Sastera Dinding Dewan

Dewan-SasteraSaya selalu gagal menentukan perasaan; sama ada untuk berasa sedih atau ingin ketawa ketika duduk di dalam kesendirian di warung makan yang riuh, selalunya di Lucky Garden, sambil membelek Dewan Sastera. Mujur ini tidak saya lakukan dengan kerap. Hanya ketika waktu-waktu yang didorong oleh naluri ingin tahu yang datang berziarah untuk meninjau apa yang terhidang di antara lembar-lembar kertas majalah berkenaan. Untuk itu, hampir setiap kali kitaran ini mengambil tempat, saya akan ditinggalkan dalam keadaan yang sebal sepanjang malam; sesekali sempat juga mengajak Suri untuk mendengar sama bebelan saya yang tak difahaminya.

Adakala, yang terpancar di mata saya hanyalah betapa kecilnya jiwa yang terkandung di dalam kebanyakan tulisan-tulisan yang ada; sebagai contoh di sini – juga sekiranya ingatan saya tidak berbohong – saya merujuk kepada tulisan Salman Sulaiman, yang terbit entah dalam isu yang mana (maaf kerana tak berminat untuk mengingat), yang bercerita tentang pengalaman dia ke Indonesia untuk seminar atau bengkel Mastera. Dari awal, dia hanya bercerita tentang betapa kecil dirinya. Dan ini saya harap pada mulanya bahawa tanggapan sayalah yang tersilap.

Tetapi, melurut jauh lagi ke dalam tulisan itu, dia berjaya membuat saya untuk percaya bahawa jiwanya betul-betul kerdil; misalnya, seperti yang dicatatkan ketika pertemuan bersama Joko Pinurbo di program berkenaan, dia hanya bercerita tentang betapa rugi dirasakan kerana dia tertinggal buku himpunan sajak Jokpin (entahkan di kamar atau di Malaysia). Kerana, menurutnya, kalau dia membawa buku tersebut, bolehlah dia meminta Jokpin menurunkan tandatangan. Memang, hal ini tidak salah.

Continue reading “Sastera Dinding Dewan”

Sastera Dinding Dewan