Dole (1982-2015)

IMG_1176
Foto dari akaun Twitter Dole.

Ingatan yang tak pernah tertangguh terhadap seorang teman dan pendorong

Saya tak tahu bagaimana untuk menilai atau menguruskan kembali memori yang menyerang dan menghampar semula dirinya seperti sebuah perca kain secara tergesa-gesa; serpihan-serpihan yang terpisah dari sebuah lembaran yang luas. Dibelakangnya adalah tempoh waktu tahun-tahun yang bermakna, yang membawa bersamanya sebuah kepiluan, dari sebuah kehilangan yang sejujurnya, jarang-jarang dapat saya rasakan.

Ia sebuah senja yang sunyi dan hiba. Untuk beberapa ketika, memori yang saya miliki dan ingin digali serta-merta pada 22 Februari 2015 ialah terhadap seorang teman, Nazrul Hakim Putra Bin Zaimi.

Saya bukanlah seorang yang tersangat rapat dengannya, jika diukur dari tempoh waktu yang pernah kami luangkan bersama. Ramai lagi teman-temannya dari lingkungan yang lain, atau jiwa-jiwa yang pernah cuba untuk memahami ketegasan sosok yang lebih senang disapa dengan panggilan ‘Dole’ ini, yang berkesempatan untuk meluangkan lebih banyak masa bersamanya.

Tetapi, ada sisi lain darinya yang membuatkan saya berasa begitu dekat; tentang semangat dan keberanian untuk bermimpi, dan meletakkan sepenuh jiwanya untuk meraih mimpi-mimpi berkenenaan, walau apa pun harganya. ‘Jiwa’ untuk orang seperti ini, bukanlah hanya perasaan dan angan-angan lembik, dan saya harap saya tak tersalah membaca perihal ini tentang dirinya.

‘Jiwa’ yang saya maksudkan di sini adalah di dalam maknanya yang sebenar; sebuah gerak hati yang diandalkan pada upaya akal untuk menggerakkan hidup. Bukan hanya ingin meminta-minta untuk meraih simpati dan kesenangan melalui jalan singkat. Tidak juga hanya cakap-cakap kosong yang tidak disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh, seperti kebanyakan orang.

Universiti Malaya, 2001-2004. Tahun-tahun pengajian yang sangat kering penghidupan dan pengalaman, menurut saya. Di dalam pagar universiti, walaupun ditengah jantung ibu kota, kami seperti terputus dengan gelora dunia luar – terutamanya cuaca politik Malaysia yang sedang berkocak ketika itu – dan hanya dihadapkan dengan rutin-rutin kuliah yang membosankan. Dan dalam tempoh ini Dole muncul untuk sempat kami berkenalan.

Sedikit lebih awal dari itu mungkin, dia yang menyambung pengajian di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka, akan bertandang ke kolej kediaman ke-10 Universiti Malaya dan ditahun-tahun selepas itu ke rumah sewa kami di Seksyen 17, Petaling Jaya untuk melawat teman-teman rapatnya dari Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Pekan. Dan serta-merta kami menemukan satu saluran yang sedikit sebanyak dapat melegakan daripada ketepuan tuntutan hidup waktu sebu seperti itu; muzik.

Melalui muzik, kami kerap bertemu dan berbicara banyak hal-hal lainnya. Dia antara teman-teman yang kerap memberi pandangan jujur, tentang muzik band yang kami hasilkan, dengan cita-cita yang waktu itu masih mentah dan menghembus semangat dan dorongan yang pada waktu-waktunya sangat diperlukan. Berjam-jam sesi latihan di studio yang sempat dihabiskan bersamanya dan teman-teman yang berkongsi minat sepanjang perkenalan itu (walaupun saya hanya terlibat di dalam sebahagian kecil daripada tempoh itu).

