Jurnal Obscura: Sekali Bererti — sebuah kesinambungan dari yang dahulu

Obscura Sekali Bererti 3

Obscura: Sekali Bererti barangkali menjadi sebuah judul yang paling banyak menelan tenaga dan waktu untuk dikerjakan. Dari awal penerbitan isu pertama — Obscura: Merapat Renggang — bermacam-macam perkara yang sempat kami pelajari daripadanya.

Mengapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk dirampung, itu menjadi satu tanda tanya yang tak pernah terjawab (walaupun dalam sela waktu itu banyak judul-judul lain yang sudah berhasil diterbitkan). Padahal, antara impian Obscura sejak awal adalah untuk mengerjakan format jurnal ini secara berterusan. Tetapi, perjalanan tak selalunya pada jalan yang mendatar.

Selang beberapa tahun menjarakkan diri daripada benih jurnal edisi terbaru ini, yang sebetulnya sudah dibayangkan tak lama selepas terbitnya isu sulung ketika itu, saya kembali meneliti kantung emel yang berisi kiriman-kiriman tulisan untuk dipertimbangkan bagi edisi seterusnya. Tetapi, banyak tulisan yang dihantar ketika itu berada jauh daripada apa yang saya harapkan, dari segi kualiti dan lebih penting, tentang kesungguhan.

Lebih awal sebelum itu, banyak emel-emel yang telah dibalas, sebahagian besarnya dengan komen-komen jujur tentang tulisan-tulisan yang dihantar, yang akhirnya berlalu senyap begitu sahaja — kerana permintaan dan gesaan untuk memperkemas dan memperhalusi lagi tulisan yang dinyatakan itu agaknya diambil sebagai sebuah penolakan. Mungkin ada yang merasakan kerja tulis yang dihasilkan dalam tempoh singkat dan selapis sudah cukup memadai untuk diterbitkan. Entahlah. Maka, dari proses itu, yang tersisa hanyalah sedikit.

Untuk sampai ke bentuknya seperti yang dapat ditatap setelah diterbitkan kini, kami mengerjakannya kurang lebih dalam tempoh setahun. Ia digerakkan dalam cara yang sama sekali berbeza berbanding yang dulu. Dari kosong, dengan sokongan dari lingkungan yang baru, dan tentulah merupakan hasil kerja kolektif. Baik dari sudut editorial, reka letak dan grafik serta percambahan idea, entah berapa banyak masa yang diluangkan untuk itu — kerana perlu bermula dari dari bawah — semata-mata untuk menzahirkan yang terbaik.

Sekarang, jurnal kecil ini sudah bersedia untuk beredar dan menemui pembaca. Moga-moga dengan sokongan semua yang membeli dan membacanya, Obscura berupaya untuk meneruskan penerbitan judul ini dengan lebih teratur di masa hadapan.

Obscura: Sekali Bererti mengandungi 12 tulisan dalam bentuk esei, cerpen, puisi dan sebagainya yang menampilkan nama-nama antaranya seperti U-Wei Haji Saari, Hazman Baharom, Zaen Kasturi, Rasyidah Othman, Nadiah Zubbir, N.K. Azlen, Hanif Maidin, Hafiz Hamzah serta terjemahan tulisan Eliot Weinberger (oleh Ammar Gazali) dan Anton Checkov (oleh Shafiq Ghazali). Ia dijual pada harga RM30. Untuk urusan pembelian, pengedaran dan sebarang pertanyaan lanjut yang berkaitan, anda boleh menghubungi talian 013-4285070. Terimakaseh.

—Hafiz Hamzah, 30 Ogos 2018.

Advertisements
Jurnal Obscura: Sekali Bererti — sebuah kesinambungan dari yang dahulu

Mersing, Kuala Terengganu

18 Disember 2014, kami memulakan perjalanan santai. Tak ada matlamat terperinci, sekadar ingin menjejak kaki ke pekan-pekan yang sebelum ini sangat jarang kami lawati. Sebuah Isuzu D-Max V-Cross Safari, sehelai peta besar (GPS dalam kenderaan turut membantu), untuk lima hari berikutnya saya dan A berada di dalam kenderaan ini, untuk merayap tanpa terlalu memikirkan tujuan akhir setiap hari. Selain makanan, penemuan-penemuan penglihatan baru sangat mengujakan deria rasa yang biasanya kebas dengan rutin-rutin seharian. Ini sedikit catatan ringkas perjalanan itu.

1

Hujan turun, kadang-kadang gerimis dan berselang lebat. Perjalanan dari Melaka – selepas hidangan asam pedas yang gagal di Dataran Pahlawan – melalui jalan dalam menuju Muar lebih menarik; rumah-rumah orang Melaka banyak yang cantik-cantik rekabentuk dan ukirannya. Di dalam corong radio, album Mono yang terbaru berulang-ulang berkumandang. Sehingga tiba di jalan Pintasan Muar-Batu Pahat. Hujan yang terus-menerus memang membuatkan perut cepat keroncong.

2

Di Parit Bulat, singgah di warung mee bandung Kamisah. Pesan segelas kopi, tetapi tak tahu serbuk kopi yang mana satu dibancuhkan dalam gelas besar yang sampai di meja. Juga satu dua biji pau manis dan masin. A tak pernah cuba mee bandung di sini, jadi pesan yang ‘special’; empat udang yang sangat besar sudah cukup menggiurkan. Tiga bungkus untuk dibawa balik; kami menumpang rumah teman di Senggarang malam nanti.

Continue reading “Mersing, Kuala Terengganu”

Mersing, Kuala Terengganu

Cahaya Pertama Yang Terserap

Riso-5

Sebuah terbitan terbaru dari Siri Risalah Fotografi Risograph; Cahaya Pertama Yang Terserap – Hafiz Hamzah. Di usahakan oleh rumahamok dan merupakan sebuah siri fotografi sindiran, dalam format tabloid sinikal bersaiz A4. Mengandungi 12 mukasurat bercetak di atas kertas Recycled Echo 150gsm. Harga RM10. Kepada yang berminat untuk membeli, caranya ada di sini. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke obscura.malaysia@gmail.com atau hubungi 012-300 5070. Edisi terhad 100 salinan.

 

Cahaya Pertama Yang Terserap