TIGA KISAH MINI – Tangkai, Panggilan & Koma

tangkai-bunga-bw

I. Tangkai

Ira menyorong masuk anak kunci ke alur pada tombol. Logam-logam lain bersentuhan di dalam genggamannya, bergemerincing. Dia kemudian menolak daun pintu yang berat dengan setengah tenaga. Aku memandang ke wajahnya, cuba membaca kalau ada apa-apa petanda buruk yang mungkin bakal menimpa aku, paling tidak dari mulutnya yang celupar. Anginnya agak baik, aku kira.

Beberapa jam sebelum itu dia dalam perjalan turun dari Cameron Highland. Aku tak ingat, kalau-kalau dia ada menghantar pesan ringkas sebagai makluman atau tidak. Dalam banyak-banyak beg plastik yang dikendong dan kemudian diletak ke lantai, ada satu yang penuh dengan juntaian tangkai bunga. Aku perhatikan tanpa sebarang prasangka; tak ada apa yang aneh tentang Ira dengan bunga-bungaan.

Selang lima minit kemudian, selepas perbualan-perbualan rutin yang tak perlu kau tahu, mataku ditarik lagi ke arah bunga-bungaan, kini sudah dikeluarkan dari plastik dan kertas pembalut, diletakkan di dalam balang, di atas meja. Entahkan berapa jambak, entahkan berapa kuntum, entahkan berapa ikat. “Ini bunga yang sudah diawet. Boleh tahan sampai dua tahun.”

Inilah masalahnya dengan pengetahuan. Sebelum maklumat itu sampai ke telinga, aku melihat bunga-bunga itu dengan pandangan yang menyenangkan dan bersahaja. Sesetengah orang merasakan warna-warna seperti itu — merah jambu dan kuning cair —sebagai sangat cantik. Aku pula merasakan ia terlalu lembut dan lemah. Tapi, sekurang-kurangnya fikiran aku terhadap bunga-bunga yang bercambah di atas meja itu habis di situ sahaja.

Tetapi, selepas aku mengetahui bunga-bunga itu telah diawet, untuk tujuan mati yang ingin disimpan-simpan lagi, aku mendapati diri aku begitu resah untuk menghadam perkara itu. Bagaimana aku tergamak untuk menyimpan benda mati (yang sebelum ini hidup) di dalam rumah? Tak cukup dengan itu, tujuannya pula adalah untuk mengingati yang indah-indah?

Walaupun mencuba untuk tidak memikirkan tentang hal itu, menjelang waktu di kamar tidur disebelah malamnya, aku masih terngiangkan hal-hal bunga yang diawet ini. Apa ertinya untuk aku dan Ira tidur dan bermalam dengan himpunan bunga mati yang terletak di atas meja, tanpa harum, tanpa makna apa-apa?

Sewaktu menghampiri lelap, aku menjadi benar-benar takut. Kau tak ingin tahu bayangan apa yang dibangkitkan dari dalam kesedaran dan diri aku, oleh bunga-bunga itu. Fikiran aku melayang kepada batang tubuh jenazah orang yang meninggal pada malam hari, dan terpaksa disimpan di beranda rumah sementara hari menjelang siang. Untuk menunggu sanak saudara pulang dan memberi hormat terakhir. Untuk menunggu matahari semakin tinggi sebelum dikebumikan.

Bukannya aku tak pernah melalui pengalaman begitu, dan sangat jelas, aku tak ingin melalui perasaan begitu lagi; bangun ditengah malam untuk ke bilik air dan terpaksa juga memandang ke arah sekujur tubuh yang wajahnya ditutup dengan kain putih.

Jika ada orang lain yang berjaga atau sedang membacakan surah Yasin kepada jenazah, itu akan sedikit melegakan perjalanan kecil menuju tandas. Tetapi, tak akan ada sesiapa yang akan membacakan apa-apa terhadap bunga mati yang diawet.

Begitu aku melihat bunga-bunga di atas meja. Malam telah larut. Ira telah hanyut. Aku kembali duduk berdepan dengan bunga-bungaan itu, bersemuka dengan ketakutan sendiri, dengan nyalaan lampu baca yang malap kerana satu mentolnya terbakar.

