13 MEI

Hari ini, 54 tahun yang lalu, di sekitar Kuala Lumpur — termasuk di tempat kita sedang berada malam ini — telah berlaku krisis besar dan pertumpahan darah akibat rusuhan kaum yang mencemaskan negara, yang sekaligus membuka jalur baru jalan ke depan bagi Malaysia yang ketika itu baru berusia enam tahun. 

Ada banyak faktor yang membawa kepada tragedi 13 Mei 1969: empat tahun sebelumnya, Singapura keluar dari gagasan Malaysia, dan apa yang menjadi titik tolak paling genting ialah pilihan raya umum tahun itu, yang berlangsung pada hari Sabtu, 10 Mei 1969. Latar negara ketika itu kelabu dan goyah, terdedah kepada sebarang kemungkinan yang parah.

Dalam pilihan raya 1969 tersebut, Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman gagal mendapat majoriti undi walaupun berjaya meraih majoriti kerusi di Dewan Rakyat dan di semua Dewan Undangan Negeri (kecuali Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor), sekaligus membuka ruang untuk pembangkang mencabar pemerintahan Perikatan yang telah berlangsung sejak merdeka.

Sehari sebelum mengundi, pada 9 Mei 1969, berlaku sebuah perarakan mayat seorang pemuda Cina berusia 24 tahun, yang terkait dengan Parti Buruh dan telah mati di hospital selepas ditembak polis dalam satu insiden terpencil di Kepong berkaitan persiapan pilihan raya itu. Perarakan ini akhirnya menjadi satu simbol kepada perlawanan dengan sentimen perkauman, yang berlangsung secara besar-besaran di Kuala Lumpur: melanggar persetujuan awal oleh pihak polis yang hanya membenarkan perarakan itu diadakan dalam kumpulan kecil melibatkan ahli keluarga, dan hanya boleh melalui jalan yang telah ditetapkan sahaja.

Kemudian, pada 12 Mei 1969, rentetan parti Perikatan gagal mendapat majoriti jelas untuk membentuk kerajaan, pembangkang melakukan “perarakan kemenangan”. Provokasi seumpama inilah antara hal-hal yang kemudiannya menjurus kepada ketegangan kaum dan mambawa pula kepada peristiwa rusuhan besar dan pertumpahan darah di Kuala Lumpur pada 13 Mei itu.

Laporan rasmi kejadian ini diterbitkan oleh Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak. Dua gambaran penting dalam laporan itu tentang kejadian tersebut: parti pembangkang bukan Melayu serta penyokong mereka telah bermaharajalela setelah keputusan pilihan raya memberi tamparan besar dan tidak menyebelahi Perikatan; dan kedua, masalah jurang sosio-ekonomi antara kaum ketika itu, yang mana dua tahun selepas itu, membawa kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada 1971.

Dalam memoirnya, 13 Mei: Sebelum dan Selepas, Tunku mencatatkan perincian lain yang berseberangan daripada laporan MAGERAN. Tunku menyatakan terdapat faktor lain yang turut menyebabkan peristiwa itu. Antara yang paling kontroversi: penglibatan anasir komunis dalam mengapi-apikan sentimen yang sudah sedia panas ketika itu dan berlangsung sejak merdeka lagi — antaranya kempen untuk memboikot pilihan raya 1969 dengan tujuan untuk mengganggu gugat kestabilan politik.

Ada juga pendapat yang menyatakan antara faktor lain yang turut mendasari peristiwa itu adalah pertikaian politik dalaman UMNO sebagai parti terbesar Perikatan: Tunku dilihat sangat cenderung terhadap tauke Cina, dan Tun Razak berserta gerombolannya ingin mengetepikan beliau dan mengambil alih teraju pemerintahan.

Semua ini dan tentunya banyak lagi walau sekecil-kecil perkara telah dipercaturkan dan menjadikan siapa kita sebagai sebuah negara bangsa. Kita, yang menggerakkan kehidupan hari ini di Malaysia, tidak boleh tidak, perlu memahami dan mengambil pelajaran daripada semuanya. Untuk mengenali siapa kita, kenalilah dulu sejarah kita, walaupun pedih dan pilu. Supaya kita tak perlu lagi melalui jalan yang sama, atau melakukan kesilapan yang sama.

Dedikasi malam ini kami tujukan untuk negara yang kita cintai ini, dan seluruh warganya. 

Bacalah, belajar dari sejarah.

*Teks penutup yang dibacakan dalam set Zulhezan x Hafiz Hamzah: 13 Mei di Riwayat, Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2023. Teks ini mengiringi dua lagi teks yang dibacakan sebelumnya, yang dipetik daripada ucapan Tunku Abdul Rahman di Radio Televisyen Malaysia pada 13 Mei dan 16 Mei 1969.

13 MEI

Leave a comment