APA ITU LIRIK YANG BAGUS? (II)

rsz_hh—lampu_tari

II.

Untuk menjelaskan perihal lirik yang bagus, saya fikir tidak memadai sekiranya perbincangan mengenainya dilakukan secara terawangan atau konseptual semata; satu contoh konkrit yang dapat menjelaskan sekaligus menzahirkan sisi berkenaan akan sangat membantu penelitian. Lama juga saya tertanya-tanya diri sendiri lagu mana yang dapat mewakilkan pandangan saya terhadap perkara ini. 

Sudah tentu ada banyak lirik yang boleh dibicarakan, termasuk dari lingkungan muzik popular yang telah meraih perhatian massa selama ini. Tetapi, kerangka perhatian saya sebetulnya terarah kepada pemuzik-pemuzik bebas yang tidak terikat dengan norma-norma penghasilan muzik sebagai barang dagang atau hiburan semata-mata. 

Ini kerana, semangat, kesempatan dan keterbukaan yang terbentang di hadapan kelompok independent ini sangat luas untuk mereka terokai dan manfaatkan dengan cara apa pun, tanpa perlu terlalu akur atau mengikut telunjuk sesiapa. Tinggal lagi, sama ada perkara itu disedari atau sebaliknya. Ruang itu tidak pernah dinafikan.

Semangat yang saya maksudkan di sini ialah sebuah keseimbangan, misalnya antara perlambangan dan kenyataan, kebebasan kreativiti yang berjejak ke latar sekeliling, keras berontak dalam kelembutan, luahan yang dibendung tak meliar, penampilan imej yang datangnya dari lapis-lapis naratif yang jauh lebih luas dan menanggung maksud-maksud yang melangkaui hal yang sekadar permukaan. Kira-kira begitulah kerangka yang ingin ditunjukkan.

Ketika mencari-cari, ada sebuah lagu yang sebetulnya baru saya temukan, dan didengar berulang-ulang bagi satu tempoh yang agak lama juga (untuk tertumpu hanya kepada sebuah lagu). Sejak perkenalan itu, ia sering berputar dalam radar pendengaran, diulang tanpa rasa jemu. 

Setiap kali itu juga pasti ada perkara baru yang disedari, atau bayangan lain yang mengusik. Bermula dari sekadar melayani halwa telinga, sehinggalah perlahan-lahan ia membuka dirinya untuk menyingkap cerita-cerita lain yang membawa kepada pembentukan imej dalam bait-bait yang dituliskan sebagai liriknya itu.

Ini lirik lagu yang dimaksudkan:

 

Kursi-kursi bioskop penuh kutu

Naik dari bangku ke dalam saku

Lalu menyelinap ke buku-buku

Lalu menggeliat menjadi hantu

 

Darah itu merah dipancar terang benderang ke layar lebar

 

Perempuan liar jangan dibiarkan main-main pisau lipat

 

Kami pakai bendera sebagai seragam

Ketika digelandang ke bioskop jam sembilan

Matahari naik lebih cepat dari sebelumnya

Mengintip dari belakang bioskop tua bernama Raya

 

Ini lirik lagu sebuah band “mitos” dari Indonesia, Melancholic Bitch. Judul lagunya Bioskop, Pisau Lipat dari album paling baru yang sempat mereka hasilkan, NKKBS Bagian Pertama (2017). Sekali imbas, tidak hairan sekiranya susunan ayat ini sama sekali tidak dapat menerbitkan apa-apa petanda untuk mencadangkannya sebagai sebuah lirik yang baik. Ia tidak punya rima yang memikat, bahkan meter-meter bunyian perkataan juga berselerak. Nyaris tak ada kompleksiti struktur padanya.

Tetapi, saya melihatnya dengan mata yang lain; ia sarat dengan hantu-hantu yang bakal merasuk. Ia mengusik deria fikir saya untuk mencari tahu apa sebenarnya kisah yang ada di belakang lirik ini. Ayat-ayat ini barangkali menjadi satu cerminan yang begitu cemerlang; menyelindungkan duduk letak perkara sebenar yang dengan sengaja tidak ingin ditunjukkan dengan jelas atau menjadi terlalu senang diteka. 