Sebelum ini, aku bingung sekali memikirkan mengapa ada orang yang selalu ingin memperhias hidupnya dengan bunga-bunga plastik. Malam ini, kebingungan aku naik setingkat lagi. Aku selamanya mungkin tak akan faham mengapa Ira sampai ingin menyimpan bunga hidup yang diawet di dalam rumah. Sekarang, ini benar-benar merunsingkan.

Boleh kau cadangkan, bagaimana cara terbaik untuk aku nyatakan perkara ini kepara Ira, dengan andaian sesudah itu dia akan mencampakkan semua bunga yang semakin aneh di depan mata aku ini ke dalam tong sampah? Aku sangat berharap, sekiranya aku dapat tidur malam ini dan bangun semula pagi esok, bunga yang dikata dapat tahan sampai dua tahun ini semuanya terkulai layu dan Ira akan marah-marah kepada penjual yang menipunya siang tadi.

II. Panggilan

Pada usia 68 tahun, aku tak lagi melihat kehidupan ini sepertimana kau melihatnya — orang muda dengan ghairah untuk menakluk dan mengubah dunia, yang selalu tersembam di hadapan kesia-siaan tetapi terus kekal angkuh dan menjengkelkan. Kau tak perlu risau; aku sudah tentu lebih menyedihkan daripada itu.

Setiap kali waktu telefonku berdering, dan sekiranya aku mendengar satu suara yang retak bergetar dihujung talian, perasaanku serta-merta akan dibaluti oleh ketakutan. Supaya kau tak tersalah sangka, itu bukanlah satu pilihan. Aku tak mampu lagi untuk berasa tenang dalam keadaan seperti sekarang; bila mana setiap tidurku adalah seperti permulaan menempuh maut yang penuh kesangsian.

Semuanya seperti jalan mati. Ia hadir mempersembahkan dirinya di situ, tersudut, menungguku. Jangan ditanya apa dia, kerana aku tak ada jawapan. Sama ada suka atau tidak, aku akan merasa takut, dan tersedut oleh sebuah perasaan yang sangat pekat dan melemaskan. Dari corong telefon itulah, berita-berita tentang kematian orang-orang yang aku kenali akan selalu sampai ke telinga.

Kau tahu apa sebenarnya yang aku khuatirkan? Ketika kematianku tiba nanti, aku tak sempat memaklumkannya kepadamu. Inilah sesalan yang belum lagi mengambil tempat, tetapi sudah aku rasakan dari dalam diri. Jadi, malam ini aku ambil keputusan untuk menghubungimu, dan mengumumkan kematianku.

Dari suaramu, aku kira kau tak menduga apa-apa yang mencurigakan, bukan? Entahlah. Elok juga kalau begitu. Namun yang anehnya, apa yang aku sedari adalah sebaliknya; suaramu kedengaran goyah, seperti sudah hilang ghairah dan kesungguhan. Api seperti tak lagi membakar semangat dan darah di dalam tubuh.

“Apa yang berlaku?” Pertanyaanku tak kau sambut. Hanya berpura-pura seperti tak ada apa yang sedang kau tempuhi dalam batinmu. Melalui perbualan singkat kita, aku menghidu sesuatu dari nada dan lenggok percakapan — jarang sekali berlaku bagi orang dalam usia sepertimu. Sekurang-kurangnya bukan seperti aku ketika sebaya denganmu dulu.

Kau seolah-olah sedang melihat suasana suram dan jalan yang sempit menanti hidupmu di depan. Kau tak seharusnya begitu, kerana hanya orang-orang yang seusia denganku, bahkah lebih baik jika ia lebih lanjut daripada itu, berhak untuk menikmati pandangan sebegitu. Usia muda sepertimu tak melayakkan dirimu untuk berangan-angan tumbang dihujung bayangan kelam seperti itu.

