Catatan pembaca – lima buku untuk 2016

5-buku-2016

Saya jarang menyimpan rekod atau senarai judul buku-buku yang sudah dibaca. Kerana, saya tak merasakan adanya keperluan untuk itu. Yang tersisa nanti hanyalah satu-dua perkara daripada pembacaan yang dilakukan; jika sesebuah buku itu ada memberi sedikit erti kepada diri sendiri, saya tak perlu terlalu risau. Ia akan datang kembali untuk diingati. Atau paling tidak, ia akan meminta untuk dikunjungi lagi.

Antara hal yang menjadi masalah untuk saya berbuat demikian (menyenaraikan bacaan) adalah kerana saya membaca dalam satu tempoh yang agak panjang. Saya kerap membiarkan percikan-percikan yang dibaca itu bermain-main dalam kepala untuk satu tempoh yang tak tentu, tanpa terlalu tergesa-gesa untuk menghabiskan bacaan. Makin sedap kepala menangkap alurnya, lebih lama lagi diperlukan sebelum satu-satu buku itu dikhatamkan (dan, banyak juga yang tak dihabiskan terus).

Bergantung kepada keadaan dalam situasi tertentu yang biasanya sangat spesifik, membaca bagi saya adalah satu keperluan dan bukan untuk tujuan selain itu – suatu peluang untuk merenung hal-hal yang bermunculan dalam fikiran, atau untuk saya memahami perkara-perkara yang tersirat, dari sudut dan lapisan yang berlainan berkaitan yang entah datang dari mana, mencucuk-cucuk benak.

Saya tak pernah setia membaca sebuah buku dari awal sampai tamat, apa lagi dalam sekali duduk; selalu ada bacaan-bacaan lain yang mengganggu dan lebih memerlukan perhatian. Atau yang sebetulnya, bacaan yang lebih bersesuaian dengan suasana emosi dan fikiran.

Jika saya rasakan buku yang sedang dibacakan itu semakin mendatar dan tiada kerahan yang bersungguh terhadap imajinasi (dan juga tentu sekali, bahasa), saya akan meninggalkannya untuk beralih kepada yang lain.

Pun begitu, jika ia benar-benar mempunyai denyut yang berhak menuntut perhatian, ia akan meresahkan jiwa di bawah sedar kemudiannya, disebabkan perbuatan saya meninggalkannya sebelum ini. Inilah yang biasa terjadi; dan sekiranya hal ini muncul, saya tahu buku-buku berkenaan perlu diramahi lagi dari semasa ke semasa, dan dengan perlahan serta teliti.

Tak ada istilah membaca buku sekadar untuk escapisme bagi saya, atau pun untuk sekadar hiburan. Saya akan terhibur sekiranya lapis kandungan sesebuah buku itu berdegil dan acap kali mengacau fikiran dan menempelak dengan angkuh – “yang ini kau belum tahu!”.

Entah berapa buku yang sempat saya baca tetapi belum sempat saya habiskan sepanjang 2016. Itu tak penting. Tetapi, di sini ingin saya kongsikan lima judul yang semacam memberi semangat untuk terus jalani kehidupan – dengan setiap baik buruknya – dan kekal membaca.

Bukan semua daripadanya merupakan buku baru yang diterbitkan tahun ini. Ada buku lama yang ditekuni kembali, ada buku baru yang cepat menangkap perhatian. Apa yang lebih penting ialah, buku-buku ini membuatkan saya berfikir, dan menerbitkan semangat-semangat lama, atau pun keinginan-keinginan baharu untuk diteroka lagi untuk meninjau kemungkinan-kemungkinan yang ada. Dipersilakan…

Fragmen, Goenawan Mohamad (2016). Sajak mungkin menjadi sebahagian daripada penulisan yang paling perit untuk dikerjakan. Jika sekadar ingin menyusun-nyusun perkataan dan rima bunyi (hal-hal luaran), itu mungkin sangat mudah.

Tetapi, untuk membawakan nyawanya (hal-hal dalaman), itu satu perkara yang sangat sukar; kerana sajak tak punya batang tubuh untuk menanggung nyawanya. Yang ada hanya perkataan, yang dikait untuk hadir bersama sebuah semangat. Itulah bebannya, yang mungkin tak akan difahami oleh ramai orang, termasuk mereka-mereka yang katanya bekerja menulis sajak.

Ketika membaca sajak-sajak GM, hal-hal seperti ini selalu kelihatan. Sajak-sajaknya tidak memberikan penjelasan tentang apa pun, tetapi akan membuatkan saya tak senang duduk, atau tersenyum malah runsing sendirian.

Kerap akan muncul keinginan untuk tahu apa yang bermain di depan matanya, atau akalnya, ketika menemukan pengucapan (dan bayang-bayang fikiran) sebegitu. Fragmen merupakan kumpulan sajak terbarunya.

