Catatan pembaca – lima buku untuk 2016

5-buku-2016

Saya jarang menyimpan rekod atau senarai judul buku-buku yang sudah dibaca. Kerana, saya tak merasakan adanya keperluan untuk itu. Yang tersisa nanti hanyalah satu-dua perkara daripada pembacaan yang dilakukan; jika sesebuah buku itu ada memberi sedikit erti kepada diri sendiri, saya tak perlu terlalu risau. Ia akan datang kembali untuk diingati. Atau paling tidak, ia akan meminta untuk dikunjungi lagi.

Antara hal yang menjadi masalah untuk saya berbuat demikian (menyenaraikan bacaan) adalah kerana saya membaca dalam satu tempoh yang agak panjang. Saya kerap membiarkan percikan-percikan yang dibaca itu bermain-main dalam kepala untuk satu tempoh yang tak tentu, tanpa terlalu tergesa-gesa untuk menghabiskan bacaan. Makin sedap kepala menangkap alurnya, lebih lama lagi diperlukan sebelum satu-satu buku itu dikhatamkan (dan, banyak juga yang tak dihabiskan terus).

Bergantung kepada keadaan dalam situasi tertentu yang biasanya sangat spesifik, membaca bagi saya adalah satu keperluan dan bukan untuk tujuan selain itu – suatu peluang untuk merenung hal-hal yang bermunculan dalam fikiran, atau untuk saya memahami perkara-perkara yang tersirat, dari sudut dan lapisan yang berlainan berkaitan yang entah datang dari mana, mencucuk-cucuk benak.

Saya tak pernah setia membaca sebuah buku dari awal sampai tamat, apa lagi dalam sekali duduk; selalu ada bacaan-bacaan lain yang mengganggu dan lebih memerlukan perhatian. Atau yang sebetulnya, bacaan yang lebih bersesuaian dengan suasana emosi dan fikiran.

Jika saya rasakan buku yang sedang dibacakan itu semakin mendatar dan tiada kerahan yang bersungguh terhadap imajinasi (dan juga tentu sekali, bahasa), saya akan meninggalkannya untuk beralih kepada yang lain.

Baca selanjutnya

Advertisements
Catatan pembaca – lima buku untuk 2016

YANG TERANGKUM, YANG TERLEPAS

Ketika merenung hampir setahun ke belakang, 2016 pada mulanya kami fikir tahun yang agak ‘perlahan’ untuk rumah penerbitan Obscura. Sangat tidak produktif, dan itu satu hal yang tidak baik, tentunya.

Di antara memenuhi keperluan sendiri dan permintaan orang, rupa-rupanya hanya empat judul yang sempat kami terbitkan tahun ini. Yang dimaksudkan ialah; Gertak Sanggul, Berehat Di Sisi Paus, Ion – Plato (samizdat) dan juga sebuah rilisan semula CD album sebuah kugiran loud gaze dari Ipoh, Soft.

Gertak Sanggul merupakan kumpulan sajak kedua saya sendiri, dengan penampilan dalam dua versi. Kulit nipis, dengan imej atau bayangan kelam sejak dari muka kulit, dan versi kulit keras yang langsung ditelan gelita.

Mengerjakan kumpulan sajak ini memberikan kepuasan yang tersendiri. Seperti selalu, saya berperang dengan diri sendiri, bercakap dengan diri sendiri, dan menghukum diri sendiri sebelum sampai kepada persefahaman untuk menerbitkannya.

Dihujungnya, saya sertakan sebuah esei, sedikit-sebanyak menyentuh tentang keraguan-keraguan yang timbul ketika membentuk sehinggalah melahirkannya. Panjang dan perih – ini perkara yang sudah terbiasa – tetapi yang terhasil adalah sesuatu yang tidak tergambarkan. Sekurang-kurangnya itu yang saya rasakan.

Baca selanjutnya

YANG TERANGKUM, YANG TERLEPAS