Apa yang aku katakan kepadamu seterusnya? Kau perlu merebut kesempatan yang ada, setidak-tidaknya untuk melihat dunia dengan mata yang cerah. Itu, orang muda, tak perlu ditakutkan. Kematianku lebih mengerikan berbanding kehidupanmu.

Rebut kesempatan yang ada untuk orang-orang seperti aku yang sudah terlewat untuk berbuat apa-apa. Kami saban hari hanya menangguh kematian. Sedangkan kau punyai ketidakpastian; ia harus dilihat sebagai suatu harapan. Jika kau memilih kecewa, apa yang tinggal untuk aku?

III. Koma

Menyedari terlalu sukar untuk mencipta ayat-ayat yang dapat mewakili perasaan dan fikiran yang ingin disampaikan, dan tak semena-mena menjadikan hari ini suatu hari yang sangat sulit dan memenatkan, Zafir akhirnya memilih untuk meninggalkan meja tulis.

Sebelum tergolek di atas karpet Parsi yang diberi jiran, membelek lembaran buku diruang tengah kamarnya — di hujung sudut kiri itu terletak sebuah lampu baca di atas meja dengan cambah cahaya yang cukup terang — sekadar melakonkan babak membaca bagi sebuah filem yang sedang berjalan dalam kepalanya.

Buku nota Moleskine biru ternganga di muka 14, terletak di tepi komputer riba yang masih menyala. Rokok hanya tinggal tiga batang dalam kotak. Dan semangat nampak seperti sedang dikoyak-koyak — hampir dua minggu ini dia hanya berangan-angan untuk dapat bertemu dengan satu dua baris ayat yang kemudiannya diharap akan mendorongnya untuk terus menulis.

Dari jam lima pagi dia bangun dari tidur untuk duduk di meja, melawan mata yang berat, membawa ke tengah hari yang kering yang panas teramat — masih belum ada petanda malapetaka tandus kata-kata itu akan berakhir.

Tiba lewat petang sekitar jam enam, dia harus berputus asa; hanya ada satu tanda koma yang tercatat pada kertas. Itu pun sebagai tanda belum tewas, dan masih punya keinginan untuk diteruskan lagi percubaan itu.

Zafir gelisah kerana masih gagal untuk menghasilkan walau satu ayat pun yang menjadi dan kuat, untuk dicatat atau digubah seterusnya dari atas kertas untuk ditaipkan pada skrin dan kemudiannya disimpan, seperti selalu.

Kembali ke meja, tak keruan, dia termenung pula di depan komputer, berkhayal dan merasa sangat sedih. Melalui saluran Youtube, dia menonton beberapa video wawancara penulis lain yang tak pernah dikenalinya, sebahagian besarnya belum pernah dibaca kerja-kerja mereka. Dia sekadar ingin mencari-cari sumbu untuk menulis lagi dalam waktu yang tersisa, hari itu.

Untuk dua jam lebih, dia mendengar dengan penuh tekun bual panjang Philip Roth dalam sebuah temuramah untuk BBC. Memang sedap mendengar penjelasan pengarang besar seperti itu, menjawab pertanyaan-pertanyaan yang tak pernah dirungkai sebelum ini berkaitan novel-novel yang dihasilkan.

Tetapi, cuma ada satu masalah yang kemudiannya baru disedari; Philip Roth bercakap tentang kerja-kerja penulisannya pada ketika dirinya sendiri sudah tidak lagi ingin menulis. Pada suatu detik, Zafir merasa seperti semangatnya sedang dibakar-bakar, sebelum tiba-tiba kelegaan itu seperti disentap semula, dan lenyap — bagaimana untuk mencuri haba daripada orang yang apinya sendiri sudah ingin dipadamkan?

Zafir kemudian beralih kepada yang lain, mencari-cari sebelum bertemu pula dengan dengan Karl Ove Knausgaard. Minit-minit terawal hanya diluangkan bagi mencari bunyi yang betul untuk menyebut nama itu — harapnya berjaya, atau setidak-tidaknya dia merasakan begitu.

