Catatan #4

Menonton Jean Luc Goddard: Goodbye To Language.

Filem pertama Goddard yang aku tonton dengan tekun, mungkin. Diterbitkan tahun 2014. Sebuah pengalaman visual yang tak terlalu janggal aku fikir, tetapi sebagai sebuah filem yang ingin dinilai sebagai sebuah filem juga, ini yang pertama dengan semangat yang sebegitu, yang pernah aku saksikan setakat ini. Visual yang langsung, terpotong-potong dan dijahit-jahit semula. Audio yang berselerak. Di dalamnya semacam bukan lakonan, dari cerita yang tak ada alir yang jelas; membincangkan dan menyampaikan kritik terhadap politik, sosial, sastera dengan gaya paling subtle dan absurd. Hasil kerja seni orang Perancis ini lain macam. Aku teringatkan Eduoard Leve yang sudah mati, yang sempat mengirim manuskrip Suicide kepada penerbitnya beberapa hari sebelum bunuh diri. Sastera, sila bunuh diri. Kerana bahasa sudah enggan dihidupkan; bahasa itu roh kau, bukan?

– Februari 2015.

Catatan #4

Catatan #1

Dua, atau mungkin tiga minggu sudah aku tonton Deliver Us From Evil. Dan masih terbayang-bayang tentangnya. Aku agak boleh ‘masuk’ dengan cara filem ini digarap. Pada kebiasaannya, hantu-hantu yang bermunculan di Amerika, yang kemudiannya diseret masuk filem oleh produksi Amerika, tak terlalu menarik perhatian. Kecuali beberapa filem, aku bukan peminat cerita hantu Hollywood yang paling setia. Atau, mungkin kerana lagu-lagu The Doors; roh-roh jahat dalam filem ini menjadikan lirik-lirik lagu seperti Break On Through (To The Other Side) sebagai serapah yang meresap, diulang-ulang semacam ritual oleh yang dirasuk. Filem ini bersandarkan kisah benar, tetapi aku tak pasti sejauh mana lagu-lagu The Doors memang berhantu (dalam maksud literal). Atau mungkin ditokok tambah. Selain semua hal itu, aku fikir filem ini punya sauh yang mengikat; tak kalah menyeramkan. Selepas The Conjuring, filem ini aku larat untuk hadap berkali-kali, rasanya.

– 6 Mei 2015.

Catatan #1