Neon

I.

Pintu ditutup senyap-senyap ketika suara itu dengan nada tertahan-tahan berbisik menyergah; ’kamu gila?’ Di dalam kesamaran kamar, tempat seperti selalu aku hinggapi sejak beberapa lama kebelakangannya, aku melihat apa yang aku inginkan. Aku bertemu cinta dan mengadu rindu antara amarah, ghairah dan rasa bersalah.

‘Saya dah cakap, malam ini tak boleh.’ Lisa, dengan baran dalam dada yang mula bergelombang bangun dari meja solek yang berselerak dipinggir kamar. Aku gemar memerhatikan ketegangan itu. Selalu saja memandang dan bergumam seorang. Dari gerak tubuhnya, Lisa tak tahu bagaimana untuk bereaksi. Marahnya bukan muncul ditengah api. Marahnya jatuh di hujung kutub di mana salju kerap setia dan tak mengasari habitat di sana. Salju dari hati itulah yang terlihat pada mata bundar gadis ini; gadis yang buat beberapa ketika ini memanjat tebing-tebing keresahan untuk diri sendiri dan menjadikan aku kerap mahu merenung ke dalam matanya. Di habitat itulah aku ingin berselubung.

Dan aku sememangnya menikmati emosi yang teralir. Tak ada cahaya untuk menjelaskan rautnya. Tetapi getar suara yang lahir cukup mencemaskan.  Belum tentu butir yang disebut, aku duduk di sisi katil bujang sambil mengukir senyum – yang aku rasakan ikhlas bila bersama Lisa.

‘Dosa kamu terampun dibalik pintu itu,’ dengan suara serak halus, Lisa melirik mata pada satu arah di dinding dan menyunting senyum dihujung bibir. Aku tergelak kecil, ditewaskan. Sebuah bingkai dengan imej Lisa, tanpa baju. Katanya dia menyukai foto yang aku hadiahkan minggu lalu.

Petang itu, di dalam kamar yang sama, Lisa berkeras mahu melihat foto-foto yang diyakini ada dalam kamera yang aku jinjit. ‘Tak ada, Lisa.’ Tentunya, penolakan seperti itu tidak melahirkan rasa apa pun pada dia. ‘Dengar sini Lisa. Yang terkandung dalam kamera ini adalah keindahan-keindahan yang rahasia, yang terlarang. Kalau pun kamu melihat, belum tentu kamu akan faham.’ Seperti anak kecil yang nakal dan tegar, Lisa memang tak pernah menghiraukan kata-kata seperti itu.

Lisa memulangkan semula kamera ke tangan aku. ‘Kalau betul di dalam ini adalah keindahan, rahasia dan larangan-larangan, maka aku juga mahu berada di lingkungan itu.’ Aku tak perlu memahami atau mencari-cari maksud kata-kata Lisa. ‘Potretkan saya.’ Sedetik itu aku memang rasakan seperti semuanya kaku. Sama seperti sebuah foto, subjek-subjeknya diperangkap oleh masa, cahaya dan tempat, tetapi masih lagi bernyawa untuk mempesona antara satu sama lain. Tidak terlalu perlu kepada pengertian.

Lisa tenang memandang. Dia sekejap itu juga mengangkat t-shirt yang terpampang wajah John Lennon yang dipakai, dari paras pinggang ke atas melepasi kepala dan melastik ke lantai. Dua tangannya kemudian kebelakang. Dalam debar yang seketika, Lisa melucutkan semua yang ada pada tubuh. ‘Sekarang,’ katanya. Yang tersedia ketika itu adalah momen paling intens. Ketenangan Lisa tak dapat menenteramkan. Buat seketika aku hanya terpana memandang kesempurnaan. Kesempurnaan yang sebelum itu tidak pernah aku impikan untuk ditelanjangi.

