Mersing, Kuala Terengganu

18 Disember 2014, kami memulakan perjalanan santai. Tak ada matlamat terperinci, sekadar ingin menjejak kaki ke pekan-pekan yang sebelum ini sangat jarang kami lawati. Sebuah Isuzu D-Max V-Cross Safari, sehelai peta besar (GPS dalam kenderaan turut membantu), untuk lima hari berikutnya saya dan A berada di dalam kenderaan ini, untuk merayap tanpa terlalu memikirkan tujuan akhir setiap hari. Selain makanan, penemuan-penemuan penglihatan baru sangat mengujakan deria rasa yang biasanya kebas dengan rutin-rutin seharian. Ini sedikit catatan ringkas perjalanan itu.

1

Hujan turun, kadang-kadang gerimis dan berselang lebat. Perjalanan dari Melaka – selepas hidangan asam pedas yang gagal di Dataran Pahlawan – melalui jalan dalam menuju Muar lebih menarik; rumah-rumah orang Melaka banyak yang cantik-cantik rekabentuk dan ukirannya. Di dalam corong radio, album Mono yang terbaru berulang-ulang berkumandang. Sehingga tiba di jalan Pintasan Muar-Batu Pahat. Hujan yang terus-menerus memang membuatkan perut cepat keroncong.

2

Di Parit Bulat, singgah di warung mee bandung Kamisah. Pesan segelas kopi, tetapi tak tahu serbuk kopi yang mana satu dibancuhkan dalam gelas besar yang sampai di meja. Juga satu dua biji pau manis dan masin. A tak pernah cuba mee bandung di sini, jadi pesan yang ‘special’; empat udang yang sangat besar sudah cukup menggiurkan. Tiga bungkus untuk dibawa balik; kami menumpang rumah teman di Senggarang malam nanti.

3

Satu malam berbual, melayani anak kecil dan paginya sarapan di warung roti canai dan kopi sedap di pekan Senggarang, kami bergerak lagi. Jam kurang lebih 11 pagi. Jalan masih jauh. Tujuan Mersing; sebuah pekan pinggir pantai yang belum sempat dijejak setakat ini. Melalui Air Hitam, kata orang, perlu singgah untuk dapatkan putu bambu buat bekal perjalanan. Hujan renyai. Dan putu bambu panas menjadi makan tengah hari untuk beberapa jam ke depan. Melalui jalan dalam juga, menuju Kluang. Warung Kluang Station di stesen KTM tutup; jalan terus ke Jemaluang.

4

Kiri kanan hanya hutan. Jalan yang menarik juga untuk melepas gian. Lalu lintas tak banyak; mujur kenderaan tak berlaku apa-apa kerosakan. Kalau rosak, pandai-pandailah gamaknya. Orang tak ramai menggunakan jalan ini kerana ada jalan pilihan yang lain untuk ke Mersing melalui Felda Nitar. Pada banyak bahagian, air sungai kecil yang merentas sudah naik. Tak berapa dalam. Kalau dengan 4×4, boleh lepas. Kalau kereta biasa, tak pasti. Dalam jam 2.30pm tiba di Mersing.

5

Dengan cuaca basah, tak banyak yang boleh dibuat di Mersing. Kami cari pekan-pekan lain yang berdekatan, untuk saja redah dalam perjalanan ke bahagian atas menuju Rompin. Di waktu-waktu isyarat GPS lembab, peta cetak ini lebih mujarab. Rancangan untuk bermalam di Mersing di batalkan. Pandu lagi ke arah pantai-pantai yang mungkin ada di sekitar itu. A nak tengok laut dalam cuaca monsoon, katanya. Niat untuk memanjangkan langkah sampai ke Kuala Sedili, tempat lahir Usman Awang, juga terpaksa dibatalkan; duduk letaknya dalam 60km dari pekan Mersing, dan berada dalam arah bertentangan dari laluan yang kami hajatkan.

9

Amaran angin kencang dan laut bergelora.

8

Dalam perjalanan ke Rompin. Mungkin sebelum itu mencari pantai di Air Papan. Tali air dan sungai banyak yang sudah tinggi. Rumah-rumah berdekatan sawah kelihatan seperti sudah dinaiki air. Haiwan-haiwan seperti entah apa perasaannya kalau banjir betul-betul membadai. Yang tidak kami ketahui, beberapa hari selepas itu nanti, cuaca monsoon memang membawa hujan lebat dan bah melanggar negeri-negeri lain di Pantai Timur selain Kelantan.

