Merendang: Tentang Menjadi Penulis

Merendang1

Pesan-pesan yang kononnya menjadi semacam garis-pandu oleh seorang yang merasakan dirinya penulis, kepada seorang yang ingin jadi penulis dalam zaman ini, selalunya seperti bengkang basi. Jadi, tolong diri kamu sendiri dengan menjauhi orang-orang yang seperti ini, sekurang-kurangnya jika dia sedang berbicara dengan kesedaran dan bunyinya seperti ingin mengajar cara terbaik dan praktis untuk jadi penulis.

Sebab apa? Sebab dia sedang memperolokkan kamu dan dia juga sedang berbohong kepada dirinya sendiri. Kerana penulis tidak lahir dari celah pesan-pesan agung. Penulis lahir dari dalam pergelutan dirinya sendiri, didorong oleh pertanyaan-pertanyaan yang seperti menuntut nyawa untuk digadaikan – kemudian, di dalam kubur nanti, barulah ada kesempatan untuk merasakan apakah nikmatnya untuk jadi penulis. Itu pun, kalau ada.

Jadi, orang yang bagaimana perlu didekati untuk kita belajar menjadi penulis? Senang. Cari orang yang berhasil memunculkan pertanyaan-pertanyaan yang tak kunjung padam dalam diri kita, walaupun sekadar menerusi perbualan yang main-main, kerana perkara itu sajalah yang akan berupaya menghidupkan jiwa penulisan; dengan setiap keresahan, dengan setiap ragu-ragu, dengan setiap detik masa yang tertinggal untuk memikirkan jalan terbaik untuk dirinya. Jika sekadar ingin disyarahkan, sertai bengkel penulisan, atau motivasi katanya, elok kau bunuh diri; atau buat pilihan hidup yang lain – jangan jadi penulis.

Kerana nanti, ketika tak ada lagi pesan-pesan itu, atau imbuhan-imbuhan materi, kamu tetap akan mati sebagai penulis dan akan dilupakan. Inilah perkara paling sial yang akan berlaku kepada mereka yang terlalu bersusah-payah berusaha meyakinkan orang lain bahawa mereka itu adalah penulis, misalnya hanya melalui percakapan. Menulis adalah kata kerja.

Continue reading “Merendang: Tentang Menjadi Penulis”

Advertisements
Merendang: Tentang Menjadi Penulis

Sastera Dinding Dewan

Dewan-SasteraSaya selalu gagal menentukan perasaan; sama ada untuk berasa sedih atau ingin ketawa ketika duduk di dalam kesendirian di warung makan yang riuh, selalunya di Lucky Garden, sambil membelek Dewan Sastera. Mujur ini tidak saya lakukan dengan kerap. Hanya ketika waktu-waktu yang didorong oleh naluri ingin tahu yang datang berziarah untuk meninjau apa yang terhidang di antara lembar-lembar kertas majalah berkenaan. Untuk itu, hampir setiap kali kitaran ini mengambil tempat, saya akan ditinggalkan dalam keadaan yang sebal sepanjang malam; sesekali sempat juga mengajak Suri untuk mendengar sama bebelan saya yang tak difahaminya.

Adakala, yang terpancar di mata saya hanyalah betapa kecilnya jiwa yang terkandung di dalam kebanyakan tulisan-tulisan yang ada; sebagai contoh di sini – juga sekiranya ingatan saya tidak berbohong – saya merujuk kepada tulisan Salman Sulaiman, yang terbit entah dalam isu yang mana (maaf kerana tak berminat untuk mengingat), yang bercerita tentang pengalaman dia ke Indonesia untuk seminar atau bengkel Mastera. Dari awal, dia hanya bercerita tentang betapa kecil dirinya. Dan ini saya harap pada mulanya bahawa tanggapan sayalah yang tersilap.

Tetapi, melurut jauh lagi ke dalam tulisan itu, dia berjaya membuat saya untuk percaya bahawa jiwanya betul-betul kerdil; misalnya, seperti yang dicatatkan ketika pertemuan bersama Joko Pinurbo di program berkenaan, dia hanya bercerita tentang betapa rugi dirasakan kerana dia tertinggal buku himpunan sajak Jokpin (entahkan di kamar atau di Malaysia). Kerana, menurutnya, kalau dia membawa buku tersebut, bolehlah dia meminta Jokpin menurunkan tandatangan. Memang, hal ini tidak salah.