Dari lapis luar, cerita yang dipersembahkan di dalamnya cuma tentang sebuah panggung wayang yang sangat daif keadaannya, sedikit tentang imej yang dipancar ke layar, dan selebihnya itu-itu saja. Melihat dari sudut ini, memang ia sangat mediocre. Lirik (dan lagunya juga) sangat ringkas.

Kita tak pasti sebenarnya apa yang cuba disampaikan, atau daripada latar yang bagaimana bait-bait seperti ini lahir. Tetapi, gerak hati saya menyedari, ia bukanlah sekadar ayat-ayat kosong yang diletakkan untuk suka-suka tanpa erti. Diam-diam dari awal saya percaya, bayangan imej dengan segala ketegangan yang bergetar itu tidak mudah ditemui oleh penulisnya jika dia tidak punya andal yang lain untuk membantunya sampai kepada pengucapan seperti itu.

Dari sebuah wawancara*, keresahan saya kemudiannya terjawab. Lirik ini datang dari lembah trauma tentang pengalaman dan permenungan peribadi penulisnya, Ugoran Prasad, terhadap sosio-politik masyarakat sekitarnya ketika pemerintahan Orde Baru di bawah Soeharto. Lagu yang satu ini secara persis sedang berbicara tentang pemaksaan ke atas warga untuk menonton sebuah filem propaganda kerajaan waktu itu, Penumpasan Pengkhianatan G30S/PKI. 

Dalam tahun-tahun berdarah itu, Parti Komunis Indonesia (PKI) dan simpatisannya habis diganyang oleh aparatus kerajaan Orde Baru. Pembunuhan dan pembantaian ke atas manusia berleluasa dan berlaku sewenang-wenang tanpa sebarang pengadilan. Babak-babak inilah dihadirkan dalam bentuk filem yang kemudiannya dipaksakan meresap ke dalam kepala warga republik itu; “darah itu merah dipancar terang benderang ke layar lebar”. 

Untuk Ugo sendiri, saya mengandaikan, kerana berada jauh dikampung terpencil tanpa capaian kotak tv, mereka diusung ke panggung wayang terdekat untuk menonton filem sama. Momok-momok sedang ingin ditanam dalam kepala, walaupun terhadap kanak-kanak kecil, hanya untuk menyemai kebencian dan membasuh otak dengan menggunakan alasan “negara”.

Baris paling kuat yang menarik perhatian saya sejak awal ialah ini; “perempuan liar jangan dibiarkan main-main pisau lipat”. Segala macam gejolak rasa berada dalam hanya satu baris ini. Ia boleh saja ditanggap sebagai sebuah pernyataan pembelaan terhadap kaum hawa, tetapi sekali gus berbunyi penafian terhadap keberdayaan mereka. 

Jika kita membacanya dari Malaysia, “pisau lipat” mungkin boleh saja membawa bayangan maksud yang berbeza; semacam angin keras untuk merendahkan perempuan. Tetapi, jauh di dalam getus rasa awal itu, saya percaya saya sebenarnya tersilap. 

Dalam rentang waktu kebangkitan kesedaran kebangsaan yang meluap ketika Sukarno dan PKI ditampuk kuasa sebelum Orde Baru, kelompok berkenaan mempunyai sayap wanita yang sangat digeruni. Bukan kerana perlakuannya, tetapi kerana kesedarannya. Mereka dipanggil Gerwani. Dalam sejarah kita di sini, barangkali yang paling hampir pernah kita miliki ialah Angkatan Wanita Sedar (AWAS). 

Gerwani memecahkan kebekuan nilai budaya yang menyelubungi wanita ketika itu, naik ke pentas politik dan menyusun gerak sosial yang barangkali sangat berkesan. Sehinggakan mereka juga menjadi sasaran diwaktu Orde Baru. “Perempuan liar” itu adalah mereka, dan “pisau lipat” itu adalah peranan mereka yang dilihat merbahaya oleh pemerintah, dan kerana itu, imej wanita yang kental dan kuat seperti Gerwani dirasakan wajar dicantas — kisahnya diolah semula biar terlihat mereka ini seperti setan yang boleh bunting dan melahirkan. 

