Malakalis – Dalam senarai pendek HSPM 2014?

Malakalis-0007

Saya tertanya-tanya, apa sebetulnya pandangan panel penilai terhadap kumpulan sajak sulung Malakalis, yang terkelompak bersama tiga lagi judul lain dalam senarai pendek di peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana 2014.  Melihat dari judul-judul kumpulan sajak lain yang tersenarai, dan membaca pula ulasan panjang lebar dari laporan panelis terhadap karya yang dipilih sebagai pemenang, Malakalis seperti berada di tempat yang salah dan kelihatan janggal; untuk sajak-sajak yang tak menghiraukan garis pandu dan nilai-nilai yang selalu diangkat sebagai keperluan penulisan sajak di Malaysia berada di dalam kelompok seperti itu, saya jadi tersenyum sendiri. Tetapi sungguh, apa yang difikirkan mereka? Harap mereka tak mabuk kata-kata ketika membacanya.

Kepada yang ingin mengikuti laporan panjang lebar yang dimaksudkan, di sini pautannya.

– Hafiz Hamzah

Malakalis – Dalam senarai pendek HSPM 2014?

Nymphomaniac – Antara nafsu, kegilaan dan cinta

Nymphomaniac
Lars Von Trier
2014

Pelakon: Charlotte Gainsbourg, Shia LaBeouf, Stacy Martin, Stellan Skarsgard, Uma Thurman, Willem Defoe

Nymphomanic-0000

I.

Ia bermula dari sebuah lorong yang kumuh, dan berakhir di atas ranjang dengan sebuah kematian. Di antara dua titik itu adalah sebuah pengalaman visual dari sebuah filem, atau pemahaman tentang kelamin di luar bingkai layar, yang betul-betul mengganggu kesejahteraan dan keselesaan mental yang berputik daripada jangkaan awal penonton; tetapi dalam masa yang sama ia turut minta untuk tidak disalah erti (walaupun sangat sukar untuk sampai ke situ).

Nymphomaniac mempermasalahkan perihal kemaluan, atau alat sulit, atau untuk lebih sopan sebut saja kelamin. Di dalam konflik yang melatari filem ini, subjek utamanya adalah vagina perempuan (yang tidak pun ditampilkan secara visual jelas) yang lebih dominan dibincangkan berbanding zakar lelaki. Ini sahaja sudah cukup membawa banyak masalah kepada pengarahnya, Lars Von Trier.

Khalayak di barat saja tidak menyenangi filem ini, dengan setiap pendekatan visual dan penyampaian cerita yang diambil, yang dirasakan begitu jijik dan kotor untuk dipersembahkan sebagai sebuah filem dalam tolok penilaian ramai orang.

Tetapi, ada sisi yang sangat kukuh yang mendirikannya sebagai sebuah filem yang baik; misalnya jika ia berhasil menimbulkan ‘kekacauan psikologi’, tidak hanya kepada penonton malahan berlanjutan diperkatakan walau dalam nada yang negatif, itu agaknya petanda yang menunjukkan bahawa sesebuah filem itu punyai rohnya yang garang dan tak tenang, seperti hantu menghambat mereka yang menyaksikannya sampai keluar panggung atau layar tv.

Ada beberapa sisi menarik yang terpancar sepanjang 240 minit filem ini bermain. Ia tentang hidup Joe, seorang perempuan yang sejak kecil mencandui seks tanpa dia minta atau sedari; pada kebanyakan waktu gesaan dan naluri seksual yang datang membadai entah dari mana tanpa peri, meletakkanya di dalam satu keadaan yang aneh. Dan di dalam Nymphomaniac, Joe mencuba dengan jerih untuk memahami dirinya sendiri, berdepan dengan gesaan nafsu yang menjulang yang pada kebanyakan waktu gagal dibendung.