Kecil dan nipis, saya nyaris tak mahu menghadap dan menghabiskan pembacaan langsung kerana khuatir akan kehilangan ghairah terhadapnya. Seperti selalu, ada cerita yang terselindung, begitu juga dengan lapik-lapik keresahan yang diulit sekali. Jika ini bukan sajak, maka saya tak tahu apa lagi yang boleh dipanggil dengan nama itu.

Daily Rituals, Mason Currey (2013). Ada waktu-waktunya, saya kerap berasa lelah dan kecewa dengan hal-hal kerja penulisan dan sastera. Seperti tak ada lagi tenaga yang tersisa untuk melihat perkara itu dari sudut yang lain.

Dalam kepenatan menyantuni rutin dalam menguruskan kehidupan sehari-hari, imajinasi untuk meneruskan kerja-kerja penulisan yang sudah dimulakan kadang kala dirasakan semakin malap. Dan, jika dibiarkan berterusan, saya fikir itu sangat bahaya.

Dengan gejolak perasaan yang peribadi seperti inilah saya menemukan buku ini. Dengan satu niat; untuk belajar dari orang-orang yang dahulu dalam berurusan dengan kerja-kerja dan situasi yang hampir sama.

Tentulah saya tidak percaya bulat-bulat judulnya, yang berbau sensasi. Mana mungkin orang-orang yang namanya disebutkan di dalam buku ini bekerja seperti mesin atau robot; ritual seharian yang dimaksudkan, saya bayangkan, sudah tentu bagi satu tempoh tertentu sahaja, berkait tentang pengalaman mereka menyiapkan kerja-kerja kreatif yang dimulakan.

Saya sampai mencuba satu pendekatan baharu selepas membacanya; tidur awal untuk kemudiannya bangun di awal pagi untuk mula membaca dan menulis. Sempatlah juga bertahan satu dua bulan agaknya (kerana tidur awal itu semacam satu kemewahan yang sukar diraih, bagi saya), sebelum fikiran dan gerak kerja saya bercelaru lagi.

Then They Came For Me, Maziar Bahari (2012). Suatu petang di bulan Oktober lalu, saya dan A berjalan dari kamar inap di Lebuh Chulia, menuju ke Pasar Chowrasta. Hawa panas Pulau Pinang mencekang kulit. Di bahagian atas pasar yang sedang dinaik taraf itu, kami menjenguk-jenguk timbunan buku yang ada. Tak lama, peluh mula sampai ke kaki.

Dari beberapa judul yang sempat saya tarik keluar, buku ini satu daripadanya. Dan, kisahnya seperti sudah pernah saya ketahui. Tak lama kemudian, saya teringat; sebelum ini, saya sudah pernah menonton filem yang didasarkan daripada buku ini; Rose Water.

Ia merupakan catatan dan permenungan peribadi penulisnya tentang Iran, lebih tepat sepanjang tempoh pilihan raya umum 2009 di sana. Maziar, melaporkan untuk majalah Newsweek, berulang-alik dari London ke Tehran – tanah airnya dan keluarga – sebelum ditangkap ketika gerakan membantah keputusan pilihan raya tahun itu memuncak.

Saya membacanya sebagai sebuah tanggapan dan catatan sejarah peribadi terhadap sejarah Iran itu sendiri, dan tentunya sangat difahami, terhad dan cenderung kepada pengalaman Maziar dan keluarganya.

Di zaman pemerintahan Shah Iran, Reza Pahlavi, ibu dan bapanya menganggotai Parti Tudeh, parti dengan faham komunis yang ingin terlibat dalam kerjasama menjatuhkan Shah Iran – dalam maksud lain, berkerjasama dengan penggerak Revolusi Islam Iran ketika itu.

Namun tak lama selepas itu, ahli dan simpatisan Parti Tudeh pula yang menjadi sasaran kerajaan Revolusi Islam selepas memegang tampuk kuasa, sebuah cengkaman dan penindasan sosial dan politik yang berlangsung hingga kini.

Dia ditangkap dan diseksa, dipaksa mengaku sebagai agen pengintip yang ingin menggugat kerajaan Revolusi Islam Iran. Dan di dalam catatan ini, semua kebobrokan sebuah pemerintahan dan negara ditelanjangkan dengan penuh kesumat.

Pembunuhan sesuka hati, sistem politik yang dimanipulasi, rasuah, penyelewengan kuasa, ugutan dan sebagainya yang dilakukan oleh negara terhadap warganya – semua ini di atas nama yang oleh pemerintah dianggap maha suci; Revolusi Islam.

Kini, kalau ada kelapangan, saya kerap mengikuti perkembangan sekadarnya di sana, melalui laman iranwire.com, yang turut diusahakan secara bersama oleh Maziar sendiri bagi mengimbangi pandangan terhadap hal-hal yang berlaku di dalam Iran dari sudut yang berbeza.