Continue reading “Sastera Dinding Dewan”

Sastera Dinding Dewan

Kata Awal: Buka Corong

Jarang-jarang kita menemukan sebuah polemik kesusasteraan. Di Malaysia apatah lagi. Yang muncul ditengah-tengah khalayak juga tak selalu mengandung isi yang melapangkan, atau mengghairahkan. Yang ada, seperti yang pernah kita saksikan, adalah pertikaman lidah yang menyempitkan, menyesakkan. Barang tentu, anda yang menatap buku ini mungkin lebih arif dengan latar yang dimaksudkan.

2011 adalah tahun untuk Interlok. Palu gendang yang berdentum-dentam menguak banyak sisi dan kesanggupan segelintir masyarakat. Mulanya dengan riuh-rendah, kecoh, laungan perjuangan dan apa-apa lagi. Tetapi di antara heboh dan sebuah teks yang namanya Interlok itu ialah sebuah kekecewaan.

Kekecewaan kerana buku itu melonjak popular oleh sebab yang salah. Kecewa kerana provokasinya sedikit mengganggu dan cetek. Kecewa juga kerana respon yang sebetulnya ingin menyanggah itu pun dalam diam-diam menggumam emosi yang mengatasi rasional. Jawapan balas, pada kebanyakan waktu, tidak banyak menyernihkan. Cuma dihadirkan untuk menyebelahi, untuk memenangi sebuah pertarungan yang dimulakan dengan kelam. Di akhir nanti, harap-harapnya kita tidak terjerlus sekali di dalam lubang yang lebih kumuh dan dibiar sesak nafas, akibat kebanalan sendiri.

Kesusasteraan bukan milik siapa-siapa. Kesusasteraan wajar dicabar. Seorang pengarang, serta khalayaknya, berkongsi satu pentas yang kabur. Di gelanggang itu, tidak ada yang suci, atau tak tersentuh. Jika siap melontarkan sesuatu ditengahnya, maka perlu bersedia juga menempis tempias yang terpantul balik. Kedua-dua pengarang dan khalayaknya wajib bertanggungjawab.

Di dalam proses panjang inilah – melontarkan dan menempis tempias – selalunya polemik akan hadir. Tetapi jarang dipersembahkan di dalam suasana yang bijaksana. Jarang ditemukan kualiti untuk kita berfikir panjang. Semuanya gopoh-gopoh. Provokasi gelojoh, memberi jawapan balas juga caca-marba. Semacam memberi isyarat bahawa kita sudah lama terputus dengan tradisi penghujahan berhemah. Kelompok ini dikhuatiri menjadi sekumpulan orang-orang reaksioner semata, dan memerangkap khalayak umum yang sekadar menganut faham popular atau perdana. Continue reading “Kata Awal: Buka Corong”

Kata Awal: Buka Corong

Pasar dan Estetika

(I)

Rak-rak buku lesu. Ruangan yang dihuni oleh penerbitan-penerbitan tempatan seperti hilang nyawa – bertahun-tahun, walau tak mahu diakui. Tak banyak, bukan tak ada, judul-judul yang kuat. Yang lain semuanya membontoti apa yang dipanggil trend. Penerbit-penerbit besar yang sudah punya nama pun, seperti yang pernah kita baca di dinding-dinding blog mereka, ada waktunya ke depan menjelaskan tindakan-tindakan dan keputusan penerbitan yang diambil.

‘Setiap judul yang diterbitkan menggunakan wang dari pinjaman bank. Maka, adalah penting untuk dipastikan bahawa setiap judul itu nanti boleh dijual, untuk menampung kos dan membayar hutang serta mengaut sedikit untung. Atas sebab ini juga, tak semua bentuk penulisan dapat diterbitkan – semudah kerana ia nanti tak boleh dijual.’ Mungkin, kamu juga pernah terserempak dengan pernyataan-pernyataan seperti ini.

Boleh jual. Tak boleh jual. Di sinilah pasar muncul. Sebuah ruang yang punya kuasa untuk membentuk dan merombak selera, terutama kepada khalayak konsumer yang tak suka perkara-perkara yang merunsingkan fikiran – seperti di Malaysia. Dan pasar juga boleh saja jadi penentu untuk membina kepercayaan baru.