Dari lapis yang lain, hal yang lebih penting dirasakan ingin dinyatakan daripada sekadar aksi seks yang sesekali muncul di dalam filem ini adalah; tentang pergolakan psikologi Joe yang hadir dengan kecenderungan dan nilai yang bertembung dalam perjalanannya menguruskan hal-hal berkaitan kecenderungan seksual dirinya.

Nymphomanic-0002

II.

Seligman memapah Joe pulang ke rumah. Joe ditemui secara tak sengaja, pengsan disebuah lorong sunyi. Mereka berbual, malam itu di bawa hingga ke pagi. Atau sebetulnya Seligman hanya diminta mendengar cerita Joe. Tentang bagaimana dia mula melayani kegilaan terhadap seks sejak usianya kanak-kanak.

Seligman si pemancing ikan yang giat dan berpengalaman, di dalam sela cerita-cerita awal Joe, hanya banyak mendengar tentang bagaimana dia mencari lelaki sebagai mangsa, awalnya untuk sekadar suka-suka bersama seorang rakan, di dalam sebuah keretapi malam.

Perlumbaannya, siapa yang lebih banyak bersenggama dengan lelaki di dalam keretapi itu, akan dikira menang, dengan hadiah sebungkus gula-gula manis – dengan syarat mereka berdua tidak membeli tiket dan masing-masing mengelak untuk ditendang keluar dari keretapi itu lebih awal.

Bagaimana Seligman menggunakan perlambangan-perlambangan perilaku ikan, misalnya ketika mencari mangsa, melawan arus dengan menyelam ke dasar ketika arus kuat, serta bagaimana ikan terpedaya dengan umpan yang dipasang pada mata kail. Semua ini sebahagian daripada kepintaran cerita yang membangunkan Nymphomaniac dan meletakkannya jauh berbeza, misalnya jika ingin dicap sebagai sebuah filem pornografi.

Nymphomanic-0004

Kemudian datang cinta, yang bertembung dengan lapis luaran nafsu yang sebelum itu menjadi sebati di dalam diri Joe. Suasana mental dan seksualiti yang dipersembahkan itu lama-kelamaan menjadi semakin rumit dan kompleks. Lelaki demi lelaki yang ditiduri tidak lagi mampu menenangkan vagina Joe.

Menarik juga untuk melihat kesedaran-kesadaran yang timbul terhadap pergeseran nilai yang bermunculan di depan matanya. Dia di satu tahap menyedari bahawa perilakunya, walaupun membawa kelegaan sementara kepada diri sendiri, turut membawa mudarat kepada orang lain; sebagai misal, keretakan rumahtangga lelaki yang sudah beristeri dan punya keluarga yang tergila-gila akan dirinya.

Menjelang dewasa, dia juga bernikah, sebahagiannya untuk menewaskan dorongan nafsu yang menggila, yang menghuni dalam tubuhnya. Tetapi, ia tidak lagi terbendung. Dia sampai mengikuti terapi kesakitan yang teramat untuk memulihkan deria-deria dalam dirinya. Di hujung nanti, entahkan berhasil?

“Saya ada seekor singa, dan saya tak lagi mampu memberinya makan dengan secukupnya.” Ini kurang lebih baris ayat yang diluahkan sang suami, yang tak lagi mampu memenuhi kegilaan seksual si isteri, dan terpaksa berpisah untuk membiarkan ‘singa itu lepas bebas mencari makanannya sendiri, semahunya, seperti semula.’

Nymphomanic-0001

III.

Sebuah lagi pergeseran dan pertembungan; Seligman adalah seorang aseksual. Seorang lelaki yang sepanjang hidupnya tak pernah bersama dengan mana-mana perempuan. Dan perbualan yang nampak santai antara mereka berdua perlahan-lahan membangun ketegangan tersendiri yang disorok-sorok. Masing-masing saling ingin menebak dan membaca diri antara mereka.