Small Town, Rehman Rashid (2016). Menurut pengarangnya, buku ini asalnya merupakan sebahagian daripada kandungan di dalam sebuah lagi buku beliau yang juga baru diterbitkan tahun ini, Peninsula. Sebahagian daripada isinya merupakan sorotan sejarah, dan sebagian lagi semacam tribute, terhadap sebuah pekan kecil yang kini menjadi “rumah” si pengarang; Kuala Kubu Baru.

Saya lebih asyik mengikuti catatan peribadinya, serta tanggapan dan apa ertinya pekan kecil itu kepada dirinya berbanding latar sejarah yang dihamparkan sekali dan membangunkan kandungan buku nipis ini. Hanya kira-kira 65 mukasurat, tetapi saya memerlukan kurang lebih dua minggu untuk selesaikan bacaan.

Di dalam tempoh itu, buku ini mengingatkan saya kepada angan-angan lama untuk saya lebih mengenali dua tempat yang dekat di hati, tetapi tak sempat saya ramahi dengan lebih akrab. Pertama, Sitiawan. Selain Kuala Lumpur, inilah pekan pertama tempat saya menetap sejak usia muda. Sedang Kuala Lumpur kadang-kadang sedikit kejam, Sitiawan pula tak pernah jemu untuk menjadi tempat singgah yang selalu tak kisah jika dipanggil “rumah”.

Kedua, Georgetown. Ini kota tempat saya dilahirkan, tetapi malang, ia tak pernah saya huni dan tak sempat untuk meresap ke dalam semangatnya betul-betul. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini ia merangkul saya semula. Apa pun, cerita-cerita peribadi dari pulau ini terlalu banyak, dan akan selamanya menjadi rahsia, termasuk kepada diri sendiri.

Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993). Saya kembali membaca buku ini untuk mengingatkan diri sendiri tentang bagaimana keadaannya jika ingin melibatkan diri di dalam hal-hal penerbitan dan kerja-kerja menulis. Daripada Pak Samad Ismail, saya temukan kualiti dan disiplin kental yang perlu ada untuk membentuk dan mempersiapkan diri jika ingin jadi penulis atau wartawan, apa lagi editor.

Perkara-perkara sebegini kemudiannya saya dapati sangat berguna untuk dimanfaatkan walaupun di luar kamar editorial; di dalam disiplin kerja penerbitan umumnya juga ia sangat membantu.

Membaca pengalaman dan ketekunan Pak Samad Ismail ini membuatkan saya mengingati pertemuan-pertemuan ringkas dengan ramai orang, antaranya wartawan dan penulis yang pernah bersilang jejak, yang memang kerjanya adalah untuk memahami dan mendalami (walaupun bermula dengan tidak tahu) hal-hal yang sepatutnya yang ingin ditulis atau dilaporkan kemudian.

Kadang-kadang sikapnya tak boleh nak diangkat; kerja sekadar kerja, perangai sambil lewa, tak langsung cuba dalami perkara yang ingin diketengahkan, perasan bagus dan paling sedih, tak langsung ada pembayang apa sebenarnya peranan dan fungsi dirinya dalam lingkungan yang disertai, terutama terhadap pembacanya. Dan yang paling johan, sentiasa ada alasan-alasan yang minta ditertawakan.

Malas tak payah nak cakap, malas membaca juga satu hal lagi. Semua nak tunggu terhidang depan muka. Tahu-tahu bila siap satu tulisan atau laporan berita/ulasan, dia ingat dah habis bagus – confident sampai ke hidung, naik lemas.

Dalam satu babak buku ini, Pak Samad Ismail tuliskan bagaimana rencana pertama yang ditulisnya, tanpa sempat dibaca oleh Rahim Kajai, terus dikoyak-koyak, dibuang ke dalam tong, dan dikahakkannya. “Kau nak tulis rencana? Kau dah kenal betina ke belum, yang sampai nak tulis rencana ini?” kurang lebih begitu Kajai mengherdiknya. Dia tentunya marah dan sakit hati, tetapi dia tak cengeng.

Hujung pangkal cerita yang ingin dinyatakan dalam konteks itu ialah; pengalaman atau mengalami. Dari pengalaman yang dicatatkannya, kita akan sedar – kalau ingin menulis, bukan tulisan itu yang penting, tetapi kekayaan pengalaman yang akan membangunkan keyakinan dalam menulis serta cara kita berfikir.

Dan, kata ‘pengalaman’ yang beliau hamparkan itu bukanlah tersudut atau sempit. Boleh jadi apa-apa saja, asalkan ia dialami, goncangan zahir atau batin. (Jangan pula dibaca hanya dalam konteks “betina” itu saja.) Kalau ingin tahu apa ertinya untuk jadi penulis, belajar dari memoir ini, sebagai pemula.

Selamat tahun baru 2017.

– Hafiz Hamzah, 30 Disember 2016.

Advertisements
Catatan pembaca – lima buku untuk 2016

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s