Jurnal Obscura: Sekali Bererti — sebuah kesinambungan dari yang dahulu

Obscura Sekali Bererti 3

Obscura: Sekali Bererti barangkali menjadi sebuah judul yang paling banyak menelan tenaga dan waktu untuk dikerjakan. Dari awal penerbitan isu pertama — Obscura: Merapat Renggang — bermacam-macam perkara yang sempat kami pelajari daripadanya.

Mengapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk dirampung, itu menjadi satu tanda tanya yang tak pernah terjawab (walaupun dalam sela waktu itu banyak judul-judul lain yang sudah berhasil diterbitkan). Padahal, antara impian Obscura sejak awal adalah untuk mengerjakan format jurnal ini secara berterusan. Tetapi, perjalanan tak selalunya pada jalan yang mendatar.

Selang beberapa tahun menjarakkan diri daripada benih jurnal edisi terbaru ini, yang sebetulnya sudah dibayangkan tak lama selepas terbitnya isu sulung ketika itu, saya kembali meneliti kantung emel yang berisi kiriman-kiriman tulisan untuk dipertimbangkan bagi edisi seterusnya. Tetapi, banyak tulisan yang dihantar ketika itu berada jauh daripada apa yang saya harapkan, dari segi kualiti dan lebih penting, tentang kesungguhan.

Lebih awal sebelum itu, banyak emel-emel yang telah dibalas, sebahagian besarnya dengan komen-komen jujur tentang tulisan-tulisan yang dihantar, yang akhirnya berlalu senyap begitu sahaja — kerana permintaan dan gesaan untuk memperkemas dan memperhalusi lagi tulisan yang dinyatakan itu agaknya diambil sebagai sebuah penolakan. Mungkin ada yang merasakan kerja tulis yang dihasilkan dalam tempoh singkat dan selapis sudah cukup memadai untuk diterbitkan. Entahlah. Maka, dari proses itu, yang tersisa hanyalah sedikit.

Untuk sampai ke bentuknya seperti yang dapat ditatap setelah diterbitkan kini, kami mengerjakannya kurang lebih dalam tempoh setahun. Ia digerakkan dalam cara yang sama sekali berbeza berbanding yang dulu. Dari kosong, dengan sokongan dari lingkungan yang baru, dan tentulah merupakan hasil kerja kolektif. Baik dari sudut editorial, reka letak dan grafik serta percambahan idea, entah berapa banyak masa yang diluangkan untuk itu — kerana perlu bermula dari dari bawah — semata-mata untuk menzahirkan yang terbaik.

Sekarang, jurnal kecil ini sudah bersedia untuk beredar dan menemui pembaca. Moga-moga dengan sokongan semua yang membeli dan membacanya, Obscura berupaya untuk meneruskan penerbitan judul ini dengan lebih teratur di masa hadapan.

Obscura: Sekali Bererti mengandungi 12 tulisan dalam bentuk esei, cerpen, puisi dan sebagainya yang menampilkan nama-nama antaranya seperti U-Wei Haji Saari, Hazman Baharom, Zaen Kasturi, Rasyidah Othman, Nadiah Zubbir, N.K. Azlen, Hanif Maidin, Hafiz Hamzah serta terjemahan tulisan Eliot Weinberger (oleh Ammar Gazali) dan Anton Checkov (oleh Shafiq Ghazali). Ia dijual pada harga RM30. Untuk urusan pembelian, pengedaran dan sebarang pertanyaan lanjut yang berkaitan, anda boleh menghubungi talian 013-4285070. Terimakaseh.

—Hafiz Hamzah, 30 Ogos 2018.

Advertisements
Jurnal Obscura: Sekali Bererti — sebuah kesinambungan dari yang dahulu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s