Gamelan & Nyawa Baru

Gamelan-14
Sebuah pertembungan yang aneh barangkali; muzik dalam maksudnya yang paling merangkum (universal), dari susur-galur tradsional yang misteri, menjelajah ruang masa dan tiba di hadapan kemodenan, dilepaskan untuk berpencak irama lagi dengan tenaga muzik dalam nuansa baru dengan semangat dan udara lebih segar. Walaupun bukan yang pertama.

Pada sebuah petang Jumaat awal Mac lalu, Tune Studio di Klang dihuni oleh beberapa pemuzik gamelan dari Muzium Pahang (ketika itu mereka sudah berada di sana hampir seminggu), menyambung projek yang untuk sekian lama tidak pernah sempat dilunaskan; kolaborasi bersama Monoloque, yang antaranya menulis muzik-muzik baru asli dari tangannya, untuk digandingkan bersama muzik gamelan Melayu tradisional dari Pahang. “Ini projek muzik Muzium Pahang. Kami mula berbincang tentang projek ini sudah agak lama, kurang lebih sejak 10 tahun dulu ketika Butterfingers keluar dengan album _Selamat Tinggal Dunia_. Mereka tertarik dengan komposisi muzik yang ada; dalam album itu memang sudah ada muzik gamelan diadunkan sekali,” ujar Loque, mengingat semula awal mula yang memacu projek itu seterusnya. “Kemudian, tergendala. Saya ke Berkelee sambung belajar muzik. Dan Muzium Pahang khabarnya pernah berusaha untuk teruskan projek ini dengan pihak lain, tapi tetap tak menjadi. Sekarang, saya pikul semula tanggungjawab itu.”

Penghawa dingin terasa semakin kuat. Suhu menurun, dan kabus memanjat pada setiap cermin kaca yang ada. Di dalam bilik rakaman utama paling hujung, yang boleh ditinjau dari luar, tujuh alat muzik tradisional yang mendirikan muzik gamelan ini tersimpan dan setiap hari dimainkan, secara bersama atau berasingan, untuk tujuan rakaman; demung, bonang/keromong, gambang, gong, kenong, gendang Melayu dan saron. Ketujuh-tujuh instrumen yang ada getar dan gelombang yang mungkin berlainan itu, bakal digandingkan bersama instrumen moden di dalam komposisi muzik gamelan yang baru, bukan sekadar saduran yang memainkan semula komposisi muzik dan lagu gamelan asli tradisional atau joget sedia ada.

Continue reading “Gamelan & Nyawa Baru”

Advertisements
Gamelan & Nyawa Baru