Dia seperti sangat arif tentang elektrik antara subjek dan lensa. Begitu juga perhubungan celaru antara subjek dan tukang potret. Dia hanya melepaskan badan dihujung katil dan tidak berpura-pura. Aku masih ingat, hanya tiga petikan yang menjatuhkan kelopak shutter sahaja yang sempat diperlakukan sebelum Lisa bingkas bangun dan menjerit histerik; ‘masa tamat!’ Ketukan dimuka pintu kemudiannya menamatkan imajinasi keindahan terlarang yang sedang aku nikmati waktu itu. Ada pesan dan bisik yang tak ingin aku dengari dari luar, berbicara kepada Lisa.

Tak engkau ketahui Lisa, betapa getar dari penantian aku memproses foto itu hampir membunuh. Kamar di mana foto ini lahir lebih gelap daripada kamar di mana kita berinteraksi dan bertransaksi secara emosi, tetapi disirami cahaya yang bangkit dari wajahmu. Beberapa lama yang diperlukan untuk melihat engkau di atas cetak kertas itu membuatkan aku bergelinjang dan terasa nakal. Cecair kimia seperti tak mencukupi, kegelapan seperti masih bercahaya. Waktu itu aku hanya mahu hilang sebentar dan kembali untuk melihat matamu siap merenung mataku – walaupun hanya dari dalam gambar.

II.

Tiga bulan dulu adalah pertama kali aku mengenali Lisa. Aku ingat ayat-ayat yang kerap diucap diawal beberapa pertemuan kami; “Kamu sanggup memungut kekotoran dan menjemurnya… tanpa lupa membasuh terlebih dulu.” Mengapa dia berkata begitu, aku tak pernah tahu.

Sejak itu, malam-malam yang sunyi dan kesepian tiada lagi. Hanya ada dua perkara yang aku kerjakan; kamera dengan filem hitam putih untuk memegun masa, dan detik-detik saat yang aku tuangkan untuk bersama Lisa melangut ke bintang kejora.

Memang, aku sebetulnya memenangi perhatian Lisa dengan kamera lama itu, mulanya. Di Brickfields, disuatu senja yang gerimis selepas hujan. Merpati-merpati yang pulang ke sarang membawa aku bertentang mata dengan Lisa. Dia basah, dengan wajah yang tetap setia dengan senyuman. Aku fikir, ketika itu melankoli datang menyetubuhi Lisa.

Hiruk-pikuk kenderaan dibahu jalan di daerah ‘India Kecil’ itu tidak membatukan hasrat. Lisa memang tahu aku memotret dirinya dari jauh. Dan, kerana ada jarak senggang yang luas, tak ada foto-foto yang menjadi. Aku akhirnya tersadai menjelang malam bersama segelas teh tarik sebelum perempuan yang aku lihat dan cuba-cuba mencuri merakam gambar tadi, datang dan memperkenalkan diri sebagai Lisa. ‘Kamu mencuri gambar saya,’ cuitnya sambil menguntum senyum manis. ‘Tak, saya mencuri-curi mengambil gambar kamu.’ Aku menjelaskan yang antara dua itu adalah pernyataan yang berbeza. Tak ada perbualan larut selepas itu. Dia cuma memberikan nombor telefon – setelah didesak – dan juga memaklumkan di mana ruang tempat tinggalnya.

‘Tetapi jaga-jaga dengan Zamzairina.’ Ketika beredar, aku mengekor jejak-jejak gemalai gadis itu yang perlahan menjauh. Aku ingat pintu mana yang dilalu, aku cam celah mana yang perlu dijauhi.

III.

Zamzairina. Rina. Orang yang mulanya aku ingat perempuan, tetapi bukan. Dia Mak Nyah, bertubuh besar tetapi tetap lawa, bersolek dari rambut ke tumit kaki dan selalu ada di depan pagar untuk naik ke lorongan bilik Lisa. Aku terlupa buku mana yang terakhir aku baca bersangkutan pondan. Niat awal, kononnya ingin mengingat kembali psikologi lingkungan itu. Mungkin juga dapat mempermudah perbincangan. Kerana, keiinginan aku hanya satu – Lisa. Dan, Rina ini mungkin penghadang pertama dan terakhir.