Dan, ketika band yang saya bersama beberapa lagi rakan cuba hidupkan sejak di Universiti Malaya, Pax de Parma, gagal untuk merealisasikan sepenuhnya impian sederhana yang selalu kami bayangkan, dia berhasil berbuat demikian – sekurang-kurangnya untuk menerbitkan sebuah rakaman yang kemas dengan muzik yang segar – bersama Libretto, sebagai seorang kibodis yang melengkapi suara muzik band berkenaan, bersama teman-temannya dari ALAM, jika saya tak silap mengingat.

Di waktu-waktu bersendiri di dalam rentang waktu itu juga, saya mengingati dengan jelas perbualan-perbualan kami tentang hal-hal lain, tentunya di dalam nada suara yang lebih lembut; berkaitan kehidupan kami yang berbeza (dia lebih banyak menghabiskan masa di atas kapal dan merentas laut ke pelusok dunia yang lain waktu itu), tentang hal-hal dan masalah keluarga yang kadang-kadang mahu diceritakan, impian-impiannya di dalam hidup dan pelbagai lagi perihal lain, tentang apa saja.

Ada satu kualiti di dalam dirinya yang sangat saya senangi dan kagumi; dia memberikan perhatian yang sangat mendalam terhadap perincian, di dalam apa juga perkara yang ingin dikerjakan. Dia antara beberapa teman yang faham akan keperluan terhadap ‘detail‘. Dan setiap kali berbual tentang ini, misalnya ketika membincangkan beberapa artikel niaga dan keusahawanan di dalam majalah Monocle, dia akan berbicara dengan penuh minat dan bersemangat. Dalam maksud lain, saya memahami pernyataan dan perlakuan itu seperti ini; “Mediocre bukan satu pilihan, dalam apa pun yang kita yakini dan kerjakan. Mengunjurkan imajinasi dan bekerja untuk mencapainya adalah satu keperluan.”

Dan sekali lagi dia membuktikannya; dengan penuh perih-jerih dan pada kebanyakan waktu saya percaya dia bergerak seorang diri diperingkat awal, dia menubuhkan Chaiwalla & Co, sebuah kafe kontena yang ideanya merentas daripada sekadar menghidangkan secawan kopi (yang sangat cliché), kepada pengalaman keseluruhan operasi perniagaan dan pengalaman pelanggan yang sengaja direncanakan untuk menjadi berbeza daripada kedai kopi lainnya.

Daripada seorang teman rapat Dole, saya mendengarkan kisah kecekalan sosok ini bagi mendapatkan apa yang dihajatinya untuk kafe kontena yang ingin dibangunkan; jalan panjang untuk mendapatkan kontena dan di bawa ke tengah bandaraya Johor Bahru, lokasi pertama operasi kafe kontena berkenaan; menjelajah entah sampai ke mana, melawat kilang-kilang yang ada di sekitar Johor, membawakan lakaran awal ideanya tentang kerja kayu yang diinginkan untuk rekaan dalaman kontena berkenaan, yang menelan masa, wang dan tenaga yang bukan kepalang.

Tetapi, untuk Dole, dia perlu melakukannya walaupun orang tak memahami tentang keperluan itu. Saya sangat-sangat menghormati pilihannya yang satu ini, dan salut untuk orang seperti ini yang tahu apa yang dimahukan dan bersedia berusaha ke arah itu.

Saya juga tersenyum ketika mendengarkan cerita lain; ketika ada seorang rawak yang datang ke kafe kontena berkenaan dan terpikat dengan dekorasi penuh ‘substance‘ yang menjadi daya penarik premis berkenaan dan ingin mendapatkan pembekal serta rekaan yang sama seperti itu untuk kedai makannya.

Dan, tentu saja Dole tak ingin banyak membantu; baginya, orang yang hanya pandai menciplak idea dan menangguk dari hasil idea dan susah payah orang lain jangan diberi muka. Saya sangat bersetuju dengan hal ini di atas satu sebab; tak sedikit waktu dan tenaga yang dicurahkan untuk memikirkan – sekali lagi saya sebutkan, tentang hal-hal yang begitu terperinci – untuk kemudiannya senang-senang disauk oleh orang yang hanya pandai mengambil kesempatan ke atas orang lain melalui jalan singkat.

