YANG TERANGKUM, YANG TERLEPAS

Ketika merenung hampir setahun ke belakang, 2016 pada mulanya kami fikir tahun yang agak ‘perlahan’ untuk rumah penerbitan Obscura. Sangat tidak produktif, dan itu satu hal yang tidak baik, tentunya.

Di antara memenuhi keperluan sendiri dan permintaan orang, rupa-rupanya hanya empat judul yang sempat kami terbitkan tahun ini. Yang dimaksudkan ialah; Gertak Sanggul, Berehat Di Sisi Paus, Ion – Plato (samizdat) dan juga sebuah rilisan semula CD album sebuah kugiran loud gaze dari Ipoh, Soft.

Gertak Sanggul merupakan kumpulan sajak kedua saya sendiri, dengan penampilan dalam dua versi. Kulit nipis, dengan imej atau bayangan kelam sejak dari muka kulit, dan versi kulit keras yang langsung ditelan gelita.

Mengerjakan kumpulan sajak ini memberikan kepuasan yang tersendiri. Seperti selalu, saya berperang dengan diri sendiri, bercakap dengan diri sendiri, dan menghukum diri sendiri sebelum sampai kepada persefahaman untuk menerbitkannya.

Dihujungnya, saya sertakan sebuah esei, sedikit-sebanyak menyentuh tentang keraguan-keraguan yang timbul ketika membentuk sehinggalah melahirkannya. Panjang dan perih – ini perkara yang sudah terbiasa – tetapi yang terhasil adalah sesuatu yang tidak tergambarkan. Sekurang-kurangnya itu yang saya rasakan.

Berehat Di Sisi Paus pula, juga sebuah kumpulan sajak, adalah penampilan sulung Zahid M. Naser. Draf pertama manuskrip berkenaan kami terima mungkin dalam tempoh setahun-dua yang lalu. Hanya tahun ini ia berhasil diterbitkan.

Dan, harapnya tuan punya kata-kata yang menghidupkan buku kecil berkenaan nampak dan faham apa yang cuba kami lakukan. Di Obscura, tak ada perkara yang akan dilakukan tergesa-gesa. Salinan mock-up sahaja paling kurang tiga versi disediakan untuk disemak-semula, sebelum seru sampai untuk melajak judul ini ke percetakan.

Ion pula merupakan sebuah karangan – dalam bentuk dialog antara Ion dan Socrates – yang ditulis oleh Plato. Ada dilema yang menghurung ketika kami mengambil keputusan untuk menerbitkannya dalam bentuk samizdat edisi terhad.

Ia sebenarnya sebuah petikan kandungan dari sebuah buku kritikan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Semua maklumat, termasuk penterjemahnya, ada disertakan di dalam versi cetak semula itu. Untuk mencetak hasil kerja orang lain dan mengedarkannya tanpa makluman, kami tak fikir ia sesuatu yang boleh dibanggakan.

Usaha mencari penterjemah asalnya juga setakat ini masih belum berhasil. Tetapi, disebabkan kandungan tulisan itu – serta untuk menunjukkan juga di tahap mana kerja-kerja terjemahan yang pernah diusahakan oleh penggiat-penggiat di Malaysia – kami ambil keputusan untuk menerbitkannya dalam jumlah 50 salinan sahaja, dan tidak bertujuan untuk mengaut untung. Kami hanya harapkan orang yang membeli dan membaca mendapat manfaat untuk dimenungkan dikemudian hari.

A Warm Romanticism In Coldwave Room, album sulung Soft pula merupakan pengalaman yang baru buat kami. Sedikit berbeza daripada proses menyediakan buku untuk diterbitkan, sudah tentu. Obscura hanya terlibat secara kecil-kecilan untuk menerbitkan semula album berkenaan.

Kalau tak salah mengingat, kami berjumpa dengan Soft sekitar Februari 2016, di Ipoh. Untuk berbincang sedikit sebanyak tentang hal ini. Album pertama itu, antaranya pernah dirilis dalam bentuk kaset, CD dan vinyl, khabarnya lengis tak berbaki, dengan khalayak yang membelinya paling banyak dari luar negara – Indonesia, Eropah, Amerika Syarikat dsb.

Obscura tidak terlibat langsung di dalam perihal tataan muzik Soft, sebaliknya hanya menawarkan untuk mereka-letak semula kulit album berkenaan, dan menerbitkannya semula. Hanya 300 salinan dibuat. Persembahan ini yang dipersetujui bersama, lebih kemas dan terarah. Dengar cerita, kualiti audio pada CD versi terbaru ini juga lebih baik. Itu, kami tak tahu bagaimana boleh berlaku.

Dan, semua ini boleh berhasil bukanlah kerana kami semata-mata. Ada lingkungan teman-teman lain, yang mampu memahami dan melayan karenah Obscura dalam menjayakan semua ini sehinggalah mampu dipersembahkan sebagai produk akhir, paling tidak dengan rasa yakin kepada semua pembaca.

Di sini, kami ingin berterima kasih kepada rumahamok, yang saban tahun masih belum serik-serik melayan perangai cerewet, yang kadang-kadang tak munasabah. Tak ada nama yang akan disebutkan di sini, mereka tahu siapa mereka – dan itu yang lebih penting. Oh, Amin Landak  juga terlibat dalam menyediakan variasi awal kepada muka kulit akhir Berehat Di Sisi Paus.

Sebenarnya, untuk mengatakan ini tahun yang tidak produktif untuk Obscura adalah tidak adil juga. Sebuah rumah penerbitan kecil, dengan kapasiti tenaga yang terhad, 2016 tidaklah terlalu menggusarkan kami. Tetapi, itulah. Banyak saja perkara yang boleh diperkemas dan dipercepat.

Beberapa kerja di belakang tabir yang diusahakan sepanjang tahun ini moga-moga dapat dipersembahkan kepada anda tahun depan. Sementara itu, beristirehatlah sebentar.

Terimakaseh, semua.

 

-Hafiz Hamzah

Advertisements
YANG TERANGKUM, YANG TERLEPAS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s