Kemanusiaan Sastera — menyelinap ke daerah kritikan dan teori sebagai langkah pemula

IMG_1625.JPG

Kemanusiaan Sastera oleh Azhar Ibrahim juga merupakan satu lagi judul baru yang diterbitkan oleh Obscura Malaysia, pada September 2017. Tak keterlaluan sekiranya dinyatakan, ia adalah judul yang paling sulit dikerjakan setakat ini. Banyak dilema-dilema yang naik ke permukaan ketika mengerjakan naskah ini.

Manuskripnya sudah berada ditangan kami sejak kira-kira dua tahun lalu; dalam tempoh itu ia sempat menjalani beberapa kali proses suntingan yang berperingkat. Antara cabaran utama ialah bagaimana untuk mempersembahkan tulisan-tulisan yang berasal dari kertas-kertas pembentangan akademik — yang kering dan berselirat — kepada khalayak pembaca umum.

Itulah yang dilakukan terhadap naskah ini. Daripada 10 esei berkaitan kritik dan teori sastera dengan ketebalan salinan contoh pertama yang dihasilkan pada Oktober 2016 yang melebihi 300 mukasurat, ia akhirnya disaring untuk memuatkan hanya lima karangan — yang sedaya upaya dikemaskan untuk menjadikannya lebih cair.

Dan, perkara yang membuatkan kami senang hati untuk menerbitkannya adalah kerana ia boleh saja dijadikan sebagai bacaan pemula kepada mereka yang mungkin berminat. Senarai bahan rujukan juga menjadis satu aspek penting. Sebab itu ia dikekalkan; untuk memberi petunjuk kepada pembaca dari mana perbincangan-perbincangan itu datang asalnya. Jika berminat, mereka juga boleh melanjukan bacaan dengan mencari judul-judul penting yang tersenarai itu.

Selain dari beberapa kedai buku mandiri, Kemanusiaan Sastera juga setakat ini belum dihajatkan untuk masuk ke rangkaian kedai-kedai buku besar. Jadi, untuk mendapatkan buku ini, boleh berbuat demikian terus dari Obscura ditalian 013-4285070. Harganya RM25, tidak termasuk pos.

Advertisements
Kemanusiaan Sastera — menyelinap ke daerah kritikan dan teori sebagai langkah pemula

Quo Vadis, Pak Kassim? — sebuah percubaan untuk memahami sosok dengan pelbagai dinamika

Quo Vadis, Pak Kassim

Cakap-cakap tentang kumpulan tulisan ini sudah kedengaran dalam kalangan teman-teman agaknya dalam tempoh dua tahun sebelum ini oleh penggemar, peragu serta peminat-peminatnya. Ideanya mudah, untuk menghimpunkan tulisan beberapa orang penulis muda yang melihat semula sosok seorang Kassim Ahmad, tentunya dari sudut yang berbeza-beza.

Maka dari situ terbitlah buku dengan judul Quo Vadis, Pak Kassim? dalam bentuk seperti yang sudah beredar kini. Enam orang penulis yang menanggapi — melalui kefahaman dan pengalaman masing-masing — Kassim Ahmad sebagai seorang sasterawan, sosialis, Quranis dan lain-lain citra yang pernah diwajahkannya.

Tanpa kami ketahui awalnya, usaha kecil ini juga membawa makna yang lain kemudiannya; ia menjadi bingkisan kecil yang tak sempat disampaikan kepadanya selepas berita pada 10 Oktober 2017 itu pecah — Pak Kassim telah meninggal dunia.

Kepada yang ingin mengenali insan ini, tak berlebihan jika judul ini disifatkan mampu membuka denai laluan untuk tujuan itu, terutama kepada generasi-generasi baru yang bermunculan kini, yang tak pernah menjadi sebahagian daripada mata dan telinga untuk mengikuti setiap gejolak yang pernah berlangsung ketika Pak Kassim menggoncang ketenangan suasana berbudaya di sini dengan penanya.

Buat masa ini, Quo Vadis, Pak Kassim? yang disunting oleh Wan Hamidi Hamid yang menampilkan tulisan-tulisan daripada Aedi Asri, Zahid M. Naser, Hafiz Zainuddin, Shaira Amira dan Wahyudi Yunus. Buku ini beredar dalam jumlah yang kecil dan tidak akan berada di kedai-kedai buku utama. Kalau berhasrat untuk mendapatkannya, boleh hubungi kami ditalian 013-4285070. Harga RM20.

Quo Vadis, Pak Kassim? — sebuah percubaan untuk memahami sosok dengan pelbagai dinamika