Dansa Disko Prasasti

prasasti_album

Semua nak celah

Semua kata mampu

Semua tak nak kalah

Cetak ambil satu-satu

Ruang malap. Sandar bahu pada dinding. Buka telinga, tangkap irama-irama yang didendang. Pentas silih berganti dengan beberapa band yang naik buat persembahan. Tetapi malam Ahad itu, saya hanya kepingin menonton Prasasti manggung; yang hadir meraikan rilisan sulung mereka, sebuah album mini dengan lima lagu.

Entah apa halnya yang menarik perhatian tentang band ini. Mungkin kerana Prasasti terdiri dari wajah-wajah yang biasa dilihat di atas pentas-pentas lain sebelum ini, bersama band-band lain yang mereka anggotai. Agaknya, saya sekadar ingin melihat dengan lebih dekat bagaimana Prasasti mengadun muzik yang ditulis — sepanjang menonton persembahan live itu, kata “Dansa Disko Prasasti” tak lepas dari kepala ketika saya ingin cuba meletakkan satu penanda bagaimana untuk mengingati muzik mereka — dengan lirik-lirik bahasa Melayu. Dari nama band yang dipilih, dan judul lagu-lagu yang termuat, misalnya Prosa, Semesta, Kerana Bintang, saya mengharapkan itu semua bukanlah sekadar hiasan dipermukaan semata.

Tak ada apa-apa jangkaan awal sebenarnya, cuma saya secara peribadi berasa terkesan untuk memerhatikan peralihan semakin banyak band-band yang muncul beberapa tahun kebelakangan ini, umumnya terdiri dari anak-anak kota besar, semakin selesa untuk menulis dan memainkan lagu-lagu bikinan sendiri dalam bahasa Melayu.

Tentulah, ini bukan hal yang baru. Tetapi di daerah pemuzik-pemuzik yang bergerak secara independent, untuk beramai-ramai membawa kembali nuansa bahasa Melayu ke dalam teras nafas lagu serta irama moden dan rencam yang dimainkan, ini satu hal yang menarik untuk diperhatikan.

Untuk sekadar meletakkan lirik di dalam muzik bingit, sesiapa saja boleh melakukannya. Yang membezakan tingkah ini sudah tentu kemampuan meniupkan roh bahasa ke dalam lagu, dan untuk melakukan itu dengan penuh hemat, ia memerlukan kesedaran dan kebijakan yang lain. Paling tidak, kita bukan sahaja perlu banyak mendengar, tetapi perlu juga untuk banyak membaca dengan cermat; bukan lagi sekadar sebuah escapisme banal.

Dari beberapa sisi, Prasasti seperti berhasil melakukan itu, walaupun sekadar dengan lapis bahasa ringkas ke atas lirik-liriknya. Dengarkan mereka, dan kalau ada kesempatan, tonton persembahan live — lebih bertenaga di pentas, tentunya.

Nota: Malam itu juga, ada dua lagi band yang sempat saya tonton buat kali pertama, yang hadir dengan persona dan muzik kemas; Jaggfuzzbeats dan Kapow!. Boleh mula cari dengarkan band-band ini terlebih dahulu, dari sekalian banyak band-band muda lain yang bermunculan ketika ini, dengan aura yang bagus-bagus juga.

—Hafiz Hamzah, 12 Januari 2019.

Advertisements
Dansa Disko Prasasti

Membaca Don Delillo di dalam Point Omega

point omega

Saya tak pernah membaca dengan cermat Don Delillo. Point Omega menjadi pintu masuk; sebuah novel nipis yang terbit tahun 2010. Di hari pertama 2019, tanpa ada apa-apa perancangan seharian, entah apa yang membuatkan saya begitu terpanggil untuk mula membacanya. 

Barangkali ada dua sebab. 1) Beberapa bacaan rawak tentang Delillo kebelakangan ini membuatkan saya terkesan dengan cara dia membawa diri sebagai seorang novelis dan 2) Kerana terjumpa kembali novel ini, dalam kotak timbunan buku-buku yang telah diasingkan untuk dilupus.

Tentang Don Delillo. Daya tarik paling awal dan penting yang mengheret saya untuk mula membaca pengarang ini ialah kerana cerita-cerita perihal bagaimana dia yang tidak menghiraukan hal-hal selain upaya menulis itu sendiri. Ini kenikmatan dan sekali gus anugerah paling besar sebetulnya. Dia kerap tak disenangi media (sebab tak betah untuk melayan mereka), tak terlalu berghairah untuk kerap tampil ke muka publik dan bercakap banyak menjelaskan tulisan-tulisanya, tak juga peduli dengan jemputan ke festival-festival sastera serta hidup tenang tanpa aktiviti persatuan penulis. 

Ini imej seorang Don Delillo yang terbangun di dalam kepala saya hasil daripada cebisan bacaan berselerak tentang sosoknya. Yang kerap diinginkan hanyalah masa untuk menulis dan terus menulis; kehebohan lain tak pernah menjadi penting dan layak diabaikan. Dan, walaupun bukan dia seorang sahaja yang mempunyai pe’el tegas seperti ini, dialah juga orangnya yang selalu disebut-sebut sebagai antara gergasi ketika membicarakan novelis-novelis Amerika, sampai sekarang.

