Membaca Don Delillo di dalam Point Omega

point omega

Saya tak pernah membaca dengan cermat Don Delillo. Point Omega menjadi pintu masuk; sebuah novel nipis yang terbit tahun 2010. Di hari pertama 2019, tanpa ada apa-apa perancangan seharian, entah apa yang membuatkan saya begitu terpanggil untuk mula membacanya. 

Barangkali ada dua sebab. 1) Beberapa bacaan rawak tentang Delillo kebelakangan ini membuatkan saya terkesan dengan cara dia membawa diri sebagai seorang novelis dan 2) Kerana terjumpa kembali novel ini, dalam kotak timbunan buku-buku yang telah diasingkan untuk dilupus.

Tentang Don Delillo. Daya tarik paling awal dan penting yang mengheret saya untuk mula membaca pengarang ini ialah kerana cerita-cerita perihal bagaimana dia yang tidak menghiraukan hal-hal selain upaya menulis itu sendiri. Ini kenikmatan dan sekali gus anugerah paling besar sebetulnya. Dia kerap tak disenangi media (sebab tak betah untuk melayan mereka), tak terlalu berghairah untuk kerap tampil ke muka publik dan bercakap banyak menjelaskan tulisan-tulisanya, tak juga peduli dengan jemputan ke festival-festival sastera serta hidup tenang tanpa aktiviti persatuan penulis. 

Ini imej seorang Don Delillo yang terbangun di dalam kepala saya hasil daripada cebisan bacaan berselerak tentang sosoknya. Yang kerap diinginkan hanyalah masa untuk menulis dan terus menulis; kehebohan lain tak pernah menjadi penting dan layak diabaikan. Dan, walaupun bukan dia seorang sahaja yang mempunyai pe’el tegas seperti ini, dialah juga orangnya yang selalu disebut-sebut sebagai antara gergasi ketika membicarakan novelis-novelis Amerika, sampai sekarang.

Delillo tidak memerlukan bayangan-bayangan gah untuk membantunya membangunkan dunia dalam novel; perkara paling banal saja akan tampil dengan begitu hidup. Inilah yang saya temukan di dalam Point Omega. Kisah seorang pembikin filem amatur yang cuba meyakinkan seorang pesara kerajaan untuk tampil di hadapan kamera dan di dalam filem yang sedang bermain di dalam fikirannya. Hanya dia seorang, rakaman berterusan tanpa henti, tanpa sang sutradara terlalu mengarahkan apa yang perlu dibuat atau dicakap. Sebuah dokumentari yang lugas dan ringkas; hanya sebuah perbualan panjang, atau lebih tepat, sebuah pengakuan.

Tetapi, ini bukanlah teras cerita yang ingin disampaikan Delillo; ini baru kulit luar. Yang dimahukan oleh si pengarah muda itu ialah apa yang ada di sebalik kisah-kisah rahsia si pesara; seorang bekas pegawai kerajaan Amerika yang menyimpan banyak pengetahuan tentang kejahatan negaranya. Iraq ada disebut. Si pesara adalah orangnya yang diketahui ramai selalu berada di dalam situasi-situasi untuk memaklumkan — atau mengawal — pembohongan yang ingin disampaikan negara secara terancang.

Namun, novel ini juga tidak membicarakan seperti apa pembohongan yang dimaksudkan itu. Ia tidak pernah sampai kepada pelondehan kepincangan, walaupun disepanjang jalan cerita, ia mencadangkan hal itu.  

Point Omega bermula di suatu sudut gelap sebuah galeri muzium; sebuah instalasi filem dengan kepanjangan 24 jam sedang ditayangkan. Keraguan pertama yang ditimbulkan adalah permasalahan ini; galeri hanya dibuka lapan jam sehari. Jika seseorang ingin mengalami dan menonton filem itu sepenuhnya, bagaimana? Bayangkan sekiranya anda kembali lagi esok hari untuk menonton; macam mana anda ingin menyambung semula tontonan filem itu dari detik yang ditinggalkan sebelumnya? Bagaimana untuk menonton keseluruhan filem, sedangkan operasi galeri tidak memungkinkan hal itu berlaku? Lantas, apalah ertinya instalasi berkenaan?

Paling tidak, jika mengandalkan hanya pada novel ini, Don Delillo meninggalkan segala macam kesangsian untuk dirasai pembaca. Sepanjang cerita ini jugalah dia secara literal sedang membicarakan tentang “point omega”; satu titik atau detik di mana, misalnya, sebuah keheningan terasa sebelum kesakitan tiba ketika sebilah pisau sedang terhunus di perut. Ia bukan tentang perbuatan menikam itu, dan bukan juga tentang kesakitan dan kematian yang menyusul.

Sebaliknya ia adalah tentang satu titik singkat sebuah kesunyian maha tinggi, atau khayal yang mendekati gila, tetapi asyik tersasar pandang ketika manusia melakukan penelitian terhadap kehidupan, atau ke atas perkara apa sekali pun. Kebijakan pengalihan tumpuan yang dianyam oleh Delillo sangat memikat.

