Apa itu lirik yang bagus? (I)

rsz_hh—lampu_tari

I.

Kebelakangan ini, ketika kembali mengamati muzik-muzik baru yang bercambah dihasilkan — terutama dari kugiran-kugiran independent tempatan — daripada sekian banyak perkara lain yang masih dirasakan belum selesai, ada satu hal yang kerap mengganggu di belakang otak; seperti apa sifatnya sebuah lirik lagu yang bagus? 

Sangat sukar untuk menyatakan dengan jelas duduk-letak perkara ini. Lagi-lagi bila berdepan dengan sikap-sikap anti-kritis, datang dan merekrut bersama setan dari kata “subjektif” lalu tanpa sedar membunuh perbincangan sihat supaya mereka dapat melalui jalan pintas. Tetapi, di dalam sembang-sembang yang banyak kali juga berlangsung di meja minum, bukannya tidak kerap hal berkaitan mutu lirik ini dibangkitkan. 

Saya redamkan sahaja pertanyaan ini dalam kepala. Masalahnya, gema dan dengungnya tak ingin mati, sampai ke tahap melarat dan menyemakkan fikiran saya sekiranya ia terus dibiar tanpa ada percubaan untuk dicari jawapan — walaupun dengan maksud sekadar untuk menenangkan diri sendiri.

Mungkin boleh dimulakan begini; di dalam muzik, medium bunyi yang dimainkan menjadi perangkat paling depan yang terlebih dahulu akan menangkap perhatian pendengar. Itu daya pikat hakiki. Kemudian, lirik yang dinyanyikan ada waktunya nyaris dijadikan sekadar pelengkap yang tidak mampu pun diletakkan sama baris dengan peri penting muzik yang dibawakan itu. Jika telahan ini benar, maka untuk saya ia satu permasalahan yang berat. Apa ertinya “seni kata” dalam lagu kalau begitu?

Melodi, atau irama nyanyian selalu menjadi balutan luar yang diguna untuk mengekang, membendung atau menyorokkan — dan muncul lebih awal dalam proses penulisan lagu — berbanding lirik yang menjadi isinya. Maksud saya, dalam muzik, kebiasaannya lirik dihadirkan dengan kesedaran untuk dibentur atau disesuaikan serta memenuhkan ruang yang ada di dalam karangan melodi sesebuah lagu.

Sama ada penulisnya menghasilkan muzik dahulu atau pun liriknya dahulu, peranan lirik dalam konteks ini tak akan pernah berubah; ia pertama sekali datang sebagai butir pengisian bagi nada dalam irama, yang kemudiannya akan menjadikan sesebuah lagu itu diyakini cukup sifat. Tetapi, kadang-kadang, lirik tidak diberi perhatian sewajarnya. Ia sekadar ada, dan ditulis tanpa pemerhatian khusus kerana dengan andaian, lirik akan diselindung oleh kebisingan-kebisingan lain. 

Tak terlalu aneh untuk membayangkan, ketika kita mendengar lagu, liriknya langsung tidak berhasil menerbitkan rasa yang kuat atau menyalurkan emosi. Yang terkesan di telinga kita, tanpa kita sedari, itu adalah “suara” sang penyanyi dan tenaga dari muziknya yang berkomunikasi terlebih dahulu. Dan, tanpa lirik pun, ada lagu-lagu yang berupaya membawa tenaga dan emosi yang dalam dengan begitu berkesan. Jadi, sekali lagi, untuk apa ada lirik?

Satu daripada ukuran untuk menilai lirik yang bagus adalah dengan mencabut semua yang membelenggu di sekelilingnya. Biarkan lirik itu telanjang, dan bacalah ia dengan suara yang paling sunyi. Lucutkan melodi yang mengiringinya, matikan segala alunan nada suara dari lenggok nyanyian. Lihat lirik itu di dalam bentuknya yang paling teras dan murni; susunan perkataan yang sama ada kita suka atau tidak, membawa bersamanya lapisan-lapisan maksud. Kalaupun itu bukan makna dari perkataan, ia boleh jadi nyawa dari pengalaman dan pemerhatian — disampaikan dengan penuh tulus.

Ketika terlucut semuanya, bacalah lirik itu sebagai sebuah puisi yang hening. Adakah imej-imej dari kata-katanya mampu bangkit dan mengganggu ketenangan fikiran? Adakah ketika meneliti baris-baris ayat itu, yang hadir dengan “muzik”nya yang tersendiri dan terlepas dari segala bentuk komposisi muzik untuk telinga, apakah dapat dirasa getus dan remang yang kalau pun tidak setara, dapat menghampiri usikan ketika kita mendengar lagunya?

Saya percaya lirik yang bagus tidak mungkin dapat dihasilkan oleh mereka yang tidak banyak membaca hal-hal di luar muzik, begitu juga oleh mereka yang tidak berada dalam latar — atau berusaha memahami sesuatu latar — untuk diterjemahkan ke dalam lirik yang ditulis. 

Jalan yang paling selamat untuk ini ialah dengan menggarap lirik dari kisah-kisah peribadi, yang biasanya sangat terbatas sifat dan kandungannya. Memang tak salah, tetapi spektrum pengetahuan dan pengalaman di luar diri peribadi jauh lebih kaya dan maha luas. Mengapa tidak dihalakan perhatian ke arah itu? Tak mahu atau tak mampu?

Di telinga saya, keluh-kesah peribadi yang biasa dijaja di dalam lirik lagu terdengar seperti rengek yang merimaskan, tak kira dari genre apa sekali pun. Ini sangat malang sekiranya muzik yang mengiringi itu membawa bunyi yang besar dan mengkagumkan, tetapi tertambat oleh kepincangan lirik yang tak mampu berdiri sendiri. Seolah-olah jika tanpa irama dan lagu, lirik juga terhapus terus tanpa jejak.

Ada juga lirik-lirik abstrak; yang selalu saya rasakan menarik hanya sekiranya ia hadir dengan pengamatan dan pemerhatian lain yang memang ingin diterjemahkan begitu. Bukan digunakan untuk menutup kedangkalan dan kecetekan lapis luaran semata. Kerana, hal-hal yang datang dari kedalaman yang lain, walaupun tidak akan mudah difahami dengan jelas, tetap membawa denyut keras yang boleh diharapkan. Untuk memahami kepentingan lirik, kita perlu meresap dan melepasi pengalaman pendengaran semata-mata. Ia lebih rumit dari hal-hal di halwa telinga.

Contoh akan diturunkan nanti. 

(bersambung)

— Hafiz Hamzah

Advertisements
Apa itu lirik yang bagus? (I)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s