Delillo tidak memerlukan bayangan-bayangan gah untuk membantunya membangunkan dunia dalam novel; perkara paling banal saja akan tampil dengan begitu hidup. Inilah yang saya temukan di dalam Point Omega. Kisah seorang pembikin filem amatur yang cuba meyakinkan seorang pesara kerajaan untuk tampil di hadapan kamera dan di dalam filem yang sedang bermain di dalam fikirannya. Hanya dia seorang, rakaman berterusan tanpa henti, tanpa sang sutradara terlalu mengarahkan apa yang perlu dibuat atau dicakap. Sebuah dokumentari yang lugas dan ringkas; hanya sebuah perbualan panjang, atau lebih tepat, sebuah pengakuan.

Tetapi, ini bukanlah teras cerita yang ingin disampaikan Delillo; ini baru kulit luar. Yang dimahukan oleh si pengarah muda itu ialah apa yang ada di sebalik kisah-kisah rahsia si pesara; seorang bekas pegawai kerajaan Amerika yang menyimpan banyak pengetahuan tentang kejahatan negaranya. Iraq ada disebut. Si pesara adalah orangnya yang diketahui ramai selalu berada di dalam situasi-situasi untuk memaklumkan — atau mengawal — pembohongan yang ingin disampaikan negara secara terancang.

Namun, novel ini juga tidak membicarakan seperti apa pembohongan yang dimaksudkan itu. Ia tidak pernah sampai kepada pelondehan kepincangan, walaupun disepanjang jalan cerita, ia mencadangkan hal itu.  

Point Omega bermula di suatu sudut gelap sebuah galeri muzium; sebuah instalasi filem dengan kepanjangan 24 jam sedang ditayangkan. Keraguan pertama yang ditimbulkan adalah permasalahan ini; galeri hanya dibuka lapan jam sehari. Jika seseorang ingin mengalami dan menonton filem itu sepenuhnya, bagaimana? Bayangkan sekiranya anda kembali lagi esok hari untuk menonton; macam mana anda ingin menyambung semula tontonan filem itu dari detik yang ditinggalkan sebelumnya? Bagaimana untuk menonton keseluruhan filem, sedangkan operasi galeri tidak memungkinkan hal itu berlaku? Lantas, apalah ertinya instalasi berkenaan?

Paling tidak, jika mengandalkan hanya pada novel ini, Don Delillo meninggalkan segala macam kesangsian untuk dirasai pembaca. Sepanjang cerita ini jugalah dia secara literal sedang membicarakan tentang “point omega”; satu titik atau detik di mana, misalnya, sebuah keheningan terasa sebelum kesakitan tiba ketika sebilah pisau sedang terhunus di perut. Ia bukan tentang perbuatan menikam itu, dan bukan juga tentang kesakitan dan kematian yang menyusul.

Sebaliknya ia adalah tentang satu titik singkat sebuah kesunyian maha tinggi, atau khayal yang mendekati gila, tetapi asyik tersasar pandang ketika manusia melakukan penelitian terhadap kehidupan, atau ke atas perkara apa sekali pun. Kebijakan pengalihan tumpuan yang dianyam oleh Delillo sangat memikat.

Si pembikin filem muda itu entahkan berhasil atau tidak untuk meneruskan hasratnya menjayakan dokumentari itu; kita tak pernah tahu. Tetapi, apa yang lebih getir dapat dirasakan ialah ketegangan ketika dia sedang mencuba berkali-kali meyakinkan si pesara. Pergeseran dan pertembungan, keraguan dan muslihat serta unsur-unsur yang sama sekali tidak berkaitan tetap bermunculan menjadikan cerita ini, walaupun sangat ringkas kulit luarannya, tetap menyalur dan menerbitkan kerumitan dari lapis dan sisi lain. Itupun sekiranya kita dapat menangkap kepintaran Delillo, dan merelakan diri menari mengikut rentaknya.

Jika hanya dengan Point Omega, adakah ia berhasil membawa reputasi yang terbangun di sekeliling pengarangnya? Untuk saya, ya. Kebijaksanaannya ialah untuk menampakkan apa yang sudah jelas dan ingin dilihat tetapi dalam masa sama, berhasil pula menyembunyikan apa yang sepatutnya dilihat. 

Saya teringatkan si pesara kerajaan yang rohnya ditiupkan Delillo ini; bagaimana dia ketika berada dalam kedudukan, sehinggalah tamat perkhidmatan, tak pernah keluar sepenuhnya daripada beban pengetahuan ke atas kejahatan kerajaan dan negara yang dipikul. Memang bukan calang-calang orang yang berani berdiri tanpa rasa malu di hadapan kebenaran, walaupun ramai yang ingin mengaku atau merasa begitu.

Point Omega seperti sebuah permulaan yang baik; novel-novel Delillo wajar diteroka lagi.

—Hafiz Hamzah, 2 Januari 2019.

Membaca Don Delillo di dalam Point Omega