Dia tidak terlalu meminati kaedah dan cara Knausgaard menanggapi tulisannya (padahal, baru satu jilid daripada enam jilid novel My Struggle yang sempat dibaca setakat ini). Tetapi, dia kagum dengan tenaga, fokus dan ghairah penulis asal Norway itu melondehkan diri sendiri di depan semua orang melalui kisah-kisah autobiografi yang dinovelkan.

Bila difikirkan balik, boleh jadi mujarab juga kaedah cerita yang begini; individu (terutama Melayu) biasanya lebih suka menjaga tepi kain dan menghukum kehidupan orang lain berbanding kain sendiri — dan Knausgaard memberikan peluang itu kepada pembacanya. Selepas menyedari dia hanya menghabiskan masa memerhatikan gaya rambut dan kot yang dipakai Knausgaard di dalam wawancara yang ditonton, Zafir menghentikan video berkenaan.

Ditaip pula nama Elmore Leonard. Menurut Zafir, datuk tua ini nampak lebih sempoi dan rileks. Pesan-pesan yang diberikan, walaupun bukanlah tidak pernah didengar sebelum ini, tetap terasa punya daya elektrik tersendiri, dipengaruhi mungkin oleh pesona dan enigma penampilan pada pengarang cerita jenayah ini. Jam melepasi pukul sembilan malam, sebelum dunianya punah teruk.

Bunyi televisyen yang sangat kuat entah datang dari mana mula kedengaran, mungkin dari rumah jiran sebelah, atau teman serumah yang sedang menonton di ruang tamu. Sebuah lagu, yang dinyanyikan oleh seorang lelaki dengan nama Aiman Tino, dalam nada sumbang mendayu-dayu yang begitu menyedihkan bunyinya, menyerang halwa telinga yang sebelum itu hening.

Bagaimana boleh ada orang yang tergamak untuk meluangkan masa mendengarkan lagu begini? Menurut Zafir, ini dosa besar, dan memalukan diri sekiranya nanti dia terpaksa mengakui pernah mendengarnya kepada teman-teman.

Dia terpinga-pinga sekejap, otaknya cuba mencerna situasi dengan cermat. Nyanyian itu malah mengheretnya menjadi lebih tertekan dalam masa yang singkat. Walhal dia hanya perlu bertahan tiga ke empat minit sahaja (kerana lagu-lagu yang pop lembik hanya akan diulang-ulang untuk membelai perasaan cengeng pendengar-pendengarnya).

Lagu itu mendatangkan tidak hanya tekanan, tetapi juga kemarahan kepada Zafir. Tak tahu hendak berbuat apa, dia kembali duduk di meja, membuka semula helaian kertas yang ada tanda koma, dan menulis; “Pak Elmore, kita berhenti di mana tadi?”

Dia kemudiannya menulis dengan penuh geram dan kesumat, membayangkan dialog-dialog yang mungkin terjadi antara dirinya dengan Elmore Leonard, memaki hamun muzik yang sedang berkumandang, serta lelaki penyanyi yang sangat menyedihkan itu. Di dalam kepalanya, dia terbayangkan Malaysia.

 

Hafiz Hamzah, 1 Februari 2017. Pertama kali diterbitkan di jalantelawi.com.

Advertisements
TIGA KISAH MINI – Tangkai, Panggilan & Koma

LANTAI

Aku melihat dengan tenang setompok
awan mendung datang berarak di atas kepala
membawakan sebuah pertanyaan untukmu;
sejak bila kau mahu memikirkan tentang kami?
Kata-kata yang kau ucapkan dulu masih belum
sampai ke ribaan tarikh luputnya lagi.

Angin semalam meliar
angin hari ini mengirimi debu;
membuat mata kami kepedihan
— tak ada kesedihan.

Bertahun-tahun kau membangunkan lantai yang begini
baru sekarang tersedar pincang, bila kakimu sendiri yang memijaknya?

Terhayun dalam oleng
yang menakutkan, menanti roboh;
tanpa malu-malu
tanpa menyebutkan maaf
sekarang kau minta kami, bersama-sama denganmu
merobah lantai ini menjadi yang baru; sekali lagi
menurut perkiraan dan pertimbangan citarasamu?