Yang cuba saya tunjukkan di sini bukanlah soal “subjek” kepada lirik berkenaan, tetapi naratif yang mendorong kepada penghasilannya. Bukan kerana ia membela PKI atau komunisme secara umumnya, tetapi tentang sejarah bangsa yang menjadi urat nadi kehidupan orang-orang yang sedar diri yang kebetulan menjadi pekerja seni; penulisnya memilih untuk tidak terpisah dari hal itu. 

Walaupun kemudiannya, seperti yang dapat kita lihat melalui lirik yang dihasilkan, ia sama sekali tidak memaparkan kekerasan itu dalam gambaran yang paling jelek — semua itu terselindung dengan rapi. Pendengar bahkan tidak perlu tahu akan kisah-kisah yang bersandar di belakangnya, kalau mahu.

Inilah juga contoh terbaik ketika saya menyebutkan soal naratif peribadi (yang tersudut dan terbatas, selalunya membosankan dan sering disampaikan dengan cara paling banal) untuk dibandingkan pula dengan naratif di luar peribadi yang jauh lebih luas dan penting untuk dibicarakan. Dalam masa yang sama, ia mempunyai konotasi kebersamaan lingkungan sosial yang lebih bermakna, tentulah dengan setiap permasalahannya yang hadir sekali dan tidak terelakkan.

Kebijakan pada lirik ini bagi saya adalah ketika ia menyembunyikan noda-noda hitam dan hanyir darah sejarah dan mewakilkannya dengan imaji yang tetap kuat dan berkesan, tetapi tidak menyuluh terus kepada teras cerita yang boleh jadi sangat vulgar dan meloyakan — dan disepanjang waktu itu juga, liriknya membuatkan saya sentiasa tercari-cari dan berfikir. 

Mungkin ringkasnya begini; bayangkan seorang bapa, yang ketika dalam tahap kemarahannya yang paling puncak, dia memilih untuk diam dan hanya melemparkan sebuah pandangan tajam yang boleh membuatkan kita sesak nafas jika berlaga mata. Begitulah, kemarahan yang tidak ditunjukkan, namun tetap terasa gerunnya. Dan sebaliknya.

*Wawancara penuh Jurnal Ruang bersama Ugo yang dirujuk untuk tulisan ini boleh dibaca di sini. Bahagian (I) tulisan ini pula boleh dicapai di sini.

— Hafiz Hamzah.

APA ITU LIRIK YANG BAGUS? (II)

Dansa Disko Prasasti

prasasti_album

Semua nak celah

Semua kata mampu

Semua tak nak kalah

Cetak ambil satu-satu

Ruang malap. Sandar bahu pada dinding. Buka telinga, tangkap irama-irama yang didendang. Pentas silih berganti dengan beberapa band yang naik buat persembahan. Tetapi malam Ahad itu, saya hanya kepingin menonton Prasasti manggung; yang hadir meraikan rilisan sulung mereka, sebuah album mini dengan lima lagu.

Entah apa halnya yang menarik perhatian tentang band ini. Mungkin kerana Prasasti terdiri dari wajah-wajah yang biasa dilihat di atas pentas-pentas lain sebelum ini, bersama band-band lain yang mereka anggotai. Agaknya, saya sekadar ingin melihat dengan lebih dekat bagaimana Prasasti mengadun muzik yang ditulis — sepanjang menonton persembahan live itu, kata “Dansa Disko Prasasti” tak lepas dari kepala ketika saya ingin cuba meletakkan satu penanda bagaimana untuk mengingati muzik mereka — dengan lirik-lirik bahasa Melayu. Dari nama band yang dipilih, dan judul lagu-lagu yang termuat, misalnya Prosa, Semesta, Kerana Bintang, saya mengharapkan itu semua bukanlah sekadar hiasan dipermukaan semata.

