya tinggalkan soalan ini untuk difikirkan. Walaupun banyak kertas kerja tentang menetapan hala tuju yang selalu dibentangkan – yang tidak saya tahu apa isi kandungannya – saya hanya terfikirkan satu perkara; ketika keghairahan untuk menentukan hala tuju itu, adakah ‘penggubal dasar sastera’ ini sedar dan cukup arif tentang keadaan semasa dan di persimpangan mana kita berada sekarang, dalam sebuah rangkuman pemahaman yang menyeluruh dan bukan sekadar mengambil kira kepentingan kelompok sendiri semata-mata?

Literatures are complex realities. Pernyataan ini bukan merujuk kepada aliran apa yang sepatutnya terkandung dan membentuk sebuah kerja sastera, misalnyas realisme atau apa saja jalur teori yang ingin dianuti, tetapi sebaliknya ia merupakan sebuah pernyataan untuk melihat dan menilai perhubungan dan rangkaian di dalam lingkungan yang terkesan oleh kesusasteraan yang berlaku di luar teks, bagaimana suasana yang melahirkan, menggerakkan atau mematikan sebuah kitaran kesusasteraan; sebuah kitaran menyeluruh kritikan sastera bukan lagi hanya sekadar tertumpu kepada pengarang dan teks semata-mata.

Di dalam latar perkembangan di Malaysia, saya fikir ini adalah satu keperluan yang memuncak dan kritik sastera, di dalam maksudnya yang lebih meluas dan merangkum, perlu hadir untuk mengimbangi ketempangan di ruang yang lebih besar. Yang dimaksudkan ialah eco-system yang terlibat di dalam kerja-kerja kesusasteraan secara langsung; polisi dan pengedaran penerbitan, keberkesanan fungsi sesebuah institusi, politik kesusasteraan, jangkaan khalayak pembaca, matlamat-matlamat kepengarangan, kepura-puraan penulis (walau dengan imej apa sekali pun mereka tampil), keupayaan dan kecenderungan panel penilai sayembara atau hadiah sastera dan sebagainya.

Ini yang dimaksudkan sebagai satu kitaran yang saling berkait ketika ingin menilai kelangsungan kesusasteraan. Sudah tentu, dengan mempersoalkan semua perkara ini bukanlah tujuan utamanya untuk mencari penyelesaian segera, tetapi sebaliknya untuk mencampakkan sastera dan semua rangkaian yang disebutkan tadi ke dalam satu aktiviti penilaian dan pemahaman yang berterusan; sebuah proses panjang yang akan melatih penggiat-penggiatnya bersiap untuk berusaha mencari penyelesaian yang diinginkan. Dan ini bukan kerja satu-dua malam. Usaha ini menuntut masa yang panjang, dan akan terus berlangsung sehingga waktu berhenti berdetik. Yang membezakannya, itulah cabaran yang didepani, yang berbeza-beza, dalam rentang waktu yang berlainan.

Jadi, apa itu sastera? Bagi saya, sastera adalah sebuah ruang untuk berlangsungnya segala macam kemungkinan-kemungkinan. Ia bukanlah sebuah ruang yang dipaksa untuk berperanan sebagai penentu. Jika sekadar mampu menulis karangan, itu bukan sastera. Jika puisi atau cerpen tersiar di akhbar, ataupun buku dipersetujui untuk diterbitkan oleh penerbit, itu sama sekali belum menjadikannya sebahagian daripada sastera. Kalau sekadar mengambil bentuk-bentuk yang selalu dicanangkan sebagai sebatian kepada ‘sastera’, misalnya ‘novel’, ‘puisi’ dan ‘cerpen’ sebagai contoh, dan cuma itulah pemahaman kita tentang sastera, maka saya fikir kita harus bersedih.

Untuk tidak disalah tafsir, saya percaya kesusasteraan itu juga tidak hanya milik mana-mana kelompok, baik kelompok yang selalu dirujuk sebagai arus perdana ataupun indie. (Saya tak gemar untuk menggunakan dua istilah ini melainkan untuk tujuan memperjelas latar perbincangan, kerana ia menjadi sebahgian daripada perihal ‘jarak’ yang disentuh sebelum ini). Penulis tidak berhak untuk menentukan kerja dan dirinya itu tergolong di dalam kantung sastera, tetapi sasteralah yang sebaliknya akan memilih siapa yang ingin ia rangkul dan diberi izin untuk menghuninya.