Jika benar, bagaimana kau tahu ia tak akan bergoncang dan mereput lagi?
Kami telah lama berjalan-jalan dengan lumpur yang terpalit di kaki, di muka
lantaimu itu tak terlalu mengghairahkan kami; ia hanya diperlukan
olehmu dan teman-temanmu
— untuk sampai kepadaku, di bawah ini.

Sedangkan, tangan-tangan kami inilah
yang perlu kau kotorkan demi lantaimu.

Andai kata, aku dan kekasihku sekalian
enggan meminjamkan tangan dan tenaga
kepadamu kali ini, akankah kau berani
untuk mengakui dosa-dosamu yang dulu
dan menyebutnya dengan rasa rendah hati?

Aku tak fikir begitu; sama-samalah kita
berjalan di dalam lumpur ini.

Kalau sampai kepenatan nanti
kita punyai dua pilihan;
untuk saling berbunuhan, atau boleh saja
— berhenti rehat untuk seketika.

Aku dan kekasihku tak memerlukan lantai baru.

 

 

Hafiz Hamzah
— 20 November 2016, Petaling Jaya. (Dewan Sastera, Mac 2017)

LANTAI

RANGKAI TIGA

I. ANGIN

Ada waktunya, perasaanku membadai seperti taufan;
segala pembohonganmu yang melintas
di depan dahi, sampai ke atas umbun.

Kesabaran minta untuk bertukar menjadi amuk dan melanggar.
Tetapi, aku pendamkan kerana mengingat kata-kata bapamu;
bersiaplah mengampuni angin yang datang membawa pesan sial,
dan berita-berita dusta yang selalu ingin memenangkan dirinya.

Lambat laun mereka tahu dan mengabaikanmu.
Muzik terhenti, tak lagi lunak di telinga.
Denting nyaring menimbulkan resah.
Kauingin pulang, tetapi masamu sudah tamat;
angin akan datang membawa wajahku.

 

II. AIR

Kelembutanku, di dalam ketenangan yang hening dan sunyi
jangan diingat tak dapat menyentuh dan merosakkanmu.

Lintas yang paling diam, di dalam deru manja dan khayal
menghakis perlahan; keyakinan dan apa yang kautahu.
Sebelum menyedari lingkaran api yang sedang marak, rakus
membelit dan ingin membakar, merentungkanmu.
Hanya tinggal kauseorang yang tak terkendalikan;
tenggelam kerana beratnya dosa-dosamu sendiri
di hadapan bayang ibumu yang sedang sugul.

Airku, siap menjadi apiku. Untuk mengabaikan seluruh hidupmu.
Debu adalah apa yang akan tersisa di telapak tangan yang kotor;
janganlah hendaknya rautmu bermuram durja, menyedihkan.

 

III. TANAH

Membelah dada untuk menelan segala akal permainan
dan sisa serdak dari abu mayatmu. Teman-temanku enggan
datang meniupkan udara dingin dan membasahi kaki; tinggal
kaudalam kontang dan kering gesit yang rengsa.

Gumpal tanah terakhir diiringi seru dan doa, tetapi tak siapa
ingin menyebut namamu. Airmataku tidak ingin menitis ketika
terkenangkanmu; aku adalah janjimu yang kekal tertunda.

Gersang bertabur dalam rekah. Pilu yang dulu jadi ngilu.
Aku selumbar pada muka kulitmu, yang tak ingin kau bawa mati.
Menyucuk untuk selalu membuatkan kauteringat
tentang satu masa ketika kauingin berdiri di atasku.
Selepas ini tidak lagi; kauseperti anak berteriak memukul tanah.

 

 

Hafiz Hamzah
— Dewan Sastera, Oktober 2016.

RANGKAI TIGA

Gertak Sanggul

Selepas Malakalis (2014), Gertak Sanggul (2016) merupakan kumpulan sajak kedua yang saya hasilkan. Merangkumi 51 buah sajak yang sebahagian besarnya merupakan sajak prosa dan lirikal, dengan tumpuan terhadap hal-hal berkaitan perempuan, kematian dan di antaranya.

