Quo Vadis, Pak Kassim? — sebuah percubaan untuk memahami sosok dengan pelbagai dinamika

Quo Vadis, Pak Kassim

Cakap-cakap tentang kumpulan tulisan ini sudah kedengaran dalam kalangan teman-teman agaknya dalam tempoh dua tahun sebelum ini oleh penggemar, peragu serta peminat-peminatnya. Ideanya mudah, untuk menghimpunkan tulisan beberapa orang penulis muda yang melihat semula sosok seorang Kassim Ahmad, tentunya dari sudut yang berbeza-beza.

Maka dari situ terbitlah buku dengan judul Quo Vadis, Pak Kassim? dalam bentuk seperti yang sudah beredar kini. Enam orang penulis yang menanggapi — melalui kefahaman dan pengalaman masing-masing — Kassim Ahmad sebagai seorang sasterawan, sosialis, Quranis dan lain-lain citra yang pernah diwajahkannya.

Tanpa kami ketahui awalnya, usaha kecil ini juga membawa makna yang lain kemudiannya; ia menjadi bingkisan kecil yang tak sempat disampaikan kepadanya selepas berita pada 10 Oktober 2017 itu pecah — Pak Kassim telah meninggal dunia.

Kepada yang ingin mengenali insan ini, tak berlebihan jika judul ini disifatkan mampu membuka denai laluan untuk tujuan itu, terutama kepada generasi-generasi baru yang bermunculan kini, yang tak pernah menjadi sebahagian daripada mata dan telinga untuk mengikuti setiap gejolak yang pernah berlangsung ketika Pak Kassim menggoncang ketenangan suasana berbudaya di sini dengan penanya.

Buat masa ini, Quo Vadis, Pak Kassim? yang disunting oleh Wan Hamidi Hamid yang menampilkan tulisan-tulisan daripada Aedi Asri, Zahid M. Naser, Hafiz Zainuddin, Shaira Amira dan Wahyudi Yunus. Buku ini beredar dalam jumlah yang kecil dan tidak akan berada di kedai-kedai buku utama. Kalau berhasrat untuk mendapatkannya, boleh hubungi kami ditalian 013-4285070. Harga RM20.

Advertisements
Quo Vadis, Pak Kassim? — sebuah percubaan untuk memahami sosok dengan pelbagai dinamika

Dialog Dengan Sasterawan

DDS-Depan

Salinan edisi pertamanya lusuh, kulit depan warna coklat dengan ilustrasi orang lidi yang tidak terlalu membangkitkan syahwat membaca, terletak entah di mana, mungkin selalu tertimbus di bawah kalangan buku-buku lainnya yang separuh daripadanya itu adalah lambang ketewasan nafsu, yang tersekat di antara mengumpul buku dan membaca buku, awalnya di sebuah kuaters di Kerinchi, kemudian di bawa berpindah ke sebuah ruang kecil lain di Petaling Jaya Selatan.

Tetapi, di dalam tahun-tahun sebelumnya, ia sudah sempat dihadam; yang terkesan daripada pembacaan itu adalah sebuah tenaga dan daya fikir pengarangnya yang mencurahkan masa untuk menelaah teks-teks kesusasteraan dekad 50an hingga 70an. Kemudian, selepas itu senyap; pengarangnya, Kassim Ahmad, di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1976. Pada 1977, buku ini, Dialog Dengan Sasterawan, pertama kali terbit dan menemui pembaca –  sangat mungkin di dalam jumlah yang tidak terlalu besar. Selepas daripada penangkapan ini, Kassim Ahmad bukan lagi seorang Kassim Ahmad yang sama.

Yang terkandung di dalam lembar mukasuratnya adalah tulisan-tulisan yang tajam dan menarik tentang sastera, terutama karangan penerbitan bahasa Melayu waktu itu. Kemudian, di tahun 2013, ketika berkesempatan bertandang ke Kulim, Kedah dan menemui pengarangnya sendiri, saya suarakan keinginan saya untuk melihat naskah itu diterbitkan semula, dan bertemu dengan pembaca-pembaca baru. Kerana, terlalu ramai yang merasai diri sebagai penulis kini, dengan kesedaran yang bermacam-macam, termasuk yang menggelikan hati, menerbitkan tulisan-tulisan yang difikirkan menarik. Tak salah tentunya untuk menerbitkan tulisan apa pun, cuma saya beranggapan adalah lebih menarik jika pembaca (dan sesiapa yan ingin memahami penulisan) belajar sesuatu daripada himpunan esei ini.

Continue reading “Dialog Dengan Sasterawan”

Dialog Dengan Sasterawan