SOUNDGARDEN: LIVE FROM THE ARTISTS DEN—Dari sebuah persembahan dihujung musim dingin

Soundgarden Cornell

“Sepertinya tiada apa yang dapat membunuhku,

tak kira sekeras mana upaya aku mencuba,

tiada apa yang dapat memejamkan mataku”

— Blow Up The Outside World

 

Entah mengapa, ketika berita kematiannya pecah pada 18 Mei 2017, saya tidak sedikit pun merasa sedih. Atau sebetulnya, enggan untuk merasa apa pun tentangnya. Berita itu hanya seperti angin lalu, tidak begitu meninggalkan kesan, sedang dalam perjalanannya menuju telinga-telinga orang lain yang lebih mengenal peribadinya. Saya pula hanya mengenali nama Chris Cornell, sebagai seorang pendengar, satu daripada jutaan yang lain, yang sejak dari awal diam-diam mengkagumi lontar suara dan lagu-lagu yang dihasilkannya bersama band rock ulung dekad 90an, Soundgarden. 

Sehinggalah beliau muncul diwawancara berseorangan dihadapan layar lebar, sebagai pembuka rakaman persembahan Soundgarden: Live from the Artists Den, sebuah tayangan khas-satu-malam-sahaja yang diadakan di panggung IMAX seluruh dunia pada 1 Julai 2019. Ia merupakan rakaman berkualiti tinggi — visual dan audio — dari sebuah persembahan dihujung musim sejuk pada Februari 2013 yang sempat diberikan oleh band berkenaan, enam tahun lalu di sebuah panggung kecil bernama The Wiltern, Los Angeles. “Saya lebih gemarkan tempat kecil seperti ini. Kerana, muzik kami agak kelam, dan dalam ruang seperti ini ia lebih berkesan untuk menyalurkan tenaga seperti itu,” kurang lebih begitu yang dinyakatannya. Malam itu di LA, hanya kira-kira 1,800 orang sahaja yang dapat menyaksikannya secara langsung.  

Ketika detik itulah pertama kali saya seperti dimatikan pukau, dan mula merasakan kehilangan seorang watak yang sejak lebih 20 tahun lalu, sering saya bolak-balik dan “mendengar” suaranya tanpa rasa jemu —juga perlu diakui — tanpa banyak kefahaman lain melangkaui muzik yang dimainkan. Lebih memalukan, saya sebenarnya jarang-jarang “mendengar” kisahnya yang disampaikan dalam lagu-lagu dan lirik yang ditulis. Ini bahana memperlakukan muzik hanya sebagai medium popular yang selalu disalah tafsir dan diraikan hanya dari kulit luaran semata, barangkali; perkara menjarakkan kita daripada hal-hal inti yang jauh lebih penting untuk didengari, yang berselubung di dalam lagu-lagu yang punya roh dan jiwa tersendiri.

Setelah dua tahun pemergian Chris Cornell, barulah saya nyaris-nyaris berasa sebak yang berat dan lelah menahan rasa yang berkecamuk dalam hati ketika duduk menyaksikan persembahan selama dua jam setengah yang dirakam dan dipertontonkan semula kepada umum buat pertama kali malam semalam, di dalam panggung. Sukar untuk meletakkan kata-kata untuk menyingkap perasaan berkenaan. Di dalam persembahan inilah semua yang dikatakan beliau tentang kekelaman muzik dan riawayat hidupnya yang dinukilkan dalam muzik, terutamanya bersama Soundgarden selama ini menampakkan dirinya dengan cemerlang dihadapan saya.

Memang, saya tak pernah menyaksikan Soundgarden bermain live di depan mata. Tetapi, saya sangat-sangat berterima kasih kerana berkesempatan untuk mengalami sendiri rakaman live dalam format IMAX ini, seperti yang direncanakan dari awal oleh penerbitnya; agaknya inilah alternatif yang barangkali lebih baik. Menonton dari layar lebar dengan visual-visual rakaman yang sangat terperinci, diganding juga bersama sistem penataan bunyi yang kental — saya seolah-olah sedang menyaksikan Soundgarden yang dikenali dari jauh sedang bermain di depan mata; persekitaran disekeliling tidak menjadi penting sepanjang tempoh persembahan itu ditayangkan. Darjahnya mungkin hanya sedikit di bawah daripada menyaksikan Soundgarden naik pentas di hadapan kita.

