Catatan #7

Hari terakhir. Tadi selesai jelajah ke kedai-kedai buku di sekitar bandar Melbourne. Banyak premis, dengan kepakaran yang berbeza-beza. Sabtu lepas, dua buku aku sempat sambar; satu daripadanya adalah By Night In Chile, karangan Roberto Bolano yang dibeli dari kedai buku Reading, di St. Kilda, sebuah pekan kecil hujung pantai. Kedai buku itu juga bukan calang-calang; besar dan banyak judul-judul yang sangat menarik. Mujur duit tak banyak.

**

Sampai jam 9.30 pagi di lapangan terbang Melbourne. Terlampau ramai orang; lebih daripada satu jam berbaris hanya untuk lepas Imigresen. Terus naik Sky Bus jam 12 tengahari, ke Southern Cross Station. Tiba di sana, jalan kaki dua blok dan daftar masuk ke Hotel Enterprise, Spencer Street. Hotelnya kecil. Suasana sangat dingin dan sejuk. Melbourne entahkan baru memasuki musim-musim udara nipis dan dinginnya. Rehat sekejap, sebelum keluar jalan kaki dan naik City Circle Tram ke Flinders Street dan Federation Square; di sini denyut nadi yang menggerakkan tenaga sebuah kota yang selalu aku cari-cari getarnya. Di sekitar itu; melawat pameran seni visual dan cat warna percuma di Australian Centre for the Moving Image (ACMI). Berseberangan dengannya, sebuah pentas berdiri, dengan muzik daripada band-band muda yang tak putus-putus bergema. Tengah hari Jumaat dengan semangat “merayakan” di bawa sampai ke malam, dan hari-hari hujung minggu. Balik bilik, tidur sekejap. Jam 7 malam keluar lagi berjalan kaki di pusat bandar, ke Bourke Street sebelum terserempak Kedai Satay di King Street. Makan malam nasi uduk dan A pesan nasi belado. Sambung merayap di jalan-jalan tengah kota, mendengar pemuzik-pemuzik jalanan mempersembahkan yang terbaik di tepi jalan. Semuanya dengan bakat yang macam-macam, nyanyian juga bukan sembarangan. Beberapa yang sempat ditonton sudah punya album mini atau rakaman muzik yang turut sama dijual. Memperdagang bakat yang tulen tak pernah semudah nyanyi di tv. Ada dari Australia, ada yang dari Asia. Ada yang akustik, ada yang band elektronika penuh. Warna-warna yang meniupkan roh kota. Ke Flinders Street lagi dalam kedinginan. Untuk panaskan badan, jalan kaki untuk kembali ke hotel.

– Jumaat, 24 Februari 2011

Advertisements
Catatan #7

Catatan #6

Hari ini akan berlepas pulang ke KL. Sejak 20 haribulan mengamati dan menikmati kota di Teluk China ini, banyak yang diperoleh. Hujan turun lebat sejak tiga hari lalu, tak berhenti. Semalam menakluk di tengah-tengah Seoul, di Myeongdong. Makan kimchii yang tak berapa aku gemari disebuah kedai tingkat atas. Nasi goreng masakan orang Korea yang entah apa namanya mujur boleh lepas tekak, dengan sebiji telur goreng. Percubaan-percubaan untuk beramah-mesra yang tak disambut di situ. Kamera ditangan juga kurang disenangi. Hari pertama tempohari melihat kota ini dari corong waku yang lama; keluasannya tak kalah besar, istana-istana dan gerbang kota lama yang masih terpelihara, dengan jalan sejarah yang panjang yang ingin bangsanya ingati sehingga hari ini. Orang-orangnya cantik-cantik, walaupun terlalu ramai yang kurang peramah. Dari ingatan-ingatan dan rakaman gambar, aku akan menulis panjang nanti. Secawan kopi panas selepas berjalan adalah perkara yang ingin aku nikmati, di dalam hujan yang tak jemu begini.

– 24 Jun 2011.

Bilik 1171
W Hotel
Walker Hills, Seoul.

Catatan #6

Catatan #5

Tiga hari lepas baru balik dari Mallorca, Sepanyol. Aku tak terlalu ghairah dengan pulau yang satu ini; tempat orang-orang banyak duit meletak kapal-kapal layar mewah. Kota kecil ditengahnya bagaimanapun ada nyawa. Tinggalan dulu masih dikekalkan, katedral, jalan batu (cobblestone), laluan lereng bukit, kereta kuda dan orang-orang yang menyendiri. Kerana yang ramai ialah orang datang. Sempat singgah di sebuah muzium seni kontemporari; mendengar kuliah ringkas tentang lukisan-lukisan dalam koleksi tetap muzim. Dari tradisional kepada realisme, ke kubisme dan entah apa-apa lagi. Mujur yang bagi penerangan seorang perempuan muda cantik, lulusan sejarah seni dari universiti tempatan, katanya. Juga kali pertama melihat kerja tangan asli Picasso dengan mata kepada sendiri dari dekat; siri lukisan atas pinggan. Menarik untuk merasakan getus naluri yang terhasil dihadapan roh seni dari tingkat seperti ini, walaupun sebahagiannya ringkas-ringkas belaka. Tetapi, ada sesuatu yang menggugah; pertanyaan seorang teman tentang instalasi yang bertebaran di perkarangan muzium itu. Katanya, apa fungsi semua ini, di ruang ini? Aku tak dapat memikirkan dengan cermat perihal ini sekarang. Harap akan disusul nanti. Paling tidak, seni instalasi di ruang publik adalah sebuah ‘self-touch’ terhadap kesedaran bawah-sedar manusia. Fungsinya? Entah.

– 3 November 2014.

.
*Berada di Mallorca dari 28 hingga 30 Oktober 2014. Selepas perjalanan panjang KL-Amsterdam-Barcelona-Mallorca yang memenatkan. Dan insiden di balai polis Palma de Mallorca; mujur tak perlu tidur balai.

Catatan #5