Tak ada apa-apa jangkaan awal sebenarnya, cuma saya secara peribadi berasa terkesan untuk memerhatikan peralihan semakin banyak band-band yang muncul beberapa tahun kebelakangan ini, umumnya terdiri dari anak-anak kota besar, semakin selesa untuk menulis dan memainkan lagu-lagu bikinan sendiri dalam bahasa Melayu.

Tentulah, ini bukan hal yang baru. Tetapi di daerah pemuzik-pemuzik yang bergerak secara independent, untuk beramai-ramai membawa kembali nuansa bahasa Melayu ke dalam teras nafas lagu serta irama moden dan rencam yang dimainkan, ini satu hal yang menarik untuk diperhatikan.

Untuk sekadar meletakkan lirik di dalam muzik bingit, sesiapa saja boleh melakukannya. Yang membezakan tingkah ini sudah tentu kemampuan meniupkan roh bahasa ke dalam lagu, dan untuk melakukan itu dengan penuh hemat, ia memerlukan kesedaran dan kebijakan yang lain. Paling tidak, kita bukan sahaja perlu banyak mendengar, tetapi perlu juga untuk banyak membaca dengan cermat; bukan lagi sekadar sebuah escapisme banal.

Dari beberapa sisi, Prasasti seperti berhasil melakukan itu, walaupun sekadar dengan lapis bahasa ringkas ke atas lirik-liriknya. Dengarkan mereka, dan kalau ada kesempatan, tonton persembahan live — lebih bertenaga di pentas, tentunya.

Nota: Malam itu juga, ada dua lagi band yang sempat saya tonton buat kali pertama, yang hadir dengan persona dan muzik kemas; Jaggfuzzbeats dan Kapow!. Boleh mula cari dengarkan band-band ini terlebih dahulu, dari sekalian banyak band-band muda lain yang bermunculan ketika ini, dengan aura yang bagus-bagus juga.

—Hafiz Hamzah, 12 Januari 2019.

Dansa Disko Prasasti

Catatan pembaca – lima buku untuk 2016

5-buku-2016

Saya jarang menyimpan rekod atau senarai judul buku-buku yang sudah dibaca. Kerana, saya tak merasakan adanya keperluan untuk itu. Yang tersisa nanti hanyalah satu-dua perkara daripada pembacaan yang dilakukan; jika sesebuah buku itu ada memberi sedikit erti kepada diri sendiri, saya tak perlu terlalu risau. Ia akan datang kembali untuk diingati. Atau paling tidak, ia akan meminta untuk dikunjungi lagi.

Antara hal yang menjadi masalah untuk saya berbuat demikian (menyenaraikan bacaan) adalah kerana saya membaca dalam satu tempoh yang agak panjang. Saya kerap membiarkan percikan-percikan yang dibaca itu bermain-main dalam kepala untuk satu tempoh yang tak tentu, tanpa terlalu tergesa-gesa untuk menghabiskan bacaan. Makin sedap kepala menangkap alurnya, lebih lama lagi diperlukan sebelum satu-satu buku itu dikhatamkan (dan, banyak juga yang tak dihabiskan terus).

Bergantung kepada keadaan dalam situasi tertentu yang biasanya sangat spesifik, membaca bagi saya adalah satu keperluan dan bukan untuk tujuan selain itu – suatu peluang untuk merenung hal-hal yang bermunculan dalam fikiran, atau untuk saya memahami perkara-perkara yang tersirat, dari sudut dan lapisan yang berlainan berkaitan yang entah datang dari mana, mencucuk-cucuk benak.

Saya tak pernah setia membaca sebuah buku dari awal sampai tamat, apa lagi dalam sekali duduk; selalu ada bacaan-bacaan lain yang mengganggu dan lebih memerlukan perhatian. Atau yang sebetulnya, bacaan yang lebih bersesuaian dengan suasana emosi dan fikiran.

Jika saya rasakan buku yang sedang dibacakan itu semakin mendatar dan tiada kerahan yang bersungguh terhadap imajinasi (dan juga tentu sekali, bahasa), saya akan meninggalkannya untuk beralih kepada yang lain.