Adalah satu pengalaman yang sangat menyenangkan untuk menonton sebuah band senior naik panggung di luar zaman kegemilangannya, apa lagi jika mereka sudah sempat terjerembab ke tanah sebelum memutuskan untuk perlahan-lahan bertatih bersama lagi, seperti Soundgarden. Tiada langsung pesona rock stardom yang menjengkelkan, tiada lagi ego dan besar kepala yang dapat dirasakan ketegangannya tercermin di atas pentas; yang tersisa hanyalah muzik-musik yang pernah dihasilkan, yang ingin disampaikan sejujur mungkin tanpa ada lagi salutan pemanis yang tak perlu di luarnya. Sebuah persembahan yang semata-mata kerana muzik, yang datang bersama imbauan masa lalu dan bara semangat — walaupun usia tidak lagi menyebelahi mereka.

Di dalam panggung sepanjang tayangan persembahan pentas itu berlangsung, tak sedikit pun saya melarikan pandangan lama-lama dari layar. Sebahagian daripada diri saya menonton dengan penuh rasa kagum terhadap persembahan band empat anggota yang masih kemas dan bertenaga, tambahan pula dirasuk nostalgia mendengarkan suara-suara pitch tinggi dari Chris Cornell sendiri. Ini satu daripada sedikit tayangan dipanggung wayang yang diiringi sorakan serta tepuk tangan hampir setiap kali Soundgarden selesaikan memainkan sebuah lagu. Orang bersorak, orang menyanyi bersama seperti mereka berada di tapak gig yang sedang berlangsung.

Dari rakaman malam itu, ada waktu-waktunya Chris Cornell kelihatan agak sukar dan minta nyawa untuk mengekalkan nyanyian nada tinggi seperti yang selalu dibawakannya, perkara yang mungkin dilakukannya tanpa banyak masalah ketika di usia muda belia, sekitar 25 tahun sebelum itu. Dengarkan semula katalog lagu-lagu dari tiga album utama Soundgarden untuk faham hal ini— Badmotorfinger (1991), Superunknown (1994) dan Down On The Upside (1996). Jangan dilupa juga dua lagi rakaman studio terawal yang pernah dihasilkan pada penghujung 1980an; Ultramega OK dan Louder Than Love. Pada 1997, Soundgarden bubar, yang disusuli dengan satu rilisan “kenangan manis” A-Side. 

Chris Cornell yang naik pentas dengan gaya paling ringkas, jaket kulit dan t-shirt lengan panjang, seluar kargo slim dan boot yang sepersalinannya berwarna hitam. Begitu juga dengan Kim Thayil, yang selalu tampil sangat tenang dan meyakinkan dengan gitar Guild SG ikoniknya, juga berpakaian serba hitam, yang lebih berminat menumpukan perhatian kepada permainan serta menghasilkan bunyian paling hampir seperti ketika lagu-lagu berkenaan dimainkan di dalam album. Ben Shepherd sang pemain bass mungkin yang paling suka berjenaka dan berseloroh disepanjang persembahan, selesa dengan blazer hitam dan jambang lebat.

Matt Cameron yang menjadi penjaga kiraan masa band ini mungkin yang paling ceria, terus-menerus melonjakkan semangat persembahan dengan pukulan padu dramnya yang penuh bertenaga. Dengan riff-riff gitar dalam talaan Drop D yang rendah, berat dan kelam, agaknya itulah cerminan Soundgarden yang paling tulen pernah diulang-tonton kepada penikmat-penikmat muzik mereka.

Tetapi, sebahagian yang lain diri saya juga sedang melihat seorang Chris Cornell dalam keadaannya yang sangat rapuh. Hanya pentas dan muziklah yang menjadi penawar paling mujarab terhadap tekanan jiwa yang ditanggungnya sekian lama. Saya tak pernah memilih untuk melihat beliau dari corong begitu sebelum ini. Di hadapan layar panggung, dialah yang agaknya memilih untuk menunjukkan sisi berkenaan, tanpa sedar. Kematiannya menjadi lebih jelas dan masuk akal.

Matanya adalah mata orang yang kian letih untuk menanggung beban emosi yang entah seperti apa turun-naik gejolaknya. Gerak tubuh juga tidak lagi hadir dengan semangat yang sama seperti dahulu. Itu boleh difahami, kerena mana mungkin hukum alam yang menghantar usia untuk mengingatkan kita tentang kudrat boleh dilawan. 

Kesuraman dan kelam yang melahirkan lagu-lagu dan lirik yang pernah ditulis Chris Cornell tiba-tiba menjelmakan dirinya dengan begitu jelas dihadapan mata saya. Hal ini terasa lebih ketara ketika mereka membawakan secara berturutan lagu Fell On Black Days yang disusuli oleh Burden In My Hand — dua lagu yang terkandung di dalam album berasingan dari rentang tahun-tahun yang berbeza, mencadangkan yang beban dibahu beliau tak pernah benar-benar lenyap sepanjang tempoh itu; atau sebetulnya sehingga akhir hayat.

