Neon

I.

Pintu ditutup senyap-senyap ketika suara itu dengan nada tertahan-tahan berbisik menyergah; ’kamu gila?’ Di dalam kesamaran kamar, tempat seperti selalu aku hinggapi sejak beberapa lama kebelakangannya, aku melihat apa yang aku inginkan. Aku bertemu cinta dan mengadu rindu antara amarah, ghairah dan rasa bersalah.

‘Saya dah cakap, malam ini tak boleh.’ Lisa, dengan baran dalam dada yang mula bergelombang bangun dari meja solek yang berselerak dipinggir kamar. Aku gemar memerhatikan ketegangan itu. Selalu saja memandang dan bergumam seorang. Dari gerak tubuhnya, Lisa tak tahu bagaimana untuk bereaksi. Marahnya bukan muncul ditengah api. Marahnya jatuh di hujung kutub di mana salju kerap setia dan tak mengasari habitat di sana. Salju dari hati itulah yang terlihat pada mata bundar gadis ini; gadis yang buat beberapa ketika ini memanjat tebing-tebing keresahan untuk diri sendiri dan menjadikan aku kerap mahu merenung ke dalam matanya. Di habitat itulah aku ingin berselubung.

Dan aku sememangnya menikmati emosi yang teralir. Tak ada cahaya untuk menjelaskan rautnya. Tetapi getar suara yang lahir cukup mencemaskan.  Belum tentu butir yang disebut, aku duduk di sisi katil bujang sambil mengukir senyum – yang aku rasakan ikhlas bila bersama Lisa.

‘Dosa kamu terampun dibalik pintu itu,’ dengan suara serak halus, Lisa melirik mata pada satu arah di dinding dan menyunting senyum dihujung bibir. Aku tergelak kecil, ditewaskan. Sebuah bingkai dengan imej Lisa, tanpa baju. Katanya dia menyukai foto yang aku hadiahkan minggu lalu.

Petang itu, di dalam kamar yang sama, Lisa berkeras mahu melihat foto-foto yang diyakini ada dalam kamera yang aku jinjit. ‘Tak ada, Lisa.’ Tentunya, penolakan seperti itu tidak melahirkan rasa apa pun pada dia. ‘Dengar sini Lisa. Yang terkandung dalam kamera ini adalah keindahan-keindahan yang rahasia, yang terlarang. Kalau pun kamu melihat, belum tentu kamu akan faham.’ Seperti anak kecil yang nakal dan tegar, Lisa memang tak pernah menghiraukan kata-kata seperti itu.

Lisa memulangkan semula kamera ke tangan aku. ‘Kalau betul di dalam ini adalah keindahan, rahasia dan larangan-larangan, maka aku juga mahu berada di lingkungan itu.’ Aku tak perlu memahami atau mencari-cari maksud kata-kata Lisa. ‘Potretkan saya.’ Sedetik itu aku memang rasakan seperti semuanya kaku. Sama seperti sebuah foto, subjek-subjeknya diperangkap oleh masa, cahaya dan tempat, tetapi masih lagi bernyawa untuk mempesona antara satu sama lain. Tidak terlalu perlu kepada pengertian.

Continue reading “Neon”

Neon

Telefon Genggam Dengan Daftar Namamu

AKU PADAMKAN LAMPU KAMAR  yang berlantaikan jubin hitam-putih bersaiz kecil dengan dinding simen yang pudar warna hijaunya, duduk di depan tivi yang dibiarkan padam, dan berharap suasana akan kembali tenang. Laporan cuaca untuk jiwa-jiwa yang tak sedar sudah kering-kontang. Hujan ribut yang tak pernah dikehendaki. Hanya halilintar yang didoakan, yang datangnya nanti seperti cemeti melibas terus ke muka.