Di satu sisi, ada seorang perempuan yang sudah pernah bersenggama dengan ribuan lelaki. Bertentangan dengannya pula ialah seorang lelaki yang sama sekali tidak mempunyai pengalaman bersama dengan perempuan. Dan dua sosok ini terlibat di dalam satu siatuasi perbualan yang panjang tentang perihal seksual. Kebetulan yang disengajakan oleh sutradara dan penulis ceritanya ini sentiasa mempunyai denyut yang getir, walaupun dihadapkan dalam perbualan-perbualan yang tampak ringan.

Separuh daripada kerumitan cerita berkenaan tidak terdapat di dalam tulisan ini. Ia akan tinggal di dalam Nymphomaniac tanpa perlu dicungkil keluar; tempatnya di situ dan sebarang usaha untuk menceritakan keseluruhan kisah ini semula adalah usaha yang sia-sia. Sebab apa? Sebagai sebuah filem yang rencam emosi dan serangan psikologi seperti ini, daya visualnya disesetengah tahap melangkaui ungkapan atau kata-kata yang mampu ditulis tentangnya.

Kerana sang sutradara tidak apologetik dalam menyampaikan tema seks yang selalu menjadi tunjang utama filem-filemnya yang lain, Nymphomaniac memang berhasil jika dinilai sebagai sebuah filem yang mengganggu; ia mengherdik norma kebiasaan, menyergah penghakiman nilai dari kelompok masyarakat dalam berurusan dengan individu-individu terpencil seperti ini dan melanyak habis-habis pemahaman umum tentang filem. Tentunya, disertakan dengan kerumitan dan ketegangan yang dihamparkan dengan begitu halus dan teliti.

– Hafiz Hamzah, 2015.

Nymphomaniac – Antara nafsu, kegilaan dan cinta

Gelap Mata: Nota Penerbit

Rosli-Ibrahim-2015
Rosli Ibrahim. Bangsar Utama, 2015. Foto: Hafiz Hamzah/Obscura.

Catatan-catatan kritis seorang OKU penglihatan

Membaca draf awal percikan catatan-catatan yang kemudiannya disusun semula dan dipersembahkan di dalam buku ini menguak beberapa sisi yang sebelumnya selalu dilupakan. Antara yang paling terkesan adalah bagaimana ia mengingatkan kita, sebagai sebuah sistem masyarakat, telah lalai dan enggan peduli dalam erti kata sebetulnya terhadap soal-soal berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU). Ia juga menyedarkan kita bahawa nilai-nilai yang diguna pakai ketika berdepan dengan isu-isu berkaitannya selama ini adalah terberong. Serta, lebih memalukan, dengan setiap kelebihan dan cukup sifat sebahagian besar daripada kelompok masyarakat, kita seharusnya boleh melakukan jauh lebih banyak perkara untuk membantu mempertingkat keupayaan kelompok yang sejak dulu dipinggirkan ini. Kerap kita mendengar tentang OKU adalah daripada pihak yang kononnya menjadi wakil atau jurucakap kepada mereka. Tak hairan dalam keadaan sebegitu, yang selalu di ulang-ulang adalah keprihatinan yang tinggi dan gambaran bahawa semuanya baik saja seputar isu-isu OKU. Tetapi, melalui buku ini, suara yang terdengar sama sekali berlainan. Ia datang daripada seorang individu OKU sendiri yang berada ditengah-tengah kekacauan faham nilai di negara ini. Dan ketika itulah suaranya, kadang-kadang dengan keras dan tegas, kecewa dan marah, tak ingin dibendung lagi. Itu seharusnya menjadikan kita berasa sangat malu (sekiranya kita faham apa ertinya untuk turut berperanan di dalam lingkungan kehidupan). Jika kita mengaku kalangan kita ini sebagai sebuah masyarakat yang peduli, buku ini harus mengoyak kesedaran kita untuk mula memikirkan juga tentang mereka; merangkul mereka semula ke dalam lingkungan masyarakat dengan lebih erat, harmoni dan penuh rasa hormat.

– Hafiz Hamzah, 22 Jun 2015, Bangsar.

 

*Dipetik dari buku Gelap Mata, terbitan Obscura 2015.

Gelap Mata: Nota Penerbit