Bagaimana untuk mengetahui hal ini? Hanya masa yang akan memberi jawapan kepadanya. Kerja penulisan yang mempunyai tingkat kesedaran dan ketelitian tinggi, baik dari segi bahasa, imajinasi, idea dan kejujuran akan sentiasa ada yang mencarinya, walaupun dari rentang waktu yang lain untuk terus diingati. Yang berhak ke atas sastera tidak akan mengetahuinya langsung, dan itu kemungkinan yang paling baik yang boleh berlaku ke atas seseorang yang ada cita-cita, walaupun yang paling halus, untuk bergomol dengan kraf dan kesenian mengarang.

Sastera, sebagai satu cabang seni tentulah ingin mendekatkan dirinya kepada satu tingkat kerja kraf yang penuh dengan kehalusan. Bentuk tidak menjadi hal sama sekali. Tetapi, yang mampu menjadikan atau membunuh sastera adalah keseimbangan dan keupayaan untuk melakukan perkerjaan itu dengan ketelitian yang sudah pasti melelahkan.

Keseimbangan di antara imajinasi liar dan latar kenyataan di dunia, keseimbangan terhadap kefahaman tertib berbahasa dalam usaha untuk menyampaikan maksud (apa yang kita boleh harapkan daripada penulis yang tak mampu faham tentang ini, atau penulis yang terlalu kaku di hadapan bahasa atau yang gemar mencabut maksud daripada bahasa?) dan juga keseimbangan antara luahan perasaan yang dangkal dengan permenungan-permenungan mendalam tentang idea atau pokok perbicaraan di dalam apa pun bentuk penulisan sastera.

Keperluan terhadap kraf – sekali lagi saya rujuk di sini sebagai kerja tangan yang diusahakan dengan penuh kesabaran, kehalusan dan keseimbangan – di dalam mana-mana karangan yang mahu dianggap sastera tidak akan mampu dinafikan dengan cara apa pun. Di sebabkan itu, sepucuk surat saja boleh sampai ke tahap itu. Di ruang paling peribadi misalnya, sebuah tulisan yang kalau pun masih belum diterbitkan, tetapi digarap dengan kesedaran dan kewajaran tentang perihal bahasa dan daya permenungan yang mendalam, akan tetap tersimpan di daerah sastera, walaupun masih belum bertemu dengan khalayak pembacanya. Ini sebabnya mengapa jurnal peribadi sebagai contoh, kadang-kala menjadi begitu berpengaruh sebagai sebuah teks sastera setelah diterbitkan.

Semua perkara yang disentuh secara ringkas ini akan menjadi persoalan yang sama akan terkesan ketika membincangan mana-mana hasil kerja seni yang lain selain sastera. Kita wajib hairan dan sangsi bagaimana kerja-kerja penulisan yang dangkal dan menyedihkan gaya dan kualitinya diangkat menjulang, apa lagi jika ia dilakukan oleh kelompok yang menganggap diri mereka sebagai penjaga gerbang kesusasteraan.

Begitu juga, kita akan menjadi begitu kebas dengan dakwaan-dakwaan penulis yang menyatakan, misalnya ketika menulis puisi, menjadikan luahan perasaan sebagai alasan utama mengapa mereka menulis. Paling menghampakan, tak ada lagi tingkat lain yang mampu mereka jelaskan tentang penulisan sendiri itu.

Untuk saya, tak ada sastera yang dipisah-pisahkan, misalnya dengan cop mohor arus perdana atau indie. Yang ada hanyalah sastera; di dalam jelmaannya yang paling asli, terkandung di dalamnya sebuah kraf yang penuh dengan kehalusan dan tertib berbahasa. Imajinasi dan idea di sini adalah pelengkapnya. Sastera di dalam maksudnya yang tunggal tidak mengambil jarak.


1. Octavio Paz mengulas tentang perihal ini dengan lebih terperinci di dalam esei A Literature of Convergences, dengan merujuk secara langsung kepada latar sastera di Mexico dan Amerika Latin.

*Hafiz Hamzah, Editor dan pengasas rumah penerbitan Obscura. Esei ini adalah kerangka pandangan yang disampaikan dalam acara Dialog Orang Muda yang berlangsung pada 28 September lalu, dengan tumpuan perbincangan sekitar Kritikan Sastera: Mati atau Lena?
(www.notaobscura.wordpress.com / FB: Obscura Malaysia)

Advertisements
Kritik, Kraf & Kehalusan: Pertanyaan-Pertanyaan Tentang Sastera

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s