Kota ini terlalu bingit untuk telingaku yang sedang sakit. Embassy Hotel, 7.16 senja. Perempuan-perempuan yang sedang bergelinjang di dalam bayangan mereka sendiri, yang aku temui tadi di kamar sebelah mengajarkan aku tentang satu perkara; realiti sedang berada di dalam kepala. Imajinasi dan salah-erti sebaliknya sedang disogok didepan mata dan minta dipercaya untuk disebatikan dengan iman, tanpa sedar. Aku penggal ingatan terhadap mereka selepas itu, tanpa rasa tanggungjawab untuk tahu mengapa aku berbuat demikian.

Manusia sudah lelah untuk menjadi manusia, kau selalu berkata. Mereka kini memilih untuk menjadi satu di antara dua; binatang atau malaikat – bahkan ada yang sampai berani untuk mengambil alih tampuk Tuhan. Seekor merpati putih yang ingkar kepada malam dan rumahnya yang entah di mana, hinggap dan duduk diam di tubir tingkap. Aku teringatkan Sang Pencipta yang sangat luhur dengan bayang warna putih jatuh ke lantai ketika ada sisa cahaya matahari mencapah luas; bayang yang sama hadir dan terpancar seperti merpati putih yang sedang dalam kerinduan ditinggalkan bersendirian ini.

“Gelora dalam hati, siapa yang tahu?” Berulang-ulang aku teringatkan kata-katamu, dari teks pesanan ringkas yang kau kirimkan ke telefon genggamku yang luput tarikh baki kreditnya. Aku tak membalas mesej itu bukan kerana aku tak peduli, tetapi teknologi yang melingkar dalam segenap hidup kita ini bukanlah sesuatu yang bernyawa dan berasa; ketika diperlukan untuk menyampaikan maksud yang sewajarnya, ia akan berdusta kerana tak mampu membawa emosi untuk dikirimkan bersama.

Continue reading “Telefon Genggam Dengan Daftar Namamu”

Telefon Genggam Dengan Daftar Namamu

106

(I)

Kad elektronik diselit pada slot pintu. Ada orang bercerita tentang tempat ini yang tak aman. Tak selamat. Banyak hal-hal yang merisaukan. Tetapi, waktu itu aku tak ada pilihan. Hawa dingin menderu meluru, melanggar tubuh ketika daun pintu berat ditolak. Tak ada tanda-tanda kekhuatiran yang perlu dirunsingkan. Kamar ini indah. Nyaman dengan udara sejuk. Diluarnya belukar yang elok tersusun.

Selepas nyala lampu, keadaan masih malap. Tubuh dan katil memanggil-manggil untuk terlentang. Aku menghidupkan tv yang tak ditonton. Membuka komputer riba dan membayangkan macam-macam perkara. Meletakkannya di depan cermin besar dan merenung diri sendiri, membelakangkan tv dan menutup mulut dengan dua jari, tanpa rokok.

Tetapi, bukan itu yang hendak diceritakan. Tidak sehingga aku merebah badan atas katil besar, dengan cadar putih suci itu. 5.20 petang, hari masih cerah. Di kamar ini, suasana sepi dan hening. Tak banyak beza jika diluar sana keadaannya terang atau sebaliknya. Pada renda waktu itu, dari tilam yang menampung badan, ada terdengar sisa dengup jantung yang barangkali terakhir. Mulanya, aku fikir itu khilaf pendengaran.

Tetapi tidak. Degup-degup jantung terakhir yang didengari itu meresap ke dalam jantung aku kini. Hanya dengan satu kali detak, nyawa aku diperbaharui. Aku menjadi seorang yang lain. Bunyi itu menghidupkan aku tidak seperti sebelum-sebelumnya. Dan aku merasa berhutang. Kepada keadaan.

Degup yang satu itu juga menerbitkan satu gerak hati yang lain. Ada kekuatan yang mengalir ke tangan, mendorong untuk membuka sebuah blok tempat duduk berkusyen dihujung katil. Ia berat. Kusyennya berat. Aku tak tahu kenapa ia ada di situ. Continue reading “106”

106