Catatan #5

Tiga hari lepas baru balik dari Mallorca, Sepanyol. Aku tak terlalu ghairah dengan pulau yang satu ini; tempat orang-orang banyak duit meletak kapal-kapal layar mewah. Kota kecil ditengahnya bagaimanapun ada nyawa. Tinggalan dulu masih dikekalkan, katedral, jalan batu (cobblestone), laluan lereng bukit, kereta kuda dan orang-orang yang menyendiri. Kerana yang ramai ialah orang datang. Sempat singgah di sebuah muzium seni kontemporari; mendengar kuliah ringkas tentang lukisan-lukisan dalam koleksi tetap muzim. Dari tradisional kepada realisme, ke kubisme dan entah apa-apa lagi. Mujur yang bagi penerangan seorang perempuan muda cantik, lulusan sejarah seni dari universiti tempatan, katanya. Juga kali pertama melihat kerja tangan asli Picasso dengan mata kepada sendiri dari dekat; siri lukisan atas pinggan. Menarik untuk merasakan getus naluri yang terhasil dihadapan roh seni dari tingkat seperti ini, walaupun sebahagiannya ringkas-ringkas belaka. Tetapi, ada sesuatu yang menggugah; pertanyaan seorang teman tentang instalasi yang bertebaran di perkarangan muzium itu. Katanya, apa fungsi semua ini, di ruang ini? Aku tak dapat memikirkan dengan cermat perihal ini sekarang. Harap akan disusul nanti. Paling tidak, seni instalasi di ruang publik adalah sebuah ‘self-touch’ terhadap kesedaran bawah-sedar manusia. Fungsinya? Entah.

– 3 November 2014.

.
*Berada di Mallorca dari 28 hingga 30 Oktober 2014. Selepas perjalanan panjang KL-Amsterdam-Barcelona-Mallorca yang memenatkan. Dan insiden di balai polis Palma de Mallorca; mujur tak perlu tidur balai.

Catatan #5