Kerana boleh dijual, produk-produk penulisan ini nanti akan diyakini sebagai satu pencapaian dan kejayaan strategi kerana pasar telah ditakluk. Tetapi, seperti yang selalu kita saksikan di sini, kita kerap terlupa tentang satu perkataan; estetika. Memang, ini perkataan subjektif. Tetapi di sini, ia tetap mahu hadir dan menampakkan dirinya dalam apa saja bentuk yang tergambar di dalam kepala kamu ketika ini.

Penulisan misalnya tak akan bernyawa tanpa kehadiran satu sosok hantu yang namanya kesusasteraan. Kerana tanpa hantu ini, tulisan tidak akan hidup. Kontang. Dan, jika ini berlaku dan tetap saja tulisan-tulisan yang berkait itu dijulang, maka di sekitar kita sedang ada malapetaka yang menunggu. Continue reading “Pasar dan Estetika”

Pasar dan Estetika

Pertanyaan untuk Azriq

*Nota ringkas ini merujuk kepada tulisan Esei-esei Orhan Pamuk oleh Wan Nor Azriq, yang terbit di dalam buku Kata 3.

Membaca Esei-esei Orhan Pamuk membuatkan saya berasa khuatir. Yang cuba di sampaikan hanyalah bayang-bayang; tak ada satu pun pernyataan yang mencadangkan bahawa tulisan itu cuba diserlah bersandarkan kepada ketekunan pembacaan yang kemudian, dicerna untuk menampakkan sisi-sisi teras yang sejurus selepas itu, ingin dibincangkan, baik oleh penulisnya – Wan Nor Azriq – ataupun subjeknya (esei-esei Pamuk sendiri).

Menurut mata dan akal saya, ini adalah contoh sebuah tulisan yang tidak terarah. Tak tahu ke mana ingin di bawa hal yang ingin disebutkan itu (ini belum lagi sampai ke peringkat untuk ‘dibincangkan’, hanya ‘disebutkan’). Lihat, berapa banyak nama yang disebut-sebut di dalamnya. Memang, untuk setengah orang, mereka boleh saja terpukau dengan nama-nama itu. Betapa si penulisnya banyak membaca karangan yang ditulis nama-nama tersohor dunia sastera. Itu bagus. Tetapi, soalan saya, kenapa hal-hal kecemerlangan tulisan seperti itu tidak tercermin langsung di dalam tulisan Azriq yang satu ini?

Sekejap dia membuka tulisan dengan memetik Virginia Woolf. Selepas itu menggantung nama Pamuk pada mukasurat yang sama. Kemudian beralih kepada Goenawan Mohamad (yang, ironinya, paling lama digauli di dalam tulisan itu) dan kemudian, Aidil Khalid yang menurut Azriq, lebih sukakan buku Other Colours yang menampilkan wajah Pamuk di muka depan, manakala Azriq sendiri lebih selesa dengan versi muka depan ‘yang memaparkan potret, yang agak kabur, bayang seorang lelaki sedang menyusuri kegelapan kota Istanbul’. Tingkat tulisan jenis apa ini, Azriq?

Jika berkesempatan nanti, baca sendiri tulisan ini. Mungkin ada yang akan ketakutan mendengar banyak lagi nama-nama tokoh pengarang yang bertebaran di sepanjang lapan muka tulisan itu berlangsung. Mungkin dengan cara ini, Azriq cuba membangunkan tanggapan bahawa setiap yang membaca tulisannya, orang itu akan terpana dengan kemampuannya untuk meramahi nama-nama pengarang besar dunia. Dan ini memang betul-betul berlaku seperti yang di harapkan oleh Azriq, yang juga melihat diri sebagai kritikus sastera (seperti yang dicadangkan oleh nama blognya). Dia memang berjaya; berjaya untuk bergelumang dengan nama-nama yang selalu disebutkannya, tetapi bukan dengan zat-zat yang sepatutnya dihisap daripada semua nama-nama itu. Kerana begitu berusaha untuk menonjolkan diri melalui senarai bacaan-bacaannya yang dipermukaan, saya fikir Azriq sendiri sudah menunjukkan yang dia terbeban dengan semua itu. Continue reading “Pertanyaan untuk Azriq”

Pertanyaan untuk Azriq