_MG_5315

Turut mengiringi di dalamnya adalah sebuah esei yang berjudul Ghairah, Sajak. Sebahagiannya adalah tentang proses merampungkan kumpulan sajak kedua ini, dan selebihnya adalah kritikan terhadap gaya penghasilan sajak sambil lewa dan sekadarnya sahaja – yang penuh menghurungi tanpa sedar waktu ini.

Untuk mendapatkan naskah ini, hubungi 013-4285070 atau obscura.malaysia@gmail.com. – Hafiz Hamzah

_MG_5318

_MG_5319

 

Gertak Sanggul

Samizdat tiga esei

Esei selalu memberi saya ruang dan kesempatan untuk menemukan penjelasan, atau setidaknya percubaan huraian, terhadap sesuatu perkara yang menjadi lingkung perbincangannya. Sebagai contoh, membaca sesuatu hasil kerja penulisan atau membaca situasi semasa dengan keriuhan yang ada di dalamnya kerap memiliki kecenderungan untuk membiarkan kita terpana dengan apa juga perkara yang nampak; seringkali sekadar dari lapisan yang paling luar yang tampil molek dan memukau tanpa sempat diperhalusi pengalaman itu.

Tetapi, dari sebuah esei, saya menemukan pengalaman dan kegunaan yang lain. Dengan jarak dan renggang waktu yang mendasari kelahirannya terhadap sesuatu subjek, esei menguak pintu yang lain. Kesempatan untuk menyelak dari lapis-lapis yang tidak kelihatan, dan percubaan-percubaan untuk membuka perbincangan yang lebih tertumpu dengan segala kemungkinan yang ada.

Siri samizdat tiga esei ringkas ini adalah merupakan percubaan-percubaan untuk menelusuri dan mengembangkan pertanyaan lanjut tentang penulisan, kesusasteraan dan hal-hal yang melingkarinya.

_MG_5308

1. Pasar & Estetika (2010). Esei yang menyentuh tentang pengaruh pasaran di dalam meraih perhatian khalayak, kejulingan faham nilai dan kesediaan untuk menggugah normaliti sedia ada dalam memberikan penawaran baru terhadap pasaran (dengan dasar keyakinan bahawa pasaran baru tetap boleh diciptakan) dengan menekankan kesungguhan dan kualiti.

2. Kritik, Kraf & Kehalusan (2014). Esei selingkar proses penghasilan kerja-kerja penulisan dan penerbitan. Walaupun dihamparkan dengan sudut yang agak umum, terasnya adalah ini; perhatian terhadap apa dan tahap yang bagaimana yang sewajarnya diberikan ketika kita membicarakan kesusasteraan, atau elemen-elemen yang mendirikannya? Adakah cukup dengan menggunakan bahasa yang sekadarnya dan menghamparkan cerita secara gopoh untuk membangunkan sebuah novel? Bagaimana, sebagai pembaca, kita harus menanggapi hasil-hasil penulisan berkenaan?

3. Dua Sisi, Satu Sosok (2015). Esei rangkuman ringkas tentang kepengarangan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. Ditulis dan disampaikan dalam sesi sembang santai Buku Jalanan Titi.

Untuk mendapatkannya, hubungi obscura.malaysia@gmail.com atau 013-4285070. – Hafiz Hamzah

Samizdat tiga esei

Cahaya Pertama Yang Terserap

Riso-5

Sebuah terbitan terbaru dari Siri Risalah Fotografi Risograph; Cahaya Pertama Yang Terserap – Hafiz Hamzah. Di usahakan oleh rumahamok dan merupakan sebuah siri fotografi sindiran, dalam format tabloid sinikal bersaiz A4. Mengandungi 12 mukasurat bercetak di atas kertas Recycled Echo 150gsm. Harga RM10. Kepada yang berminat untuk membeli, caranya ada di sini. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke obscura.malaysia@gmail.com atau hubungi 012-300 5070. Edisi terhad 100 salinan.

 

Cahaya Pertama Yang Terserap