Si pembikin filem muda itu entahkan berhasil atau tidak untuk meneruskan hasratnya menjayakan dokumentari itu; kita tak pernah tahu. Tetapi, apa yang lebih getir dapat dirasakan ialah ketegangan ketika dia sedang mencuba berkali-kali meyakinkan si pesara. Pergeseran dan pertembungan, keraguan dan muslihat serta unsur-unsur yang sama sekali tidak berkaitan tetap bermunculan menjadikan cerita ini, walaupun sangat ringkas kulit luarannya, tetap menyalur dan menerbitkan kerumitan dari lapis dan sisi lain. Itupun sekiranya kita dapat menangkap kepintaran Delillo, dan merelakan diri menari mengikut rentaknya.

Jika hanya dengan Point Omega, adakah ia berhasil membawa reputasi yang terbangun di sekeliling pengarangnya? Untuk saya, ya. Kebijaksanaannya ialah untuk menampakkan apa yang sudah jelas dan ingin dilihat tetapi dalam masa sama, berhasil pula menyembunyikan apa yang sepatutnya dilihat. 

Saya teringatkan si pesara kerajaan yang rohnya ditiupkan Delillo ini; bagaimana dia ketika berada dalam kedudukan, sehinggalah tamat perkhidmatan, tak pernah keluar sepenuhnya daripada beban pengetahuan ke atas kejahatan kerajaan dan negara yang dipikul. Memang bukan calang-calang orang yang berani berdiri tanpa rasa malu di hadapan kebenaran, walaupun ramai yang ingin mengaku atau merasa begitu.

Point Omega seperti sebuah permulaan yang baik; novel-novel Delillo wajar diteroka lagi.

—Hafiz Hamzah, 2 Januari 2019.

Advertisements
Membaca Don Delillo di dalam Point Omega

Angin Dingin Dari Perancis

Hari Sabtu pada bulan Ogos, kau tinggalkan rumah dengan berpakaian tenis, ditemani isterimu. Ditengah halaman kau menyatakan kepadanya bahawa kau terlupa raketmu di dalam rumah. Kau kembali ke sana untuk mencari, tetapi kau tidak terus menuju ke lemari di laluan masuk tempat di mana kau biasa letakkan raketmu itu, sebaliknya kau turun ke bilik bawah tanah. Isterimu tak perasankan hal ini. Dia tunggu di luar. Cuaca baik. Dia sedang menikmati pancaran matahari. Beberapa ketika setelah itu, dia terdengar bunyi tembakan. Dia bergegas ke dalam rumah, menjeritkan namamu, perasan yang pintu ke arah anak tangga yang menuju ke ruang bawah tanah terbuka, menuruninya, dan menemui kau di situ. Kau melepaskan satu das peluru ke kepalamu dengan sepucuk rifle yang sudah kau sediakan dengan cermat. Di atas meja, kau tinggalkan senaskah buku komik terbuka dimukasurat tengah yang dua lembarnya terentang. Di dalam suasana yang rengsa itu, isterimu bersandar di tepi meja; buku itu jatuh tertutup sebelum dia menyedari bahawa itulah mesej terakhirmu. – Suicide, Eduoard Leve.

SEBUAH MANUSKRIP TIBA DITANGAN seorang editor. Oktober itu, dalam tahun 2007, musim luruh baru saja ingin menampakkan dirinya. Perancis ketika itu bersiap untuk menghadap hembusan angin yang semakin menggigit – satu musim yang dingin dan cantik sebelum tibanya musim di mana malam-malam menjadi panjang dan menghumban manusia dalam kebekuan mendadak. Kita tak sepenuhnya tahu, tentunya. Apakah kisah itu berlaku di Paris atau dikota-kota lain negeri berkenaan; senaskah manuskrip yang bakal menggugat keterbiasaan penulisan dalam gaya lanskap kesusasteraan – pertama di negeri itu sendiri, kedua di pentas dunia.

Tetapi, manuskrip itu nipis sahaja; bercerita dalam suara kedua tentang seorang teman yang matinya bunuh diri. Bermula dari situ, cerita itu menjadi semacam sebuah sentimentaliti terhadap sebuah ingatan, atau pengalaman; umpama seorang teman yang sedang bercakap sendiri (atau kepada roh si mati) tentang hal-hal yang pernah mereka lalui bersama, atau yang perkara yang pernah dibualkan. Tetapi, sedikit aneh – jika dibayangkan manuskrip itu lahir misalnya di Malaysia – tak ada langsung bunyi penyesalan yang terluah. Lebih dari itu, jika ditelisik lapis keduanya, yang akan ditemui adalah pertanyaan-pertanyaan tentang bagaimana mereka mendepani kehidupan dan cuba menjawab persoalan tentang kematian.

Continue reading “Angin Dingin Dari Perancis”

Angin Dingin Dari Perancis