7

Kami tak fikir biawak ini lapar. Mungkin dia sedang bergembira kerana punya banyak kelebihan untuk mencari makanan dalam keadaan basah seperti ini. Keluar ke jalan besar menuju Rompin. Kerana tak tahu ingin ke mana lagi selepas itu, teringat tentang Taman Negara Endau-Rompin. Malangnya, terlalu jauh; 200km untuk sampai. Dan wang tak banyak untuk menginap di bilik yang mahal-mahal. Di Leban Chondong, sekitar jam 5 petang, berhenti sekejap mencari hidangan udang galah.

10

Selepas pekan Rompin, terus pandu di dalan yang cantik ke Pekan. Telefon Ba di Kuantan, mungkin akan lajak Kuantan dan menumpang tidur dirumahnya. Esoknya, cuba dapatkan maklumat sama ada boleh masuk ke Dungun dan Kuala Terengganu. Ketika ini, berita Kelantan banjir sudah kedengaran. Langit teramat cemerlang menjelang tengah hari itu. Kami terus memandu lagi menuju Kemaman, untuk keropok lekor dan Kedai Kopi Hai Peng. Melihat cuaca yang agak baik sepanjang perjalanan, ambil keputusan untuk terus naik ke Kuala Terangganu, dan lihat kemungkinan-kemungkinan yang di sana.

11

Cuaca di Dungun bertukar mendung. Begitu sampai di Kuala Terengganu, langit mula runtuh. A nak meninjau kain di Pasar Payang, walaupun dalam keadaan basah-basah. Terjumpa pak cik ini, berbangsa Cina dan cakap loghat Terengganu pekat, sangat peramah dengan niat mutlak untuk menjual kain. Sembang kosong, dan dia nampak seperti seronok melayan, dan bercerita tentang kain-kain kapas yang dijual, bagaimana menurutnya orang kini main harga yang tak masuk akal. Tak lama selepas itu, bumbung pasar lama ini seperti runtuh; air mencurah masuk dan membasahkan baju-baju yang digantung oleh peniaga. Dan mereka bersiap untuk tutup kedai. Hari menjelang lewat petang.

12

Bermalam di sebuah hotel bajet baru di tengah bandar. Menonton perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia-Thailand di bilik. Tidur dengan hidung yang tersumbat; pendingin hawa yang kuat dan berbau. Esoknya, seawal jam 7.30, sudah bersiap untuk keluar dan berjalan lagi kerana tak tahan berlama-lama di dalam bilik yang pengap. Sebelum itu, ke sekitar flat Sri Kolam; mencari warung-warung kecil untuk sarapan yang penuh nikmat. Dan terjumpa warung ini. Nasi dagang A dimakan sampai licin. Roti canai diminta tambah lagi, sampai tukang canai tersipu-sipu, tak percaya roti yang ditebar itu betul-betul sedap untuk lidah orang luar, agaknya.

14

Tak ada tempat yang ingin dituju, merayau sekitar Seberang Takir dan sampai ke Teluk Ketapang. A taksub dengan laut, jadi setengah jam seterusnya memberi ruang kepada dia untuk bersendiri di tebing ini.

15

Keropok losong yang dibeli awal tadi tak berapa menjadi; banyak tepung. Selepas kecewa, teruskan mencari keropok losong di tempat asalnya, Losong. Juga gagal menemui yang asli, yang padat dengan rasa ikan berbanding tepung. Laluan dalam menyusur beberapa kampung di sekitarnya sangat menangkap pemandangan; hanya dengan lalang yang hujungnya ada debunga putih, seluas mata memandang.

16

Jeti nelayan saja seperti bercuti hujung tahun; tak ada seorang pun yang nak diajak bersembang. Sehinggalah tak ada apa lagi hendak di buat, kami meneruskan perjalanan turun semula ke Dungun, kalau bernasib baik ingin merasa nasi kukus. Tetapi tak berhasil, yang ada hanya Kopitiam Dungun. Hari yang hujan dan mendung mengiringi jalan kami kembali ke Kemaman untuk Hai Peng buat kedua kali. Jalan pulang ke Kuala Lumpur melalui LPT rupanya ada lencongan lagi; kami malas menghadap kota bingit, jadi menyusur keluar ke Temerloh melalui Kampung Awah.

17

Merayau sekitar Temerloh, mana tahu malam-malam masih ada lauk ikan patin. Yang ada hanya ikan bakar. Stadium Temerloh penuh dengan penonton; ada perlawanan bola. Air sungai Temerloh, dari pantulan cahaya lampu yang kelihatan, parasnya sangat tinggi melepasi tebing. Melalui jalan lama, kami turun menghala Bahau. Isi minyak dan berlalu. Jalan sangat gelap.

18

Tak jadi pulang ke Kuala Lumpur. Kami bermalam di Kuala Pilah. Sehari-dua kemudian, berita tentang bah besar di Pantai Timur pecah. – HH

 

Advertisements
Mersing, Kuala Terengganu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s