Chris Cornell selalu menuliskan kesengsaraannya yang lirih dalam gaya pintar dan cerdas.   Selepas Soundgarden, Chris Cornell menempa jalan lain dan tak terpisah dari satu-satunya ubat kepada kesakitannya; muzik. Bergerak solo dengan dua album, beliau kemudiannya masuk studio dan naik pentas bersama Audioslave; Rage Against The Machine yang diaduk bersama Soundgarden, yang turut menjadi satu penanda aras tersendiri dalam peta rock dunia pasca-milennium.  

Tetapi, Chris Cornell dan Soundgarden tak mati-mati; pada 2010, mereka memutuskan untuk merujuk kembali dan menghidupkan semula band berkenaan setelah 13 tahun menyepi. Hasil daripada ini, sebuah album yang juga terakhir dilahirkan, King Animal (2012) — sebuah album yang kira-kiranya berjaya membuktikan ketokohan dan kreativiti mereka yang masih terus mengalir setelah sekian lama terbungkam. Been Away Too Long adalah satu petunjuk dari album berkenaan yang menjadi semacam pengakuan dan berahi untuk mereka kembali bersama lagi. 

Persembahan yang dirakam ini adalah dari siri jelajah album terakhir berkenaan. Serba-serbi tentangnya sangat mengikat dan memikat, sebagai sokongan terhadap album baru yang dirilis ketika itu. Keseluruhannya, 21 lagu dimainkan (atau sekurang-kurangnya ditunjukkan dalam rakaman ini). Secara peribadi, saya lebih banyak terkesan lagu-lagu dari Badmotorfinger; hampir separuh lagu dari album ini dimainkan, yang menjadi wakil detik-detik penting pembentukan bunyi dan muzik band ini yang akan dijaja kemudiannya.

Persembahan terakhir Soundgarden adalah pada malam 17 Mei 2017 di Fox Theather, Detroit. Beberapa jam selepas itu, Chris Cornell tiada lagi. Di dalam panggilan telefon kepada isterinya beberapa ketika sebelum itu, dia memberitahu bahawa dia tak dapat lagi menenteramkan bunyi suara yang berdengung di dalam kepalanya. 

Vicky, sang isteri, segera menghubungi pihak hotel, meminta mereka untuk memecah masuk ke dalam kamar Chris Cornell dan menghantar bantuan medik secepat mungkin. Tetapi, dunia tahu semua itu tak sempat menyelamatkannya. Laporan bedah siasat menyatakan dalam sistem tubuh Chris Cornell terdapat tujuh jenis ubat atau dadah telah yang ditemui. Menurut isterinya, ketagihan inilah yang menjadi penyebab yang mendorong beliau untuk mengambil nyawanya sendiri.

Tetapi, agaknya isyarat tentang semua ini mungkin telah diberikan oleh beliau di dalam lagu terakhir yang menjadi penutup kepada dua persembahan berbeza pada tahun 2013 dan juga yang terakhir pada 2017 itu. Kedua-dua persembahan itu ditutup dengan lagu Slaves and Bulldozers dari album Badmotorfinger selepas set encore, dengan penuh rindu-dendam.

Ayat pembuka lagu berkenaan berbunyi; “Setiap yang aku katakan, aku memaksudkannya.” Dalam rakaman Artists Den ini, ia diulang-ulang meleret dan lagu berlarutan panjang. Menjadi semacam pengesahan kepada semua lirik-lirik gelap yang pernah ditulis olehnya selama ini, bahawa semua itu bukan main-main. Namun, yang berbeza ketika persembahan terakhir sebelum kematiannya adalah, lagu berkenaan dimainkan sebelum penyudah yang lebih getir disampaikan selepas itu; kita bayangkanlah ia seperti sebuah medley yang di dalamnya dikirim ucap selamat yang terakhir — sebuah lagu cover dari Led Zeppelin, In My Time Of Dying.

Soundgarden: Live from the Artists Den adalah penutup lirih bagi kisah band ini yang akan diabadikan dalam pelbagai format rilisan selepas ini. Bibit inilah yang akan terus diingati oleh penikmat-penikmat muzik mereka. Selepas ini, Soundgarden tak ada lagi, ia telah pergi bersama mendiang Chris Cornell buat selamanya. Kerana, tak akan ada sesiapa lagi yang mampu menyanyi seperti itu. Saya pula sekadar ingin mengingati senyuman yang terukir dibibir beliau dalam penataan cahaya yang makin kelam di pentas terakhir yang sempat dirakam dengan sewajarnya ini, untuk dijadikan ingatan di lain waktu. Selamat malam, Chris.

— Hafiz Hamzah, 2 Julai 2019.

Advertisements
SOUNDGARDEN: LIVE FROM THE ARTISTS DEN—Dari sebuah persembahan dihujung musim dingin