Neon

I.

Pintu ditutup senyap-senyap ketika suara itu dengan nada tertahan-tahan berbisik menyergah; ’kamu gila?’ Di dalam kesamaran kamar, tempat seperti selalu aku hinggapi sejak beberapa lama kebelakangannya, aku melihat apa yang aku inginkan. Aku bertemu cinta dan mengadu rindu antara amarah, ghairah dan rasa bersalah.

‘Saya dah cakap, malam ini tak boleh.’ Lisa, dengan baran dalam dada yang mula bergelombang bangun dari meja solek yang berselerak dipinggir kamar. Aku gemar memerhatikan ketegangan itu. Selalu saja memandang dan bergumam seorang. Dari gerak tubuhnya, Lisa tak tahu bagaimana untuk bereaksi. Marahnya bukan muncul ditengah api. Marahnya jatuh di hujung kutub di mana salju kerap setia dan tak mengasari habitat di sana. Salju dari hati itulah yang terlihat pada mata bundar gadis ini; gadis yang buat beberapa ketika ini memanjat tebing-tebing keresahan untuk diri sendiri dan menjadikan aku kerap mahu merenung ke dalam matanya. Di habitat itulah aku ingin berselubung.

Dan aku sememangnya menikmati emosi yang teralir. Tak ada cahaya untuk menjelaskan rautnya. Tetapi getar suara yang lahir cukup mencemaskan.  Belum tentu butir yang disebut, aku duduk di sisi katil bujang sambil mengukir senyum – yang aku rasakan ikhlas bila bersama Lisa.

‘Dosa kamu terampun dibalik pintu itu,’ dengan suara serak halus, Lisa melirik mata pada satu arah di dinding dan menyunting senyum dihujung bibir. Aku tergelak kecil, ditewaskan. Sebuah bingkai dengan imej Lisa, tanpa baju. Katanya dia menyukai foto yang aku hadiahkan minggu lalu.

Petang itu, di dalam kamar yang sama, Lisa berkeras mahu melihat foto-foto yang diyakini ada dalam kamera yang aku jinjit. ‘Tak ada, Lisa.’ Tentunya, penolakan seperti itu tidak melahirkan rasa apa pun pada dia. ‘Dengar sini Lisa. Yang terkandung dalam kamera ini adalah keindahan-keindahan yang rahasia, yang terlarang. Kalau pun kamu melihat, belum tentu kamu akan faham.’ Seperti anak kecil yang nakal dan tegar, Lisa memang tak pernah menghiraukan kata-kata seperti itu.

Lisa memulangkan semula kamera ke tangan aku. ‘Kalau betul di dalam ini adalah keindahan, rahasia dan larangan-larangan, maka aku juga mahu berada di lingkungan itu.’ Aku tak perlu memahami atau mencari-cari maksud kata-kata Lisa. ‘Potretkan saya.’ Sedetik itu aku memang rasakan seperti semuanya kaku. Sama seperti sebuah foto, subjek-subjeknya diperangkap oleh masa, cahaya dan tempat, tetapi masih lagi bernyawa untuk mempesona antara satu sama lain. Tidak terlalu perlu kepada pengertian.

Continue reading “Neon”

Advertisements
Neon

Moi Last Von: Instrumental layar rasa

Moi Last Von

Moi Last Von
Go Die!
2014

Muzik, di dalam adunan komposisinya yang menjadi, akan terdengar bertolak-ansur; tentang keperluan bagi memahami bagaimana kaedah yang terbaik untuk mempertemukan setiap bunyian yang ada bagi membangunkan satu sinergi dan dinamika yang tidak saling menekan dan membunuh antara satu sama lain.

Pertembungan ini, dirujuk kepada setiap unsur yang ada di dalam sebuah muzik; alatan muzik dengan karektor yang pelbagai, penulisan lagu dengan duduk letak melodi yang mengikat rasa, vokal dan lirik yang saling punya keperluan dan tempat tersendiri dan sebagainya.

Kita kerap dihadapkan dengan pernyataan mereka yang merujuk muzik sebagai satu medium untuk meluahkan perasaan, atau dengan rancu disebut ‘ekspresi diri’. Tak ada salah tentang ini. Tetapi, hal berkenaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tumpuan kepada hal-hal tunjang yang dinyatakan, terutama jika sesebuah muzik itu ditulis dengan tujuan untuk dipersembahkan kepada halwa telinga orang lain mengatasi sekadar untuk memenuhi rasa sendiri. Jika ingin bermuzik, ini hukumnya. Tidak kira muzik untuk kelompok yang mana.

Di sisi ini, Moi Last Von sebagai sebuah kumpulan muzik punyai kekuatan dan mungkin kefahaman terhadap keperluan itu; Go Die! mempamerkan paduan adunan dan komposisi muzik yang memiliki perasaan yang ditambat kemas, tetapi dalam masa sama memikat dengan susunan yang ada dinamik, menjadikannya kedengaran sangat tenang dan teratur untuk menghidangkan dirinya; tanpa perlu tergesa-gesa atau terlalu meliar.

Continue reading “Moi Last Von: Instrumental layar rasa”

Moi Last Von: Instrumental layar rasa