Moi Last Von: Instrumental layar rasa

Moi Last Von

Moi Last Von
Go Die!
2014

Muzik, di dalam adunan komposisinya yang menjadi, akan terdengar bertolak-ansur; tentang keperluan bagi memahami bagaimana kaedah yang terbaik untuk mempertemukan setiap bunyian yang ada bagi membangunkan satu sinergi dan dinamika yang tidak saling menekan dan membunuh antara satu sama lain.

Pertembungan ini, dirujuk kepada setiap unsur yang ada di dalam sebuah muzik; alatan muzik dengan karektor yang pelbagai, penulisan lagu dengan duduk letak melodi yang mengikat rasa, vokal dan lirik yang saling punya keperluan dan tempat tersendiri dan sebagainya.

Kita kerap dihadapkan dengan pernyataan mereka yang merujuk muzik sebagai satu medium untuk meluahkan perasaan, atau dengan rancu disebut ‘ekspresi diri’. Tak ada salah tentang ini. Tetapi, hal berkenaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tumpuan kepada hal-hal tunjang yang dinyatakan, terutama jika sesebuah muzik itu ditulis dengan tujuan untuk dipersembahkan kepada halwa telinga orang lain mengatasi sekadar untuk memenuhi rasa sendiri. Jika ingin bermuzik, ini hukumnya. Tidak kira muzik untuk kelompok yang mana.

Di sisi ini, Moi Last Von sebagai sebuah kumpulan muzik punyai kekuatan dan mungkin kefahaman terhadap keperluan itu; Go Die! mempamerkan paduan adunan dan komposisi muzik yang memiliki perasaan yang ditambat kemas, tetapi dalam masa sama memikat dengan susunan yang ada dinamik, menjadikannya kedengaran sangat tenang dan teratur untuk menghidangkan dirinya; tanpa perlu tergesa-gesa atau terlalu meliar.

Dengan vokal yang tampil secara minimal, Moi Last Von meletakkan kekuatan penyampaian muzik mereka hanya kepada komposisi muzik a la post-rock yang sarat bunyi-bunyian yang berhasil melayarkan emosi yang bercampur-campur untuk pendengar terus kekal menikmati alunan muzik yang keluar dari corong pembesar suara atau earphone.

Lapan lagu (7 + 1 lagu tersorok), dua tahun rakaman yang menuntut komitmen masa, tenaga dan kewangan dan perhatian yang terbahagi antara Kangar dan Kuala Lumpur, serta dua teman yang pergi dulu sebelum akhirnya berhasil menerbit rakaman ini, sedikit-sebanyak Moi Last Von berjaya menangkap kacau-bilau semua perasaan itu untuk diterjemahkan melalui muzik yang terkandung di dalam rakaman ini.

Pada waktu yang lain, rakaman ini mengingatkan saya kepada sebuah kugiran instrumental Jepun, Mono, yang tampil dengan suara muzik yang mirip seperti yang digarap Moi Last Von. Cuma, Mono lebih punyai kecenderungan mendalam untuk melihat ke dalam diri sendiri, dengan menjadikan budaya dan kehidupan Jepun sebagai satu sauh untuk dibawa sekali ‘psyche’ masyarakatnya yang jelas dapat didengarkan di dalam lagu-lagu yang dihasilkan, kalau pun bukan keseluruhannya.

Sebaliknya, Moi Last Von ingin kekal diruang yang lebih neutral; memacu tenaga muzik yang universal tanpa rasa takut. Jiwa muziknya tidak turun ke dasar, tetapi pada masa sama ia tidak terlepas liar; bergantung dengan sedapatnya pada ruang yang terbuka untuk dihuni dengan hanya berbekalkan sifat universaliti muzik.

Mendengar Go Die! berulang-ulang, anehnya untuk saya, jarang menjemukan. Begitu juga ketika membiarkan CD ini berputar di dalam kereta, ia berupaya diterima oleh telinga-telinga yang biasanya tidak terlalu peduli tentang muzik.

Advertisements
Moi Last Von: Instrumental layar rasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s