Belajar membuat inti kacang merah dari An

1461984719708

I.

Ok, kita santai sikitlah. Dalam satu sembang-sembang pada sebuah petang, atau malam, atau entah bila, timbul pertanyaan tentang mengapa D tak berapa boleh ‘masuk’ nak baca buku-buku yang diterbitkan oleh penulis atau penerbit muda yang ada sekarang. Jawapannya terus lagi terang; terlalu banyak salah eja (atau memang tak pandai mengeja?) – typo bersepah dan kerja sambil lewa.

Ini mungkin hal remeh, tapi remeh yang membawa kepada malapetaka yang lebih besar. Ia berkait hal budaya kerja. Ini juga bersangkutan dengan disiplin dan sikap. Hal-hal ini tak perlu bising-bising dilaung, cukup dengan kerja-kerja yang dibuat bercakap bagi dirinya sendiri.

Kata D lagi, jangan jadi orang yang kuat menyalak, tapi kualiti kerja sendiri hancur ke laut. Itu pun tak boleh faham, ada hati nak jadi jagoan. Terjemahan lintang-pukang terkangkang (orang lain tak kata apa sebab nak jaga hati, kot?), menulis macam puaka tak reti mengeja. “Bajet-bajet cool. Itu belum masuk bab idea; apa benda yang depa angkat?” Marah betul dia.

Entah buku apa yang dia terbaca awalnya, sampai jadi sasau macam itu sekali. Saya sebaliknya tak tahan ketawa, berdekah-dekah. Teh ais dalam gelas sudah habis. Ais beku lama tadi meruap jadi air, basah mengalir ke bucu meja, menitik terkena seluar. Ular kalau nak salin kulit, dia akan tunggu kulit baru matang dulu. Kalau tak, dia nak salin apa? “Bogel lah dia!” Gelak bertambah gegak, nasib tak ada orang simbah air sirap.

Dan itulah sialnya kita ini; berghairah dengan bayang-bayang. Kelaparan mendorong kita berbuat kebodohan dan mahu cepat kenyang untuk kemudiannya terbengkalai. Padahal yang patut berlaku adalah yang sebaliknya; ikhtiar untuk mencari yang utuh, kerana perjalanan di depan masih sangat panjang untuk sekadar perut diisi sekali sahaja. Pokoknya, melakukan kerja jangan asal-asalan.

II.

Jadi, selepas hal-hal itu bermain dalam kepala untuk beberapa hari (walaupun tak perlu difikir sangat pun), saya pulang ke rumah pada suatu malam untuk secara tak sengaja berhadap dengan sebuah filem; yang seperti memberi isyarat tentang perkara yang sama tentang peri penting dan nilai sebuah kerjaan.

An, sebuah filem Jepun yang tak ingin saya tahu siapa sutradaranya, atau pelakon-pelakonnya. Menonton dengan cara lepas bebas seperti itu adalah mengalami, tanpa sebarang jangkaan. Ada satu perkara yang perlu dinyatakan tentang satu daripada babaknya; Seorang perempuan tua, penghidap sakit kusta, suatu hari datang ke kedai dorayaki (pencake dengan inti berperisa) yang dikendalikan oleh seorang pemuda.

Si perempuan tua membawakan sebekas inti kacang merah, dan diserahkan kepada lelaki itu, yang kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah. Entah dari gerak hati yang bagaimana, dia mengambil semula bekas itu dari dalam tong, duduk di bangku tak bersandar, membukanya dan terus mencolek dengan jari dan rasa.

Yang tercetus adalah di luar dugaannya; sensasi yang dirasakan itu tak tertahankan, tak pernah dia merasakan inti kacang merah selazat itu, tidak dari tangannya sendiri. Dia menanti perempuan tua berkenaan, untuk mengajaknya membantu di kedai; hanya untuk membuat inti kacang merah.

Kedai dibuka jam 11 pagi. Pada hari pertama mereka ingin membuat inti kacang, si perempuan tua menyatakan mereka perlu bermula awal pagi; sebelum matahari terbit. Lelaki itu kehairanan, tetapi mengiyakan. Kacang-kacang awalnya dikukus beberapa jam, perlu juga kerap diperiksa agar tak lembik sebelum waktunya.

Selepas siap, kulit-kulit yang mengelupas perlu pula di asingkan dan dibilas. Caranya, air perlu dilalukan ke dalam besen, dengan kadar yang sangat minimal, tak boleh dengan air yang kuat. Kata perempuan tua itu, air akan tersalin, dan segala kekotoran yang ada akan naik ke atas sebelum melimpah keluar besen sendiri.

Jam sudah pukul 9 pagi, dan itu bukan pengakhiran penyediaan inti kacang merah. Ia masih perlu direneh perlahan-lahan, di gaul dan kali ini dicampurkan gula (dalam sukatan yang betul). Lelaki itu nampak seperti tidak percaya, tetapi perempuan tua itu tenang meneruskan kerjanya.

Kurang lebih, tujuh jam diperlukan untuk menyediakan inti kacang dalam sukatan hanya sedulang menurut cara si perempuan tua. Dan dia nampak sangat bersabar dan hanya ketawa melihat si lelaki yang selalu gelisah.  Hasilnya tak siapa yang dapat menyangkal; orang berbaris panjang dihari-hari kemudian, tak putus-putus. Untuk lanjutan kisahnya, tonton sendiri An.

Yang ingin disampaikan di sini ialah tentang ketekunan, ketelitian dan kesabaran dalam melakukan kerja yang setiapnya datang dengan peringkat-peringkat yang tersendiri. Tak ada jalan pintas. Jangan gelojoh. Begitu juga saya kira dalam mengerjakan sesebuah naskah sebelum boleh diterbitkan.

Ada naskah yang langsung tak layak diterbitkan, hari ini kamu akan lihat ia terletak di rak kedai buku. Ada kerja yang masih belum matang, diulang-ulang, disunting dengan teruk sekali dan reka kulit yang juga seperti tak ada hujung pangkal ilmu reka dan citarasa, bersepah menunggu untuk dibeli.

Apa lagi jika kita yang ingin membaca ini pun tidak tahu timbang tara bagaimana untuk menilai sama ada satu-satu judul itu wajar diluangkan masa untuk membacanya atau tidak. Ambil masa untuk faham, belajar dari perempuan tua di dalam filem An; setiap satu perkara yang dilakukannya adalah bersebab dan bukan saja-saja. Ia perlu dilakukan untuk sampai ke satu tahap yang boleh diterima, disambut dan yang terus diingini.

Dan lihat juga bagaimana lelaki muda yang awalnya gelojoh itu perlahan-lahan faham cara yang betul dalam menghasilkan inti kacang merah yang sedap teramat, digilai dan memberi manis di bibir orang yang menikmatinya. Jangan kecoh, buat kerja betul-betul dulu. Hal-hal lain akan jatuh pada tempatnya nanti.

 

– Hafiz Hamzah, 10 Ogos 2016.

 

 

 

Advertisements
Belajar membuat inti kacang merah dari An

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s