‘Saya nak Lisa,’ itu saja yang terlepas dari mulut waktu pertama kali ke sana. ‘Nak Lisa buat apa? Ni nak melanggan ke apa?’ Aku sinis dengan suara halus yang dibuat-buat tanpa dapat menyembunyikan garau jantan. Disebabkan jawapan keras Rina, aku terlepas lagi cakap. ‘Belum tahu. Tapi memang nak jumpa dia.’

Walaupun aku tahu Rina merasakan aku dungu kerana datang ketempat itu tanpa mengetahui apa yang aku mahu, aku menyelitkan RM300 di celahan buah dada tak aslinya. Dan, langkah itu tak salah. Setiap kali aku bertandang lagi selepas itu, dia berlapang dada mengalu-alukan. Cuma, memang tak enak berada dalam pelukannya. Lemas yang tak menikmatkan. Entah mengapa, melihat kepada kemesraannya, ada ketika aku merasakan bahawa dia kekurangan kasih sayang; daripada seorang lelaki. Tetapi, itu bukan hal aku. Dan aku memang tak sanggup untuk menawarkan apa-apa.

Aku menapak perlahan di setiap anak tangga yang comot. Perlahan-lahan juga melewati lampu-lampu neon yang hanya ada sekerat dua untuk ke hujung lorong. Suasana suram, seperti ada pontianak yang sedang nyenyak. Bilik 311. Itu yang tertulis pada kertas tisu yang dihulurkan Lisa dikedai minum tempohari.

Minggu lalu aku datang membawa bingkai besar berbalut kertas akhbar lusuh sebagai ‘ganti’ foto-foto awal Lisa yang tak menjadi. Mujur Rina tak banyak soal. RM300 jadi penyedapnya. Walaupun mahal, taka pa-apa. Kerana ada juga waktunya aku melimpasi tol Rina dengan hanya satu ciuman di pipi untuk merasuah agar diberi lampu hijau.

Kunci pendua bilik Lisa yang ada masih lagi mengizinkan aku untuk membuka pintu sendiri. Lisa berbaring diranjang. Aku tersenyum. Tetapi fokusnya masih belum terlerai; ditangannya ada sebuah novel yang sedang dihadam – The Interrogation tulisan J.M.G Le Clezio. “Aku datang nak bayar hutang.” Hanya selepas itu baru Lisa terlepas dari dunia imajinasi novel yang ditatap. Aku menjelaskan lagi; “hutang kerana mencuri dulu.” Dia kabur. Aku memberikan bingkai setengah meter persegi itu untuk dibuka. Angin dan sinar remang mentari dari luar menjadikan wajahnya berkilau. Tanpa kata-kata. Hanya tatapan dua mata yang terkejang dibingkai itu.

Selepas beberapa ketika, Lisa mengangkat pandang ke arah aku.

Kekasehku, katakanlah yang engkau tidak datang ke sarang hamis ini sekadar untuk menghantar bingkai gambar. Bukankankah kau pernah melihat apa yang kau inginkan; bukit-bukit di mana kau ingin bermain dan menuruni lurahnya? Kerana gambar ini, dengan semua proses melahirkannya memang membenihkan keghairahan antara kita, walau kita tak pernah mengaku. Ada getar dibenakku kini yang menginginkanmu. Kerana dosa-dosaku sudah terpencar-pencar dibatang tubuh ini, menantikan sesaorang untuk membersihkannya . Sudikah kau?

Lisa memanjat tubuh aku yang berdiri tegak, menyandarkan bingkai yang kini terlucut pembalutnya pada dinding di belakang. Dia menakluki, tanpa mahu melepaskan. Dari tangan lembut, basah bibir dan bahasa badan yang meliuk, aku dihumban ke dalam interogasi rasa yang amat menyenangkan.

“Dengan kamu, perasaan sebegini tak pernah sama.” Lembut bibir Lisa serta hangat nafasnya membisikkan ayat yang perlahan-lahan menjadi semakin dalam.

