Quo Vadis, Pak Kassim? kembali beredar

Quo Vadis, Pak Kassim?_1

Pada September 2017, buku Quo Vadis, Pak Kassim? (QVPK) terbit pertama kali dalam jumlah yang sangat terhad. Projek berkenaan sebetulnya sebelum itu telah tertangguh lebih setahun, dan memang awalnya dihasratkan untuk menjadi sebuah penerbitan yang sengaja tidak ingin disebar luas; ya, sebuah ironi yang mabuk, saya tahu.

Oleh kerana saya tidak berada di tanah air menjelang tarikh penerbitan, ia dikerjakan sepenuhnya oleh orang-orang yang sama menyumbang tulisan untuk buku kecil ini, dengan Wan Hamidi Hamid bertindak sebagai penyunting. Ia kemudian disusuli dengan sebuah sesi bicara intim yang boleh dibilang berjaya juga; banyak perhatian yang diraih, baik dari orang-orang lama yang hampir sebaya dan segenerasi Pak Kassim mahupun oleh pembaca-pembaca muda.

QVPK di dalam sela-sela nyawanya selepas acara itu sempat juga menerima kritikan daripada Prof. Shaharuddin Maaruf, yang berlangsung di Facebook, berkaitan beberapa hal yang menurut beliau menjadi kesalahan kerana melibatkan kesilapan maklumat terhadap tahun buku beliau diterbitkan, seperti yang dipetik di dalam esei oleh Wahyudi Yunus, Membelai Romantisme Jebat.

Tetapi, setelah dijawab dan diperjelaskan oleh penyunting berkaitan sumber dan versi terjemahan bukunya yang dirujuk untuk tulisan itu, semuanya baik-baik saja. Tak ada kesilapan yang perlu diperbetulkan. Cuma, di dalam edisi baru ini, tetap sebuah nota kaki dalam esei yang sama ada ditambah untuk mengelakkan kekeliruan semua yang membaca.

Kurang lebih sebulan kemudian, berita pecah; Kassim Ahmad meninggal dunia pada 10 Oktober 2017.  Saya sendiri berasa sedikit ralat kerana seingat saya, Obscura tak sempat menyerahkan atau mengepos salinan buku berkenaan untuk tatapan beliau. Saya sendiri baru tiba di Malaysia dalam tempoh kurang seminggu dari tarikh berkenaan.

Tak lama selepas itu, salinan yang dicetak sedikit itu pun lengis, langsung buku ini lenyap dari pasaran.  Ada juga yang masih bertanya kemudiannya, tetapi hanya menerima jawapan yang mengecewakan; kami sendiri hanya ada dua-tiga naskah untuk simpanan pustaka peribadi.

Maka, untuk tahun 2019, kami mengambil keputusan untuk menerbitkan semula QVPK dalam bentuk edisi kedua dan terbarunya. Selain diperkemas dan diberikan reka sampul baru yang seragam bersama Dialog Dengan Sasterawan cetakan terkini, QVPK kini memuatkan dua esei yang sebelum ini tidak terkandung di dalamnya — ditandai “Sesudah Kassim”. Satu daripadanya merupakan esei tulisan saya sendiri, dan satu lagi tulisan belasungkawa oleh sang editor, Wan Hamidi.

Hal-hal selebihnya bolehlah ditelisik di dalam buku nipis ini, yang kini kembali beredar dan dijual pada harga RM25. Untuk pembelian terus dari Obscura atau berkaitan urusan pengedaran, boleh hubungi 013-4285070 atau emel ke obscura.malaysia@gmail.com.

—Hafiz Hamzah, 11 September 2019.

Quo Vadis, Pak Kassim? kembali beredar