Baca selanjutnya

Catatan pembaca – lima buku untuk 2016

YANG TERANGKUM, YANG TERLEPAS

Ketika merenung hampir setahun ke belakang, 2016 pada mulanya kami fikir tahun yang agak ‘perlahan’ untuk rumah penerbitan Obscura. Sangat tidak produktif, dan itu satu hal yang tidak baik, tentunya.

Di antara memenuhi keperluan sendiri dan permintaan orang, rupa-rupanya hanya empat judul yang sempat kami terbitkan tahun ini. Yang dimaksudkan ialah; Gertak Sanggul, Berehat Di Sisi Paus, Ion – Plato (samizdat) dan juga sebuah rilisan semula CD album sebuah kugiran loud gaze dari Ipoh, Soft.

Gertak Sanggul merupakan kumpulan sajak kedua saya sendiri, dengan penampilan dalam dua versi. Kulit nipis, dengan imej atau bayangan kelam sejak dari muka kulit, dan versi kulit keras yang langsung ditelan gelita.

Mengerjakan kumpulan sajak ini memberikan kepuasan yang tersendiri. Seperti selalu, saya berperang dengan diri sendiri, bercakap dengan diri sendiri, dan menghukum diri sendiri sebelum sampai kepada persefahaman untuk menerbitkannya.

Dihujungnya, saya sertakan sebuah esei, sedikit-sebanyak menyentuh tentang keraguan-keraguan yang timbul ketika membentuk sehinggalah melahirkannya. Panjang dan perih – ini perkara yang sudah terbiasa – tetapi yang terhasil adalah sesuatu yang tidak tergambarkan. Sekurang-kurangnya itu yang saya rasakan.

Baca selanjutnya

YANG TERANGKUM, YANG TERLEPAS

Latiff Mohidin – Empat buku edisi Galeri Petronas

latiff-mohidin-garis

Empat judul buku dalam format coffee-table book kulit keras ini adalah dari koleksi pustaka Obscura dan ingin dijual. Judul-judul yang dimaksudkan ialah Garis, Rimba, Tao Te Ching – Lao Tzu (terjemahan) dan Kembara.

Semuanya merupakan hasil kerja Latiff Mohidin (prosa dan juga catan/lukisan) yang dihimpunkan, diterbitkan oleh Galeri Petronas sebelum ini. Naskah adalah dalam keadaan baru, dari stok lama. Harga setiap satu ialah RM100. Kepada yang berminat untuk dapatkan, hubungi 013-4285070.

Latiff Mohidin – Empat buku edisi Galeri Petronas

Berehat Di Sisi Paus – Kumpulan sajak terbaru terbitan Obscura, oleh Zahid M. Naser

berehatdisisipaus-2

Memperkenalkan, sebuah terbitan terbaru Obscura; Berehat Di Sisi Paus, sebuah kumpulan sajak oleh Zahid M. Naser. Kini di dalam peringkat akhir kerja-kerja pra-penerbitan dan bakal diterbitkan dan dijual bermula Oktober nanti.

Menghimpunkan hampir 70 buah sajak yang terbit dari latar yang kebanyakannya dari Timur Tengah, ia juga merupakan sebuah naratif dalam imajinasi terkait satu di antara semuanya.

Turut disertakan ialah sebuah esei iringan oleh Al-Mustaqeem M Radhi. Sedikit cuplikannya diturunkan di sini;

“Selama ini saya menjangka bahawa Timur Tengah hanya mampu melahirkan Cinta Dari Balik Purdah, Kasihku Tumpah Di Sungai Nil atau Ke Nerakalah Janggut Firaun, selain bait-bait yang direncahi kalimat Arab. Sama sekali saya tidak menduga bahawa akan pernah lahir Paus dari sana.”

Maklumat lanjut berkaitan judul ini akan dimaklumkan kelak.

 

Berehat Di Sisi Paus – Kumpulan sajak terbaru terbitan Obscura, oleh Zahid M. Naser