“Kerana setiap perlakuan seumpama ini antara saya dengan orang lain tidak hadir bersamanya kehalusan. Ada antaranya, turut bersaksikan ruang kamar dan ranjang di sini. Tidak ada perincian perasaan seperti yang saya inginkan. Tidak dibawa bersama rasa tanggungjawab. Tetapi, tidak kalau bersama kamu,” Aku gagal membalas kata-kata Lisa yang menjelma menjadi ratna penakluk agung. Permainan bibir yang lama terpendam melarut bersama malam yang semakin dingin.

Duhai engkau, ketika bersama kamu, aku bukan lagi perempuan yang dibayar upah untuk memuaskan. Tetapi, aku yang mahu dipuaskan. Dengan kamu, aku bukan lagi perempuan yang tertambat dan ditawan kerana wang, tetapi aku yang menawan rasa cinta dari dalam, seperti sang hamba yang kini merdeka. Kita adalah pencinta yang tumpas bersama di bibir malam yang romantis.

Awal pagi itu, semua berakhir dilantai.

IV.

Malam ini.  Pagi esok harinya. Puntung rokok Lisa masih berasap. Matahari pagi mengirim sinar yang semakin hangat. Tak ada Lisa. Aku tersedar kerana dikejutkan oleh Rina. Kerana dia sebetulnya tak ada kunci pendua kamar ini, aku bertanyakan apa yang terjadi. Pasti kunci yang ada padanya adalah daripada Lisa.

Tak banyak ingatan terakhir aku yang tersisa tentang malam sebelumnya. Aku ingat kami berbicara tentang dosa dan foto Lisa di balik pintu. Aku ingat segelas air suam yang dituang untuk membasah tekak. Dan, aku ingat ketika Lisa mengajak bermain asmara. Tetapi, tidak lebih dari itu ingatan yang ada. Mungkin kami sempat bercanda berahi sebentar, mungkin sampai habis. Tetapi, mungkin juga tidak ada apa-apa yang berlaku antara aku dan Lisa.

Aku tak fikir Lisa betul-betul marah. Cuma, aku tahu ada rahasia lain yang tak diberitahu. ‘Lisa ke mana, Rina?’ dia tidak menjawab. Dia hanya mengejutkan aku. “Dah siang. Lisa dah pergi.”

Ke mana?”

“Kerja biasa, tapi keluar jauh sikit. Nanti baliklah.”

Dari skrin telefon genggam, ada satu mesej baru yang belum dibaca. Di terima jam 4.55 pagi. ‘Maaf. Memang ada sebab mengapa saya tak bagi kamu datang malam tadi. Saya ada urusan. Nanti saya ceritakan. Terima kasih untuk malam tadi.’

Lisa, kamu tahu, mesej ringkas seperti itu tidak akan menenangkan sesiapa pun. Apa lagi kalau itu dari seorang ratna yang katanya menemuai kekuatan semula dalam memaknai cinta dari hidup yang luput. Ke mana kamu?

Telefon tak lagi lolos talian. Tak ada petunjuk lainnya. Cuma, aku tahu malam tadi Lisa menikmatinya sebelum pergi. Entah menikmati apa, aku tak pasti. Kerana kata Rina, ‘air kau dah dibubuhnya pil khayal.’ Mungkin Lisa merasa puas dapat menakluki aku lagi, dengan kekuatan yang berbagai-bagai.

Cinta ini aku selitkan di bawah selimutmu sebentar, Lisa. Semoga lekas kembali dan mengadu rindu.

Untuk seketika, kamera lama ini tidak lagi punya nyawa yang mahu dihidupi. Tetap menjadi mesin yang mati. Tetapi aku tetap mahukan kamu, Lisa.

 

 

(2010)

*Cerpen ini pertama kali diterbitkan di dalam antologi Republik Kutu, Stormkitchen, 2010.

Advertisements
Neon

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s