Sehinggalah berita mengejutkan pecah pada pagi 22 Februari 2015. Dole yang beberapa hari sebelum itu demam dan mengambil ubat doktor mengadu kepada ibunya yang dia sakit perut dan ingin ke tandas. Itulah kali terakhir dia berbicara di dalam bahasa yang kita fahami barangkali; selang beberapa ketika selepas itu, sang ibu menemukan anaknya itu terbaring di lantai tandas di rumah mereka dengan badannya sudah bertukar kebiru-biruan. Laporan bedah siasat hospital keesokan harinya mengesahkan punca kematian disebabkan oleh ‘sudden heart attack’.

Saya tak sempat – mungkin juga kerana tak punyai kekuatan – untuk mengiringinya dalam perjalanan terakhir ke tanah tempat dia bersemadi selamanya di Johor Bahru. Saya hanya ingin mengingati pelukan hangat yang sering diberikannya setiap kali kami berjumpa di tahun-tahun terakhir ini; ketika saya melawatnya tanpa di rancang awal 2014 di Chaiwalla & Co Johor Bahru, dan yang terakhir ketika dia sedang bersiap-siap untuk membuka ‘warung jelajah’ mereka ketika acara Tempatan Fest 8.0 pada 7 September 2014.

Pada kebiasaannya, saya hanya akan bersalaman erat dengan orang-orang yang saya hormati dan teman-teman, atau dengan orang-orang lain yang jarang-jarang punya kesempatan untuk kami bertemu. Tetapi dengan Dole, tak hanya salaman erat; selalu ada pelukan yang mengandungi maksud yang saya fikir tak mampu untuk kami ucapkan kepada diri masing-masing hinggalah ke akhirnya. Mengapa saya berasa demikian? Seperti dinyatakan awal tadi, kami bukanlah kenalan yang sudah bersama terlalu lama dan punya banyak kenangan bersama, yang walaupun begitu, tetap seperti ada sekelumit hal yang seolah-olah mengikat pertalian itu dan memerlukan bahasa lain untuk disampaikan – pelukan hangat mungkin cara yang terbaik dan alami. Sama ada gerak hati saya itu betul ataupun tidak, ketika ini, saya tak fikir ia begitu penting untuk diungkapkan. Ia hadir untuk dirasa, dan cukup dengan itu.

Untuk Dole, yang saya percaya tak hanya akan meninggalkan bekas dan ruang kosong di dalam diri saya seorang, tetapi akan turut dirasai oleh semua teman-temannya yang lain atau sesiapa saja yang pernah mengenali sosok ini, semoga keadaannya baik-baik saja di sebelah sana. Setiap memori dan ingatan tentang perkenalan ini harapnya akan memutikkan semangat baru kepada teman-teman yang masih hidup untuk meneruskan apa juga impian-impian yang masih tertunda. Semoga keberanian kamu meresap di dalam mimpi-mimpi dan seterusnya naluri kami, kawan.

Kepada teman-teman lain yang berada di dalam latar suasana dan rentang waktu yang saya rakamkan di sini, tetapi tidak saya sebutkan nama, jangan gusar atau berkecil hati. Kalian juga sebahagian daripada memori dan pemacu semangat itu, secara langsung mahupun sebaliknya. Cuma, ketika ini, saya ingin memberikan ruang khusus ke atas ingatan kita bersama untuk Dole, yang kerap hadir dengan senyuman, seloroh (yang kadang-kadang sedikit kasar) dan pandangan-pandangan yang selalu membuatkan orang disekelilingnya berfikir sejenak.

Dole, bersemadilah. Dengan segala rahmat dan keampunan Yang Maha Esa.

– Hafiz Hamzah, 23 Februari 2015.
Advertisements
Dole (1982-2015)

One thought on “Dole (1982-2015)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s